Apabila melibatkan pindahan wang, ada beberapa situasi yang cukup mendebarkan. Yang pertama, si penghantar duit akan tertanya-tanya, adakah duit sudah masuk ke dalam akaun penerima. Yang kedua, si penerima duit juga akan sibuk dan tak henti-henti bukan semakan, adakah duit sudah masuk dalam akaun? Sebenarnya, IBG Transfer berapa hari? Interbank Transfer berapa lama kena tunggu?
Jadi, izinkan kami berkongsi berkenaan tempoh transfer duit berlainan bank supaya masing-masing tak perlu saling menuduh kenapa duit masih lagi belum ada dalam akaun.
Transfer duit guna IBG
Pada zaman sekarang, anda boleh melakukan pindahan wang dari akaun bank anda ke akaun bank orang lain. Tambahan lagi, pelbagai cara pindahan wang boleh dilakukan.
Ini adalah samaada dari akaun sendiri ke akaun kedua juga milik sendiri, akaun sendiri ke akaun pihak ketiga yang sama bank, ataupun dari akaun sendiri ke akaun orang lain yang berlainan bank, secara Instant Transfer (pindahan segera), ataupun secara Interbank GIRO.
Contohnya, jika ada buat pinjaman wang dengan kawan, bayarlah segera. Tentu sekali orang yang meminjamkan duit itu tertunggu-tunggu bayaran semula.
Duit IBG tak masuk, boleh bawa gaduh
Masalahnya, ada sesetengah individu yang tidak mengetahui tempoh pindahan wang ini dilakukan, mungkin ambil masa sekejap sahaja, mungkin mengambil masa yang lama, sehingga menyusahkan pihak penerima yang mungkin memerlukan wang yang diterima dengan kadar segera. Ada yang sampai membawa kepada situasi tuduh-menuduh.
Oleh itu, di bawah akan diterangkan tempoh pindahan wang untuk Instant Transfer dan juga Interbank GIRO.
Untuk keterangan lebih lanjut, boleh rujuk laman web rasmi Bank Negara.
Maksud Interbank Giro Transfer
Interbank GIRO ialah sistem pembayaran pindahan wang/dana secara elektronik yang membenarkan pindahan wang antara dua institusi kewangan yang terdapat di Malaysia.
Pindahan IBG membenarkan pindahan wang sebegini sebagai pindahan wang yang biasa ataupun untuk sebarang pembayaran akaun pinjaman atau kad kredit.
Sedikit berbeza dengan Instant Transfer, pindahan secara Interbank GIRO ini akan mengambil masa, minimum selama beberapa jam dan mungkin lebih lama, bergantung dengan waktu dan hari anda melakukan pindahan wang anda.
Walau bagaimanapun, caj transaksi Interbank GIRO adalah lebih murah berbanding Instant Transfer. Transaksi ini boleh dilakukan di mesin ATM, di kaunter atau melalui online banking.
Klik pautan berikut untuk penerangan lebih lanjut dan maksud IBG Transfer.
Tempoh transfer duit berlainan bank guna IBG Transfer
IBG Transfer Hari Bekerja (Isnin hingga Jumaat)
|
Waktu Transaksi |
Wang Diterima |
Bayaran Balik Untuk Transaksi Yang Tidak Berjaya | ||
| Masa | Hari | Masa | Hari | |
| Sebelum jam 5.00 pagi | 11.00 pagi | Hari yang sama | 5.00 petang | Hari yang sama |
| 5.01 pagi – 8.00 pagi | 2.00 petang | Hari yang sama | 8.20 malam | Hari yang sama |
| 8.01 pagi – 11.00 pagi | 5.00 petang | Hari yang sama | 11.00 malam | Hari yang sama |
| 11.01 pagi – 2.00 petang | 8.20 malam | Hari yang sama | 11.00 pagi | Hari bekerja seterusnya |
| 2.01 petang – 5.00 petang | 11.00 malam | Hari yang sama | 11.00 pagi | Hari bekerja seterusnya |
| Selepas 5.00 petang | 11.00 pagi | Hari bekerja seterusnya | 5.00 petang | Hari bekerja seterusnya |
IBG Transfer Hari Tidak Bekerja (Sabtu, Ahad dan Cuti Umum)
Pada hari tidak bekerja, iaitu Sabtu dan Ahad, sebarang transaksi IBG yang dilakukan pada BILA-BILA masa sahaja (tidak termasuk Instant Transfer), tempoh waktu duit akan diterima adalah seperti berikut:
- Waktu wang diterima: Pada hari bekerja seterusnya, jam 11.00 pagi
- Bayaran balik untuk transaksi yang tidak berjaya: Pada hari bekerja seterusnya, jam 5.00 petang
Tempoh transfer duit berlainan bank guna Instant Transfer
Untuk semua bank, proses pindahan wang menggunakan Instant Transfer adalah dilakukan dengan SEGERA pada waktu anda menyelesaikan urusan transaksi anda.
Penerima wang akan menerima wang di dalam akaunnya terus pada masa itu. Tetapi, caj transaksi ini akan lebih mahal daripada transaksi secara Interbank GIRO, dan setiap bank mempunyai caj transaksi yang berbeza.
Kenapa IBG Transfer lambat sangat?
Kami harap, maklumat mengenai IBG Transfer berapa hari yang diterangkan di atas adalah jelas. Jika anda baca betul-betul, sebenarnya tidak sampai sehari pun tempoh masa pindahan.
Tempoh pindahan jadi lama apabila:
- Anda transfer duit selepas 5.00 petang pada hari Isnin - Jumaat
- Anda transfer duit pada hari Sabtu, Ahad atau Cuti Umum
Jadi, elakkan waktu yang dimaklumkan di atas.
Akhir kata
Kesimpulannya, pindahan wang tidaklah semudah yang kita sangka, tetapi tidak sesusah mana.
Jika tidak menggunakan Instant Transfer, ada yang kerap kali mengadu, mereka melakukan pindahan wang secara Interbank GIRO, tetapi duit lambat masuk ke akaun penerima.
Walhal, mereka sendiri tidak mengetahui bahawa Interbank GIRO sememangnya transaksi yang memakan lebih masa.
Walau bagaimanapun, caj yang dikenakan jauh untuk IBG Transfer lebih murah berbanding Instant Transfer.
Oleh itu, sebelum melakukan sebarang transaksi, anda perlu kenal pasti dahulu bila wang yang ingin dipindahkan itu, perlu tiba di akaun penerima, kerana mungkin penerima perlu menggunakan wang tersebut dengan segera.
Dan jangan lupa, kenal pasti perbezaan antara Instant Transfer dan juga Interbank GIRO.
Semoga bermanfaat.