14 Tempat Menarik di Hulu Langat (Sesuai untuk Seisi Keluarga)


Hulu Langat, merupakan salah satu daerah di Selangor yang tekenal dengan beberapa destinasi air terjun. Sebenarnya, selain air terjun, ada banyak lagi tempat menarik di Hulu Langat yang anda boleh kunjungi.

Dengan jarak yang tidak jauh dari ibu kota, anda boleh memperuntukkan hujung minggu anda untuk berehat di sini. Jom kita lihat antara tempat menarik di Hulu Langat yang boleh kita pergi.

Tempat menarik di Hulu Langat

1. Skytrex Sg Congkak

Bagi anda yang suka saksikan keindahan hutan, di sini anda boleh berjalan-jalan dari pokok ke pokok dengan menyaksikan view hutan yang sangat mengasyikkan! Berlainan dengan jungle trekking, skytrex membolehkan anda merentasi hutan dengan beberapa trek atau laluan yang dibuat dengan tali yang dipanggil sky-trekking.

Terdapat beberapa jenis laluan dan level, bergantung kepada kesesuaian anda. Antara trek yang anda akan lalui ialah flying fox yang merentasi sungai, monkey bar, step bridge, fish bone, dan banyak lagi. Anda juga boleh memilih level mana yang anda kehendaki.

Harga tiket di sini bermula dari RM55 di website, dan terdapat beberapa pakej dan tambahan lain lagi. Anda boleh klik sini untuk info lanjut.

 

2. Hulu Langat Fishing Resort and Restaurant

Bagi kaki pancing, anda boleh meluangkan hujung minggu anda di sini. Tempat menarik di Hulu Langat ini menawarkan beberapa servis memancing ditawarkan di sini, dan anda juga boleh bermalam di chalet yang disediakan. Kemudahan yang ada juga selesa, dan anda juga boleh membawa keluarga anda di sini untuk luangkan masa bersama sambil memancing.

Antara ikan yang anda boleh tangkap di sini ialah seperti ikan Mekong Patin, Kap Siam, Redtail, Rohu, dan Tong San. Tetapi, peraturan di sini ialah tangkap dan lepas. Anda tidak boleh membawa pulang ikan yang sudah ditangkap. Jika anda ingin menjamu selera, di sini juga tersedia restoran untuk anda.

Harga di sini bergantung kepada sesi bermula RM80. Anda boleh membuat tempahan dan untuk maklumat lanjut, anda boleh layari website mereka di sini.

 

3. Bukit Ah Pek / Bukit Putih

Terletak bersebelahan dengan Bukit Saga, bukit ini juga popular dalam kalangan warga Lembah Klang. Pendakian memakan masa lebih kurang 3 jam, dan sesuai untuk pendaki yang baru berjinak-jinak. Terdapat beberapa lokasi permulaan untuk pendakian ini, dan kebiasaanya pendaki akan memulakan trek mereka dari sini.

Jika anda masih baru lagi dengan pendakian, dinasihatkan untuk membawa teman untuk mengelakkan anda sesat kerana di sini banyak trek yang boleh dilalui. Trek ini juga dijaga rapi dan bersih. Anda juga boleh terus ke air terjun di sini untuk melepaskan lelah mendaki.

 

4. Bukit Saga

Bukit Saga ini, jiran kepada Bukit Ah Pek / Bukit Putih mempunyai ketinggian setinggi 410m. Walaupun agak rendah, namun laluan yang turun naik agak mencabar bagi sesetengah pendaki. Namun, masa yang diambil agak sekejap tidak sampai sejam. Puncaknya juga mempunyai fasiliti yang agak menarik seperti buaian, hammock dan tempat persalinan.

Terdapat beberapa tempat permulaan untuk ke puncak bukit ini dan kebiasaannya pendaki akan bermula dari Taman Saga.  Jika anda merasakan pendakian ini terlalu mudah, anda boleh menyambung perjalanan anda menuju ke air terjun. Laluan ke sini agak sukar dan licin namun berbaloi dengan kesukarannya, anda akan mendapat pemandangan air terjun yang indah.

 

5. Bukit Chenuang

Bukit Chenuang ialah satu tempat menarik di Hulu Langat untuk anda daki. Bukit ini terletak di dalam Hutan Lipur Sg Chongkak. Anda boleh memasuki dan meletakkan kenderaan anda di sini. Bayaran sebanyak RM15 akan dikenakan untuk satu kereta.

Anda dikehendaki memberi nama pada Balai Polis Batu 18, ini untuk memudahkan sekiranya terjadi kejadian yang tidak diingini.

Bukit ini mempunyai ketinggian setinggi 840 meter dan kesusahannya bertahap sederhana. Anda akan memerlukan 2-3 jam untuk naik ke puncak. Untuk menuju ke puncak anda akan melalui trek yang memerlukan anda merangkak di bawah timbunan buluh. Pasti akan memberikan pengalaman baru untuk anda.

 

6. Gunung Nuang

Dikatakan antara gunung tertinggi di Selangor, pendakian ini sesuai untuk mereka yang sudah biasa mendaki dan mempunyai stamina tinggi. Ini kerana pendakian ini agak sukar dengan ketinggian 1493m.

Merupakan titik pertemuan tiga negeri iaitu Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan, Gunung Nuang memberi pemandangan yang indah. Pastikan anda mendaftar di Jabatan Hutan terlebih dahulu sebelum memulakan pendakian.

 

7. Kolam Air Panas Sg Serai

Seterusnya, tempat menarik di Hulu Langat ialah Kolam Air Panas Sg. Serai. Jika anda ingin berendam air panas dan melegakan badan anda, anda boleh datang ke sini. Air panas mampu melegakan sengal badan dan gatal-gatal kulit. Disarankan anda berendam di waktu pagi dan petang. Waktu malam pun boleh jika anda tiada masa.

Di sini disediakan kerusi yang boleh dibawa ke dalam kolam. Kolam ini tidak dalam sangat dan kanak-kanak juga boleh berendam bersama. Bayaran sebanyak RM2 akan dikenakan untuk seorang.

Untuk ke Kolam Air Panas Sg Serai ini, lokasinya berdekatan dengan Masjid Al Ehsan Sungai Serai. Berdekatan kolam ini juga, tersedia gerai buahan untuk anda mengalas perut anda.

 

8. Ajlaa Village Resort

Chalet terapung atas air yang pasti memberi pengalaman yang menyeronokkan untuk anda dan keluarga! Terdapat 16 chalet yang terletak di atas air, dan yang seronoknya anda boleh turut memancing dari dalam bilik anda.

Ajlaa Village juga ada menjual pelbagai jenis ikan organik air tawar seperti Haruan, Tongsan, Rohu, Jelawat, Patin, Temoleh, Tilapia, Ketutu, Baung, Lampam, Puyu dan Lee Koh. Anda boleh menikmati bbq di sini juga. Malah teerdapat juga pelbagai pokok buah-buahan tempatan antaranya Durian, Duku dan Rambutan yang turut menjadi tarikan pengunjung di Ajlaa Village ketika musim buah.

Jika anda tidak ingin melakukan apa-apa aktiviti, sekadar berjalan merasai suasana kampung turut digalakkan. Udara yang lebih segar, dan air terjun yang berdekatan boleh membuat anda melupakan hiruk pikuk kota. Anda boleh melayari website mereka di sini untuk lebih maklumat berkenaan Ajlaa Village Resort.

 

9. Air Terjun Sungai Tekala

Bagi yang inginkan air yang jernih dan suasana yang dingin, anda boleh datang ke Air Terjun Sungai Tekala. Air terjun ini juga sesuai bagi yang mempunyai anak kecil kerana airnya yang cetek dan arus yang tidak deras.

