14 Tempat Menarik di Tanjung Malim (Jalan-jalan & Makan Sedap)


Tanjung Malim yang berada di negeri Perak sangat terkenal sebagai sebuah bandar yang melahirkan ramai cendekiawan tersohor dan juga pejuang bangsa. Pekan ini bersebelahan dengan negeri Selangor dan asalnya adalah sebuah tanjung iaitu kawasan tanah yang wujud daripada hakisan sungai yang amat luas. Ada banyak sangat tempat menarik di Tanjung Malim yang tidak jauh dari negeri Selangor.

Pekan Tanjung Malim ini juga dikenali oleh masyarakat sebagai ‘Bandar Pendidikan’ kerana sejarah pembangunnya bermula dengan pembukaan sebuah Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 1992.

Tempat menarik di Tanjung Malim

Terdapat banyak tempat menarik di Tanjung Malim yang anda patut kunjungi. Di sini saya kongsikan sedikit sebanyak beberapa tempat menarik di Tanjung Malim sesuai untuk percutian santai dan menghiburkan

Muzium Pendidikan Nasional

Namanya Bandar Pendidikan, maka mesti ada. Muzium Pendidikan Nasional inilah tempatnya untuk anda mengetahui lebih lanjut tentang sejarah industri pendidikan di Malaysia. Muzium ini terletak di dalam Universiti Pendidikan Sultan Idris yang sememangnya sudah terkenal dalam bidang pendidikan di Malaysia.

Para pengunjung akan disajikan dengan pelbagai peralatan lama yang digunakan dalam bidang pendidikan di Malaysia di sini. Antaranya benda menarik di sini seperti pembaris lama, kalkulator ‘abacus’, patung anatomi manusia dan lain-lain.

Selain peralatan lama, turut juga dipamerkan informasi berkenaan tokoh-tokoh ilmuwan pendidikan masa lampau telah berjaya membawa kemodenan kepada sistem pendidikan Negara kita.

 

Taman Tasik Embayu

Boleh dikatakan ianya dikenali oleh kebanyakkan penduduk tempatan, namun ianya juga popular oleh para pengunjung dari luar daerah, Taman Tasik Embayu sebenarnya adalah sebuah tasik buatan yang luas dengan pelbagai kemudahan aktiviti rekreasi. Untuk pengetahuan anda, tempat menarik di Tanjung Malim ini adalah sebahagian daripada bandar terancang oleh “Proton City” yang dikelilingi oleh rumah-rumah banglo mewah yang menyerlahkan lagi pemandangannnya.

lanskap di sekitar taman ini dijaga dengan sangat rapi dan teliti. Disebabkan itu, ramai pengunjung gemar beriadah di sini hanya untuk menikmati keindahan pemandangannya. Terdapat suatu sudut di tasik ini yang sangat sesuai untuk anda mengambil gambar iaitu di pelantar titi yang dihubungkan ke kolam cantik.

Pelbagai aktiviti menarik boleh anda lakukan di taman ini seperti bersenam, berkelah dan bermain di taman permainan.

 

Taman Perkelahan Kampung Sungai Bil

Tidak lengkap jika tarikan semulajadi popular yang terdapat di Tanjung Malim iaitu Sungai Bil tidak disebut dalam artikel ini. Bagi mereka yang suka ketenangan, tempat ini sangat sesuai untuk dikunjungi bersama keluarga dan teman tercinta untuk menikmati keindahan alam dan bermain-main di air jernih.

Terdapat permukaan sungai yang sedikit berbatu-batu dan di sekelilingnya ditumbuhi pokok-pokok menghijau yang pasti dapat menenangkan jiwa anda . Pelbagai kemudahan juga turut disediakan seperti tandas, ruang rehat, kemudahan barbeku, kedai makanan dan sebagainya.

Rancanglah perjalanan percutian anda bersama keluarga ke sini untuk bermandi-manda di Sungai Bil supaya anda dapat merasai sendiri ketenangan suasana alam flora dan faunanya. Kemudahan penginapan juga turut disediakan bagi mereka yang ingin bermalam di sini.

 

Go Kart Tanjung Malim

Kepada peminat sukan lasak, amat digalakkan untuk anda semua berkunjung ke sini. Anda tidak perlu lagi bersusah payah ke bandar besar hanya untuk bermain Go Kart kerana di Tanjung Malim juga ada tersedianya permainan lasak ini. Litar terbuka yang disediakan sesuai untuk semua peringkat umur.

