5 Tempat Menarik Di Muadzam Shah (Sesuai Untuk Pencinta Alam)


Kadang-kadang nak bercuti tapi tak ada idea nak ke mana. Apa kata kalau anda pergi ke tempat menarik di Muadzam Shah.

Walaupun cuma di Negeri Pahang, tapi ada tasik biru cantik macam dekat Switzerland. Nak tahu lebih lagi? Jom kita terokai tempat menarik di Muadzam Shah.

Tempat menarik di Muadzam Shah

Ini adalah senarai destinasi terbaik di Muadzam Shah yang boleh anda lawati untuk meluangkan masa bersama keluarga mahupun kawan-kawan.

1. Tasik Biru Bukit Ibam

Tahu tak, salah satu tempat menarik di Muadzam Shah adalah sebuah tasik yang diberi nama Tasik Biru Bukit Ibam. Ia terletak lebih kurang 20 minit perjalanan dari Bandar Muadzam Shah dengan menaiki kereta.

Menurut pemahaman kami, tasik ini telah terbentuk daripada kawasan takungan air yang berlaku disebabkan oleh aktiviti perlombongan dan kuari di situ. Walau bagaimanapun, keindahan tasik ini tidak boleh disangkal kerana pemandangannya yang memukau.

Air di Tasik Biru yang berwarna biru ini kelihatan seperti air laut. Airnya sangat cantik dan jernih lebih-lebih lagi ketika di bawah sinaran matahari yang membuatnya seakan berkilau seperti permata. Suasana di Tasik Biru ini juga sangat tenang dengan adanya pokok-pokok dan bukit-bukit di sekelilingnya.

Jadi, ia sangat sesuai dijadikan salah satu destinasi yang patut dikunjungi terutamanya buat mereka yang cintakan alam semula jadi dan inginkan ketenangan.

 

2. Tasik Hijau Bukit Ibam

Selain daripada Tasik Biru, ada juga tasik yang dipanggil Tasik Hijau. Tasik ini berada tidak jauh dengan Tasik Biru dan airnya berwarna hijau gelap.

Apa yang menarik tentang tasik ini adalah ia mempunyai kehidupan akuatik di dalam tasik tersebut. Buat anda yang teringin nak tengok sendiri kelainan dan perbezaan antara Tasik Biru dan Tasik Hijau ini. Bolehlah datang ke sini untuk melihat keunikkannya yang tersendiri.

Sudah pasti anda akan berasa kagum dengan keistimewaan tasik ini.

 

3. Ladang Teh Dara

Nak pergi Ladang Teh? Tak perlu pergi sampai Cameron Highlands pun. Sebabnya dekat Muadzam Shah pun ada ladang teh iaitu Ladang Teh Dara dan terletak di Bukit Ridan. Kalau anda pergi ke sini, anda akan lihat pokok teh yang ditanam di dalam ladang kelapa sawit.

Pemandangan di ladang teh ini tidak kurang hebatnya dengan ladang teh di tempat-tempat lain kerana kehijauan dan kesuburan pokok tehnya yang sangat memukau. Apatah lagi ladang teh ini juga sangat luas.

Kalau nak bergambar pun mesti cantik. Dah macam ada dekat Ladang Teh Cameron Highlands dah.

 

4. Bukit Ridan

Jika anda sukakan aktiviti seperti hiking, jemputlah datang ke Bukit Ridan yang merupakan destinasi popular untuk melakukan sebarang ekspedisi di Muadzam Shah. Ianya terletak berhampiran Kampus Universiti Tenaga Nasional dan mempunyai puncak setinggi hampir 500 kaki dari paras laut.

Anda akan dapat menikmati keindahan alam semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan yang rimbun ketika mendaki serta pemandangan Bandar Muadzam Shah dari puncak Bukit Ridan ini.

 

5. Kilang Susu Farm Fresh Berhad

Sebut saja susu jenama Farm Fresh mesti ramai orang dah tahu. Tapi anda tahu tak di Muadzam Shah ada Kilang Susu Farm Fresh?

Buat anda yang merupakan penggemar susu lembu dan yang berminat untuk tengok sendiri macam mana Kilang Susu Farm Fresh ini beroperasi. Bolehlah singgah di sini untuk merasai pengalaman baru dan menambahkan ilmu pengetahuan berkaitan produk tenusu yang dikeluarkan oleh Farm Fresh Berhad.

Bukan itu saja tau! Di sini juga anda akan dapat saksikan aktiviti milking iaitu dari pukul 6 pagi sehingga 12 tengah hari atau dari pukul 6 petang sehingga 12 malam. Selain itu, anda juga dapat melihat pelbagai jenis baka lembu yang bukan saja datang dari Malaysia malah dari luar negara.

Orang kata sambil menyelam, minum air. Seronok dapat, ilmu pun dapat.

 

Akhir kata

So, inilah antara tempat menarik di Muadzam Shah yang boleh anda kunjungi. Kalau nak diikutkan, ada lagi beberapa tempat menarik untuk diselitkan sekali. Namun, kami tidak dapat berkongsi kesemuanya atas faktor keselamatan dan tidak mesra pengunjung.

Oh ya! Alang-alang dah sampai di Muadzam Shah nanti. Singgahlah terus ke tempat menarik di Kuantan. Dapat juga mandi-manda dekat pantai. Bukannya jauh pun Kuantan dari Muadzam itu.

Akhir sekali, jangan lupa untuk masukkan tempat-tempat menarik di atas ke dalam checklist travel anda. Mana tahu 1 hari nanti anda akan perlukannya.

Leave a Comment