12 Tempat Menarik di Sik 2022 (Yang Pasti Seronok Dikunjungi)


Anda berkunjung ke Kedah dan ingin mencari tempat menarik di Sik? Sik merupakan daerah yang paling luas di Kedah. Daerah ini juga merupakan kawasan yang masih kaya dan terpelihara dengan flora dan faunanya. Selain itu, kerajaan negeri juga telah menjadikan Sik sebagai sebuah kawasan agro-pelancongan. Jadi, pencinta alam pasti akan sukakan Sik.

Jom kita tengok apa yang menarik di Sik.

Tempat menarik di Sik, Kedah

1. Air Terjun Lata Mengkuang

Bagi peminat alam semulajadi, mesti kena datang ke sini. Air terjun ini terkenal dengan air terjunnya yang cantik dengan ketinggiannya setinggi 20 meter dan kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna. Kawasannya yang luas juga tanpa terlalu banyak pembinaan memang akan memikat hati pengunjung.

Dengan kemasukan percuma, Lata Mengkuang ini akan memberi kedamaian dan suasana yang sangat indah kepada anda. Anda boleh datang bersama keluarga untuk berkelah atau sekadar bersantai menghirup angin hutan yang sejuk.

 

2. Ulu Muda Eco Park

Nak merasa duduk dalam hutan? Jom ke Ulu Muda Eco Park. Kawasan hutan hujan ini merangkumi hutan simpan Ulu Muda dan hutan simpan Pedu. Menariknya, hutan hujan ini berusia 150-170 juta tahun tau, wah bersyukurnya dapat menikmati khazanah alam ini kan.

Selain floranya yang memang tak dinafikan lagi, kawasan ini juga merupakan rumah kepada pelbagai jenis burung dan hidupan hutan seperti harimau dan gajah. Anda juga boleh menyertai ekspedisi memungut madu lebah dan pasti akan menjadi pengalaman yang akan sukar dilupakan seumur hidup.

Di sini juga tersedia sebuah resort penginapan jika anda berhasrat untuk bermalam di sini. Terdapat 14 buah bilik rumah rehat, 14 buah chalet, 2 buah dormitory dan juga kawasan perkhemahan. Sekiranya anda berminat, anda boleh menghubungi Agrotourism MADA di 04-7728255 sambungan 311. Boleh juga menghubungi Haji Ariffin (019-4704388), Shikin (012-4604139) atau Muda Resort di 04-7521779.

 

3. Wat Charok Padang

Wat Charok Padang atau dikenali dengan Kuil Botol Kaca ini merupakan salah satu tempat menarik di Sik, Kedah yang boleh dilawati. Kuil ini pernah disenaraikan dalam Malaysia Book of Records di mana kuil pertama yang dibina menggunakan botol kaca. Hampir 100,000 botol kaca digunakan dalam pembinaan kuil ini.

Antara tarikan yang menarik di kuil ini ialah rangka bot kayu yang berusia ratusan tahun dahulu. Rangka bot ini dijumpai pada 2010 oleh nelayan di sungai berhampiran. Terdapat juga beberapa binaan dari gelas kaca yang memang cantik dan berbaloi dilawati. Kuil ini dibuka setiap hari kecuali hari Rabu, dari pukul 9 pagi hingga 2 petang.

 

4. Lata Hujan Lebat

Hutan lipur yang terletak 30km dari Pekan Sik ini memang terkenal dengan air terjun yang cantik kerana memiliki jeram yang berlapis-lapis. Selain itu, istimewanya tempat ini ialah hutan lipur ini mempunyai keindahan rangkaian air terjun dan kolam takungan yang mengalir melalui sungai di kawasan berhampiran. Tidak semua air terjun mempunyai rangkaian ini, jadi ia menjadikannya tarikan yang wajib dikunjungi.

Di sini anda boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti berkelah, mandi manda dan jika anda seorang pendaki, anda juga boleh mendaki gunung atau jungle trekking. Untuk ke sini, anda boleh melalui Jalan Sik-Gulau serta melalui Kg. Melaka dan Kg. Landai.

 

5. Chalet D’Cabin Che Putih

Jika anda mencari tempat untuk menginap di Sik, jom cuba ke Chalet D’Cabin Che Putih. Chalet yang berkonsepkan kabin ini memang menarik. Berlatar belakangkan hutan dan dikelilingi pokok yang memang sangat sesuai jika anda menginginkan ketenangan. Suasana kampung di chalet ini juga pasti akan memberikan anda ketenangan jika anda memang duduk di bandar.

Chalet ini juga mempunyai beberapa fasiliti seperti kolam renang, open kitchen dan set BBQ. Semua ini disediakan secara percuma dan termasuk sarapan. Kemudahan bilik juga memang lengkap, termasuk tv dan pendingin hawa. Kena menginap di sini jika anda berada di Sik.

 

6. KEDA Resort Bendang Man

Unik betul nama kawasan ini kan? Resort ini diuruskan oleh Pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA). Apa yang menjadikan tempat ini istimewa ialah lokasinya yang terletak di hutan simpan Rimba Teloi dan mempunyai keluasan sehingga 75 hektar. Di sini juga terdapat dusun buah-buahan seperti rambutan dan durian. Kawasan ini juga mempunyai anak Sungai Chepir yang mengalir jernih dan menjadikan tempat ini sangat cantik dan nyaman.

Jika anda datang kena pada musimnya, anda akan dapat menikmati buah-buahan yang terdapat di sini seperti manggis, durian, langsat dan lain-lain. Kemudahan di sini juga memang lengkap. Terdapat chalet, asrama, kawasan perkhemahan dan perkelahan. Aktiviti seperti kem motivasi, kursus, memancing, melawat dusun dan pelbagai lagi boleh dilakukan di sini.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 04-7332085.

 

7. Mat’am Al Musafir

Anda mesti tertanya-tanya tempat apakah ini? Ini ialah restoran nasi arab yang menawarkan pelbagai menu di Sik, Kedah. Antara hidangan yang terkenal di sini ialah Set Talam Mix yang menggabungkan ayam dan kambing, Set Talam Kambing dan Set Talam Ayam. Hidangan talam ini boleh dinikmati sehingga 5 orang. Jika anda bercuti bersama keluarga di Sik, pastikan anda singgah di sini.

Restoran ini dibuka dari jam 5 petang hingga 10.30 malam. Untuk membuat tempahan, sila hubungi 01120759081.

 

8. KEDA Agrobiz

Bagi pengunjung yang gemarkan pertanian dan suka buat lawatan sambil belajar, salah satu tempat menarik di Sik yang anda boleh kunjungi ialah KEDA Agrobiz. Kawasan ini  merupakan kilang pemprosesan air mineral semulajadi Al-Wadi, ladang pelbagai tanaman dan herba seperti serai wangi, limau purut dan bermacam lagi. Selain itu, terdapat juga ladang kopi di sini. Ha peminat kopi kena pergi tau!

Di sini juga anda boleh membeli pelbagai produk kesihatan seperti balm serai wangi, sabun pencuci, sabun cuci muka, kopi dan pelbagai lagi. Produk utama mereka ialah air mineral semulajadi yang jernih dan segar. Pastikan anda borong semua ini, barulah support local kan.

Anda juga boleh menginap di sini, terdapat chalet untuk penginapan, lengkap dengan kolam renang. Sambil berendam di dalam kolam renang, anda boleh menikmati pemandangan ladang yang menghijau di sini.

 

9. Hutan Lipur Lata Lembu / Lata Embun

Hutan lipur ini terdapat berdekatan dengan Hutan Lipur Lata Mengkuang. Dengan namanya yang unik, anda pasti tertanya-tanya dari mana datangnya nama ini. Hutan lipur ini mendapat namanya daripada batu-batan yang terdapat di bawah air terjun yang berbentuk seakan lembu.

Di sini, masih lagi terdapat pokok yang beratus tahun usianya seperti Meranti Melantai, Meranti Langgong dan Meranti Tembaga. Antara keistimewaan air terjun di sini ialah ketinggiannya setinggi 30 meter yang mengalir melalui Sungai Lata Lembu dan Sungai Semerliang. Aktiviti yang anda boleh lakukan di sini ialah jungle trekking di samping menjejak fauna dan menikmati keindahan alam. Bagi pengunjung yang mempunyai stamina yang agak tinggi, anda boleh mendaki gunung sambil melihat hidupan liar.

