18 Tempat Menarik di Ipoh (Singgah Dulu, Kalau ke Utara)


Kalau ke utara, pasti akan lalu bandaraya Ipoh. Jadi, kalau anda ingin singgah, kami sajikan beberapa tempat menarik di Ipoh, Perak ini.

Izinkan kami berkongsi.

Tempat menarik di Ipoh

1. Ipoh Railway Station

Pembinaan Stesen Keretapi Ipoh yang dimulakan pada tahun 1914 telah disiapkan pada tahun 1917 dan Perang Dunia Pertama telah mengakibatkan masalah bahan dan kos binaan terganggu.

Bangunan ini turut diberi gelaran Taj Mahal Ipoh telah direka bentuk oleh seorang arkitek British bernama AB Hubback yang juga merupakan arkitek yang sama bagi Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Rekabentuk bangunan ini tidak pernah diubah sehingga ke hari ini, kecuali beberapa pengubahsuaian dalaman bangunan ini pada tahun 1993.

Stesen keretapi ini sangat indah bukan hanya kerana seni binanya, ia juga dihargai kerana dikelilingi oleh tumbuhan bunga-bungaan tempatan yang berwarna-warni.

Kecantikan lokasi ini telah menarik perhatian Hollywood untuk merakamkan filem Anna and the King lakonan Jodie Foster di sini. Sekadar sebagai info tambahan, Majestic Hotel turut berkongsi bangunan dengan stesen keretapi ini.

 

2. Dataran Medan Stesen / Dataran KTM Ipoh

Dataran KTM Ipoh yang juga dikenali sebagai Dataran Medan Stesen ini terletak berhadapan dengan Bangunan Stesen Keretapi Ipoh yang menjadi lokasi menarik untuk dikunjungi terutama pada waktu malam kerana keadaannya yang meriah. Anda bukan sahaja dapan melapangkan fikiran sambil menyaksikan pancuran air beserta dengan cahaya berwarna-warni yang bergerak mengikut irama.

Selain itu, kawasan ini turut dikelilingi dengan keindahan pokok-pokok yang diimport dari luar negara seperti pokok Tagoma dan Bucida.

Percayalah, sekali datang ke sini, anda pasti tidak dapat melupakan keindahan yang disajikannya dan Jika anda berkunjung ke sini, anda pasti akan sentiasa teringat akan pengalaman menarik anda di sini dan akan terus membuat perancangan untuk berkungjung sekali lagi.

 

3. Birch Memorial Clock Tower

Birch Memorial Clock Tower merupakan struktur megah berwarna hitam putih dan mempunyai ketinggian 1.95 meter. Ia dibina pada tahun 1909 demi memperingati ulang tahun kematian ke-34 Resident British pertama Perak iaitu James WW Birch yang telah mati dibunuh oleh pahlawan Tanah Melayu bernama Datuk Maharaja Lela pada tahun 1875.

Kos untuk membina menara ini pada ketika itu ialah sebanyak 25,000 pound sterling dan telah dirasmikan pembukaannya oleh Residen British Perak yang ke-8, Sir Ernest Woodford Birch.

Jika anda melihat di bahagian penjuru di atas jam menara ini, ada empat ukiran patung yang mewakili empat prinsip pentadbiran British, iaitu keadilan, kesabaran, ketabahan dan kesetiaan.

Terdapat juga lukisan tokoh-tokoh dunia dan pembangunan tamadun seperti Buddha, Darwin, Shakespeare dan lain-lain di keempat-empat sisi menara ini.

Setelah berkunjung ke sini, anda boleh teruskan lagi pengembaraan anda di Ipoh dengan berkunjung ke tarikan lain sekitar sini seperti Masjid Negeri dan Rose Centre.

 

4. Masjid Muhammadiah Ipoh

Tempat menarik yang seterusnya di Ipoh ialah berkaitan dengan senibina Islam.

Bukan sahaja di negara China anda dapat melihat masjid dengan senibina Cina, di Malaysia juga anda dapat melihatnya di Masjid Muhammadiah Ipoh yang terletak di Taman Tasek Jaya.

Masjid ini dibina dengan menggabungkan warna-warna ceria seperti merah, jingga, merah jambu dan hijau. Ia telah dibina pada tahun 2008.

Sekali imbas memang reka bentuknya tidak ubah seperti bangunan tradisional Cina terutama di bahagian bumbungnya. Akan tetapi, ada sedikit perbezaan di mana kebiasaanya ada kepala naga di bucu bumbung, kini diganti dengan bentuk bulan sabit yang lebih bersesuaian dengan statusnya sebaga masjid.

Motif popular pada bangunan klasik Cina iaitu bunga teratai telah digantikan dengan motif bunga kebangsaan Malaysia, bunga raya.

Bukan sahaja ia memiliki reka bentuk unik, suasana di dalam masjid ini juga sangat damai di mana anda boleh rasa pergerakkan angin yang menyejukkan tanpa perlu menghidupkan kipas pun.

 

 

5. Pusat Rekreasi Hotsprings Lubuk Timah

Terletak hanya dalam 20-30 minit dari Bandaraya Ipoh, anda boleh memandu kereta ke Pusat Rekreasi Hotsprings Lubuk Timah iaitu tarikan air terjun dan kolam air panas.

Air yang mengalir dari kolam renang utama dan seterusnya ia dialirkan ke kolam kedua dan seterusnya ke kawasang sungai. Airnya pula mula terbit dari binaan tembok yang kelihatan seperti sebuah empangan. Jika anda lawat ke sini pada musim hujan, anda akan dapat lihat air yang bercurahan dari tambok ini kelihatan tidak ubah seperti limpahan air Niagara Falls. Pasti membuat anda terkesima!

Selain itu, pusat rekreasi ini juga dilengkap dengan pelbagai kemudahan asas seperti surau, gazebo, tandas, tempat bbq, pondok rehat dan kolam-kolam air panas konkrit.

 

6. Lata Ulu Chepor

Belum puas lagi menikmati alam semula jadi? Teruskan penerokaan anda ke Lata Ulu Chepor pula.

Lokasi ini sebenarnya agak sukar untuk ditemui kerana ia agak tersembunyi dan tidak mudah dilihat dari jalan utama, dan kerana itu, Lata Ulu Chepor ini lebih popular di kalangan masyarakat tempatan dari orang luar.

Lata Ulu Chepor ini menawarkan keadaan air sungai yang tidak terlalu dalam dan sesuai dijadikan tempat bermandi-manda bagi seisi keluarga. Di sini, anda pasti akan terkesima dengan kawasan air terjunnya, dari keindahan aliran airnya melalui celahan batu besar ke keadaan sekelilingnya yang memukau mata.

Kawasan ini juga popular di kalangan para penggemar fotografi untuk mengabadikan keindahan air terjun dan kawasan sekitarnya. Siapa saja akan berasa segar apabila dikelilingi Hutan Simpan Kledang Saiong ini.

Setelah puas menyegarkan diri dengan bermandi manda , anda haruslah meneruskan penerokaan anda ke kawasan Kampung Ulu Chepor yang damai ini. Pastikan anda singgah ke mana-mana kedai makan yang ada untuk mengisi perut dengan juadah menyelerakan.

 

7. Taman Rekreasi Gunung Lang

Taman Tekreasi Gunung Lang ini terletak di Jalan Kuala Kangsar atau nama barunya Jalan Tunku Abdul Rahman dan dikelilingi keindahan alam semulajadi. Untuk tiba ke taman rekreasi ini, anda perlu menaiki bot yang akan membawa anda menyeberangi tasik ditemani dengan lanskap indah  bukit batu kapur.

Apabila anda tiba ke taman rekreasi ini, anda boleh la cuci mata dengan melihat pemandangan air terjun buatan manusaia dia atas bukit batu kapur. Jika anda membawa anak kecil bersama, lokasi ini juga menyediakan taman permainan dan zoo mini. Setelah puas berjalan, kunjungi pula menara tinjau dan nikmatilah pemandangan taman sepuasnya sebelum bergerak pulang.

 

8. Laser Battle Ipoh

Nak main paintball tapi taknak sakit sampai lebam terkena peluru paintball? Jom cuba permainan yang dapat memberikan keseronokkan serupa tanpa peluru yang menyakitkan itu di Laser Battle Ipoh!

Hanya dengan menggunakan cahaya laser, anda boleh mengumpulkan mata dan menghancurkan pihak lawan. Yang bestnya, lebih daripada 55 mode permainan yang boleh dipilih iaitu dari tahap yang mudah hinggalah kepada yang mencabar.

 

9. Bukit Bangkong

Antara tempat menarik di Ipoh yang tidak ramai orang tahu ialah Bukit Bangkong.

Lokasinya terletak di Chemor dan hanya mengambil masa selama 30 ke 40 minit dari Bandaraya Ipoh Bukit Bangkong merupakan destinasi pendakian yang seterusnya. Ya, ada banyak puncak untuk dipilih bagi mereka yang menggemari aktiviti pendakian dan berada di puncak yang tinggi.

