Tempat Menarik Di Pasir Puteh


Terkenal dengan jolokan Cik Siti Wan Kembang, negeri Kelantan memang banyak lokasi menarik yang boleh anda kunjungi. Tidak ketinggalan, ada banyak tempat menarik di Pasir Puteh,  salah satu daerah terletak kira-kira 30 kilometer ke selatan Kota Bharu.

Bukan saja menyajikan pemandangan indah dan mendamaikan, banyak tempat menarik di Pasir Puteh ini adalah port terbaik untuk anda lebih mengenal sejarah dan budaya setempat.

Izinkan kami senaraikan 12 tempat menarik di Pasir Puteh yang paling berbaloi untuk anda lawati sepanjang anda berada di sini.

Tugu Peringatan Tok Janggut

Siapa tak kenal dengan tokoh pejuang Tanah Melayu di Kelantan, Tok Janggut yang menentang penjajahan British di negeri itu.

Jasa dan perjuangan Tok Janggut atau nama sebenarnya, Haji Muhammad Hassan bin Munas diperingati dengan pembinaan tugu yang dibina pada tahun 2005 oleh Majlis Daerah Pasir Puteh.

Jadi, tak lengkaplah kunjungan anda ke Kelantan kalau tidak singgah ke Tugu Peringatan Tok Janggut yang terletak di pusat bandar Pasir Puteh ini.

Tok Bali, Semerak

Tok Bali iaitu sebuah pusat peranginan yang terkenal di Kelantan dengan kawasan pantainya yang bersih dan penginapan yang amat selesa ini adalah satu lagi tempat menarik di Pasir Puteh.

Tok Bali wujud pada tahun 1996, dengan pembinaan jambatan atas darat oleh Projek Kemasin Semerak (Perkasa), dan kemudiannya menjadi pembinaan Terusan Tok Bali.

Pembinaan Terusan Tok Bali juga adalah penghubung pengangkutan laluan laut ke Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Redang di Laut China Selatan.

Bersesuaian dengan statusnya sebagai bandar pelabuhan, Tok Bali juga menjadi lokasi jeti pendaratan ikan laut dalam selain tempat penjualan produk berasaskan hasil laut seperti keropok dan bebola ikan.

Dah sampai sini, jangan lupa membeli belah pelbagai produk hasil laut untuk dibawa pulang.

Pantai Bisikan Bayu, Semarak

Tempat menarik di Pasir Puteh yang anda boleh kunjungi adalah Pantai Bisikan Bayu di Cherang Ruku, Semerak. Pusat peranginan ini merupakan projek  pelancongan yang paling awal diwujudkan di Pasir Puteh.

Kalau anda nak ambil angin sambil menikmati keindahan pesisiran pantai memang lokasi ini amat sesuai dikunjungi bersama keluarga kerana di sini, anda boleh berkelah, berkhemah dan melakukan aktiviti keluarga.

Kemudahan pantai ini lengkap dengan tersedianya surau, tandas, bilik persalinan dan taman permainan, serta sebuah chalet penginapan iaitu Taman Rehlah.

Pusat Rekreasi Taman Rehlah

Kalau anda ke Pantai Bisikan Bayu, singgahlah di pusat rekreasi Taman Rehlah yang dilengkapi pelbagai kemudahan bagi menjalankan aktiviti indoor dan outdoor.

Pelbagai kemudahan disediakan di sini seperti dewan, asrama, restoran, chalet, bilik mandi, padang bola sepak pantai, aktiviti hari keluarga, jungle -tracking, abseiling, flying fox dan berkayak.

Kalau nak bermalam di sini pun boleh kerana bilik penginapan turut disediakan dengan harga yang berpatutan.

Buat peminat aktiviti memancing, anda boleh memancing ikan dan udang galah di sini.

Jeram Pasu

Tempat menarik di Pasir Puteh berikut merupakan pusat rekreasi yang paling awal diwujudkan di Pasir Puteh,  bertempat di 16 km dari bandar Pasir Puteh menghala ke Kota Bharu.

Pusat rekreasi ini terkenal dengan keindahan flora dan faunanya yang unik. Jadi, amat sesuai melakukan aktiviti santai keluarga di hujung minggu.

Menariknya, ada kemudahan kolam mandi untuk dewasa dan kanak-kanak selain surau, tandas, bilik persalinan serta gerai makan dan minum.

Jeram Linang

Terdapat banyak kawasan jeram yang menarik di Pasir Puteh anda boleh singgah dan bagi yang menggemari aktiviti lasak Jeram Linang adalah tempatnya.

Pusat rekreasi ini terkenal dengan kawasan air terjun berbatu dan laluan pendakian ke puncak air terjun. Kawasan mandi untuk golongan dewasa dan kanak-kanak turut juga disediakan.

Kemudahan lain yang tersedia di sini seperti taman permainan untuk kanak-kanak, dewan dan restoran masakan panas.

Buat anda yang suka aktiviti camping, lokasi ini memang sesuai kerana ada tapak perkhemahan disediakan. Di sini juga menempatkan mini zoo yang disediakan oleh pihak Pejabat Hutan Negeri Kelantan.

Jeram Linang bertempat di 20km  dari bandar Pasir Puteh , dan 22 km dari bandar Machang. Untuk ke lokasi ini, anda perlu melalui jalan lebuhraya Machang-Pasir Puteh.

Jeram Mengaji / Jeram Mak Nenek, Selising

Lokasi ‘tersembunyi’ yang digelar ‘Kundasang Kelantan’ oleh penduduk tempatan ini antara tempat menarik di Pasir Puteh yang anda perlu kunjungi.

Lokasinya di kawasan pedalaman kira-kira 6km dari Pekan Selising atau 22km dari bandar Pasir Puteh,  dibangunkan menjadi pusat pelancongan agro dikenali sebagai Jeram Mengaji Agro Resort.

Menariknya di sini terdapat pusat ternakan lembu tenusu dan penjualan susu segar dan produk tenusu lain. Dengan pemandangan ladang yang luas dan suasana pada waktu pagi yang berkabus ini menyebabkan tempat ini digelar Kundasang Kelantan.

Ada juga yang menggelarkannya ‘New Zealand’ Kelantan. Wow! Memang saujana mata memandang, tak rugi kalau anda bawa keluarga melancong ke sini sebab sudah pasti menjadi kenangan terindah untuk diingati.

Nak mandi air terjun pun boleh kerana dalam kawasan ini juga terletaknya jeram yang sesuai nak mandi manda bersama anak kecil sebab airnya tak dalam.

Rumah Dusun

Berada dekat dengan Kundasang Mini Kelantan, Rumah Dusun juga salah satu tempat menarik di Pasir Puteh.

Ia  adalah rumah tradisional Melayu dengan seni bina Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan yang terletak di tanah seluas dua ekar setengah di kaki Bukit Saji, Selising, Pasir Puteh.

Kalau anda nak rasai pengalaman berbeza, Rumah Dusun ini sangat ideal kerana menjanjikan pengalaman di desa yang lengkap dengan suasana penuh kehijauan dan buah-buahan tropika seperti durian, rambutan dan nangka.

Menariknya, penginapan di Rumah Dusun ini dilengkapi kolam renang, sesuai sangatlah nak buat aktiviti santai bersama anak-anak dan keluarga. Pendek kata, lokasi ini memang privasi dan anda boleh nikmati percutian yang tenang dan eksklusif.

Rumah Dusun juga boleh dijadikan tempat untuk majlis keraian seperti perkahwinan, perhimpunan, bengkel atau perkhemahan.

Untuk ke sini, amat digalakkan untuk mengunakan kenderaan sendiri kerana perlu melalui jalan kampung yang sempit.

Madrasah Ihya Ulumuddin

Masih berada di kawasan berdekatan Rumah Dusun dan Jeram Mengaji Agro Resort, jangan lupa kunjungi Madrasah Ihya Ulumuddin.

Tidak seperti pusat pengajian Islam lain, menariknya madrasah ini kerana pemiliknya membangunkan madrasah ini berkonsepkan ‘pondok dalam taman’.

