20 Tempat Menarik di Kuantan 2022 (Siapa Tak Pergi, Dia Rugi)


Antara destinasi pelancongan yang popular di Malaysia ialah Kuantan, Pahang. Kuantan yang baru sahaja dinaik taraf menjadi bandaraya menjanjikan keseronokan untuk anda dengan keunikan bandarnya yang terletak tidak jauh dari pantai, dan menawarkan destinasi pelancongan yang pelbagai untuk anda. Terdapat banyak tempat menarik di Kuantan yang boleh anda terokai samada anda ingin menikmati angin laut, menyaksikan keindahan matahari terbit, atau hanya sekadar ingin berjalan-jalan cari makan.

Izinkan kami berkongsi dengan anda antara tempat yang terbaik di Kuantan yang anda boleh lawati bersama keluarga, kawan-kawan ataupun jika anda berseorangan.

Tempat menarik di Kuantan

1. Pantai Batu Hitam

Terletak menghadap Laut Cina Selatan, antara tarikan popular di Kuantan semestinya pantai. Pantai Batu Hitam merupakan lokasi yang agak menarik untuk anda jika ingin bercuti. Pantai di sini mempunyai longgokan batu hitam di sesetengah bahagian pantainya, yang menyumbang kepada namanya. Di sebalik batu-batu hitam ini, anda boleh mencari binatang kecil seperti siput, ketam dan kulit kerang yang unik.

Di sini juga merupakan tempat tarikan pemancing kerana dikatakan di sini mudah mendapat ikan. Petang-petang kebiasaannya pantai ini akan menerima lebih ramai pengunjung kerana cuacanya yang redup dan berangin. Namun, jika musim cuti sekolah atau hujung minggu, seawal pagi pantai ini sudah menerima pengunjung kerana ingin bermandi-manda.

Di sini juga anda boleh menikmati juadah yang sedap. Terdapat beberapa kedai makan yang beroperasi yang akan mengenyangkan jika anda lapar selepas mandi laut. Jika anda kenyang, menu ringan seperti mi kari, rojak, celup tepung, abc juga ada. Jika anda bernasib baik, kadang-kala car boot sales juga turut diadakan di medan letak kereta.

Anda tidak perlu risaukan dengan kemudahan asas kerana fasiliti seperti tandas, surau dan tempat parking kereta ada disediakan dan diseleggarakan dengan baik di sini.

 

2. Pantai Balok

20 minit memandu dari pusat bandaraya, tibalah anda ke Pantai Balok. Pantai Balok merupakan salah satu pantai dengan pemandangan indah. Dengan pemandangan Laut China Selatan yang luas dan redup di bawah pokok ru, pasti akan memberikan anda ketenangan dan kedamaian.

Terdapat beberapa aktiviti menarik jika anda berkunjung ke Pantai Balok. Selain dari mandi pantai dan bermain layang-layang, antara aktiviti yang anda boleh lakukan di sini ialah luncur angin, luncur layar dan perahu layar. Jika anda bernasib baik, di sini juga sering diadakan pertandingan berperingkat kebangsaan untuk aktiviti lasak ini atas faktor angin dan arus pantai yang sangat sesuai. Jika anda kurang gemar dengan akttiviti air, anda juga boleh menyewa ATV di sini dan boleh menikmati pantai dengan cara yang menyeronokkan!

Jika anda gemarkan hasil laut segar, anda boleh berkunjung ke Pasar Nelayan Balok yang terletak berhampiran pantai ini. Di sini merupakan jeti pendaratan ikan untuk nelayan tradisional dan nelayan pantai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Jadi memang sah hasil yang dijual di sini amat segar dan harganya juga agak murah berbanding dengan pasar biasa kerana anda akan membeli terus dengan nelayan di sini.

Kawasan Pantai Balok ini juga mempunyai banyak gerai di tepi jalan yang menjual hasil kampung seperti pelbagai produk dari ikan, dan juga jeruk. Anda boleh membeli-belah di gerai-gerai ini untuk dibawa pulang ke rumah anda sebagai buah tangan untuk jiran-jiran.

