Tempat Menarik di Selangor Untuk Kanak-kanak


Selangor memang banyak tempat yang anda boleh lawati. Namun, jika anda mempunyai anak-anak, harus juga memilih tempatnya kerana tak semua tempat sesuai dikunjungi oleh kanak-kanak. Di sini kami akan kongsikan tempat menarik di Selangor untuk kanak-kanak.

Semoga perkongsian kami akan membantu ibu bapa di luar sana.

Zoo Negara

Kebiasaannya, kanak-kanak memang sukakan haiwan. Anda boleh membawa anak-anda berkunjung ke sini. Terletak di Ulu Klang dan berkeluasan seluas 110 ekar, Zoo Negara mempunyai kira-kira 400 spesis haiwan dan dihuni lebih kurang 5000 ekor haiwan.

Antara tarikan menarik Zoo Negara semestinya beruang panda yang sangat comel yang pasti menarik perhatian kanak-kanak. Di Zoo Negara juga terdapat aktiviti yang membolehkan pengunjung memberi makan kepada haiwan di sana tetapi anda kena check dulu kerana ia hanya pada waktu tertentu sahaja.

Anda dinasihatkan untuk pergi pada waktu pagi kerana parking akan mula penuh selepas pukul 10 pagi. Untuk menghabiskan lawatan juga memakan waktu selama setengah hari. Pastikan pakai pakaian yang selesa kerana cuaca yang agak panas menjelang tengah hari.

Farm in the City

Terletak di Seri Kembangan, tempat ini juga menjadi tempat menarik di Selangor untuk kanak-kanak. Ini kerana konsep tempat ini lebih kepada Petting Zoo di mana pengunjung boleh melihat dan memberi haiwan dengan lebih dekat berbanding di zoo.

Terdapat lebih 100 jenis haiwan di sini dan antaranya ialah ialah alpaca, kambing, arnab, burung, musang dan kura-kura. Penjaga zoo ini juga akan memberi pendedahan lebih tentang haiwan yang terdapat di sini seperti diet pemakanan dan gaya hidup haiwan berkenaan. Anda boleh berseronok sambil belajar bersama anak-anak, seronok kan!

Farm in the City dibuka setiap hari kecuali Selasa, bermula pukul 10 pagi sehingga 6 petang. Harga tiket bermula dari RM39 untuk dewasa dan RM32 untuk kanak-kanak.

I-City

Anak anda pasti teruja dengan kemeriahan dan keseronokan yang i-City tawarkan! Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Antaranya ialah anda boleh mandi manda di taman tema air, merasai kesejukan salji di Snowalk dan bergambar bersama patung lilin selebriti dan figura terkenal dunia.

Selain itu, di waktu malam anda boleh menikmati pemandangan malam dengan hiasan lampu dan berseronok bersama anak-anak di funfair i-City ini. Ferris Wheel juga merupakan salah satu tarikan pada waktu malam.

Anda juga boleh menginap di sini. Terdapat perkhidmatan AirBnB yang banyak disediakan, malah anda juga boleh membeli-belah di Central i-City, atau sekadar menonton wayang bersama anak-anak.

Paya Indah Wetlands

Jika anak anda sukakan badak air dan buaya, anda boleh mengajak mereka berkunjung ke sini! Yang bestnya di sini ialah tiada yuran kemasukan, anda boleh masuk ke sini secara percuma. Berbaloi sungguh kan. Di sini juga terdapat beberapa aktiviti yang anda boleh lakukan bersama anak-anak anda.

Antaranya ialah berbasikal, berkayak, memancing dan melihat pelbagai jenis burung. Anda juga boleh membawa anak-anda sekadar berjalan-jalan menikmati pemandangan yang indah ini. Jika anda ingin melihat badak air dan buaya ini makan, digalakkan datang pada waktu makan iaitu pukul 10 pagi dan buaya pada pukul 11 pagi (Sabtu dan Ahad).

Kidzania

Salah satu tempat menarik di Selangor untuk kanak-kanak, semestinya Kidzania! Pusat yang menawarkan keseronokan sambil belajar, anak anda boleh memilih lebih 70 karier di sini. Kidzania menawarkan hands on activity, di mana kanak-kanak di sini akan merasai pengalaman sebenar bekerja seperti orang dewasa.

Antara karier yang disediakan ialah juruterbang, wartawan, ahli bomba, chef, pelukis, dan jurujual. Kanak-kanak akan diberi wang dan mereka akan belajar bagaimana untuk menguruskan wang mereka. Mereka akan belajar untuk meningkatkan keyakinan diri, membina kemahiran bersosial dan yang penting, berseronok!

