16 Tempat Menarik di Selangor 2022 (Bosan Duduk Rumah, Datang Sini)


Bagi anda yang tinggal di Lembah Kelang, ini antara senarai tempat menarik di Selangor yang anda boleh kunjungi bersama anak-anak dan keluarga. Kalau bosan dengan Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam, bawa kereta jauh sedikit ke Kuala Selangor, Sekinchan, Sabak Bernam, Hulu Langat dan juga Serendah yang jauh dari pusat bandar.

Untuk makluman, ini adalah tambahan daripada senarai tempat menarik di Selangor yang percuma, yang pernah ditulis sebelum ini. Jika anda adalah ibu-bapa, boleh rujuk tempat menarik di Selangor untuk kanak-kanak supaya mereka tidak bosan duduk di rumah.

Tempat menarik di Selangor

1. Perpustakaan Raja Tun Uda

Bagi ulat buku yang suka mengisi masal dengan aktiviti membaca dan mereka yang gemar suasa perpustakaan, anda boleh ke Perpustakaan Raja Tun Uda yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam.

Jika anda mempunyai anak kecil, lawatan ke perpustakaan ini pasti dapat melahirkan rasa cinta kepada buku dan hobi membaca. Perpustakaan ini menyediakan zon khas untuk kanak-kanak yang dihias secara kreatif, penuh warna-warni yang semestinya dapat menarik perhatian mereka. Selain itu, seluruh perpustakaan ini berkonsep perpustakaan dalam taman ataupun “library in the park.”

Setiap tingkat di perpustakaan ini juga memiliki temanya yang tersendiri. Antara tema yang telah direka khas adalah ‘angkasa lepas,’ ‘bumi,’ ‘lautan’ dan ‘manusia. Kemudahan perpustakaan ultra-moden ini juga sangat luar biasa jika dibandingkan dengan perpustakaan lain. Antara fasiliti unik yang ditawarkan adalah seperti teater 3D, teater ‘multi-sensory’ 6D, 3 buah gimnasium berbeza, Xbox Kinnect, teknologi ‘virtual reality’ (HTC Valve), kemudahan komputer (Windows dan Mac), permainan interaktif iStep / Ubiq dan banyak lagi.

Lokasinya, terletak berdekatan dengan banyak tarikan lain di Shah Alam seperti Shah Alam Lake Gardens dan juga Masjid Biru.

 

2. Ostrich Wonderland Semenyih

Ingin menghiburkan hari anak anda? Bawalah keluarga anda berkunjung ke Ostrich Wonderland Semenyih. Bukan setakat burung unta sahaja yang berada di sini, teradapat juga haiwan lain seperti ayam, angsa, keldai, ayam belanda, arnab dan sebagainya.

Semasa berada di sini, anda boleh mendengar penjelasan ringkas tentang burung unta dan juga dibawa mengunjungi pusat inkubasi telur burung unta.

Dah puas mendengar pelbagai info menarik dan melihat semua haiwan yang ada? Sebelum pulang pastikan anda singgah membeli daging frozen dan juga telur ayam atau burung unta yang dijual di sini. Selain itu, buah-buahan dan susu kambing yang segar dari ladang juga turut ditawarkan.

 

3. Trick Art Museum i-City

Berilhamkan teknik seni lukisan purba Trompe L’oeil, dimana konsepnya menghasilkan lukisan realistic atau hidup dalam 3D, anda boleh lihat sendiri dan alami konsep 3D Trick Art Museum i-City dimana lukisan-lukisan sepertinya dipamerkan.

Berada di muzium ini, anda pasti meragui mata anda sendiri. Sesetengah lukisan membuatkan anda tertanya-tanya, seperti boleh disentuh tapi sebaik anda mendekatinya, ternyata ia hanyalah sebuah lukisan yang menipu mata anda.

Ilusi-ilusi optikal di sini menjadikan ia sangat menarik untuk dijadikan props anda bergambar. Di tapak berkeluasan 8000 kaki persegi ini anda dapat melihat 5 tema karya seni yang berbeza iaitu karya Mesir, Klasik Moden, Alam Haiwan, Karya Agung dan Hidupan Laut.

 

 

4. Klang Gates Quartz Ridge

Antara tempat menarik di Selangor dengan pemandangan yang mengasyikkan ialah Klang Gates Quartz Ridge.

Klang Gates Quartz Ridge atau namanya yang lebih dikenali iaitu, Bukit Tabur, mempunyai banjaran sepanjang 16KM dengan kelebaran 200m menjadikan ia kawasan permatang kuarza yang terpanjang di dunia.