Jangan khuatir bagi ibu-ibu yang risau akan keselamatan anak-anak anda ketika bermain kerana isu keselamatan sangat dititikberatkan oleh pemilik tempat ini. Penggunaan helmet diwajibkan buat semua peserta dan penghadang tayar terpakai juga digunakan untuk melembutkan impak pelanggaran.

Rekabentuk litar ini sangat menarik dengan liku-liku tajam dan separuh daripada litarnya dibina di bawah sebuah lebuhraya utama. Terdapat juga gerai minuman ringan bagi anda yang kehausan dan keletihan setelah bermain go-kart.

 

Ladang Halia ENE

Jika anda berkunjung ke ladang ini, para pengunjung akan dapat melihat sendiri penanaman halia secara komersial di Perak. Siapa yang tidak tahu bahawa halia adalah sejenis tumbuhan rizom yang sangat berkhasiat dan sangat baik untuk tubuh. jenis halia yang ditanam di ladang ini disebut sebagai ‘Bentong’. Ia bersaiz sedikit besar dari halia biasa dan lebih pedas rasanya.

Sangat menarik bagi mereka yang suka bercucuk tanam untuk melihat sendiri bagaimana halia ditumbuh, diproses dan kemudiannya dibungkus untuk diedarkan di seluruh Malaysia.

Anda juga dapat melihat kilang pemprosesan di mana terletaknya mesin-mesin gergasi yang turut digunakan dalam sesi memproses halia segar. Para pengunjung juga berpeluang untuk meminum teh halia panas segar daripada ladangnya.

 

Seni Jalanan Tanjung Malim

Seni jalanan di Pekan Lama Tanjung Malim ini menceriakan jalan belakang deretan kedai-kedai di kawasan pekan itu. Sudah menjadi suatu budaya dimana seni jalanan menjadi antara tarikan utama yang popular di kebanyakan bandar besar di Malaysia.

Pada suatu ketika dahulu, kawasan jalan belakang atau deretan kedai belakang lorong sangat muram namun dengan kehadiran seni jalanan seumpama ini, ianya telah menaikkan seri dan menjadi tarikan pelancongan yang sangat popular dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengunjung.

Lukisan mural yang terlakar indah di dinding-dinding jalanan di sini adalah bertemakan binatang tempatan, sains dan teknologi, semangat patriotik dan sebagainya.

 

Mata Air Panas Ulu Slim

Dari namanya, pasti anda berfikir ianya tempat yang sesuai untuk aktiviti bermandi-manda. Namun begitu, Awas! Mata air ini tidak sesuai untuk aktiviti itu kerana suhunya yang mencecah 100 darjah celcius. Apa yang Menarik, di Mata Air Panas Ulu Slim ini, para pengunjung boleh datang untuk mendidih makanan seperti telur didih, jagung, petai dan sebagainya.

Dipercayai bahawa penduduk tempatan dapat memberi lebih khasiat kepada badan. Tempat ini juga sangat sesuai bagi mereka yang meminati seni fotografi kerana pemandangan unik yang terhasil oleh wap-wap mata air panas dan spesis lumut hijau mata air panas menambahkan lagi efek mempesona kepada gambar-gambar yang diambil di sini.

Pelbagai kemudahan awam juga turut tersedia seperti pondok rehat, laluan pejalan kaki dan kawasan merebus. Jom berkunjung ke tempat menarik di Tanjung Malim ini!

 

Kolam Ikan ‘Natural Exotic’

Para pemancing tegar, kolam ikan ini pasti menarik minat anda. Kolam ikan ini sangat luas untuk kegiatan pemancingan rekreasi yang telah dibina di Tanjung Malim khusus untuk pemancing-pemancing tegar tempatan dan juga pengunjung luar.

Terdapat pelbagai ikan yang boleh dipancing seperti ikan baung, mekong, tilapia dan sebagainya. Konsep yang digunakan di kolam ini adalah tangkap dan lepas. Kesemua ikan di sini besar belaka dan mempunyai lingkungan berat sekitar 7 kilogram sehingga 40 kilogram.

Tempat menarik di Tanjung Malim ini dibuka selama 24 jam setiap hari. Setiap bulan, pemilik kolam ini akan mengadakan cabutan bertuah untuk para pengunjung.

 

Arung Jeram Sungai Ulu Slim

Penggemar sukan air pasti kenal tempat ini. Arung Jeram Sungai Ulu Slim ini merupakan sungai yang mengalir di Tanjung Malim yang sangat sesuai dijadikan tempat pertarungan air.

Sungai ini mempunyai jeram kelas 1 sehingga 3 dan berjarak 6 kilometer dari hulunya ke muara sungai. Masa terbaik untuk melawati Arung Jeram ini adalah pada musim peralihan monsoon apabila air menjadi lebih deras. Setiap kali sebelum memulakan aktiviti di sini, taklimat keselamatan akan disampaikan terlebih dahulu kepada semua peserta supaya mereka lebih peka dan mementingkan keselamatan diri sendiri.

Untuk bersukan di arung jeram ini ianya tidak memerlukan sebarang pengalaman kerana semua teknik-teknik pengendalian akan diajar terlebih dahulu.

 

Teratak Riverview

Teratak Riverview ini merupakan sebuah resort bertentangan dengan Sungai Malaysia. Sungai ini berada di antara Perak dan Selangor dan sangat terkenal sebagai salah satu tempat menarik di Tanjung Malim bagi mengadakan team building. Resort ini menyediakan pelbagai kemudahan seperti chalet, tempat berkhemah, asrama, dewan, surau dan penggunaan umum yang lain-lain.

Ianya mempunyai pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti water tubing, abseiling dan flying fox. Bermula pada tahun 2008 sehingga sekarang, Teratak Riverview berkembang semakin pesat.

kini, Teratak Riverview menggunakan tenaga solar untuk menjana kuasa elektrik. Para pelawat pasti akan mengagumi pemandangan yang menakjubkan dan suasana yang selesa bersama rakan-rakan dan orang tersayang.

 

Restoran Garden Seafood

Restoran yang ini sangat popular dan disebut-sebut bukan sahaja menjadi buah mulut masyarakat tempatan malah pengunjung luar juga. Tempat menarik di Tanjung Malim ini merupakan restoran cina yang mempunyai sijil halal yang sah.

Oleh itu, restoran ini terkenal bukan sahaja dalam kalangan kaum Cina malah Melayu dan juga India. Terdapat pelbagai makanan laut yang enak tersaji di sini dengan harga yang berpatutan seperti sizzling tilapia, sotong madu dan steam turbot fish. Restoran ini dibuka setiap hari dari jam 12 tengah hari sehingga 10:30 malam.

 

Hitz Café

Penggaya hidup hipster pasti sukakan café ini. Hitz Café ini sangat terkenal dengan konsep hipster. Makanan yang wajib anda cuba apabila berkunjung ke sini adalah makanan fusion dan pastri. Seni hias dan dekorasi unik ala hipster café ini juga amatlah cantik sehingga sesuai untuk bergambar dan sebagai kenangan dan juga sangat sesuai untuk gambar sosial media anda

Selain makanannya yang lazat, servisnya juga sangat bagus kerana kesemua pekerja di sini amatlah ramah dan mesra. Tempat menarik di Tanjung Malim ini juga sangat sesuai untuk mengadakan majlis hari jadi atau majlis korporat.

 

Akademi ESPEK

Jika anda mahu merasai pengalaman yang sedikit berbeza dan unik, boleh lah anda bertandang ke tempat ini. Penginapan di sini berkonsepkan kabin dan terletak ditengah tengah kebun kelapa sawit.

Terdapat 20 kabin yang tersedia di sini yang menempatkan kira-kira 120 orang pada satu-satu masa. Tambah menarik lagi, penginapan di akademi ESPEK ini terletak bersebelahan dengan jeram yang dipanggil Lubuk Timah.

Memang amat seronok jika dapat berendam di dalam air sejuk Lubuk Timah. Pelbagai jenis aktiviti lasak yang boleh anda lakukan seperti memancing, berkhemah, menaiki ATV, flying fox dan banyak lagi.

 

Sarang Art Hub

Bagi peminat karya seni, tempat menarik di Tanjung Malim ini pasti menduga minat anda. Sarang Art Hub ini diilhamkan oleh salah seorang pengarah filem terkenal Malaysia, Mamat Khalid di mana ia berkonsepkan port lepak anak muda masa kini untuk mengekspresikan seni mereka dengan platform yang cukup santai dan menarik.

Seni yang dimaksudkan tidak terhad pada lukisan dan penulisan sahaja tetapi juga nyanyian dan mainan alat muzik. Terdapat sesi “jamming” yang dijalankan pada waktu malam untuk menemani malam anda yang sepi. Selain menghargai seni, anda juga boleh menonjolkan bakat artistik anda di samping menikmati sajian sedap di sini.

 

Akhir kata

Itulah dia antara tempat menarik yang boleh anda lawati di Tanjung Malim. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada pengalaman bercuti anda sekeluarga.

Semoga dipermudahkan segala urusan.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment