7 Tempat Menarik di Perlis 2022 (Makan & Melancong)


Seringkali kita lihat dan baca di media sosial gurauan tentang kekecilan negeri Perlis, di mana populasi negeri tersebut hanya 8 orang! Walaupun benar, ia memang negeri terkecil di Malaysia, tetapi ia juga masih mempunyai beberapa tempat menarik di Perlis yang boleh anda kunjungi. Ini termasuklah negara jiran Thailand. Sawasdee kha!

 Namun, kali ini kami hanya akan kongsikan tempat pelancongan yang best di Perlis sahaja. Kalau anda ada masa untuk pusing-pusing kawasan utara ini, boleh juga lawati tempat menarik di Kedah.

Tempat menarik di Perlis

1. Pasar Terapung JPS Perlis

Bayangkan anda hendak membeli barang-barang makanan pada hari cuti Sabtu dan Ahad, dan pada waktu yang sama anda boleh menikmati aktiviti beriadah dan berekreasi sambil menikmati pemandangan air tasik yang tenang.

Di Pasar Terapung yang berlokasi di Kompleks/Kolam JPS Perlis, anda boleh berpengalaman mendayung sampan serta berkayak (RM2/seorang untuk 20 minit), dan anda boleh juga memancing di kawasan pasar ini!

 

2. Tasik Timah Tasoh

Bawalah ahli keluarga serta rakan-rakan anda untuk menikmati waktu petang di Timah Tasoh ini. Kawasannya bukan sahaja mempunyai tasik yang luas, tapi ia juga mempunyai pemandangan gunung-ganang seakan-akan di negara China.

Tahukah anda? Tasik Timah Tasoh ini diperbuat dari manusia sendiri, dan air tasik tersebut adalah gabungan di antara air Sungai Tasoh dan Sungai Timah.

Anda boleh menikmati pelbagai aktiviti seperti mengayuh basikal pada sesi beriadah atau anda juga boleh menghampar kain untuk berkelah sambil ditemani angin sepoi-sepoi bahasa Timah Tasoh ini. Sambil makan, sambil tengok pemandangan cantik. Siapa je tak suka?

 

3. Taman Anggur Perlis

Musim pandemik ini, anda tidak perlu runsing jika tidak boleh melancong ke luar negara dan menikmati pemandangan bunga-bunga yang cantik atau taman buah-buahan yang menyegarkan. Dekat Malaysia pun ada! Cuma, bezanya adalah melawat taman anggur dengan cuaca di sini memang akan membuatkan anda berpeluh sakan.

Terletak di daerah Kangar, Perlis, anda boleh melawat taman anggur yang jarang-jarang ada di Malaysia. Tambahan pula, terdapat banyak jenis anggur yang anda boleh dapati di sini dan bukan sekadar anggur sahaja yang ada, tetapi ada juga gerai-gerai makan berdekatan yang menawarkan juadah dengan rasa masakan yang akan membuatkan anda seperti seakan-akan berada di Thailand.

 

4. Bustana Kucing Perlis

Jika anda seseorang yang gemarkan makhluk berkaki empat dan bermuka comel (ya, kami maksudkan kucing-kucing.), anda boleh menziarahi Bustana Kucing yang terletak di Taman Ular.

Kucing-kucing di Bustana Kucing ini dijaga dengan rapi dari segi pemakanan, kebersihan serta kesihatan. Sekiranya anda hendak menjadi sukarelawan di syurga kucing ini, anda boleh juga berbuat demikian bagi meringankan beban pemilik Bustana Kucing ini seraya memberi kasih sayang terhadap kucing-kucing terbiar ini.

 

5. Gua Kelam

Sukakan aktiviti lasak dan ekstrem? Maka, anda perlu melawat Gua Kelam ini untuk mencabar tahap kelasakan anda!

Sebenarnya, ia tidaklah terlalu lasak atau ekstrem kerana di dalam gua tersebut, selain daripada mempunyai air sungai jernih yang mengalir di dalamnya, terdapat juga laluan pejalan kaki bagi para pelancong yang ingin mengalami suasana dalaman sebuah gua.

Di penghujung gua tersebut pula, anda akan dapat melihat barisan pokok-pokok hijau yang pasti akan menawarkan anda pengalaman yang menyegarkan terutamanya bagi pencinta-pencinta alam semulajadi.

 

6. Warung Tepi Sawah

Sekinchan, Selangor bukan satu-satunya tempat untuk anda menikmati juadah sambil dikelilingi sawah padi. Nikmati makan pagi anda di Warung Tepi Sawah ini sambil ditemani pemandangan indah gunung-ganang serta, tentulah, kehijauan sawah padi berserta angin yang meniup sepoi-sepoi bahasa yang membuahkan kesegaran kepada badan dan minda.

Disebabkan tempat ini agak terkenal, wajarlah untuk anda datang ke sini seawal pagi untuk mengelakkan kesesakan supaya dapat betul-betul nikmati makanan yang enak.

 

7. Nat Pokok Getah

Ini adalah salah satu tempat di Perlis yang masih tidak diketahui ramai. Ia diadakan pada setiap hari Jumaat dan Ahad di dalam ladang pokok getah yang luas di Kampung Kubang Arau, bermula dari 8 pagi hingga 1 petang. Anda disarankan untuk datang ke sini dengan perut yang kosong supaya dapat menikmati berbagai-bagai jenis makanan yang dijual di sini.

Oh ya, pasar ini juga bukan hanya menjual makanan dan minuman seperti pasar-pasar lain. Salah satu bahagian pasar ini juga menjual pelbagai perkara lain seperti baju-baju dan juga pisau-pisau buatan sendiri, dan ada juga yang menjual ubat-ubatan tradisional!

Jika anda penggemar barangan unik dan lain daripada yang lain, kami pasti anda pasti boleh menjumpai satu dua perkara yang akan menarik minat anda. Jika tidak, anda masih boleh menikmati pelbagai aneka makanan yang dijual di sini.

 

Akhir kata

Kami harap bahawa anda mendapat sedikit sebanyak tempat-tempat baru untuk dikunjungi sekiranya anda merancang untuk melawat negeri Indera Kayangan ini.

Selamat bercuti.

Leave a Comment