Tempat Menarik di Melaka


Di manakah tempat menarik di Melaka? Susah mahu jawab soalan ini. Kenapa? Ini kerana Melaka ada kesemuanya.

Ada tempat makan menarik, tempat makan best untuk seafood yang sedap, lokasi bersejarah dan macam-macam lagi. Selepas masuk memasuki tol Ayer Keroh, bersedialah untuk memberikan memori manis untuk anak-anak.

Sedikit mengenai Melaka

Kalau anda peminat subjek sejarah terutamanya sejarah negara Malaysia ini, negeri yang paling sesuai anda lawati semestinya Melaka.

Kena sangatlah dengan jolokan namanya; Melaka, bandar bersejarah. Tak kiralah kalau anda cikgu sejarah ke, pelajar sejarah ke, atau sedang merancang lawatan untuk pelajar ke, Melaka merupakan negeri yang terbaik untuk anda meluangkan masa melihat sendiri dengan mata bangunan-bangunan dan artifak-artifak yang kita selalu lihat dalam buku sejarah.

Dan tidak kira juga, samada musim cuti sekolah atau tidak, Melaka sentiasa menawarkan tempat-tempat menarik dan bersejarah. Maka, izinkan kami berkongsi tempat menarik di Melaka yang percuma.

Jika berbayar sekalipun, masih lagi minimum harganya.

Senarai tempat menarik di Melaka

Apa yang paling penting, banyak tempat menarik di Melaka yang boleh dilawati secara percuma! Bak kata orang zaman sekarang, ‘buat apa bayar kalau benda boleh dapat percuma?

Betul tak?

Maka, izinkan kami berkongsi.

1. Kubu Pertahanan A Famosa

Ini tempat yang wajib dilawati. Tak lengkap perjalanan ke Melaka kalau tidak singgah di sini.

Bangunan kubu A Famosa semestinya menduduki tempat pertama dalam carta ini kerana sejarah yang ada padanya. Sisa runtuhan bangunan A Famosa terletak di tengah-tengah bandar bersejarah Melaka yang diwartakan sebagai tapak warisan dunia UNESCO.

Pada zaman kegemilangannya, kawasan kubu ini meliputi kawasan yang sangat luas dan besar. Ia dipenuhi dengan banyak bangunan kerajaan, gereja dan hospital. Pada abad ke-16, kubu Portugis ini hampir musnah sepenuhnya.

2. Jonker Walk / Jonker Street

Jonker Walk atau turut dikenali dengan nama Jonker Street pula adalah sebuah tempat yang sangat terkenal sebagai tempat yang menjadi pilihan pada pengunjung dari dalam dan luar negara untuk membeli belah.

Jonker Walk yang juga sebahagian daripada tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO mengambil masa dari 30 hingga 45 miniti untuk diterokai.

Sepanjang berjalan di sini, kita boleh tengok bangunan-bangunan yang lain dari yang lain dengan graffiti yang sangat menarik.

Tempat yang selalu dipenuhi oleh orang ramai ini menyediakan pelbagai jenis barangan cenderamata dan makanan tempatan yang sangat menyelerakan. Senang cerita, semua orang akan gembira di sini.

3. Orang Utan House

Orang Utan House pula tempat yang tepat untuk pengunjung yang sukakan lukisan graffiti; lukisan pada dinding.

Ia terletak berdekatan dengan Muzium Sejarah Cheng Ho.

Di sini, para pengunjung boleh memilih dan mendapatkan tshirt dengan pelbagai jenis lukisan yang dilukis oleh pelukis tempatan. Yang pasti, tshirt mereka sangat unik dan menarik. Sangat sesuai untuk dibawa pulang sebagai cenderahati kepada orang tersayang.

Bukan setakat unik, lukisan pada tshirt mereka juga membawa mesej yang mendalam dan tersendiri.

4. Pantai Pasir Klebang

Pantai Klebang juga antara tempat yang tidak boleh kalau tidak singgah kalau anda bercuti atau sekadar meluangkan masa di Melaka.

Pantai ini menjadi tarikan ramai kerana keunikannya yang mempunyai timbunan pasir yang membentuk bukit-bukit kecil yang jarang terdapat di pantai lain di Malaysia.

Pantai Klebang adalah syurga, iaitu tempat menarik di Melaka untuk makan-makan. Ia sentiasa dikunjungi ramai orang tambah-tambah lagi dengan apabila adanya deretan kedai yang menjual pelbagai makanan dan minuman di sepanjang pantai tersebut.

Minuman yang paling terkenal mestilah coconutnya. Selain itu, pengunjung juga boleh merasai pengalaman menunggang kuda dan menaiki kereka kuda di sini. Pantai Klebang juga terletak berdekatan dengan Muzium Kapal Selam.

5. Medan Ikan Bakar Terapung Umbai

Medan Ikan Bakar Terapung Umbai merupakan sebuah kawasan menjamu selera yang sangat unik. Ia bukan sekadar tempat makan biasa kerana tempat ini dibina di atas permukaan air.

Tempat makannya lebih kepada konsep terbuka. Sambil makan, pengunjung akan merasai angin pantai sepoi-sepoi bahasa. Ada juga terdapat kedai-kedai yang menjual barang mainan dan cenderamata yang lain.