Dengan ketinggian hanya 200 meter, masa yang diambil untuk menuju ke puncak Bukit Bangkong hanyalah dalam sekitar 20 ke 30 minit. Anda boleh mendaki bersama keluarga dengan menggunakan jalan berturap yang disediakan.

Sebaik tiba di puncaknya nanti, anda dapat menikmati keindahan pemandangan puncak Gunung Korbu yang megah dan mengagumkan.

 

10. Bulatan Sultan Idris Shah

Bulatan Sultan Idris Shah ini merupakan salah satu daripada kebanggaan Ipoh. Kemegahannya yang berada benar-benar di pintu masuk Bandaraya Ipoh menjadi lambang kemajuan negeri ini.

Jika anda melawat kawasan ini pada waktu malam, anda akan berasa lebih teruja kerana bulatan ini dikelilingi oleh cahaya lampu yang penuh warna-warni serta pancutan air.

 

11. Ipoh War Memorial

Ipoh War Memorial dalah sebuah memorial peperangan yang telah dibina untuk memperingati mereka yang terkorban sewaktu Perang Dunia Pertama (1914 – 1918), Perang Dunia Kedua (1939 – 1945), Konfrontasi Indonesia – Malaysia (1962 – 1966) dan pemergian ramai rakyat dan banduan perang dalam pembinaan landasan kereta api maut Burma-Siam (1943 – 1945).

Memorial ini terletak di bahagian kiri berhadapan dengan stesen keretapi Ipoh.

 

12. Gua Kek Look Tong & Zen Garden

Bagi yang bukan beragama Islam, antara tempat menarik yang boleh dilawati di Ipoh ialah Gua Kek Look Tong dan Zen Garden.

Terletak tidak jauh dari Gunung Rapat dan hanya 5 km dari bandaraya Ipoh adalah sebuah gua batu kapur besar digelar Gua Kek Look Tong. Pada tahun 1960, gua ini dijadikan tapak perlombongan bijih besi.

Kini, ia merupakan tokong Buddha yang telah memenangi pelbagai anugerah kerana keindahan lanskap taman yang ada di dalam gua ini. Siapa sangka mereka akan disajikan dengan pemandangan yang begitu indah sebaik sahaja keluar daripada terowong gua ini?

Sebaik sahaja anda sampai ke taman ini, anda akan dapat mendengar kicauan burung-burung dan angsa yang dipelihara di sini. Apa yang menarik, anda boleh beriadah di sini kerana tersedia juga laluan untuk beriadah atau berjogging mengelilingi dua tasik yang indah. Taman ini juga memiliki salah satu daripada laluan refleksologi pejalan kaki yang terpanjang di Ipoh.

Kami sarankan anda untuk melawati taman ini pada waktu pagi agar anda dapat menikmati keindahannya sambil menghirup udara pagi yang segar.

 

13. Gerbang Malam

Jika anda ingin membeli-belah, datanglah ke Gerbang Malam, pasar ini mempunyai keluasan sebesar lebih kurang 1 km dan terletak di Jalan Tahwil Azhar, berdekatan dengan Ipoh Parade. Pasar ini berkonsepkan uptown di mana anda dapat melihat pelbagai jenis barangan unik dijual, memang rambang mata dibuatnya. Pakaian, minyak wangi, beg, alat solek, kasut, cermin mata, cincin dan lain-lain adalah antara barngan yang dijual.

Jika anda sukakan karya kreatif, di sini juga terdepat kedai-kedai yang menjual tulisan khat, lukisan atas papan dan banyak lagi. Bagi para “thrifters” pula, banyak juga gerai-gerai bundle di sini.

Setelah penat berjalan, rileks sambil mendapatkan urutan kaki refleksologi yang ada di sini. Kemudian, bolehlah sambung berjalan lagi sehinggalah anda menjumpai barang yang diingini.

 

14. Art of Old Town

Art of Old Town, seperti namanya, ia merupakan sebuah destinasi yang dihiasi dengan ilustrasi-ilustrasi kreatif pada dinding-dinding bangunan di sini.

Ilustrasi-ilustrasi ini telah dihasilkan oleh Ernest Zacharevic, seorang seniman yang menerima pengiktirafan dunia atas lukisan-lukisan mural yang beliau hasilkan di sini. Beliau juga turut terlibat dalam penghasilan seni jalanan di New York.

Anda perlu maluangkan masa selama lebih kurang 30 minit untuk melihat keseluruhan hasil seni yang terdapat di sini. Mural ini semua diinspirasikan dari budaya masyarakat Ipoh sendiri. Menariknya!

Kawasan ini merangkumi jalan-jalan sekitar Market Street, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Padang, Jalan Bijeh Timah dan Concubine Lane 3. Pastikan anda membawa kamera anda sekali untuk mengabadikan diri anda dengan karya-karya kreatif ini.

 

15. Tasik Cermin Gunung Rapat

Sekiranya anda seorang yang sukakan sesuatu yang lain dari yang lain dan suka meneroka tempat baru, anda harus melawat Tasik Cermin Gunung Rapat. Tasik ini sebenarnya bukanlah sebuah tarikan ‘formal,’ kerana di sini, tiada siapa yang jaga, tiada pintu entrance dengan kaunter tiket atau sebagainya.

Memang betul-betul kena ‘teroka’. Untuk menuju ke kawasan tasik ini anda perlu mencabar diri mencari lokasinya yang sebenar yang agak tersorok.

Setelah tiba ke lokasi, anda harus melalui sebuah gua yang agak gelap, tapi anda boleh nampak cahaya daripada ruangan di hujung gua ini.

Kalau tak yakin, dinasihatkan anda tidak melalui gua ni seorang diri. Setelah sampai ke penghujung gua, pandangan mata anda akan terpesona dengan serta-merta sebaik melihat keindahan tasik yang terbentang luas di depan mata.

Jangan lupa untuk mengabadikan keindahan ini di dalam foto sepuas hati!

 

16. Padang Ipoh

Padang Ipoh merupakan sebuah padang luas yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan lama. Pada zaman kolonisasi, padang ini telah digunakan oleh orang-orang Inggeris untuk bermain kriket.

Padang ini kini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti rugby, bola sepak, berjogging dan juga para pengunjung yang datang untuk bersantai menikmati pemandangan di sekitar.

Antara bangunan klasik yang dapat dilihat dari padang ini adalah bangunan St Michael Institution yang dibina pada tahun 1912, Masjid India Muslim (1908), bangunan Hong Kong & Shanghai (1931) dan banyak lagi.

 

17. Taman Mini Jepun

Terletak dalam Taman Rekreasi Dr. Seenivasagam ialah sebuah Taman Mini Jepun yang berkeluasan 1.2 hektar. Taman dalam taman, wah cantiknya nama. Taman mini ini telah direka bentuk oleh pegawai lanskap Majlis Bandaraya Ipoh.

Untuk mereka bentuk taman ini, pegawai lanskap kita telah bekerjasama dengan pakar dari Majlis Bandaraya Fukuoka, Jepun untuk memastikan elemen taman Jepun yang original.

Taman ini telah dirasmikan dan dibuka pada 30 Jun 1995 oleh Datuk Bandar Ipoh pada masa itu, Tuan Haji Ahmad Salleh Haji Sarif bersama bekas Datuk Bandar, Dato Haji Umar Haji Abu  dan bendahari Majlis Bandaraya Fukuoka, Encik Watanabe.

Sebaik menjejakkan kaki ke dalam taman ini, anda akan berasa seperti berada di negara Jepun apabila disambut oleh pepohon buluh rimbun dan taburan batu kecil berwarna-warni di laluan pejalan kakinya. Pokok pine dan pokok willow telah dipilih untuk menghiasi taman ini supaya dapat melahirkan suasana yang serupa seperti berada di Jepun.

 

18. Movie Animation Park Studios

[su_panel]

Makluman:

  • Status terkini, ditutup sementara
  • Tiada tarikh bila akan dibuka semula

[/su_panel]

Nak ke Disneyworld? Tak perlu bersusah payah, kunjungi Movie Animation Park Studios dimana tarikannya tidak kurang seronok dari Disneyworld. Jangan pandang remeh ya, di taman animasi ini ada pelbagai aktiviti menarik untuk ada cuba dan alami sendiri.

Untuk pengetahuan anda Movie Animation Park Studios ini terbahagi kepada 6 zon dengan tema yang berbeza-beza, 25 tarikan interaktif dan 15 rides yang luar biasa seronok untuk dinaiki!

Secara spesifiknya, antara tarikan yang ada kat sini adalah BoBoiBoy 4D Adventure Theatre, The Smurf Theater, Space X-Plorers, Hyperspin, Space Face, Coral Kingdom dan banyak lagi!

6 Zon Tema yang ada kat sini adalah seperti Animation Square Zone, Dream Zone, Blast Off Zone, Live Action Zone, Lakeside Zone dan Fantasy Forest Zone. Wah, menarik betul kan? Rugi kalau tak datang sekiranya berkunjung ke Ipoh!

 

Akhir kata

Diharapkan agar perkongsian tempat menarik di Ipoh ini akan memberikan anda idea untuk percutian bersama keluarga nanti. Kalau ke atas lagi, singgah pula ke Taiping.

 

Leave a Comment