10 Tempat Menarik di Kelantan (Makan Sedap, Penginapan Best)


Kalau nak pergi bercuti tak perlu jalan jauh-jauh sampai ke negara jiran. Di Malaysia pun banyak tempat menarik kita boleh teroka. Jadi, dalam banyak-banyak negeri yang kita boleh pergi, jom tengok apa antaran tempat menarik yang best di Kelantan.

Tempat menarik di Kelantan

Di bawah ini kami berikan anda beberapa lokasi tempat menarik di negeri Cik Siti Wan Kembang untuk anda kunjungi.

1. Pasar Siti Khadijah

Bila kita rancang nak ke Kelantan, antara tempat yang kita fikir mesti pasar ikonik ini.

Pasar Siti Khadijah adalah tempat yang wajib anda pergi untuk melengkapkan percutian anda di Kelantan. Ada macam-macam benda yang anda boleh tengok dan beli di sini.

Antaranya kraftangan, pakaian, barang kemas, alat solek, barang sulaman dan macam-macam lagi.

Selain daripada itu, anda boleh menikmati pelbagai juadah yang ada seperti kuih-muih Kelantan, keropok, dodol, serunding, rempah dan lain-lain.

 

2. Kedai Kopi White House

Bila bercuti, memang tak sahlah kalau tak jalan-jalan cari makan kan?

Anda boleh ke Kedai Kopi White House ala kopitiam ini untuk makan pagi. Yang paling best tentang kedai kopi ini ialah, kedai ini dah ada sejak sebelum merdeka lagi iaitu sejak tahun 1935! Antara menu yang di rekomenkan adalah roti bakar arang dengan telur separuh masak, kaya dan kopi.

Kalau nak makanan tradisi Kelantan pun ada macam nasi tupe, nasi dagang, nasi berlauk dan nasi kerabu.

 

3. Kota Sultan Ismail Petra

Satu lagi tempat bersejarah dan tarikan pelancong yang terkenal di Kelantan.

Bagi anda yang sukakan tempat-tempat yang mempunyai sejarah, anda boleh ke Istana Jahar, Bank Kerapu, Bank Pitis dan Istana Balai Besar.

Yang menariknya bila masuk je dalam Kota Ismail Petra ini, anda akan nampak lambang kemegahan Kelantan iaitu Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra atau Menara Rehal.

 

4. Street Art, Kota Bahru

Tempat ini macam Armenian Street di Melaka. Jadi memang tempat istimewa untuk anda yang berjiwa seni.

Di sini anda di sajikan dengan pelbagai tema lukisan seperti ‘impian’ dan ‘kebahagiaan’ dan di satu sudut yang lain, anda akan nampak lukisan yang mengetengahkan isu-isu yang berlaku di negara lain.

Tapi yang paling menarik ialah lukisan mural permaidani di atas lantai lorong Street Art. Memang cun la kalau nak berOOTD di sini.

 

5. Pantai Nami Bachok

Kalau nak feeling macam dalam drama Winter Sonata, bolehlah ke Pantai Senok atau Pantai Nami Bachok.

Sebab pokok-pokok di pantai ini saling tak tumpah seperti di Pulau Nami, Korea Selatan. Pokok-pokok yang indah tersusun, tambah pula dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, ketenangan yang dirasai memang tidak dapat diucapkan dengan kata-kata.

Jika anda nak datang ke Pantai Nami ini, kami cadangkan anda datang pada bulan April hingga September untuk elak musim hujan.

 

6. Galeri Wau Pak Sapie and Sons

Untuk sesetengah orang, percutian tidak bermakna kalau tidak belajar apa-apa tentang budaya dan tradisi masyarakat tempatan.

Jadi, salah satu seni warisan di pantai timur ini ialah wau. Jika anda bercuti ke Kelantan, galeri yang diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Wau ini memang wajib untuk anda datang.

Di sini anda akan belajar banyak benda menarik tentang salah satu permainan tradisional yang terkenal di Kelantan iaitu wau bulan. Selain dapat ilmu baru, anda juga boleh membeli sebuah wau sebagai kenangan.

 

7. Air Terjun Jelawang

Bagi anda yang sukakan percutian alam semula jadi, bolehlah ke Air Terjun Jelawang. Anda pasti akan terpesona dengan pemandangan air terjun dan flora serta fauna di sini.

Tapi sebahagian air terjun ini terselindung jadi anda kena mendaki ke puncak.

Jika anda nak feeling adventurous sikit, anda boleh mendaki ke tempat perkhemahan Baha untuk menikmati pemandangan pada waktu malam di puncak air terjun Jelawang. Yang penting anda kena ada permit dan pemandu arah.

 

8. Jeram Mak Nenek

Jika anda bercuti bersama keluarga, Jeram Mak Nenek atau Jeram Mengaji adalah tempat yang sesuai untuk aktiviti keluarga seperti perkelahan atau mandi-manda.

Airnya cetek dan sangat jernih hinggakan anda boleh nampak ikan berenang-renang. Sesuai untuk anak-anak bermain air kerana kedalaman airnya yang selamat untuk mereka.

 

9. Pantai Melawi

Salah satu lagi tempat untuk anda menikmati panorama yang cantik apabila matahari terbenam di Bachok. Tempat ini tak ramai orang jika anda datang bila off season.

Setelah puas dengan pemandangan di pantai, anda boleh ke kawasan kampung untuk sambung makan angin.

 

10. Jambatan Keretapi Guillemard

Tak lengkap percutian anda ke Kelantan jika tak bergambar di Jambatan Keretapi Guillemard.

Jambatan yang dijaga rapi ini sememangnya berbaloi setiap saat anda berada di sini. Untuk pengetahuan anda, jambatan yang diperbuat daripada besi ini adalah yang terpanjang di Malaysia! Warna hitam jambatan ini macam membawa anda ke masa lalu.

Memang menarik untuk anda jadikan jambatan keratapi ini sebagai latar belakang foto anda.

 

Akhir kata

Banyak tempat-tempat menarik di Pantai Timur ini macam tempat nak bershopping di pasar-pasar yang masih mengekalkan nilai-nilai tradisi, tenangkan fikiran di pantai dan hutan, pusat-pusat kesenian masyarakat Kelantan dan juga tempat-tempat bersejarah yang lain.

Bercuti di Kelantan bersama keluarga dan rakan-rakan pasti seronok dengan bermacam tarikan yang menarik di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Semoga bermanfaat.

1 thought on “10 Tempat Menarik di Kelantan (Makan Sedap, Penginapan Best)”

Leave a Comment