Priority Banking Malaysia (13+ Senarai Premier Banking)


Ada sesiapa pernah mendengar mengenai Perbankan Keutamaan atau lebih mesra dirujuk sebagai Priority Banking Malaysia dalam sektor perbankan negara?

Mungkin ada yang tahu dan mungkin juga ada yang langsung tidak pernah mendengarnya.

Apa itu Perbankan Keutamaan (Priority Banking)?

Baiklah, di sini kami akan cuba menerangkan secara ringkas mengenai Perbankan keutamaan ini yang boleh dilihat sebagai satu bentuk perkhidmatan eksklusif disediakan oleh bank-bank untuk pelanggan mereka yang layak.

Ya, perkhidmatan ini hanya ditawarkan kepada mereka yang benar-benar layak dan bukannya ditawarkan secara semberono kepada sesiapa sahaja. Sebab itu perbankan ini dirujuk sebagai perbankan eksklusif.

Manfaat Priority Banking

Mereka yang tergolong dalam kalangan pelanggan Perbankan Keutamaan ini kebiasaannya menerima pelbagai manfaat mengikut bank yang digunakan. Kebiasannya juga ada tempat meletakkan kenderaan khas untuk golongan pelanggan ini di kebanyakkan bank di negara ini.

Bukan itu sahaja, ada kaunter khas untuk pelanggan perkhidmatan Perbankan Keutamaan, jadi mereka tidak perlu menunggu lama atau beratur menunggu giliran untuk dilayan. Lebih mudah untuk mereka bank-in duit dan dilayan bagaikan raja.

Ada pengurus perbankan yang disediakan khas untuk melayan serta menguruskan pelanggan perkhidmatan itu. Mereka malah ada lounge sendiri!

 

Kemudahan Priority Banking

Di sesetengah bank, pelanggan perkhidmatan Perbankan Keutamaan ini mendapat manfaat seperi kemudahan kelulusan pinjaman, kadar faedah yang rendah untuk pinjaman perumahan dan peribadi.

Hebat bukan? Siapa yang tidak mahu dilayan dengan perkhidmatan sebegitu? Tetapi bukan semua boleh menjadi pelanggan perkhidmatan Perbankan Keutamaan ini.

Ada kriteria tertentu yang dimestikan untuk menjadi pelanggan kepada perkhidmatan Perbankan Kewangan ini.

Dalam hal ini, sesuai dengan rujukan sebagai ‘Priority Banking’, pelanggan yang ditawarkan perkhidmatan adalah dalam kalangan mereka yang berpendapatan lumayan.

 

Cara daftar Priority Banking Malaysia

Jadi bagaimana mahu menjadi pelanggan atau mendaftar dengan perkhidmatan Perbankan Keutamaan ini?

Setiap bank mempunyai kriteria yang berbeza untuk menjadi pelanggan atau ahli kepada Perbankan Keutamaan. Kebiasaannya seseorang itu perlu mempunyai deposit dan/atau pelaburan minimum berjumlah RM200,000 ke RM250, 000.

Bermakna, sekiranya seseorang pelanggan itu mempunyai sebagai contoh RM100, 000 deposit simpanan dalam akaun banknya, dan sejumlah RM150, 000 nilai pelaburan dalam bank serupa, pelanggan tersebut layak untuk ditawarkan keahlian Perbankan Keutamaan.

Ini bermaksud, selain menerima ‘jemputan rasmi’ daripada bank-bank, pelanggan yang mempunyai jumlah minimum layak untuk memohon perkhidmatan tersebut.

Majoriti bank di negara ini sama ada tempatan mahupun antarabangsa menawarkan perkhidmatan Perbankan Keutamaan. Namun begitu mungkin ada sedikit perbezaan kriteria, perkhidmatan dan manfaat antara setiap bank.

 

Senarai Priority Banking Malaysia (Bank Tempatan)

Di bawah ini, kami senaraikan bank-bank yang menawarkan perkhidmatan Perbankan Keutamaan berserta antara manfaat yang ditawarkan.

Kami tekankan perkataan antara kerana jika disenaraikan semua manfaat ditawarkan, artikel ini mungkin mengambil masa lebih sehari untuk habis dibaca.

 

Maybank Premier Wealth

  • Minimum kelayakan ialah RM250,000 daripada aset yang dilaburkan (deposit dan/atau pelaburan)
  • Atau RM1 juta daripada keseluruhan hubungan kewangan (deposit/pelaburan/pinjaman) bersama Maybank.
  • Menawarkan pelbagai perkhidmatan dan produk yang direka khas untuk membantu mencapai potensi kewangan pelanggan.
  • Proses yang lebih cepat untuk kemudahan kredit dan perkhidmatan keutamaan di cawangan Maybank di Singapura, Malaysia dan Indonesia.
  • Mempunyai Maybank Wealth App yang memudahkan anda menguruskan kekayaan
  • Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Maybank Premier Wealth, klik sini

Jika belum ada akaun online banking lagi, jemput baca cara buka akaun Maybank2u dalam Bahasa Melayu.

 

RHB Premier Banking

  • Minimum kelayakan RM200,000.
  • Mengutamakan perkhidmatan.
  • Menawarkan penyelesaian pengurusan kekayaan
  • Ada akaun simpanan junior
  • Nikmati pulangan lebih tinggi sehingga 2.95 peratus setiap tahun dengan RHB Premier Current Account.
  • Untuk mengetahui lebih lanjut tentang RHB Premier Banking, klik sini

Jemput baca cara daftar RHB online banking.

 

CIMB Preferred

  • Minimum kelayakan RM250,000.
  • Nikmati sehingga tiga peratus pulangan setiap tahun daripada Preferred Current Account/i.
  • Nikmati kadar istimewa untuk produk pelaburan, pinjaman dan kewangan.
  • Tiada caj pengeluaran di lebih 6,000 ATM di seluruh ASEAN dan lebih 1,900 ATM CIMB seluruh negara.

Jemput baca cara daftar CIMB Clicks online banking.

 

AmSignature Priority Banking

  • Minimum kelayakan RM200,000
  • Penyelesaian perbankan setiap hari melibatkan pelbagai produk dan perkhidmatan dengan kadar istimewa.

Jemput baca cara daftar AmBank online banking.

 

Alliance Bank Privilege Banking

  • Minimum kelayakan RM300,000.
  • Kadar istimewa untuk deposit, pinjaman dan produk kewangan.

Jemput baca cara daftar Alliance Bank online banking.

 

Public Bank Red Carpet

  • Minimum kelayakan RM300,000
  • Ini antara kelayakan yang paling tinggi sekali antara semua bank di Malaysia
  • Penyelesaian perbankan setempat.
  • Pelaburan unit amanah.
  • Perkhidmatan penulis wasiat.
  • Perkhidmatan kiriman wang.
  • Tukaran mata wang asing sedunia yang kukuh.

Jemput baca cara daftar Public Bank online banking.

 

Hong Leong Priority Banking

  • Minimum kelayakan RM300,000
  • Ini juga antara bank yang mempunyai kelayakan yang paling tinggi sekali antara semua bank di Malaysia
  • Nikmati sehingga tiga peratus setiap tahun apabila anda satukan simpanan dan pelaburan.
  • Nikmati kadar lebih tinggi dan fleksibel dengan Priority Banking Premium Fixed Deposit.

Jemput baca cara daftar Hong Leong Connect online banking.

 

Senarai Priority Banking (Bank Luar Negara)

Citibank Citigold

  • Minimum  kelayakan RM400,000.
  • Direka untuk menyokong perjalanan kewangan pelanggan.
  • Rancang, pantau dan uruskan kewangan dengan Penasihat Kewangan.
  • Akses gambaran sebenar situasi kewangan, portfolio.

 

HSBC Premier Banking

  • Minimum kelayakan RM200,000.
  • Kadar istimewa.
  • Akaun simpanan junior.
  • Pemindahan global tanpa caj.
  • Pembukaan akaun luar negara.
  • Pinjaman pendidikan.
  • Akses kepada kadar istimewa untuk pinjaman perumahan.

 

OCBC Premier Banking

  • Kelayakan minimum RM200,000.
  • Nikmati sehingga 4.3 peratus setiap tahun atas baki RM200,000 dan ke atas dengan Premier Booster Card.
  • Kadar dan yuran istimewa untuk transaksi pilihan.

 

Standard Chartered Priority Banking

  • Kelayakan minimum RM250,000
  • Memudahkan perbankan global.
  • Membangunkan kewangan anda.
  • Melindungi anda dan keluarga daripada sesuatu yang tidak dijangka.

 

Alrajhi Affluent

  • Kelayakan minimum RM250,000.
  • Nikmati akses 24 jam di ATM, had pengeluaran yang tinggi dan manfaat eksklusif.
  • Menawarkan Affluent Debit Card-i yang boleh membawa anda ke pelbagai tempat dengan mod pembayaran visa yang diterima  di lebih 35 juta rangkaian outlet di seluruh dunia.
  • Perlindungan takaful di seluruh dunia sehingga RM350,000 setahun.
  • Perlindungan tambahan sehingga RM700,000 ketika haji dan umrah.

Jemput baca cara daftar AlRajhi Bank online banking.

 

Jadi bagaimana? Menarik bukan?

Ada beberapa lagi bank yang dipercayai menawarkan perkhidmatan ini seperti Bank Rakyat Xclusive, Bank Muamalat Prime Banking dan KFH Priority Banking, namun begitu maklumat mengenainya agak terhad.

Hasil carian kami juga, tidak ada Priority Banking untuk Bank Islam.

 

Akhir kata

Secara umumnya, perkhidmatan Perbankan Keutamaan ini sangat menarik dengan pelbagai bentuk manfaat, cumanya hanya yang benar-benar berkemampuan sahaja layak untuk ditawarkan dan menerimanya.

Terlalu banyak pilihan bank yang boleh dipilih oleh pelanggan yang layak. Seeloknya dapatkan dulu nasihat dan lakukan pemantauan mengenai faedah, manfaat yang diberikan supaya pelanggan berpuas hati dengan pulangan serta perkhidmatan ditawarkan kepada mereka.

Sekiranya berkemampuan atau berkelayakan, kami mencadangkan anda menerima perkhidmatan Perbankan Keutamaan (sekiranya ditawarkan) atau memohon perkhidmatan tersebut.

Dengan segala bentuk manfaat yang ditawarkan, tidak rugi rasanya untuk menjadi ahli Priority Banking Malaysia.

Selain melabur di Bursa Melaysia selepas buka akaun CDS, anda juga boleh melabur dalam ASB atau buat simpanan Tabung Haji.

Akhir sekali, bila ada duit yang banyak dah direzekikan Allah dengan harta yang banyak, jangan lupa bayar zakat pendapatan.

 

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment