Kebiasaannya, jika kita ingin melihat sawah padi di Selangor, Sekinchan antara tempat yang popular dengan keindahannya. Tahukah anda, terdapat banyak juga tempat menarik di Sungai Besar, iaitu jiran kepada Sekinchan?
Di sini kami akan kongsikan tempat menarik di Sungai Besar untuk anda terokai. Tak cukup sehari di sini, pastikan anda meluangkan masa sekurang-kurangnya dua hari untuk percutian anda.
Tempat menarik di Sungai Besar
1. Pasar Petang Sungai Haji Dorani
Antara tempat menarik di Sungai Besar ialah Pasar Petang Sungai Haji Dorani. Apa yang bestnya pasar petang ini? Pasar ini menawarkan pelbagai jenis makanan laut yang segar yang terus dihantar oleh nelayan seperti ikan, kerang, kepah, mentarang, pepahat, dan banyak lagi.
Pasar ini dibuka setiap hari bermula 4 petang. Bukan sahaja bahan mentah, makanan seperti kuih-muih, barang dapur serta makanan tempatan turut dijual di sini. Anda boleh merasai makanan tempatan di sini yang unik kerana kebanyakan penduduk di sini berasal dari Jawa. Pasti seronok berjalan-jalan sambil menikmati makanan yang sedap dan jarang ditemui.
2. Laman Tebu Aidil
Lokasi ini tidak jauh dari Sungai Haji Dorani. Kalau anda dari jalan besar Kuala Selangor – Teluk Intan, anda perlu pergi ke hujung jalan Sungai Haji Dorani.
Laman Tebu Aidil, sesuai dengan nama yang diberi, memang cantik dengan pokok tebu yang disusun cantik. Ramai yang datang ke sini untuk ambil gambar dan diletakkan ke dalam Instagram atau Facebook masing-masing.
Selain lokasi yang Instagrammable, anda juga boleh duduk sebentar untuk hirup air tebu hitam segar. Air tebu ini bukan air tebu hijau yang kita biasa beli di pasar malam. Air tebu hitam ini kurang manis dan lebih sedap. Kalau lapar, ada banyak juga makanan yang dijual di sini.
Terlalu ramai pengunjung yang datang pada hujung minggu. Jadi, memang susah untuk dapat tempat untuk meletakkan kenderaan kerana lokasi Laman Tebu Aidil betul-betul berada di tepi jalan yang agak sibuk. Berkenaan dengan parking, kami sarankan anda jangan parking di tepi jalan kerana ia membahayakan. Ada lot parking yang disediakan oleh pihak Laman Tebu Aidil.
3. Haji Dorani Homestay
Seterusnya, antara tempat menarik di Sungai Besar ini ialah Haji Dorani Homestay.
Di sini , anda akan merasai pengalaman dan suasana yang sudah semakin hilang ditelan kemodenan. Dengan penduduk yang rata-ratanya dari Kaum Jawa, pelbagai aktiviti kebudayaan seperti kuda kepang, barongan, gamelan dan kompang jawa semestinya rugi jika anda lepaskan.
Pelbagai aktiviti akan disediakan jika anda menginap di Haji Dorani Homestay. Antaranya ialah mewarna batik canting, menumbuk padi, mengagau ikan, dan bermain layang-layang. Terdapat banyak lagi aktiviti menarik di sini dan anda juga akan menginap bersama keluarga angkat anda.
Jika anda menginap di Dorani Homestay, anda akan disajikan dengan makanan ala kampung yang pasti akan membangkitkan selera anda. Terdapat beberapa pakej yang disediakan, dan anda boleh lihat sini untuk membuat perancangan bercuti di Haji Dorani Homestay.
4. Burger STOP Western & Grill
Jangan ingat orang kampung hanya makan lauk kampung sahaja. Di Burger STOP Western & Grill ini, ada banyak hidangan western yang disediakan seperti burger, spaghetti, carbonara, chicken chop dan lain-lain lagi.
Namun, bukan itu yang kami mahu kongsi. Yang lebih penting lagi, di Burger STOP Western & Grill, suasana kedai tepi jalan ini sangat mendamaikan. Sambil menikmati makanan, anda akan dihidangkan dengan pemandangan sawah padi yang sangat indah.
Terlalu kontra di situ bukan? Makan makanan western, tapi di tepi sawah padi. Nampak macam tak kena, tapi itulah kelainan yang dibawa oleh Burger STOP Western & Grill.
5. KopiKupi Kampung
Lagi lokasi menenangkan yang anda boleh makan sambil menikmati pemandangan sawah padi ialah KopiKupi Kampung yang terletak di Sungai Limau.
Apa yang menarik dengan KopiKupi Kampung ialah ia dibina dengan rekabentuk rumah kampung dua tinggal yang berasaskan kayu. Masuk sahaja simpang, kita boleh nampak kedai yang unik ini.
Kepada peminat kopi seperti Starbucks, Coffee Bean dan kafe hipster yang besepah di Kuala Lumpur, anda boleh rasai sendiri kelainan kopi di KopiKupi Kampung. Yang penting, bukan latte atau cappucino sahaja dihidangkan, kopi kampung pun ada juga.
6. Nisah Agro Farm
Jika anda inginkan kelainan semasa percutian anda di Sungai Besar, anda boleh lawati Nisah Agro Farm. Tempat ini merupakan ladang cendawan tiram putih dan yang uniknya, penanaman cendawan ini menggunakan padi jerami yang telah dikeringkan dan mengambil masa yang lebih singkat untuk tumbuh.
Tempat ini merupakan tempat untuk anda menimba pengalaman dan boleh belajar banyak perkara yang baru di sini.
Untuk ke sini, anda boleh menggunakan Google Maps ini.
7. Pasar Jerami Ban Kenal
Pasar ini antara tempat menarik di Sungai Besar yang terkenal kerana keunikan tempatnya. Anda boleh membeli belah barangan kampung di sini sambil menikmati pemandangan padi yang indah.
Tarikan paling utama di sini ialah adanya jerami yang disusun tinggi. Ramai pengunjung akan beratur dan bergilir-gilir mengambil gambar dengan latar belakang jerami ini. Biasanya, jerami-jerami besar begini kita hanya dapat lihat di luar negara. Tak sangka di Sungai Besar juga ada jerami sebegini.
Antara lain, apabila tiba musim padi, anda akan teruja menyaksikan orang-orang yang dihias berbagai rupa oleh penduduk kampung. Orang-orang ini bertujuan untuk menghalau burung yang ingin memakan padi. Pasti seronok bergambar bersama orang-orang di sini.
Sambil membeli belah di pasar jerami, anda juga boleh menikmati makanan di tepi bendang. Pasti pengalaman ini memberi keriangan dan kedamaian di hati anda. Jangan lupa bergambar sepuas-puasnya di sini, banyak port untuk anda berselfie berlatarbelakangkan pemandangan yang indah.
8. Kilang Nata de Coco
Siapa suka makan nata de coco semasa masih kecil? Di sinilah tempat pembuatan manisan kegemaran kita semasa kecil. Rupa-rupanya kita boleh melawat kilang ini dan melihat sendiri cara pembuatannya.
Selain daripada itu, anda juga boleh membeli nata de coco disini dengan harga yang lebih murah dari harga pasaran. Jika anda bernasib baik, anda akan mendapat perisa istimewa iaitu perisa nanas. Terdapat 5 perisa nata de coco ini iaitu epal hijau, laici, mangga, strawberi dan anggur.
Anda boleh mendapatkan info lanjut mengenai mereka di sini.
9. Cendol Atok
Selepas anda membeli belah nata de coco, anda boleh basahkan tekak di Cendol Atok. Lokasinya hanya di sebelah Kilang Nata de Coco tadi. Walaupun kedai ini kedai cendol, menu lain seperti Western Food turut disediakan. Kalau anda lapar pun boleh singgah di kedai ini.
Anda boleh hubungi kedai ini terlebih dahulu di sini sebelum berkunjung.
10. Masjid Jin Panchang Bedena
Misteri Masjid Jin ini telah menjadikan ia antara tempat menarik di Sungai Besar. Pelbagai cerita mistik telah diceritakan berlaku di sini sejak dari pembinaannya pada 1905. Terdapat beberapa cerita mengatakan telah terdengar suara mengaji dan berzikir namun tiada sesiapa di masjid itu.
Antara cerita mistik itu juga, jika anda tertidur di dalam masjid itu, kemungkinan anda akan ‘dialihkan’ dari tempat tidur asal. Misteri betul!
