Cara Buat Simpanan Tetap (Fixed Deposit, Dengan Lebih Bijak)


Kalau ada duit banyak dan tak tahu nak buat apa, masukkan sahaja dalam simpanan tetap. Walaupun dividen tidaklah tinggi, tapi risikonya rendah. Berikut ialah antara cara buat simpanan tetap dengan lebih bijak.

Sedikit mengenai simpanan tetap

Simpanan tetap atau biasa dikenali umum dengan istilah asal bahasa Inggeris sebagai fixed deposit (FD) ialah satu daripada kategori simpanan di bank atau dalam bentuk akaun pelaburan yang menjanjikan pulangan kepada pelabur pada kadar faedah tetap.

Ini dengan syarat penyimpan atau pelabur tidak mengeluarkan simpanan atau pelaburannya untuk jangka masa tertentu yang dipersetujui bersama kedua-dua pihak – bank dan pelanggan.

Tidak seperti akaun simpanan biasa, faedah pelaburan dan simpanan tetap hanya akan dibayar setelah cukup tempoh.

Boleh rujuk Wikipedia untuk maklumat lanjut.

Buat simpanan tetap di bank

Di Malaysia , banyak bank tempatan menawarkan simpanan tetap, termasuklah simpanan tetap Bank Rakyat, Maybank, CIMB Bank, AmBank, Public Bank, Hong Leong Bank dan Affin Bank.

Bank-bank ini menawarkan pelbagai pilihan kepada orang ramai untuk membuat pelaburan atau simpanan tetap berdasarkan kadar faedah dan tempoh tertentu.

Apa yang akan dinyatakan seterusnya hanya konsep dan kaedah umum serta ringkas bagi memudahkan pemahaman. Ia mungkin berbeza mengikut bank tertentu dari segi prosedur dan kadar tertentu.

 

Ambil kira tempoh matang simpanan tetap

Asasnya simpanan tetap atau FD ini tidak membenarkan penyimpan membuat pengeluar dan penunaian awal sebelum tarikh matang bagi sesuatu akaun simpanan tetap terbabit atau kadar faedah akan dikurangkan berdasarkan terma dan syarat yang sudah ditetapkan.

Biasanya tempoh matang ini mungkin satu bulan, tiga bulan, enam bulan, satu tahun atau lebih lama dengan kadar faedah yang berbeza-beza mengikut tempoh.

Selain tempoh masa, kadar faedah menjadi lebih tinggi jika amaun pelaburan atau simpanan juga semakin tinggi.

Anda patut sentiasa memantau promosi yang diiklankan oleh pihak bank dari semasa ke semasa.

 

Cara buat simpanan tetap yang lebih bijak dan selamat

Daripada banyak pelaburan atau simpanan tetap di bank tempatan ini, ada beberapa pilihan yang lebih baik, bijak dan selamat.

Anda patut perhatikan dan fokus kepada yang ini untuk membuat simpanan tetap secara bijak dan selamat.

Apakah simpanan tetap yang dikatakan lebih bijak dan selamat itu?

Ia sebenarnya merujuk kepada produk kewangan yang ditawarkan menerusi sistem kewangan Islam.

Secara umumnya, pengambilan keuntungan pada kadar tetap daripada sesuatu pelaburan dan simpanan tidak dibenarkan di sisi Islam.

Bagaimanapun, produk kewangan Islam mempunyai keunikan tersendiri apabila penyimpan atau pelabur dapat memperolehi pulangan daripada simpanan atau pelaburan mereka di bank yang menawarkan produk kewangan Islam.

Adakah ini bermakna produk kewangan Islam berkompromi dengan membenarkan pengambilan keuntungan pada kadar tetap yang sudah dijanjikan?

Tidak. Sebenarnya produk kewangan Islam, dalam kes ini simpanan tetap, ia sekali-kali tidak membenarkan pengambilan keuntungan pada kadar tetap. Namun, ada kaedah tertentu yang membolehkan kadar keuntungan berkenaan diperolehi pelabur atau penyimpan.

Biasanya, dalam sistem perbankan Islam ada bentuk deposit yang menjanjikan keuntungan, iaitu menggunakan konsep mudharabah atau wakalah.

Isunya, bagaimana akad dalam konsep wakalah ini disusun bagi memastikan keuntungan tetap ini patuh syariah (syariah compliant)?

Kaedah popular yang digunakan oleh perbankan Islam ialah menerusi kontrak murabahah komoditi berasaskan tawarruq.

Dalam hal ini, apa yang berlaku sebenarnya bukan sekadar simpanan atau pelaburan. Ia membabitkan transaksi jual-beli di antara tiga pihak, iaitu penyimpan atau pelabur, bank dan penjual.

Proses ini mungkin tampak sukar difahami. Namun, sebahagian besar ulama, walaupun sebahagian kecilnya menentang, bersetuju kaedah ini dibolehkan.

 

Akhir kata

Sebagai seorang Muslim, simpanan tetap adalah antara alternatif terbaik yang ada di pasaran.

Anda pengguna Islam patut mengambil produk simpanan dan pelaburan jenis ini kerana ia adalah cara membuat pelaburan atau simpanan tetap secara lebih bijak dan selamat.

Jika anda seorang high net worth individual, jemput tengok senarai priority banking yang ada di Malaysia juga.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment