Kerjaya Penulis Freelance Di Malaysia


Mungkin anda terbabas sampai ke laman ini sebab asyik “klik sana, klik sini” mencari-cari kerja kosong sebagai penulis freelance atau penulis artikel sambilan yang boleh dilakukan dari rumah. Nak tambah pendapatan katanya. Ataupun, mungkin juga anda Google perkara lain dan tiba-tiba digerakkan dan diizinkan Allah untuk landing di sini. Apa pun asbabnya, kita ditakdirkan bertemu. Alhamdulillah, syukur.

Kenapa kami tulis panduan menjadi penulis ini?

Semua orang tahu, jumlah penganguran di Malaysia semakin hari semakin meningkat. Kami percaya masalah ini timbul bukan kerana kehendak individu. Sebaliknya ia berlaku akibat daripada impak situasi semasa yang semakin tidak menentu seperti kemelesetan ekonomi dan krisis pandemik.

Ramai yang mencuba nasib untuk mencari kerja di luar bidang kemahiran masing-masing contohnya menjadi penghantar makanan Grabfood atau foodpanda. Namun, tidak ramai yang mampu untuk melakukan kerja-kerja sedemikian kerana tuntutan menjaga anak-anak di rumah atau tidak memiliki kenderaan.

Alasan ini selalunya terpakai untuk wanita yang bekerja dari rumah dan berniat untuk membantu suami.

Tapi, tahukah sebenarnya anda boleh buat duit sampingan hanya dengan bekerja dari rumah sebagai freelance writer?

Kerjaya sebagai freelancer writer

Freelance writer adalah individu yang bekerja sendiri dan tidak terikat dengan mana-mana syarikat ataupun majikan. Sebagai seorang freelancer writer, anda menawarkan kemahiran menulis kepada pemilik bisnes, usahawan, selebriti atau mana-mana individu yang memerlukan servis ini.

Banyak kelebihan yang diperolehi apabila bekerja sebagai freelance writer. Antaranya anda akan mempunyai masa kerja yang lebih fleksibel, boleh memilih jenis kerja yang sesuai dengan kemahiran, menjana pendapatan yang lebih lumayan malah menetapkan dengan siapa anda ingin bekerja.

Untuk menjadi seorang freelance writer, anda perlu ada kemahiran menulis yang baik. Selain daripada itu, anda juga harus mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai sesuatu topik. Kemahiran berkomunikasi juga amat penting untuk memudahkan anda berbincang dengan pelanggan.

Kerjaya freelance writer sudah lama berkembang di luar negara terutamanya di Amerika Syarikat. Kini, kerajaan Malaysia semakin memandang serius terhadap perkembangan kerjaya penulis bebas di dalam negara. MDEC juga turut mengiktiraf serta menyokong golongan ini melalui program Global Online Workforce (GLOW).

Kami kongsikan antara kerja yang anda boleh lakukan sebagai seorang freelance writer.

Penulis artikel freelance

Hampir kebanyakan bisnes di Malaysia memiliki laman web dan blog bagi tujuan pemasaran kandungan atau lebih dikenali sebagai content marketing. Tujuan utama pemasaran kandungan adalah untuk menarik pembaca supaya menjadi pelanggan sesuatu jenama.

Apabila menjadi penulis artikel, anda bertanggungjawab untuk menghasilkan artikel yang mampu untuk menarik dan mengumpul bakal pelanggan. Artikel yang dihasilkan perlulah berkualiti, bermanfaat dan dalam masa yang sama mampu menyedarkan pembaca tentang kewujudan sesuatu jenama.

Antara skil yang wajar dikuasai oleh penulis artikel adalah Search Engine Optimization (SEO). SEO adalah satu teknik untuk meletakkan website atau blog di halaman pertama enjin carian tanpa menggunakan iklan berbayar.

Mesti ada yang tanya, “Apa beza penulis artikel dengan penulis blog?”

Nak tahu jawapannya tak? Kalau nak, tengok nombor 7 di bawah.

Penulis freelance kandungan media sosial

Media sosial memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita masa kini. Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Statista, lebih kurang 86% rakyat Malaysia aktif di media sosial. Manakala Facebook pula adalah platform yang paling tinggi penggunanya. Itu belum masuk TikTok lagi.

Oleh itu, pemasaran media sosial adalah salah satu cara terbaik untuk meningkatkan kesedaran jenama sesuatu produk atau servis. Melalui media sosial, pemilik bisnes dan usahawan boleh meluaskan rangkaian bisnes masing-masing terus kepada pelanggan.

Namun begitu, kebanyakan daripada mereka tidak mampu untuk menguruskan serta kekal aktif dalam media sosial kerana kesuntukan masa. Inilah peluang anda menawarkan kemahiran menulis kandungan untuk media sosial bagi mereka yang memerlukan perkhidmatan ini.

Copywriter

Copywriter adalah individu yang bertanggungjawab untuk menulis ayat copywriting.

Copywriting pula merupakan ayat memujuk pelanggan untuk mengambil sesuatu tindakan sebagai contoh membuat pembelian ataupun sekadar menekan tanda ‘like’ di status media sosial.

Seorang copywriter yang bagus perlu mahir bermain dengan ayat kerana manusia membeli mengikut emosi. Di sinilah pentingnya kreativiti dalam penulisan untuk mempengaruhi emosi bakal pembeli.

Peranan copywriter amat penting dalam industri pemasaran. Setiap ayat yang ada di iklan media sosial, emel, laman web dan landing page adalah hasil kerja seorang copywriter. Mereka juga bertanggungjawab untuk menulis copywriting untuk brosur, iklan dalam akhbar dan papan iklan di tepi jalan raya.

Penterjemah freelance

Jika anda mahir dalam dua atau lebih bahasa contohnya bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris, gunakan kelebihan ini untuk tawarkan servis menterjemah. Pelbagai syarikat dan individu memerlukan servis menterjemah dokumen, laman web ataupun artikel dari satu bahasa ke dalam bahasa yang lain.

Memang benar kini terdapat banyak perisian yang boleh menterjemah pelbagai bahasa seperti Google Translate. Namun, jika kita lihat secara teliti, terjemahan yang dihasilkan menggunakan perisian sebegini biasanya tidak tepat dan kadang-kala jauh menyimpang dari makna asal.

Oleh sebab itu, syarikat-syarikat lebih mempercayai dan memilih untuk mendapatkan servis penterjemahan yang 100% dilakukan oleh manusia. Terjemahan yang dilakukan oleh manusia biasanya membawa mesej yang lebih tepat dan sesuai berbanding dengan mesin.

Transkriptor

Kerjaya sebagai transkriptor mungkin agak asing dan tidak sepopular bidang freelance yang lain. Seorang transkriptor bertanggungjawab untuk menyalin atau memindahkan rakaman audio ke dalam bentuk tulisan. Dalam bahasa mudahnya, menukarkan audio ke bentuk teks.

Tugasan ini nampak seperti mudah. Namun, bayaran bagi tugasan ini agak lumayan. Ini kerana bayaran untuk kerja-kerja transkripsi bergantung kepada kualiti dan durasi audio yang diterima. Semakin sukar audio yang perlu ditranskrip, semakin tinggi bayaran yang bakal anda terima.

Untuk menjadi seorang transkriptor, anda memerlukan kemahiran mendengar yang teliti dan kemahiran menulis dengan pantas. Perisian untuk memainkan audio dan peralatan menulis juga penting untuk membantu anda melakukan kerja-kerja mentranskrip dengan lebih mudah.

Ghostwriter

Ramai yang salah faham apabila mendengar perkataan ‘ghostwriter’. Kebanyakan mereka membayangkan ‘ghostwriter’ adalah penulis cerita hantu. Walaupun seorang ghostwriter boleh menulis cerita hantu, namun skop tugasan mereka adalah lebih luas daripada itu.

Ghostwriter adalah seorang individu yang diupah untuk menulis bagi pihak orang lain namun namanya tidak dikenali. Segala hasil kerja penulisan ghostwriter akan menjadi milik pelanggan sepenuhnya. Ghostwriter tiada hak untuk menuntut kerja tersebut sebagai karya mereka.

Tugas yang boleh dilakukan oleh seorang ghostwriter tidak terbatas. Anda boleh menulis artikel blog, kandungan untuk website, teks ucapan, menyediakan kertas kerja, skrip drama, menghasilkan ebook dan juga buku novel.

Blogger

Jika rasa tidak yakin untuk menulis bagi pihak orang lain, anda boleh sahaja bermula dengan menulis artikel untuk blog sendiri. Individu yang menulis artikel untuk blog sendiri dikenali sebagai blogger. Ada juga individu yang menulis untuk orang lain, tetapi selalunya mereka-mereka ini menulis untuk diri sendiri.

Pemilik bisnes dan usahawan selalunya mencari blogger untuk bekerjasama mempromosikan atau menulis review tentang produk mereka di blog. Selain itu, blogger juga boleh menghasilkan duit melalui servis pengiklanan seperti Google Adsense, program affiliate dan menjual produk sendiri.

Walaupun menulis untuk diri sendiri, anda juga perlu mempunyai kemahiran SEO untuk meletakkan blog di halaman pertama enjin carian. Lebih ramai orang yang datang membaca blog anda, lebih tinggi nilainya untuk dijadikan sumber pendapatan.

Tapi, anda perlu tahu untuk menjadikan blog sebagai sumber mata pencarian bukanlah sesuatu yang mudah. Membina blog yang boleh menjana pendapatan semestinya mengambil masa dan usaha yang tidak pernah putus. Namun, jika blog tersebut berjaya, ia boleh dianggap sebagai pendapatan pasif untuk anda selama mana ia wujud.

Boleh rujuk panduan dan cara menjadi penulis blog sambil menjana pendapatan sampingan.

Akhir kata

Permintaan terhadap freelance writer semakin mendapat tempat di kalangan pemilik bisnes dan usahawan di Malaysia. Malah, dengan kemajuan teknologi, bidang ini dijangka bakal terus berkembang dan menjadi pekerjaan pilihan terutamanya di kalangan individu yang celik IT.

Potensi peluang pekerjaan dalam bidang freelance writer sangat besar. Inilah waktu terbaik untuk anda menceburi bidang ini sama ada secara sambilan ataupun tetap untuk menjana pendapatan.

1 thought on “Kerjaya Penulis Freelance Di Malaysia”

  1. Assalamualaikum..saya berminat nak kerja freelance writer.Saya ada sedikit bakat dalam bidang penulisan dan ingin berkongsinya dengan para pembaca.Bagaimana cara untuk saya memohon.

    Reply

Leave a Comment