Cara Kira ASB Loan (Fakta Tentang Pinjaman ASNB)

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bertanggungjawab menguruskan dana amanah terbesar di Malaysia. ASNB mengendalikan 12 jenis dana amanah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), ASB 2, Amanah Saham Malaysia dan sebagainya. Namun begitu, perbincangan dalam artikel ini hanya memfokuskan tentang pinjaman ASB (ASB loan) dan bukannya perkhidmatan lain seperti simpanan ASB. ASB loan merupakan kemudahan pinjaman pelaburan yang merupakan salah satu perkhidmatan yang disediakan oleh ASNB. Ramai orang masih tak faham kebaikan ASB loan ni dan cara ia memberi pulangan. Untuk mengelak kekeliruan, penulisan artikel ini akan membincangkan tentang cara kira ASB loan dan senarai bank yang menjadi agen ASB loan.

Cara kira ASB loan

Cara Hendak Kira Dividen ASB Loan

Jika berasa susah hendak mengira sendiri dividen ASB loan, apa kata anda cuba mengiranya secara online di sini http://myrakan.com/misc/asb.php.

Pengiraan menggunakan kalkulator online ini hanyalah untuk anggaran sahaja. Misalnya kadar dividen 2018 ialah 6.50 seunit, maka kalkulator ini akan membuat pengiraan menggunakan anggaran ini sehingga tahun 2019.

Sekiranya anda berhasrat untuk melakukan loan bersama ASB, kami ada sediakan artikel tentang apa yang perlu anda ketahui sebelum anda mengambil ASB loan agar anda lebih bersedia.

 

Konsep ASB Loan

Mengapa dikatakan bahawa ASB loan berbeza dengan pinjaman di bank-bank perdagangan? Sebenarnya melalui ASB loan ini, kita boleh buat pinjaman pelaburan daripada agen-agen bank ASB terpilih.

Misalnya, jika hendak buat ASB loan sebanyak RM100,000, anda perlu membuka akaun ASB di bank tersebut. Anda tidak akan menerima wang pinjaman itu secara tunai. Ia akan digunakan oleh pihak bank untuk membeli sijil pelaburan ASB. Maksudnya, pembiayaan pelaburan akan dibuat oleh bank. Pihak bank akan membelikan sijil ASB daripada ASNB.

Namun, sijil itu bukan milik kita kerana kita sudah buat pinjaman. Sijil itu akan dipegang oleh pihak bank. Jadi, anda perlu bayar secara ansuran bulanan kepada pihak bank tersebut. Anda perlu tahu, ada bank yang akan mengenakan caj pengurusan dan dokumentasi. Dapatkan informasi yang lengkap dari bank yang hendak anda pinjam itu.

 

Siapa Yang Layak Buat ASB Loan?

Hanya kaum bumiputera sahaja yang layak iaitu Melayu, Pribumi Sabah dan Sarawak serta Orang Asli. Oleh itu, golongan yang disasarkan ini perlu merebut peluang yang diberikan.

Terdapat 2 akaun untuk ASB loan iaitu:

  • Akaun dewasa

Untuk mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas sahaja

  • Akaun remaja

Ibu bapa atau penjaga yang sah boleh melabur bagi mereka yang berumur 18  tahun dan ke bawah serta mempunyai sijil kelahiran yang sah.

 

Berapakah Had Pelaburan ASB Loan?

Seperti mana juga bank, ASB juga ada menetapkan had pelaburan pinjaman. ASB hanya membenarkan had pelaburan sebanyak RM200,000 sahaja bagi akaun dewasa dan remaja.

Malahan, had pelaburan ini akan meningkat dengan pertambahan dividen, bonus, pindah milik pusaka dan sebagainya. Maksudnya, jika perolehan modal (keuntungan) anda sudah lebih RM200,000, ia tidak dikira sebagai had pelaburan.

Jika anda berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut dan nasihat tentang pelaburan ASB anda boleh sahaja menghubungi pihak yang terlibat.

 

Saluran Untuk Membuat ASB Loan

Anda boleh menghubungi pihak yang berkenaan secara online atau berkomunikasi secara langsung melalui cara-cara berikut:

  • Secara online melalui portal myASNB di myasnb.com.my
  • Cawangan-cawangan ASNB di seluruh negara. Untuk tahu lebih lanjut tentang lokasi sila ke myasnb.com.my
  • Agen ASNB yang terpilih iaitu Bank Muamalat, Maybank, CIMB Bank, RHB Bank, Alliance Bank, Affin Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN), AmBank dan Pos Malaysia.

 

Apa Keistimewaan ASB Loan Berbanding Simpanan Biasa?

Untuk memudahkan pemahaman, di sini penulis sertakan sekali jadual untuk membuat perbandingan simpanan biasa di bank dan ASB loan.

Andaikan jika Amir menyimpan sebanyak RM200 di Bank A dengan kadar dividen tahunan 8%. Manakala, Amid pula membuat ASB loan sebanyak RM40,000 yang diikat selama 30 tahun dengan bayaran bulan RM200. Kadar dividen ASB pada tahun itu ialah sebanyak 8%. Lihat jadual perbandingan di bawah.