 

3. Natural Batik Village

Seterusnya, antara tempat menarik di Kuantan ialah Natural Batik Village. Jika anda menginap di Dhe Rhu Beach Resort, tempat ini amat dekat dengan anda. Di sini, anda akan dapat melihat proses mencanting batik dilakukan. Anda boleh melihat sendiri dan bertanyakan soalan terus kepada pekerja di sini.

Aktiviti yang sentiasa menarik minat pelancong untuk ke sini mestilah aktiviti mewarna batik. Anda boleh memilih corak batik yang anda ingin canting pada harga RM10, dan jika anda ingin membawa pulang hasil cantingan anda harga lain akan dikenakan. Kami sarankan untuk anda membawa pulang hasil cantingan anda, boleh dijadikan kenangan!

Natural Batik Village, sesuai dengan namanya pasti menawarkan pelbagai produk berasaskan batik. Antara produk yang ditawarkan termasuklah barangan cenderahati, kain, baju dan sebagainya. Harga yang ditawarkan juga bermula dari beberapa ringgit hingga ke ratusan. Jika anda mencari produk yang lebih eksklusif, mereka juga turut menyediakannya di bahagian belakang ruangan jualan yang diasingkan dengan pintu kaca.

Tempat ini dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi higga 7 malam dan tiada bayaran dikenakan untuk masuk.

 

4. Pantai Pelindung

Jika anda inginkan privacy dan tempat yang tidak terlalu sesak, anda boleh berkunjung ke sini. Pantai ini tidak berapa diketahui oleh pengunjung luar, sebaliknya banyak penduduk tempatan yang suka ke sini kerana tidak terlalu padat. Jalan ke sini juga agak janggal jika tidak biasa dilalui namun anda boleh bertanyakan pada penduduk setempat jika anda ingin ke sini.

Di sini, anda boleh berkelah sambil menikmati angin laut dan melihat bot-bot nelayan yang naik dari laut selepas mencari rezeki di lautan. Jika anda gemar mengambil gambar pemandangan, Pantai Pelindung bakal memberikan anda pemandangan yang indah dengan suasana kampung yang asli dan sangat natural. Lanskap yang dijamu di sini juga sangat indah dengan bongkah batu yang besar dan cantik susunannya, pasti memukau anda.

Dalam masa yang sama, walaupun tidak begitu terkenal seperti kawasan pantai yang lain, Pantai Pelindung tetap lengkap dengan banyak kemudahan asas untuk para pengunjung seperti surau, tandas, kedai yang menjual barangan keperluan dan warung-warung makan. Jadi anda tidak perlu risau tentang fasiliti di sini.

 

5. Teluk Chempedak

Nama yang tidak asing lagi dengan Kuantan, semestinya pantai Teluk Chempedak. Pantai ini yang lebih dikenali sebagai TC merupakan antara lokasi wajib jika anda berkunjung ke Kuantan. Pengunjung dari luar mahu pun tempatan sangat gemarkan tempat ini kerana pemandangannya yang cantik, angin laut yang damai dan terdapat banyak tempat makan dan aktiviti yang disediakan di sini.

Di sini terdapat banyak kedai makan, dari sekadar keropok hingga makanan western. Anda boleh memilih untuk membeli buah-buahan untuk dinikmati sambil berjalan-jalan atau duduk menghirup jus segar di tingkat atas kedai makan Loteng. Senang cerita, jika anda ingin jalan-jalan cari makan sahaja di Teluk Chempedak pun sudah cukup!

Selain makanan, di sini juga anda boleh membeli cenderahati untuk dibawa pulang. Cenderahati seperti magnet, pasir hiasan, gelang nama banyak dijual di sini. Jika anda membawa kanak-kanak, taman permainan juga ada di sini dan anda boleh menempah beg angin untuk dijadikan tempat anda bersantai jika anda tidak mahu duduk di atas pasir.

Bagi anda yang sukakan adventure, anda boleh menuju ke Teluk Tongkang iaitu teluk yang terletak bersebelahan dengan Teluk Chempedak. Untuk ke sana, anda perlu berjalan di trek yang disediakan. Pemandangan sepanjang perjalanan pasti akan memuaskan hati anda. Namun hati-hati jika anda membawa makanan kerana beruk di sana agak liar dan akan merampas makanan anda. Pastikan anda menyimpan atau menyorokkan makanan anda dengan baik.

Walaupun tempat ini sentiasa sesak, kemudahan asas di sini dijaga dengan rapi. Surau dan tandasnya sentiasa diselenggara dengan baik. Kawasan letak kereta juga telah ditambah bagi memastikan pengunjung dapat berkunjung ke sini tanpa risau dengan ketiadaan parking. Anda juga boleh menginap di sini kerana terdapat banyak hotel dan rumah tamu di sini.

 

6. Mini Zoo Taman Teruntum

Terletak tidak jauh dari Teluk Chempedak, anda boleh meluangkan masa anda melihat pelbagai jenis haiwan di Mini Zoo Taman Teruntum. Jika anda membawa anak-anak kecil, mereka pasti akan teruja melihat pelbagai haiwan di sini. Walaupun tidak besar seperti zoo biasa, namun anda juga boleh berseronok di sini.

Antara haiwan yang anda boleh lihat di sini ialah kuda, iguana, binturong, landak raya, buaya, burung merak, rusa dan banyak lagi. Anda boleh menghabiskan tempat ini dalam masa 2 ke 3 jam sahaja kerana tempat ini tidaklah begitu luas. Di sini juga tersedia taman permainan dan trek basikal jika anda ingin melakukan aktiviti lain.

Bayaran yang dikenakan ialah RM4 untuk seorang dewasa, dan RM2 untuk kanak-kanak. Dinasihatkan supaya anda membawa sendiri makanan anda kerana kedai makan di sini masih dalam baikpulih. Jangan lupa bawa air masak banyak-banyak kerana cuaca yang panas akan mengganggu anda.

 

7. Pantai Kempadang

Terletak kira-kira 15km dari pusat bandaraya, Pantai Kempadang merupakan salah satu tempat menarik di Kuantan. Pantai ini menjadi antara lokasi menarik kerana selain dari pantainya yang luas dan cantik, ia juga adalah pusat aktiviti nelayan kecil tempatan. Di sini terdapat banyak aktiviti yang boleh dibuat selain menikmati angin laut.

Antara aktiviti yang menjadi tarikan di sini ialah menunggang kereta kuda dan menunggang kuda, wah seronoknya! Selain itu, anda juga boleh menaiki kereta api mini dan di sini juga terdapat taman tema mini untuk anak-anak anda. Terdapat juga pelbagai juadah yang dijual di sini dan anda boleh menikmati celup tepung, salah satu juadah popular di tepi pantai. Malah, jika anda datang pada waktu yang baik, anda juga boleh membeli sendiri hasil laut segar dari nelayan tempatan pada waktu pagi dan tengah hari.

Di sini juga anda tidak perlu risau akan fasilitinya kerana ia sudah lengkap dengan surau, tandas awam, gerai makanan dan termasuklah medan letak kereta. Anda juga boleh memancing di sini tau!

 

8. Taman Gelora

Waktu petang dan teringin menjamu tekak anda? Taman Gelora merupakan tempat yang sangat sesuai! Terdapat pelbagai juadah yang dijual di sini. Antara menu popular di Taman Gelora ialah rojak dan nasi ayam. Rojak di sini dikatakan agak sedap berbanding dengan tempat lain, dengan kuahnya yang cukup rasa dan bahan-bahan lain yang banyak dan tidak kedekut. Selain itu, cendol dan abc juga mendapat tempat di hati pengunjung yang berkunjung di sini. Keropok lekor dan cucuk-cucuk juga ada dijual di sini jika anda tidak terlalu lapar.

Selepas perut penuh, anda boleh berjalan-jalan di tasik bersebelahan gerai makanan di sini. Tasik yang dipenuhi bunga teratai pasti akan memberi pemandangan yang cantik di mata anda. Nak bergambar di sini juga sangat dinasihatkan kerana tempatnya yang cantik. Tasik ini juga mempunyai trek berjoging dan kemudahan alatan bersukan jika anda ingin berpeluh.

 

9. Bukit Panorama

Jika anda adalah sunrise catcher, Bukit Panorama akan menjadi salah satu tempat menarik di Kuantan untuk anda. Ramai pengunjung mendaki bukit ini semata-mata untuk merakam matahari terbit. Jika anda bernasib baik, pemandangan yang bakal anda lihat pasti akan memukau anda dengan pemandangan karpet awannya. Anda juga akan dapat melihat hampir keseluruhanpekan Sungai Lembing dari puncak bukit yang berketinggian dalam 271 meter ini.

Bukit Panorama ini mengambil kira-kira dalam 30 minit untuk sampai ke puncak. Laluannya tidak sukar namun perjalanan yang bertangga boleh menjadi agak mencabar jika anda tidak bersedia. Di sini tersedia tandas awam namun surau tidak disediakan.

Untuk ke Bukit Panorama juga tidak sukar dengan lokasinya yang terletak berhampiran pekan Sungai Lembing. Selepas mendaki Bukit Panorama, anda boleh ke pasar pagi di pekan ini pula untuk menikmati hidangan tempatan yang pasti memberikan pengalaman baru untuk anda.

 

10. Air Terjun Pelangi

Jika anda salah seorang peminat aktiviti lasak dan sudah mendaki Bukit Panorama, aktiviti seterusnya yang anda boleh lakukan di Kuantan ialah mengejar pelangi di Air Terjun Pelangi. Terletak di Sungai Lembing, Air Terjun Pelangi ini merupakan salah satu lokasi yang sangat menarik kerana anda boleh melihat pelangi di depan mata anda sendiri!

Air terjun yang mempunyai ketinggian sebanyak 250 meter ini pasti akan memberi anda pengalaman baru kerana untuk ke sini juga agak mencabar. Anda perlu menyewa 4×4 yang banyak ditawarkan di pekan Sg. Lembing dan seterusnya anda perlu menyeberangi sungai yang agak dalam dan deras. Seterusnya, anda perlu trekking dan mendaki sedikit untuk ke air terjun ini.

Waktu terbaik untuk melihat pelangi di sini ialah antara pukul 8 hingga 10 pagi kerana matahari berada di depan air terjun dan anda akan nampak dengan jelas pelangi yang terhasil. Anda juga dinasihatkan untuk mendapatkan pemandu yang berdaftar dan bertauliah kerana tempat ini agak berbahaya lebih-lebih lagi jika anda tidak pernah datang ke ini.

 

11. Muzium Sungai Lembing

Sungai Lembing merupakan salah satu pekan yang terkenal dengan lombongnya. Lombong bijih timah di Sungai Lembing merupakan salah satu-satunya lombong bawah tanah yang terdalam dan terpanjang di dunia dan pernah menjana ekonomi negara yang menjadikan Sungai Lembing begitu terkenal di peringkat antarabangsa. Pasti menarik bukan dapat melawat tempat yang penuh bersejarah ini.

Muzium ini juga agak menarik kerana ia ditempatkan di sebuah bangunan bekas kediaman Pegawai Lombong itu sendiri yang masih mengekalkan ciri-ciri senibina zaman Inggeris.

Di antara koleksi menarik yang dipamerkan ialah jentera gerudi, gerabak kereta api, pakaian topi keselamatan dan peralatan perabot pejabat pengurus lombong. Muzium ini dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari dan tiada bayaran dikenakan.

Jika anda ingin merasai sendiri pengalaman di lombong bawah tanah, anda boleh ke Lombong Bijih Timah Bawah Tanah yang terletak berdekatan muzium ini.

 

12. Gua Charas

Seterusnya, salah satu tempat menarik di Kuantan ialah Gua Charas. Gua ini berkeluasan xxx dan mempunyai 8 buah gua lagi di dalamnya, wah luas betul Gua Charas ini kan!

Antara tarikan utama di Gua Charas ini ialah reclining Buddha statue ataupun patung Buddha tidur yang mempunyai ukuran sepanjang 8 meter. Selain itu, beberapa patung Buddha lain juga turut ada dalam gua ini kerana tempat ini juga merupakan destinasi dan kuil bagi penganut agama ini.

Untuk ke sini juga anda perlu melalui laluan yang agak mencabar dengan tangganya yang banyak, dan laluan yang agak licin kerana struktur guanya. Dinasihatkan agar anda mendapatkan khidmat pemandu yang lebih bertauliah untuk mengelakkan anda sesat atau kemalangan.

 

13. Bukit Pelindung

Untuk anda yang gemarkan mendaki, anda boleh meluangkan masa anda di Bukit Pelindung. Pendakiannya agak mudah namun anda juga harus pastikan anda bersedia untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Setelah tiba di puncak, anda pasti terpesona dengan view yang bakal dijamu. Anda boleh melihat sebahagian bandaraya Kuantan. Untuk ke sini anda hanya perlu mencari Hutan Lipur Bukit Pelindung yang terletak berhadapan Sekolah Menengah Ampuan Afzan.

 

14. Esplanade Menara 188

Ambil angin yang nyaman dari Sungai Kuantan sambil menyaksikan bot nelayan pulang dari laut pasti akan memberikan anda satu perasaan yang asyik. Esplanade merupakan salah satu tempat menarik di Kuantan untuk anda kunjungi.

Anda boleh menikmati suasana petang di sini di samping mengambil gambar kenangan di salah satu monumen terbaru iaitu Menara 188. Anda boleh melihat satu bandar Kuantan jika anda menaiki menara ini, ala-ala Menara Taming Sari di Melaka. Jika anda inginkan pengalaman yang lain dari yang lain, anda juga boleh menyewa bot di Kuantan River Tours. Dengan bayaran yang murah, anda akan dibawa menelusuri Sungai Kuantan dan anda boleh meneroka keindahan paya bakau laut yang jarang didapati. Terdapat beberapa pakej yang ditawarkan dan anda boleh membuat pilihan mengikut citarasa anda.

Waktu petang juga sangat meriah jika anda membawa kanak-kanak di sini. Terdapat taman permainan dan kanak-kanak boleh bermain belon air sabun yang boleh disewa di sini. Pada waktu malam, anda boleh menikmati lampu-lampu dan anda boleh mengambil gambar kenang-kenangan di sini.

 

15. Bukit Gambang Resort City

Alami keseronokan tak terhingga di Bukit Gambang Resort City! Antara taman tema yang luas dengan keluasan sebanyak 46 ekar ini pasti akan memberikan pengalaman luar biasa pada anda dan keluarga. Di sini terdapat pelbagai jenis permainan dan tema untuk anda cuba yang pasti akan menjadi kenangan indah.

Antara tarikan popular di sini ialah kolam ombak yang terbesar di Malaysia, rakit terpanjang, gelongsor terpanjang, dan 6-lane racer yang terpanjang di Malaysia. Menarik bukan tarikan di sini? Pulau Penguin juga pasti akan menarik minat anak-anak anda dengan reka bentuknya yang sangat menarik dan comel.

Selain itu, anda juga boleh kunjungi Gambang Safari Park yang merupakan taman safari terluas di Malaysia. Anda boleh melihat dengan lebih dekat lebih dari 300 jenis haiwan termasuklah haiwan yang eksotik dan jarang didapati di Malaysia.

Apa yang menarik di sini ialah anda akan dibawa masuk ke dalam habitat haiwan di sini dan melihat dengan lebih dekat tanpa pagar. Terdapat juga persembahan pada waktu tertentu.

Di sini juga anda boleh melakukan aktiviti lain seperti menaiki ATV, menunggang kuda dan bermain paintball, flying fox dan jungle trekking.

 

16. Petrosains Playsmart Kuantan

Bagi anda yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, bawa mereka berjalan sambil belajar di Petrosains Playsmart Kuantan. Sambil bercuti, boleh juga menambah ilmu pengetahuan.

Terletak di Jalan Kamunting, Kuantan, Petrosains ini memnyediakan pelbagai aktiviti menarik serta pameran yang interaktif dan menyeronokkan. Aktiviti yang disediakan juga pasti akan membuatkan anak-anak anda berfikir di luar kotak yang pastinya akan merangsang minda mereka.

Terletak di Bangunan Perpustakaan Awam Kuantan, selepas anak-anak anda penat bermain, boleh bawa mereka melepaskan lelah sambil membaca buku di perpustakaan juga. Lokasi Petrosains ini juga sangat mudah dilawati kerana terletak tidak jauh dari Esplanade Kuantan. Tiada bayaran yang dikenakan untuk masuk ke sini. Best kan?

 

17. Air Terjun Sg Pandan

Jika anda dan keluarga sudah bosan ke pantai jangan risau, anda boleh ke air terjun pula! Air Terjun Sungai Pandan atau juga dikenali sebagai Air Terjun Panching juga merupakan salah satu tempat menarik di Kuantan yang anda boleh lawati. Mesti sejuk rasa badan apabila disirami dengan air terjun di kala panas tengah hari Kuantan. Anda boleh berkelah dan bbq di sini juga bersama keluarga sambil berseronok.

Jalan untuk ke sini juga tidak sukar dan jauh dari Bandar Kuantan. Selain itu, air terjunnya juga tidak jauh dari tempat letak kereta. Tidakla letih sangat untuk berjalan kaki terutamanya jika anda ada anak kecil atau barang yang banyak. Kemudahan yang disediakan juga lengkap dengan tandas dan surau. Gazebo juga ada disediakan untuk keselesaan pengunjung.

Jika anda bernasib baik, di sini juga anda boleh melihat pelangi yang terbias dari percikan air terjun. Tetapi tidaklah seperti di Air Terjun Pelangi kerana kedudukannya yang lain.

 

18. Tanjung Lumpur

Sebut sahaja Kuantan, pasti aroma ikan bakar akan bermain-main di fikiran anda. Jangan lupa singgah ke Tanjung Lumpur yang mempunyai pelbagai restoran ikan bakar yang pasti akan mengecurkan air liur anda. Ikan dan hasil laut yang dihidangkan lebih segar di sini berbanding tempat lain kerana lokasinya di tepi laut dan sungai memudahkan lagi pengusaha restoran mendapatkan hasil yang terbaik untuk anda.

Anda boleh ronda-ronda di Tanjung Lumpur ini untuk mendapatkan kedai yang sesuai dengan citarasa anda. Selain itu, pada waktu petang juga ada beberapa gerai yang menjual makanan celup tepung yang fresh berserta air kelapa muda yang pasti menyegarkan tekak anda. Wajib tau jika anda datang ke Kuantan dan rasai sendiri kesegaran hasil laut yang dihidangkan.

 

19. Kuantan Art Street

Salah satu tempat menarik di Kuantan yang terbaru ialah Kuantan Art Street. Terletak di lorong belakang barisan kedai lama di Jalan Besar, Kuantan Art Street memaparkan lukisan mural kisah rakyat dan identiti negeri Pahang yang menjadikannya lokasi wajib yang harus anda lawati bersama keluarga.

Selain dari lukisan mural, kawasan ini juga dihiasi dengan lampu bagi menghidupkan suasana di waktu malam. Lokasinya juga yang terletak begitu hampir dengan Esplanade juga akan lebih memudahkan anda untuk mengakses tempat ini.

 

20. Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating

Sebenarnya, tak perlu sampai ke Terengganu kalau nak tengok penyu depan mata. Di Cherating pun ada. Tak jauh dari Club Med Resort, Cherating.

Kalau bawa kanak-kanak, merekalah yang akan teruja bila dapat tengok dan pegang anak-anak penyu di sini. Jika ada rezeki, boleh lihat anak-anak penyu menetas dari telur.

Antara beberapa program menarik yang boleh diikuti di sini ialah:

  • Melawat tapak penetasan anak penyu
  • Melihat anak-anak penyu dilepaskan ke laut
  • Melihat penyu mendarat pada waktu malam.

Waktu operasi di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu ini adalah dari hari Selasa hingga Ahad, jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang.

 

Akhir kata

Sekian perkongsian dari kami mengenai tempat menarik di Kuantan. Selepas ini, anda boleh merancang sebaik-baiknya jika ingin bercuti ke Kuantan.

Selepas bercuti di Kuantan, apa kata sambung percutian anda ke Cameron Highlands. Kami ada kongsikan tempat menarik waktu malam di Cameron Highlands untuk anda.

 

Leave a Comment