Jika anda berkunjung ke sini, anda boleh melihat 5 jenis tumbuhan endemik atau tumbuhan yang tidak dapat ditemui di kawasan lain di dunia. Pendakian Bukit Tabur ini akan memberikan anda pemandangan yang indah sekitar tasik Hulu Kelang di bahagian utara dan bandaraya Kuala Lumpur di bahagian selatan.

Selain itu, anda juga dapat melihat mineral kuarza yang terbentuk cantik di sini.  Apa-apa pun, pastikan anda tidak gayat kalau anda ingin mendaki Bukit Tabur ini, ini kerana kawasan cerunnya agak curam.

Setelah puas melihat pemandangan, apa lagi, kita terjun mandi pula dalam air sungai yang jernih yang terdapat di bawah empangan di sini. Semestinya menyeronokkan untuk datang bersama keluarga, dan pastikan semua pengunjung berpakaian sesuai untuk mendaki serta mampu secara fizikal untuk ke puncak yang agak mencabar ini.

 

5. Pantai Remis

Pantai Remis adalah sebuah pantai yang cantik dan sering menjadi tarikan ramai penduduk tempatan yang ingin berkelah pada musim cuti sekolah dan pada hujung minggu. Namun, kalau anda ingin berenang-renang, air di pantai ini agak tidak sesuai kerana ia ditambak oleh batu-batu besar.

Akan tetapi, banyak aktiviti menarik yang lain yang boleh dibuat di sini seperti menikmati makanan laut di gerai-gerai di sekitar pantai, bermain layang-layang, memancing ikan, dan mencari kerang atau ala-ala.

Memori berkelah di sini pasti menjadi satu pengalaman yang manis bersama keluarga terutama sekiranya anda berpeluang menyaksikan cahaya matahari terbenam yang memantulkan cahaya pada air laut.

Selain itu, jika anda ingin bersantai di pantai ini lebih lama, apa kata anda menginap di penginapan kabin yang terdapat di Pantai Remis ini. Sebagai salah satu tempat penginapan menarik di Selangor yang lain dari yang lain, tempat ini juga lengkap dengan fasiliti untuk BBQ dan juga kolam renang.

 

6. Paragliding Bukit Jugra

Di Bukit Jugra, anda boleh terbang seperti burung sepuas hati anda. Aktiviti paragliding ataupun luncur udara ini memang patut dicuba walau sekali dalam hidup, ia pasti menjadi pengalaman yang diingati seumur hidup. Bukan sahaja dapat melihat pemandangan indah dari sudut yang berbeza, malahan anda sendiri dapat menikmati udara yang segar dari kawasan yang jauh dari darat.

Tapi kalau anda seorang yang gayat, tak cuba pun tak mengapa ya. Untuk anda yang tak pernah melakukan aktiviti ini tetapi ingin mencuba, anda boleh menjadi penumpang kepada paragliding pilot yang bertauliah untuk memandu anda sewaktu meluncur udara.

Untuk terbang secara solo pula, anda kena mendapatkan lesen terlebih dahulu. Walau bagaimanapun cara anda berparagliding, pengalaman seperti ini pasti tidak akan dapat dilupakan. Bak kata orang muda zaman sekarang lah, “YOLO (You Only Live Once)”, jadi, ciptalah memori unik sebanyak mungkin.

 

7. Pasir Penambang

Selain terkenal dengan Sky Mirror, ‘Eagle Feeding’ juga adalah salah satu tarikan unik yang wajib anda alami sewaktu bercuti ke Selangor. Dengan menaiki bot, anda akan dibawa ke kawasan yang menjadi lokasi pilihan burung helang. Bukan di Langkawi sahaja yang ada burung helang berterbangan bebas, tapi di Selangor pun ada.

Inilah saatnya untuk anda menggunakan skill fotografi sebaik mungkin untuk menangkap aksi burung helang yang terbang di sekitar dan meluru ke permukaan air untuk mendapatkan makanan.

 

8. MAEPS Serdang (Malaysia Agro Exposition Park Serdang)

Selama ini, nama Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) ini popular hanya bila ada ekspo sahaja, tapi sebenarnya lokasi ini tidak hanya hidup pada hari ekspo.

Untuk pengetahuan anda, ada banyak tarikan menarik yang boleh anda lawati pada bila-bila masa ketika waktu operasinya. Antara tarikan yang ada dalam kawasan berkeluasan 130 hektar ini adalah Laman Herba, House of Kambing, Laman Padi, Laman Perikanan, Laman Nanas, petting zoo (G2G Animal Garden), Techno Cafe, Nafas Cube, Kafe MAEPS dan MAEPS Bistro.

 

9. Ardence Labs @ Eco Ardence

Nak membeli-belah, tetapi pada masa yang sama ingin mencari tempat lepak yang best? Tak perlu cari jauh-jauh lagi, lokasi yang terbaik untuk anda meluangkan masa adalah di Ardence Labs @ Eco Ardence.

Ardence Labs adalah pusat membeli-belah berkonsep open-air yang boleh dikira yang pertama sepertinya di Malaysia. Kalau anda nak tahu, konsep mall seperti ini cukup terkenal di Amerika Syarikat. Jadi, kalau anda teringin merasa pengalaman bershopping seperti di luar negara, inilah destinasinya.

Bukan itu sahaja, reka bentuknya juga sangat unik! Ini kerana kedai-kedainya didirikan menggunakan kontena. Memang banyak sudut untuk anda bergambar.

 

10. Camp 5 Indoor Climbing Gym

Camp 5 Indoor Climbing Gym merupakan salah satu lokasi yang harus dilawati untuk mereka yang gemar aktiviti lasak. Sesuai juga untuk yang baru nak berjinak-jinak dalam dunia wall climbing ini.

Persekitaran selesa dilengkapi dengan penyaman udara, anda tak perlu lagi berpanas di bawah terik matahari, berganda keseronokannya untuk yang baru ingin mencuba aktiviti lasak ini, lagi seronok bila dah berjaya sampai ke puncaknya yang menyajikan pemandangan yang mempersonakan.

Sekiranya anda tiada keyakinan untuk memulakan aktiviti ini sendiri, anda boleh menyertai kelas rock climbing yang disediakan gym ini ataupun pilih sahaja pakej percubaan yang ditawarkan. Ramai juga kanak-kanak yang dibawa untuk melakukan aktiviti ini di sini.

 

 

11. Min Nature

Min Nature adalah tapak pameran model miniature yang terbesar di Asia yang mempunyai keluasan 17,000 kaki persegi. Model-model miniature yang dapat dilihat di sini kesemuanya merupakan hasil tangan rakyat Malaysia sendiri.

Anda dapat melihat kawasan kampung dan bandar yang dibina lengkap dengan patung-patung kecil manusia yang menghidupkan dunia yang kecil ini, memang nampak realistic sangat. Di sini juga ada dipamerkan landasan keretapi bersaiz mini yang terpanjang.

Lebih menarik, anda juga dapat melihat bagaimana model-model mini ini direka menggunakan mesin printer 3D yang terdapat di sini. Sebelum pulang, jangan lupa untuk membawa balik modeling kit yang dijual semurah RM20. Unik dan menyeronokkan, wajib dilawati kerana merupakan satu-satunya pameran miniature yang terdapat di Malaysia.

 

12. Air Terjun Serendah

Kawasan Air Terjun Serendah merupakan salah satu tarikan alam semulajadi yang sering dilawati terutama sekali pada hujung minggu atau musim cuti sekolah, suasana sekitar air terjun ni boleh jadi agak meriah dengan kehadiran keluarga bermandi-manda.

Air Terjun Serendah merupakan salah satu air terjun di Selangor yang popular. Walaupun hanyalah sebuah air terjun bersaiz kecil, lokasi ini sangat sesuai untuk dijadikan destinasi anda sekeluarga menenangkan fikiran, bersantai menikmati udara segar ditemani bunyi deruan air sungai yang menyegarkan halwa telinga.

Di sini, anak-anak boleh bermandi-manda dan berseronok tanpa anda perlu risau terutamanya di kawasan yang berdekatan dengan pondok dan jambatan yang terdapat di sepanjang sungai ini.

Berkenaan kemudahan yang disediakan, banyak yang telah disediakan di kawasan air terjun ini. Ia lengkap dengan kemudahan seperti surau, tandas, bilik mandi, gerai-gerai jualan, pondok untuk anda bersantai, taman permainan kanak-kanak, tapak perkhemahan dan tempat meletak kereta.

Lokasinya, terletak hanyalah dalam sekitar 3 km daripada kawasan Perkampungan Orang Asli Serendah.

Boleh rujuk senarai tempat mandi manda di Selangor yang lebih lengkap.

 

13. Red Carpet Wax Museum (Red Carpet 1 & Red Carpet 2)

Siapa sangka di Malaysia pun ada muzium Madame Tussaudsnya sendiri? Tak perlu ke luar negara, muzium ini boleh ditemui di i-City.

Red Carpet Wax Museum yang terdapat di i-City ini terdapat bukan hanya satu, tapi dua buah muzium iaitu Red Carpet 1 dan Red Carpet 2. Jika masih belum puas bergambar, mungkin anda perlu berjumpa dengan pelakon idaman anda sendiri.

