Tempat Menarik di Batu Gajah (7 Lokasi Kome Mesti Kunjungi)


Kalau bercuti ke Perak, pasti tak lengkap kunjungan anda kalau tak singgah di ibu negerinya, Ipoh yang terkenal dengan banyak bangunan bersejarah di tengah-tengah bandar serta port menarik yang Instagrammable. Alang-alang dah sampai Ipoh, anda boleh terus lajak sikit untuk melawat tempat menarik di Batu Gajah.

Batu Gajah ialah bandar berdekatan yang menempatkan pelbagai lokasi best yang tak ramai yang tahu. Izinkan kami berkongsi.

Tempat menarik di Batu Gajah

Kami kongsikan tujuh tempat wajib dikunjungi terutamanya yang mahu membawa anak-anak bercuti tapi dengan kekangan bajet sebab banyak antara lokasi yang kami kongsi ini boleh dimasuki secara percuma atau dengan bayaran minimum.

Jadi, tiada alasan lagi untuk mencipta memori indah bersama keluarga anda walau dengan bajet ciput.

1. Kellie’s Castle

Lokasi bersejarah ini memang terkenal di kalangan masyarakat tempatan. Kalau hujung minggu, tempat ini sering penuh kerana dijadikan sebagai lokasi pengantin mengabadikan potret hari bahagia mereka tak kira apa bangsa pun.

Walaupun bangunan ini nampak macam tak siap dibina, namun keunikan seni bina dan sejarah di sebalik pembinaannya menjadi antara tarikan pengunjung ke Batu Gajah.

Sejarah Kellie’s Castle bermula pada 1910 apabila hartawan British ketika itu, Kellie Smith membina bangunan besar dan indah bagi kediaman keluarganya yang dinamakan Kellas House.

Kalau di India ada Taj Mahal yang dibina sebagai bukti cinta Shah Jahan kepada isterinya, Kellie’s Castle pula dikatakan dibina Kellie Smith untuk isteri tercinta, Alma Baker.

Bangunan tiga tingkat itu dibina mengikut rupabentuk sebuah istana di India, dan menurut sejarah tukang-tukangnya juga dibawa khas dari Madras.

Bangunan yang mempunyai 14 bilik, sebuah cellar dan terowong rahsia itu juga akan dilengkapkan dengan lif iaitu yang pertama di Tanah Melayu.

Malangnya, terdapat beberapa insiden antaranya Perang Dunia Pertama diikuti Spanish Flu, pembangunannya tergendala dan akhirnya gagal disiapkan apabila Kellie Smith meninggal dunia di Lisbon, Portugal pada 11 Disember 1926 ketika berusia 56 tahun.

Walaupun nampak macam tak siap, memang tak rugi kalau anda nak merakam gambar kenangan di sini.

Bayaran masuk: RM5 (warganegara), RM10 (bukan warganegara)

 

2. Warisan Kapal Korek

Aktiviti perlombongan bijih timah sudah bermula di Perak sejak awal abad ke-16 dan pada zaman itu melombong bijih timah dijalankan secara tradisional menggunakan kaedah mendulang dan melampan.

Hinggalah pada 1913, kapal korek pertama diperkenalkan di Malaysia oleh Malayan Tin Dredging Limited di Batu Gajah.

Kapal Korek Tanjung Tualang 5 (TT5) dibina pada tahun 1938 telah dinaiktaraf dari enjin wap dengan menggunakan arang batu kepada elektrik sepenuhnya pada tahun 1963.

Anda masih boleh mengunjungi kesan tinggalan Kapal Korek Tanjung Tualang 5 (TT5) yang masih terdapat di Batu 5, Jalan Tanjung Tualang. Kapal korek ini kini di bawah kawal selia Jabatan Antikuiti dan Muzium Perak Darul Ridzuan.

Lokasi ini memang amat sesuai kalau anda mahu bawa anak-anak khususnya untuk mengenali sejarah aktiviti perlombongan di Malaysia.

 

3. Pusat Rekreasi Lubuk Timah

Terletak 8km dari tol Simpang Pulai (Exit 137), pusat rekreasi yang turut menempatkan kolam air panas dan air terjun ini satu lagi destinasi anda boleh bersantai bersama keluarga, bermandi manda sambil menikmati keindahan alam.