Dibuka setiap hari kecuali hari Selasa, harga tiket bermula dari RM36 dan bergantung pada umur kanak-kanak.

Icescape Ice Rink

Terletak di IOI City Mall, Icescape Ice Rink merupakan tempat luncur ais terbesar di Malaysia. Pasti seronok membawa kanak-kanak ke sini! Mereka boleh belajar meluncur di sini dan tempat yang sejuk pasti menarik minat kanak-kanak.

Anda juga boleh membawa anak-anak anda belajar meluncur di sini, mereka menyediakan program untuk belajar jika anda mahu mendalami dengan lebih serius aktiviti ini.

Bermula dengan RM28 untuk seorang, anda boleh dapatkan info lanjut untuk di Icescape Ice Rink.

Jumpstreet

Kanak-kanak mana tak suka melompatkan? Beri mereka peluang untuk melompat sepuas-puasnya di Jumpstreet! Kawasan rekreasi tertutup ini menyediakan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak dan juga dewasa.

Terletak di Petaling Jaya, Jumpstreet memberi anda peluang melepaskan tenaga anda di beberapa bahagian! Antaranya ialah Main Court, The Foam Pit, malah anda juga boleh melompat di dinding The Wall, bermain bola keranjang sambil melompat di Slam Dunk, dan turut disediakan Zipline.

Terdapat juga Bounce Castle untuk kanak-kanak yang lebih kecil. Anda juga boleh membuat program seperti Indoor Street Soccer. Jika kanak-kanak sudah penat bermain, terdapat juga Arcade Games untuk permainan yang tidak mengeluarkan tenaga yang banyak. Selepas itu boleh sambung melompat pula.

Harganya bermula dari RM56 untuk satu sesi, jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut, layari Jumpstreet Asia segera!

Galactic Laser Tag

Seterusnya, tempat menarik di Selangor untuk kanak-kanak semestinya di Galactic Laser Tag, Sunway Pyramid! Berkejar-kejaran sambil menembak musuh, kalah dan menang, bukan sahaja kanak-kanak, orang dewasa juga pasti sangat berseronok bermain di sini.

Anda boleh membawa anak-anak anda bersama keluarga, atau kawan-kawan kerana lebih ramai lebih meriah! Satu sesi boleh memuatkan seramai 33 orang pemain. Anda juga boleh membuat parti hari jadi di sini.

Dibuka setiap hari, pakej bermula dari RM65. Jika anda ingin membuat parti hari jadi, anda dinasihatkan untuk membuat tempahan 5 hari lebih awal. Anda boleh layari Galactic Laser Tag untuk membuat tempahan dan untuk maklumat lanjut.

District 21

Taman Tema lasak yang pertama di Malaysia, merupakan salah satu tempat menarik di Selangor untuk kanak-kanak yang wajib dikunjungi. District 21 ini terletak di IOI City Mall dan menawarkan lebih 10 tarikan, 8 bilik majlis dan macam-macam lagi.

Antara tarikan yang ditawarkan ialah Go-Pedal, Pump Track, Power Station, The Maze, Free Fall dan Roller Glider. Kanak-kanak pasti akan berasa sangat seronok menghadapi cabaran ini, lebih-lebih lagi jika mereka seorang yang lasak. Tetapi diingatkan terdapat halangan bergantung pada berat dan tinggi, seeloknya anda check dahulu di District 21.

Sunway Lagoon

Sebut Sunway Lagoon, mesti kanak-kanak akan menjerit keseronokan! Taman tema yang berkeluasan 88 ekar ini mempunyai enam jenis tema iaitu Water Park, Amusement Park, Wildlife Park, Extreme Park, Scream Park & Nickelodeon Lost Lagoon.

Sehari pasti tidak cukup untuk berseronok di sini. Anda boleh menginap di Sunway Resort Hotel & Spa. Kanak-kanak boleh berseronok, ibu-ibu boleh memanjakan diri mereka. Di sini juga tersedia pilihan makanan yang banyak dan menarik.

Kanak-kanak pasti teruja jika mereka dapat ke Sunway Lagoon. Anda boleh melihat info lanjut mengenai Sunway Lagoon jika ingin berkunjung ke sini.

Akhir kata

Sekian tempat menarik di Selangor untuk kanak-kanak. Semoga dengan idea ini, anda akan dapat membawa anak-anak berseronok!

Anda juga jangan lupa berkunjung ke tempat menarik di Selangor yang percuma, pasti memberi anda pengalaman yang istimewa.

Leave a Comment