Namun, selain daripada cerita mistik, senibina masjid ini juga turut menjadi tumpuan pengunjung. Pembuatannya daripada kayu menampilkan keistimewaannya di samping kubahnya yang berbentuk seperti piramid.
Lokasinya di sini jika anda ingin menziarahi masjid ini.
11. D’Sawah Homestay
Jika dahulu melalui sawah bendang dalam perjalanan, syoknya rasa jika ada rumah di sini. Sekarang anda boleh merasa pengalaman duduk di tengah bendang di D’Sawah Homestay ini. Terletak di tengah bendang, anda pasti dapat merasai kampung vibe apabila menginap di sini.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah bermain layang-layang, memancing ikan, berbasikal, dan melihat aktiviti bersawah. Sungguh tenang dan damai di sini. Anda juga boleh menikmati makan tengah hari di tepi sawah di tempat yang disediakan.
Pada waktu malam pula, anda boleh menghayati keindahan langit malam yang luas dan berbintang. Angin yang bertiup pasti akan membuat diri anda bagai di langit. Anda boleh membuat tempahan dan pertanyaan di sini untuk memastikan percutian anda berjalan lancar.
12. MyDesaStay
Seterusnya, tempat menarik di Sungai Besar, Selangor ini ialah MyDesaStay. Ia adalah sebuah penginapan yang berkonsepkan Community Based Tourism. Jika anda mengimpikan percutian yang tenang, seronok dan damai di sini lah tempatnya.
Homestay ini menyediakan beberapa jenis bilik dan semuanya berlainan mengikut konsepnya. Antaranya Rumah Kayu, Rumah Atas Kolam, Rumah Nordin Ahmad, Rumah Kontena, dan Rumah Menara.
Di sini juga tersedia beberapa kemudahan untuk anda seperti set bbq, dapur luar, surau, dobi, dan kolam renang. Kawasan ini juga tidak jauh dari pekan Sungai Besar jika anda ada urusan lain.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan, anda boleh klik sini.
13. Restoran Kuala Kurau
Jika anda inginkan cucur udang yang sedap, anda harus datang ke sini. Serius, sangat sedap dimakan panas-panas sambil dicicah dengan kuah kacang resepi turun temurun. Fuh!
Cucur udang menjadi pilihan utama pengunjung kerana rasanya yang memang sedap. Bukan itu sahaja, terdapat juga pilihan lain seperti laksa, char kuey teow dan banyak lagi.
Restoran ini menjadi pilihan kerana lokasinya yang berada di tengah pekan dan berdekatan dengan kedai membeli-belah. Anda boleh menggunakan Google Maps ini untuk mencari Restoran Kuala Kurau.
14. Warong Lalapan
Jika anda datang ke Sungai Besar, tidak lengkap percutian anda jika anda tidak singgah ke restoran ini. Restoran ini menyajikan hidangan makanan tengahari dan malam mengikut citarasa nusantara jawa timur asli.
Antara menu istimewa yang ditawarkan di sini ialah Set Kambing Bakar Jember, Set Gulai Kambing (Nasi putih, kambing bakar/gulai kambing, sup bakso dan sambal penyet). Set Warong Lalapan Setalam dan Set Mini Couple yang menghimpunkan menu Lapan dalam satu sajian turut menjadi hidangan utama di sini.
Jom lihat antara menu yang disediakan, atau untuk tempahan, klik sini.
15. Restoran Selera Rimba
Dah puas makan makanan biasa, sesekali nak juga rasa makanan eksotik, disinilah tempat yang harus anda tujui. Selain sedap, makanan yang disajikan juga memang makanan eksotik.
Antara menu eksotik yang disajikan ialah rendang landak, rusa masak lemak, rusa masak kicap, ikan baung masak tempoyak pelanduk masak kari, dan macam-macam lagi. Tempat ini juga menjadi tempat persinggahan kegemaran konvoi motor atau basikal.
Untuk merasai makanan eksotik dan sedap ini, anda boleh gunakan Google Maps ini. Jangan lupa singgah jika anda ke Sungai Besar, pasti menjadi pengalaman menarik untuk anda merasai makanan eksotik di sini.
Akhir kata
Banyak juga tempat menarik di Sungai Besar, Selangor ini. Kalau anda dah tak tahu nak kemana untuk bercuti sekitar Selangor, bolehlah anda menuju ke sini.
Jika anda mencari tempat penginapan menarik di Selangor untuk percutian anda, boleh klik sini.
Selamat bercuti!