THiJARI Biz (Daftar Majikan & Buat Caruman Potongan Gaji Tabung Haji)


Bagi anda yang sudah selalu masukkan duit gaji sendiri ke dalam akaun Tabung Haji melalui portal THiJARI yang boleh diakses secara online melalui thijari.com.my, kini anda tidak perlu lagi berbuat sedemikian. Ini kerana pihak Tabung Haji telah melancarkan THiJARI Biz.

Lebih kurang sama konsep dengan KWSP, anda boleh sarankan kepada majikan anda supaya mendaftar THiJARI Biz. Ini akan membolehkan majikan membuat potongan gaji dan masukkan terus ke dalam akaun Tabung Haji anda setiap bulan. Dengan kos haji yang semakin meningkat setiap bulan, diharapkan agar perkhidmatan baru ini akan menjadi salah satu jalan penyelesaian agar konsisten dalam menyimpan.

Apa itu THiJARI Biz?

THiJARI Biz adalah satu perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan oleh Tabung Haji untuk membolehkan majikan membayar caruman potongan gaji bulanan pekerja ke dalam akaun Tabung Haji pekerja.

 

Kenapa wujudnya THiJARI Biz?

Adalah menjadi satu kewajipan Tabung Haji untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua penyimpan. Dengan menambahbaik sistem dan saluran perkhidmatan Tabung Haji, perkhidmatan THiJARI Biz merupakan satu penambahbaikan sistem ke arah digitalisai dan automasi bagi pengurusan caruman potongan gaji.

Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan agar segala urusan caruman bulan dalam dilakukan dengan teratur dan sistematik dan mempercepatkan proses pengkreditan ke dalam akaun penyimpan.

Alhamdulillah, pengurusan Tabung Haji menjadi semakin moden selari dengan zaman.

 

Cara majikan daftar THiJARI Biz

Adakah majikan perlu hadirkan diri ke mana-mana cawangan Tabung Haji?

Jawapannya, tidak.

Proses pendaftaran sangat mudah dan ringkas. Majikan hanya perlu hubungi 03-6207 1919 untuk membuat pendaftaran THiJARI Biz.

Majikan juga disarankan agar membuat potongan gaji pekerja masing-masing menggunakan sistem baru ini. Maka, tidak perlu lagi pekerja bersusah-payah memasukkan duit ke dalam akaun sendiri.

 

Akhir kata

Kami sangat-sangat menyambut baik akan inisiatif terbaru daripada Tabung Haji ini. Bukannya apa, sekiranya perlu buat sendiri-sendiri, bimbang duit dalam Tabung Haji memang tidak akan bertambah.

Sekiranya ‘dipaksa‘ untuk menabung demi menunaikan Haji suatu hari nanti, pasti akan jadi lebih mudah dan duit tidak akan dibazirkan ke tempat lain.

Semoga kita semua menjadi tetamu Allah suatu hari nanti.

Semoga dipermudahkan segala urusan.

 

Leave a Comment