Pinjaman Untuk Memulakan Perniagaan Kecil-Kecilan 2022


Ramai juga yang mungkin belum tahu bahawa terdapat pinjaman untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi mereka yang baru nak menjalankan perniagaan. Pinjaman ini khususnya untuk golongan peniaga yang masih baru dan belum mempunyai modal yang banyak untuk berniaga atau ingin mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Kalau ada yang sudah berjaya menjadi peniaga menggunakan modal sendiri. Tahniah kami ucapkan. Namun begitu, untuk mereka yang tidak berkemampuan tetapi mempunyai semangat dan daya usaha yang tinggi. Anda boleh cuba untuk memohon pinjaman ini.

Jangan berputus asa kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Izinkan kami berkongsi.

Pinjaman untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan

Berikut merupakan pinjaman yang boleh anda mohon.

1. Pinjaman memulakan perniagaan kecil melalui TEKUN

TEKUN adalah kaedah pinjaman yang disediakan oleh kerajaan Malaysia untuk usahawan atau peniaga-peniaga kecil menjalankan perniagaan mereka. Untuk memohon pinjaman TEKUN, anda haruslah menghadirkan diri di cawangan TEKUN berdekatan anda bagi mengisi borang permohonan.

Selain itu, pastikan anda mempunyai lesen atau permit perniagaan yang sah dan telah berdaftar dengan SSM. Perniagaan atau syarikat anda haruslah 100% milik Bumiputera atau warganegara Malaysia.

TEKUN akan mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 8% setahun di mana ia adalah kadar faedah yang rendah.

Terdapat pelbagai jenis skim pinjaman TEKUN yang disediakan antaranya adalah Skim Pembiayaan Kecil (SPK), Skim Pembiayaan Sederhana (SPS), Skim Pembiayaan Kontrak-I, Skim Pembiayaan Informal (SPIN) 2.0, Skim Pembiayaan Program TemanNita dan banyak lagi.

Anda boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai pinjaman TEKUN atau tentang TEKUN itu sendiri di laman web tekun.gov.my.

 

2. Pinjaman MARA

Pinjaman MARA adalah pinjaman yang menjadi salah satu pilihan utama dan terbaik untuk memulakan atau membantu perniagaan anda. Lebih-lebih lagi pinjaman untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Melalui pinjaman ini, banyak keperluan perniagaan dapat dipenuhi dan masalah kekurangan modal juga dapat diatasi sepenuhnya.

Syarat kelayakan untuk memohon yang ditetapkan oleh MARA adalah syarat umum yang biasa digunapakai. Antaranya adalah Warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai lesen atau permit perniagaan yang sah.

Selain itu, terdapat beberapa syarat lain yang ditetapkan oleh MARA seperti menyediakan modal 10% daripada kos projek, meletakkan jaminan atau cagaran, mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan tidak kurang dari 6 bulan dan menjalani ujian psikometri.

Anda boleh terus melayari laman web mara.gov.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jenis atau skim pinjaman yang disediakan termasuklah maklumat lain berkenaan pinjaman MARA.

 

3. Pinjaman perniagaan dari bank

Terdapat beberapa pilihan bank yang menyediakan pinjaman perniagaan. Anda boleh membuat pinjaman bank untuk memulakan perniagaan atau mengembangkan lagi perniagaan anda di bank-bank seperti Bank Rakyat, BSN, RHB Bank dan Hong Leong Bank.

Kesemua bank-bank tersebut dapat membantu menstabilkan keperluan kewangan atau dana perniagaan anda. Jumlah pinjaman yang diberikan adalah bermula dari RM5000 dan ke atas bergantung kepada keperluan perniagaan anda. Syarat dan kelayakan bagi kesemua bank ini adalah hampir sama.

Sebagai contoh ialah mempunyai lesen atau permit perniagaan yang sah. Beberapa kriteria lain yang ditetapkan adalah berbeza mengikut bank. Tempoh pinjaman yang diberikan ialah selama 5 hingga 7 tahun.

Walau bagaimanapun, untuk membuat pinjaman bank ini adalah sedikit rumit berbanding pinjaman TEKUN dan MARA kerana ada kelayakan bank yang memerlukan perniagaan anda beroperasi minimum selama 2 tahun. Jadi kenalah sabar sikit kalau nak buat pinjaman dengan bank.

Tetapi, tidak semua bank menetapkan syarat seperti itu. Jangan risau.

 

4. Pinjaman perniagaan Bank Islam

Anda boleh memohon pembiayaan Mikro iTEKAD yang dilaksanakan oleh Bank Islam untuk menyokong dan memudahkan pembiayaan bagi usahawan mikro B40 dan asnaf yang kehilangan pendapatan akibat wabak Covid-19. Ia adalah salah satu usaha yang dijalankan oleh Bank Islam untuk bangkit membina semula perniagaan mereka yang terkesan.

Walau bagaimanapun, pinjaman ini hanya dibuka kepada usahawan mikro di Wilayah Persekutuan sahaja. Namun, tidak salah jika anda ingin mencuba. Pemohon yang layak dan terpilih akan mengikuti program latihan pembangunan perniagaan dan akan diberikan modal perniagaan.

Amaun pembiayaan yang diberikan adalah sebanyak RM5000 sehingga RM50 000 dengan tempoh bayaran di antara 1 hingga 5 tahun. Kadar keuntungan yang dikenakan ialah pada kadar 4.0% setahun. Bayaran balik pembiayaan adalah secara bulanan.

Untuk maklumat yang lebih lanjut mengenai pinjaman ini, anda boleh melayari laman web Bank Islam di sini bankislam.com.

 

 

Akhir kata

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda memilih jenis pinjaman untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Diharapkan urusan perniagaan anda juga berjalan dengan lebih lancar dan berjaya.

Apa-apa pun, pastikan anda membuat semakan, perbandingan dan pilihan yang terbaik sebelum mengemukakan permohonan. Apply pinjaman mengikut kemampuan perniagaan anda kerana anda tetap harus bayar semula pinjaman ini.

Bukan free sahaja ya.

Bila pinjaman sudah lulus, berniagalah dengan jujur dan amanah. Gunakan pinjaman yang diberikan sebaik-baiknya untuk kebaikan perniagaan anda.

Semoga bermanfaat.

1 thought on “Pinjaman Untuk Memulakan Perniagaan Kecil-Kecilan 2022”

  1. kawan saya ade ssm dan berbrniaga gerai nasi kerabu / laksa dll di jln padan indah 3/3 sudah 5 tahun. bagai mana nak pinjam rm50,000 untuk membesar membeli lori kecil untuk jual makqnan. [email protected] 0196216662

    Reply

Leave a Comment