Di Red Carpet 1, anda boleh bergambar dengan ramai selebriti Hollywood yang kelihatan begitu realistik! Bila lagi nak jumpa artis Hollywood? Patung lilin yang realistik pun sudah cukup realistik untuk anda berangan kononnya dapat bertemu dengan mereka.

Di Red Carpet 2 pula, di dalam muzium yang berkeluasan 30,000 kaki persegi ini anda boleh bergambar sepuas hati dengan karakter-karakter Superhero, golongan diraja, pemimpin, artis K-Pop, dan banyak lagi! Red Carpet 2 ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu indoor dan outdoor. Untuk pengetahuan anda, anda boleh bergambar di zon outdoor dengan percuma!

 

14. Ladang Teh Boh Bukit Cheeding

Antara tempat menarik yang ramai orang tak tahu di Selangor ialah ladang teh BOH Bukit Cheeding.

Bukan dekat Cameron Highlands atau kawasan tanah tinggi je yang ada ladang the tau. Pasti ramai yang tak tahu, di Selangor sebenarnya ada ladang tehnya sendiri. Bukan ladang biasa, tapi ladang teh yang terkenal iaitu Ladang Teh Boh yang terletak di Bukit Cheeding.

Kewujudannya sebenarnya sudah berdekad lama, dari tahun 1927 lagi. Ya, sebelum merdeka lagi, tapi masih ramai yang tak tahu kewujudannya. Dengan keluasan sebesar 210 ekar, ladang teh ini boleh dikira sebagai ladang teh kawasan tanah rendah dengan suhu sederhana yang dikendalikan oleh BOH Plantations.

Uniknya, teh di sini ditanam secara berselang-seli dengan pokok kelapa sawit. Gaya penanaman sebegini merupakan yang pertama sekali wujud di dunia. Sesuatu yang begini, harus dilihat dengan mata sendiri, baru boleh percaya.

Selain melihat kawasan ladang, di sini juga terdapat kilang pemprosesan untuk anda lawati dan melihat bagaimana teh di ladang ini diproses sehinggalah dibungkus. Walau bagaimana pun, untuk masuk ke dalam kawasan kilang, anda perlu mengatur aktiviti tersebut melalui Majlis Daerah Kuala Langat atau layari sahaja laman web BOH untuk lebih informasi.

 

15. Tadom Hill Resort Banting

Tadom Hill Resort Banting ini telah dibuka pada Disember 2015, namun jangan anda pandang rendah dengan Tadom Hill ini walaupun baru. Untuk mengalami keunikannya, datanglah ke sini bersama keluarga, pasti seronok dengan banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini seperti berenang di tasik, bergayut seperti Tarzan di tali gayut atas air sebelum terjun ke dalam air, berakit dan pelbagai lagi aktiviti air yang lain.

Bukan setakat itu, anda juga boleh mencuba aktiviti lain yang turut disediakan seperti abseiling, flying fox, ATV, dan mendaki bukit. Masih belum puas dengan aktiviti di sini? Apa kata kalau anda dan keluarga menginap di kabin yang hampir kesemuanya dibuat berasaskan kayu buluh di sini? Terasa seperti bercuti di kawasan desa.

 

16. Bukit Melawati

Perjalanan menaiki kereta ke Bukit Melawati dari KL hanya mengambil masa selama 1 jam sahaja. Sebaik tiba di sini anda pasti teruja dengan keindahan pemandangan di bukit ini yang sebegitu cantik. Manakan tidak, anda dapat melihat pemandangan laut Selat Melaka dan kawasan kampung nelayan berdekatan di sekitarnya dari bukit ini.

Selain itu, di puncak Bukit Melawati ini juga terdapat beberapa peninggalan bersejarah seperti rumah api, kubu lama, perigi beracun, kubur diraja, beberapa buah meriam dan lain-lain. Kawasan ini diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak Bersejarah dibawah Akta Bendapurba.

Di samping itu, anda dan keluarga juga dapat melihat keletah monyet-monyet lutong dan kera yang banyak terdapat di sini. Terutama sekali monyet lutong yang agak mesra dengan pengunjung yang datang memberikan makanan. Tapi anda perlu berjaga-jaga sedikit dengan kera, mereka boleh menjadi agak agresif berbanding monyet biasa.

 

Akhir kata

Diharapkan agar perkongsian tempat menarik di Selangor ini akan merapatkan lagi hubungan kekeluargaan anda.

Ingat, anak-anak akan sentiasa mengingati pengalaman mereka semasa kecil bersama ibu-bapa.

Semoga dipermudahkan segala urusan.

 

6 thoughts on “16 Tempat Menarik di Selangor 2022 (Bosan Duduk Rumah, Datang Sini)”

Leave a Comment