 

Item Amir (Simpanan Biasa Di Bank A) Amid (ASB Loan)
Bayaran bulanan RM200 RM200
Jumlah tahun pertama RM200 x 12 = RM2,400 Pinjaman tersedia RM40,000
Keuntungan hujung tahun RM2,400 x 8% = RM192 RM40,000 x 8% = RM3,200
Selepas 30 tahun (RM2,400 x 30) + (RM192 x 30) = RM77,760 RM40,000 + (RM3,200 x 30) = RM136,000
Jika bayar guna keuntungan RM3,200 – (RM200 x12) = RM800

 

Jika masih keliru, baca penerangan ini untuk memudahkan anda lebih faham tentang ASB loan.

Setiap bulan, Amir akan membuat simpanan di Bank A sebanyak RM200. Selepas setahun, wang simpanan berserta dividen yang diperoleh hanya RM192. Berbeza pula dengan Amid yang buat ASB loan sebanyak RM40,000 dengan jumlah bayaran yang sama iaitu RM200.

Dengan adanya pinjaman tersedia sebanyak RM40,000 dalam akaun ASB Amid, nilai itu akan memberi pulangan tambahan sebanyak RM3,200 setiap tahun.

Apa yang lebih menarik, Amid boleh membuat bayaran pinjaman menggunakan hasil dividen yang diperolehnya. Jimat duit simpanan setiap bulanan.

 

Contoh Jadual Pembayaran

Seperti yang telah diterangkan di atas, ASB telah melantik beberapa bank untuk menjadi agen ASB loan. Oleh itu, kadar bayaran bulanan bagi setiap bank kemungkinan tidak sama. Lihat contoh jadual pembayaran Maybank di bawah.

Rujukan: (https://www.maybank2u.com.my/iwov-resources/pdf/personal/loans/investment/ASB-Repayment.pdf)

Sebelum membuat ASB loan, lihat kemampuan kewangan anda dahulu. Kalau mampu, bolehlah ambil pinjaman pelaburan RM50,000 dan ke atas. Jika berasa tidak mampu hendak bayar setiap bulan dan jangka masa yang panjang, anda cubalah bertahan selama setahun atau 2 tahun. Selepas itu, gunakan dividen ASB untuk anda buat bayaran bulanan untuk tahun yang seterusnya.

Misalnya jika anda ada baki wang yang tidak diguna selepas tolak bersih segala keperluan bulanan sebanyak RM300, anda boleh buat pinjaman sebanyak RM25,000 dan dibayar semula selama 9 tahun. Bayaran bulanan yang dikenakan ialah RM298.

Jika tidak kisah untuk bayar lebih lama, anda boleh buat pinjaman RM50,000 dan bayar semula selama 27 tahun. Bayaran bulanan ialah RM296.

 

Cara Tamatkan ASB Loan

Kadangkala anda mungkin rasa terbeban untuk membuat bayaran bulanan apabila komitmen semakin bertambah. Contohnya pertambahan ahli keluarga, diberhentikan kerja, sambung belajar, bisnes merudum dan sebagainya.

Jika anda hendak tamatkan ASB loan sila ke bank yang anda buat urusan pinjaman dengan membawa MyKad dan nombor akaun pinjaman. Anda perlu mengisi borang yang disediakan. Dalam masa beberapa bulan, anda akan mendapat baki pinjaman selepas ditolak kos yang terlibat.

Malah, anda juga perlu mendapatkan maklumat lengkap tentang sebarag caj dan tunggakan lain.

Sebelum menamatkan ASB loan, anda boleh membuat anggaran baki pinjaman (cash value) yang bakal anda dapat. Ini hanyalah anggaran sebelum anda membuat keputusan untuk menamatkan pinjaman ini. Caranya ialah:

  • Muat turun aplikasi Financial Calculator di telefon bimbit di Google Play (Android) atau App Store (iOS).
  • Masukkan maklumat jumlah pinjaman, kadar faedah, tempoh pinjaman dan mula kira.
  • Tekan butang ‘AMORTIZATION
  • Taip tempoh yang dipilih untuk tamatkan pinjaman
  • Lihat jumlah ‘BALANCE
  • Kira jumlah ‘LOAN – BALANCE

 

Akhir Kalam

Walau kadar dividen ASB telah merudum pada tahun 2029, namun pelaburan menggunakan ASB adalah pilihan yang bijak. Ia boleh menjadi alat untuk memaksa kita menyimpan dalam jangka masa yang panjang secara berdisiplin.

Anda boleh baca banyak teknik untuk membuat pelaburan ASB di Internet. Pelbagai teknik yang dikongsikan untuk panduan pembaca. Yang paling penting, buat ASB loan ikut kemampuan sahaja. Jangan membebankan diri sehingga mengambil keputusan drastik untuk menamatkannya bila rasa tidak mampu.

Moga penulisan ini memberi gambaran yang jelas tentang ASB loan. Jika ada penambahan maklumat, sila beri maklum balas. Andai ada kesilapan dari segi fakta, kami mengalu-alukan sebarang teguran.

Semoga bermanfaat.


Lagi Tentang Kewangan ↓

Leave a Comment