Jika anda boleh berjalan jauh, terdapat satu denai sepanjang 5 kilometer yang menghubungkan ke Hutan Lipur Lata Mengkuang. Jika anda kurang pasti, boleh bertanya dengan orang yang lebih tahu dahulu. Utamakan keselamatan.

Kemudahan di hutan lipur ini lengkap dan anda boleh mandi manda, berkelah dan berkhemah. Hutan lipur ini terletak 16km dari Pekan Sik dan 95 kilometer dari Alor Setar.

 

10. Tuah Cafe Sik

Bagi penggemar hot plate, anda harus berkunjung ke Tuah Cafe Sik. Cafe ini menawarkan menu sizzling hot plate dan maggie clay pot. Rasa yang dihidang di cafe ini memang akan memikat hati pengunjung, dengan penuh rasa dan aromanya, cafe yang baru dibuka ini sering menjadi kunjungan.

Selain menu hot plate dan claypot, cafe ini turut menarik peminat bagi pengunjung yang hanya ingin melepak sambil minum kopi. Minuman yang sentiasa menjadi pilihan ialah Lotus Biscoff Cheesecake Frappe, Strawberry Creamy Frappe dan mojito yang mempunyai pelbagai rasa. Nak milkshake pun ada. Padankan hidangan anda dengan waffle yang mempunyai pelbagai rasa.

Cafe yang harus dilawati ini dibuka setiap hari kecuali Selasa, bermula 11.30 pagi sehingga 7.30 petang. Lokasinya terletak di Lot. 11A, Bangunan Keda Mall @ Sik, Merbau Kudung Batu 5 Sik (bersebelahan kedai borong Sa Dua Puluh). Wajib datang tau!

 

11. D’Puncak Bris Lake Resort

Ingin mencari tempat menginap di Sik, jom cuba menginap di D’Puncak Bris Lake Resort. Resort ini menyediakan chalet dan tempat perkhemahan yang terletak di tepi Tasik Beris. Resort yang cantik ini sering menjadi pilihan untuk pelbagai aktiviti seperti kem motivasi, hari keluarga, team building dan sambutan hari jadi.

Terdapat pelbagai aktiviti yang disediakan di resort ini yang menjadikannya salah satu tempat menarik di Sik seperti menaiki kuda, mengelilingi tasik dengan bot, berkayak, flying fox, dan abseiling. Selain itu, kaki pancing juga memang gemar ke sini kerana kemudahannya dan terdapat juga kandang haiwan yang boleh dilawati. Banyak kan aktiviti yang boleh dibuat di sini.

Harga chalet bermula pada RM80 satu malam, dan tapak perkhemahan juga ada tersedia. Jika anda ingin berkhemah tepi tasik pun boleh. View tapak perkhemahan anda memang sangat cantik. Jika anda hanya ingin mencari ketenangan dan bersantai, di sinilah tempatnya.

 

12. Tasik Beris

Tahukah anda, Tasik Beris merupakan sebuah tasik buatan yang terbentuk dari pembinaan empangan untuk membekalkan air di sekitar Kedah dan Pulau Pinang. Antara fakta menarik tasik ini ialah semasa proses pembinaannya, lebih 1000 kubur telah dipindahkan dan terdapat sekolah yang telah ditenggelami air empangan Beris.

Terdapat beberapa buah chalet yang dibina di sekitar tasik ini dan anda boleh membuat beberapa aktiviti serperti memancing, mengelilingi tasik dengan bot atau sekadar menikmati pemandangan tasik yang luas dan indah ini. Pasti cantik mengambil gambar dengan pemandangan tasik yang luas dan berbukit bukau.

 

Akhir kata

Walaupun mungkin Sik tidak semeriah seperti di Alor Setar atau Sungai Petani, tetapi daerah ini ada keistimewaannya yang tersendiri. Anda harus cuba kunjungi daerah ini dan pasti tidak akan menyesal.

Alang-alang anda sudah membaca tempat menarik di Sik, baca juga tempat menarik di Alor Setar dan tempat menarik di Langkawi.

Semoga artikel yang kami kongsikan ini dapat membantu perancangan percutian anda. Selamat bercuti!

Leave a Comment