Uniknya, air terjun terhasil adalah daripada tembok yang dibina seakan empangan, dan ketika air sungai melimpah dari tembok itu, pemandangannya seolah-olah anda berada di Niagara Falls, memang sangat wow!

 

4. The Treasure @ Taman Herba Gopeng

Antara tempat menarik lain di Batu Gajah ialah The Treasure. Sebelum ini dikenali dengan nama Taman Herba Negeri Perak, tahun lalu taman herba di Gopeng ini dijenamakan semula dengan konsep dan aktiviti yang lebih menarik buat pengunjung yang meminati pelancongan eko.

Berkeluasan 22 hektar, taman herba ini terletak di Kampung Kepayang, dan mempunyai lebih 5oo spesis tumbuhan herba untuk pelbagai kegunaan seperti perubatan, aromaterapi, dan kosmetik, termasuk sebagai ulam dan rempah.

Taman Herba ini turut dilengkapi dengan kemudahan seperti trem dan tapak perkhemahan selain boleh berkelah, berkayak, petting zoo, ATV dan memancing.

 

5. Taman Alam Kinta (Taman Burung)

Taman Alam Kinta yang diwartakan sebagai Taman Negeri Perak ini menjadi syurga buat ribuan burung yang bertandang ke kawasan ini.

Menjadi habitat kepada lebih daripada 150 jenis burung air, kawasan berkeluasan 900 hektar ini juga merupakan bekas tapak lombong bijih timah menyajikan pemandangan cukup mempesonakan dan saujana mata memandang.

Antara spesis burung air yang menjadi tarikan pelancong adalah burung kuang, raja udang, belatuk, wak-wak, tiong air, penyelam, panglim, bangau dan lain-lain spesis burung lagi.

Sebuah menara pemerhati burung dibina agar pelancong dapat memerhati habitat burung-burung air di Taman Alam Kinta ini.

Taman ini bukan saja sesuai untuk anda melakukan aktiviti rekreasi bersama keluarga sambil melihat keindahan flora dan fauna tapi juga menjadi port jurugambar membidik foto menakjubkan!

 

6. Perak Agrotourism Resort (PATRO)

PATRO adalah satu destinasi yang berada di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP). Pastinya ini adalah salah satu tempat menarik di Batu Gajah yang perlu dikunjungi.

Masih lagi berkonsepkan pelancongan eko, resort yang terletak di Tanjung Tualang ini menyediakan kelengkapan chalet dengan menggabungkan persekitaran semulajadi.

Kawasan berkeluasan 670 hektar ini sungguh unik kerana menggabungkan konsep pertanian dan pelancongan dalam satu tempat, hingga kunjungan anda ke sini pasti meninggalkan memori yang sukar diperolehi di tempat lain.

Selain penginapan chalet pada harga berpatutuan, banyak aktiviti ditawarkan di PATRO antaranya sukan lasak seperti ATV, berbasikal dan paintball serta aktiviti sukan air seperti bot kayuh dan kanu.

Selain itu, pengunjung juga boleh melihat kawasan pertanian yang diusahakan di sini antaranya tanaman cili, tanaman kunyit dan daun kesum,perusahaan madu kelulut dan serta tempat pemprosesan telur masin.

 

7. Taman Eko-Rimba Papan

Lokasi ini tidak kurang menariknya buat penggemar alam semulajadi kerana di sinilah terletaknya taman herba dengan spesis yang rare dan mungkin tiada di tempat lain.

Tak cukup dengan melawat taman herba, anda boleh berkhemah di sini kerana kawasan ini turut menyediakan tapak perkhemahan.

Anda juga boleh mengunjungi galeri hasil hutan bukan kayu dan tempat ini juga turut lengkap dengan kemudahan seperti tandas, bilik persalinan, surau, pondok rehat dan denai hutan.

 

Akhir kata

Diharapkan agar perkongsian tempat ini dapat memudahkan lagi urusan anda. Jika terus ke utara, jangan lupa singgah ke daerah-daerah lain di negeri Perak. Contohnya, ada banyak juga tempat menarik di Taiping.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment