Lupa No Akaun ASB


Bagi anda yang mula melabur dalam ASB sebelum Jun 2017, sempatlah merasa menggunakan buku akaun ASB untuk melakukan sebarang transaksi dan paling utama, susah nak lupa no akaun ASB. Sebab apa? Dalam buku pelaburan ASB, maklumat penting seperti no akaun sentiasa tercatat dalam buku tersebut. Tapi, satu hal pula kalau anda terhilangkan buku akaun itu.

Selepas ASNB perkenalkan pilihan untuk pelabur berurusniaga tanpa buku pelaburan, hanya guna IC untuk pengesahan identiti pelabur, anda juga boleh lakukan transaksi secara online saja. Maka, tak mustahil anda lupa no akaun ASB kalau tak catat di mana-mana. Tapi jangan risau, ada cara anda boleh dapatkan no akaun ASB. Izinkan kami berkongsi.

Lupa no akaun itu biasa, siapa yang tak pernah lupa memang salute lah dengan anda. Dengan ada begitu banyak no akaun untuk diingati, jangan pula anda rasa malu kalau lupa no akaun ASB, anda tak berseorangan sebab ramai je yang mengalami masalah sama.

Untuk pengetahuan anda, sebelum buku akaun ASB tidak lagi digunakan untuk transaksi, no akaun sebanyak 9 digit saja. Tapi selepas diseragamkan no akaun menjadi 12 digit, memang lagi susahlah nak ingat!

Dalam artikel ini, kami kongsikan panduan mudah untuk anda yang lupa no akaun ASB anda.

Hadir cawangan ASNB atau ejen ASNB

Ini cara paling senang, tak perlu fikir panjang. Anda bukan saja boleh semak no akaun, tapi boleh juga minta penyata akaun. Dah dapat penyata akaun, tentulah ada tertera maklumat seperti no akaun anda.

Alang-alang anda dah ada di cawangan ASNB, lebih baik anda daftarkan terus no telefon dalam sistem ASNB di sana supaya anda boleh mendaftar secara online buat pertama kali seperti yang kami akan tunjukkan selepas ini.

Semak online di myASNB

Sebelum anda boleh semak online di myASNB, anda terlebih dulu perlu buat pendaftaran no telefon dalam sistem ASNB. Pendaftaran boleh dibuat di cawangan ASNB dan ejen.

Selepas itu barulah anda boleh mendaftar di myasnb.com.my. Rujuk cara daftar akaun MyASNB yang kami kongsikan sebelum ini.

Lebih mudah sebenarnya dengan ada akaun MyASNB ini sebab banyak transaksi seperti jualan balik unit amanah, nak tambah pelaburan atau nak cetak penyata yang boleh dilakukan.

Sekiranya anda lupa no akaun ASB pula, anda hanya perlu login akaun MyASNB anda. Berikut adalah cara login:

  1. Layari pautan MyASNB: https://www.myasnb.com.my/
  2. Klik Log Masuk
  3. Masukkan id pengguna, klik Teruskan
  4. Masukkan Kata Laluan anda, klik Log Masuk
  5. Paparan no akaun ASB anda akan dapat dilihat

Semak melalui Maybank2u

Kalau anda rasa tak berkesempatan nak ke cawangan ASNB untuk update no telefon bimbit dalam sistem hingga tak boleh nak daftar MyASNB, ini adalah cara paling mudah kalau lupa no akaun ASB anda.

Sebabnya, akaun ASNB akan terus terpapar dalam sistem Maybank2u, cuma tak banyaklah transaksi yang dapat dibuat, hanya kalau anda nak tambah pelaburan ASB sajalah.

Cara semak no akaun ASB melalui Maybank2u adalah seperti berikut:

  1. Login akaun Maybank2u anda.
  2. Pergi ke Transfer. 
  3. Pilih Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
  4. Klik ASNB, akan terus terpapar no akaun ASB anda.

Akhir kata

Sekarang anda dah tahu cara dapatkan semula kalau anda lupa no akaun ASB , kalau anda nak tambahan pelaburan ASB anda melalui Maybank2u dan CIMB Clicks, baca panduan cara transfer duit ke akaun ASB yang kami sediakan ini.

Semoga bermanfaat.

Categories ASB

Leave a Comment