Tahukah anda? Air terjun ini juga mempunyai 7 tingkat dari bawah sehingga ke puncaknya. Anda boleh meneroka tingkatnya namun diingatkan agar sentiasa berhati-hati kerana licin. Kolam tadahan juga turut disediakan untuk pengunjung berendam dan melegakan urat badan mereka. Anda boleh bersantai di sini sambil berseronok bersama anak kecil anda.

Bayaran sebanyak RM1 seorang akan dikenakan di sini. Terdapat juga tandas dan surau untuk keselesaan pengunjung.

 

10. Sungai Congkak

Antara tempat menarik di Hulu Langat semestinya Sungai Congkak yang memang popular di kalangan warga Lembah Klang. Diuruskan oleh Badan Pelancongan Selangor, tempat ini diselenggara dengan baik dan fasiliti yang disediakan akan menjamin keselesaan anda.

Terdapat beberapa resort dan tapak perkhemahan di sini untuk penginapan anda. Yang pasti, kedudukan berdekatan dengan sungai pasti akan memberikan keseronokan dan ketenangan bagi sesiapa yang datang ke sini.

 

11. Sungai Gabai

Berdekatan dengan Air Terjun Sungai Congkak, Sungai Gabai turut menjadi perhatian bagi mereka yang ingin merasakan air terjun yang dingin dan damai ini. Berbanding Sungai Congkak, Sungai Gabai dikatakan lebih jernih airnya dan kawasan juga lebih redup. Tetapi jika anda bertukar fikiran ingin ke Sungai Congkak juga tiada masalah kerana lokasinya berdekatan sahaja.

Selepas mandi, jika anda ingin mengisi perut anda boleh ke kedai ikan bakar air tawar yang terletak sebelum pintu masuk Sungai Gabai.  Kedai makan ini beroperasi dari petang sehingga malam.

 

12. Sungai Lopo Village

Chalet yang betul-betul menghadap sungai ini menjadikannya salah satu tempat menarik di Hulu Langat. Dengan harga yang berpatutan, anda boleh meluangkan masa bersama keluarga, dan tidur ditemani bunyi sungai yang indah dan damai.  Yang menarik di sini, air sungai ini terbahagi kepada beberapa bahagian. Terdapat bahagian dalam, sederhana dan cetek. Sesuai untuk seisi keluarga.

Anda boleh membuat tempahan di sini untuk memastikan percutian anda berjalan lancar.

 

13. Lubuk Manggis Cottage

Bagi anda yang inginkan perkhemahan yang selesa, anda boleh datang ke Lubuk Manggis Cottage. Di sini terdapat tapak perkhemahan dan fasiliti yang lengkap untuk anda. Jika anda tidak mahu berkhemah, anda boleh singgah ke sini dan menyewa pondok yang disediakan.

Lubuk Manggis Cottage ini merupakan tempat popular untuk program-program motivasi dan team-building kerana fasiliti yang lengkap dan berdekatan sungai. Di sini juga terdapat dewan, dorm dan surau untuk aktiviti berlangsung.

 

14. Restoran Terra-Pong

Dengan namanya pun dah tahu, restoran ini merupakan restoran yang terapung! Kerana keunikan restoran masakan Thai ini, menjadikannya salah satu tempat menarik di Hulu Langat. Selain keistimewaan restoran yang terapung ini, dekor nya sangat menarik dan menu yang ditawarkan juga sangat menggiurkan.

Beroperasi dari tengah hari sehingga malam, anda boleh memilih untuk makan tengah hari atau makan malam di sini. Jangan lupa untuk mengambil gambar dan upload di media sosial anda!

 

Akhir kata

Bukan sahaja banyak tempat menarik di Hulu Langat, anda juga boleh mencari tempat makan dan port memancing yang best di sini. Terdapat juga tempat menarik di Selangor yang anda boleh terokai secara percuma! Anda boleh baca di sini.

Leave a Comment