Sekali pandang, madrasah ini sememangnya cantik dan unik, dengan reka bentuk kombinasi unik tradisional klasik dan sentuhan moden pada beberapa struktur binaannya.

Katanya, madrasah ini sebenarnya dibina seperti pondok “cokoh” iaitu reka bentuk pondok klasik zaman dahulu kala, pondok chalet dan pondok moden untuk penempatan pelajar mereka.

Di samping berpeluang mengamati keunikan seni bina madrasah dan suasana yang cukup menenangkan jiwa.

Jika ingin ke sini, anda boleh mengguna Waze dan taip sahaja ‘Madrasah Ihya Ulumuddin’ dan anda akan terus dibawa ke destinasi ini.

Pantai Bisikan Bayu (Beach Of Whispering Breeze)

Sebuah lagi pantai yang menjadi antara tempat menarik di Pasir Puteh adalah Pantai Bisikan Bayu.

Kalau sebelum ini pantai ini agak sunyi kerana kurang diketahui ramai, kini ia bertukar wajah menjadi lebih meriah dan menjadi salah satu lokasi tumpuan keluarga untuk beriadah dan bercuti terutama di musim cuti sekolah atau hujung minggu.

Banyak kemudahan disediakan seperti taman permainan, pondok rehat, lukisan mural dan papan tanda. Nak bergambar ala-ala di Bali, terdapat buaian menghadap pantai disediakan untuk keselesaan pengunjung ke pantai ini.

Tempat ini juga dilengkapi pelbagai kemudahan permainan ATV, aktiviti layang-layang dan gerai-gerai jualan, sekali gus melonjakkan semula imej kawasan ini yang pernah popular pada era 80-an dahulu.

Lokasi : Kampung Dalam Rhu, 16700 Cherang Ruku, Kelantan

Pasar Pagi Pasir Puteh

Lokasi ini mungkin nampak biasa sahaja, tapi kami senaraikan Pasar Pagi Ladang Getah di Kampung Guntong yang menjual pelbagai jenis ikan, sayur-sayuran dan gerai makanan sebagai salah satu tempat menarik di Pasir Puteh.

Ini kerana, pasar pagi ini terletak di dalam ladang getah! Suasananya tak ubah seperti anda berada di tahun 70-an.

Pasar pagi ini cukup unik kerana ia simbolik bagi mengimbau kenangan filem Laksamana Do Re Mi arahan Tan Sri P.Ramlee pada tahun 1972 yang mempunyai adegan Re (Ibrahim Din) membeli sayur-sayuran di sebuah pasar pagi dan di situ berlakulah tawar menawar yang sarat dengan adegan lucu.

Namun pasar ini dibuka hanya pada hari Jumaat dari awal pagi sehingga tengah hari sahaja. Jadi pastikan anda rancang jadual perjalanan anda jika ingin mengunjungi tempat ini.

Wakaf Tuan Farrer

Tempat menarik di Pasir Puteh terakhir yang kami senaraikan ini juga tidak kurang menariknya. Bagi yang gemarkan sejarah, lokasi ini memang sesuai buat anda menghayati sejarah pembinaanya yang sudah lebih 1 abad.

Mula dibina pada 1917 dan siap sepenuhnya pada 1919 oleh penduduk setempat bagi kemudahan pengembara berhenti rehat, wakaf ini dinamakan sebagai Wakaf Tuan Farrer sempena nama salah seorang Pegawai British di Kelantan.

Khabarnya, Tuan Farrer dipercayai mempunyai kedudukan yang istimewa di Pasir Puteh sehingga namanya diabadikan pada wakaf tersebut dan kini masih berdiri teguh dan menjadi kebanggan penduduk Pasir Puteh.

Menarik, bukan? Jadi jika ke sini, jangan lupa merakamkan potret kenangan anda di Wakaf Tuan Farrer.

Akhir kata

Inilah antara tempat menarik di Pasir Puteh yang kami senaraikan. Ambil peluang untuk bawa keluarga dan rakan-rakan pergi bercuti dan terokai sendiri tempat-tempat ini atau tempat lain di Kelantan. Semoga perkongsian ini memberi manfaat untuk anda sekeluarga.

 

Leave a Comment