Bagi peminat makanan laut yang ingin merasai pengalaman berbeza menikmati hidangan ikan bakar dan pelbagai jenis hidupan laut yang lain, sila singgah ke Medan Ikan Bakar Umbai.

6. Masjid Kampung Hulu

Yang terakhir, tempat menarik di Melaka yang percuma ialah yang berkaitan dengan keagamaan.

Jangan tak percaya, Masjid Kampung Hulu merupakan masjid tertua di Malaysia. Ia dibina lebih kurang pada tahun 1720 hingga 1728 dan telah dibaikpulih untuk memelihara struktur bangunannya yang asal.

Struktur bangunannya menggabungkan beberapa elemen yang terdapat di Malaysia iaitu Melayu, Sumatera, Cina dan India.

Bila solat di dalam, terasa ada perasaan bagaikan bersolat zaman dahulu kala. Kayu-kayunya masih lagi kuat dan tahan.

7. Melaka River Cruise

Kenapa kami katakan ini tempat menarik di Melaka waktu malam?

Ini kerana anda akan merasai bagaikan menaiki sampan di zaman Kesulatanan Melayu Melaka zaman dahulu kala.

Kami cadangkan, anda beli tiket dalam jam 6.30 petang, dan mula beratur.

Agak-agak mahu masuk waktu Maghrib, naik bot dan rasai pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Anda akan dapat menikmati dua suasana Melaka; iaitu waktu siang yang masih terang dan apabila kembali semula ke pangkalan pada waktu malam.

8. Menara Jam Melaka (Tan Beng Hee Clock Tower)

Menara Jam Melaka atau juga dikenali dengan nama Tan Beng Hee Clock Tower boleh dikatakan sebagai bangunan yang paling menyerlah dalam kawasan Red Square.

Warna merah pada bangunan yang dibina pada tahun 1886 ini sememangnya menarik perhatian setiap yang melihatnya.

Bangunan ini tidaklah setinggi menara jam di tempat lain tetapi masih menjadi monument yang cantik dan menarik untuk diabadikan dalam koleksi gambar percutian anda.

Namun begitu, hati-hati apabila bersiar-siar dan melintas jalan di kawasan ini kerana ia sentiasa sibuk dan dipenuhi dengan kenderaan.

9. AEON Melaka

Untuk mereka yang ingin membeli belah dalam suasana yang lebih tenang dan sejuk, anda boleh memilih untuk ke AEON Bandaraya Melaka.

AEON Bandaraya Melaka sesuai untuk aktiviti membeli belah keluarga kerana hampir semua barang keperluan boleh didapati di bawah satu bumbung. Bukan itu sahaja, restoran dan kedai makanan juga sangat banyak untuk dipilih oleh para pelanggan.

Ruang parkir yang luas turut disediakan, tetapi ia boleh jadi penuh juga pada musim cuti. Jadi, kalau ingin singgah ke sini, sila datang lebih awal.

10. Freeport A’ Famosa Outlet

Sesungguhnya, tempat menarik di Melaka ini sesuai untuk membeli-belah. Untuk letak kereta, semestinya percuma, tanpa bayaran. Cuma bila beli barang berjenama, kenalah bayar.

Freeport A’Famosa Outlet adalah tempatnya kalau anda ingin merasai pengalaman membeli-belah yang lain dari yang lain! Lain sangat sampai ada juga yang menamakannya Freeport A’Famosa Village kerana di dalamnya bagaikan ada sebuah perkampungan. Menarik kan?

Tengok sahaja bangunannya, sangat unik. Apabila melangkah ke pintu masuk, kita dapat melihat rekaan hiasan dalaman yang sangat menarik dan berbeza dengan adanya tasik dan sebuah kincir angin.

Jadi, setiap pengunjung bukan sahaja dapat membeli belah, anda juga boleh bergambar sakan dengan berlatar belakangkan suasana yang sangat menarik dan cantik.

Oh lupa, macam-macam barang daripada pelbagai jenama terkenal ada dijual di sini dan kebanyakannya adalah lebih murah daripada tempat lain.

Memang terbaik!

11. Galeri Lebah

Galeri Lebah Melaka dulunya dikenali sebagai Muzium Lebah Dunia. Ia beroperasi di bawah Giant B yang diiktiraf sebagai jenama pengeluar madu lebah terbesar di Malaysia pada tahun 1978.

Lebah-lebah dipelihara di belakang cermin kaca yang membolehkan para pengunjung melihat lebah-lebh dengan lebih dekat tapi selamat.

Para pengunjung boleh mendapatkan pelbagai info mengenai lebah dan penghasilan madu lebah di sini. Bagi peminat madu yang terkenal tinggi dengan khasiat yang baik untuk kesihatan, anda boleh mendapatkan pelbagai jenis produk daripada madu lebah di sini.

Bukan itu sahaja, di sini terdapat auditorium untuk mereka yang ingin belajar tentang lebah. Terdapat juga aksi bee-man di sini pada waktu tertentu. Menakutkan tapi menarik!

Demang Abdul Ghani Gallery merupakan sebuah bangunan tradisional yang telah dibina pada tahun 1894 dengan pengaruh seni bina Palembang, Filipina dan juga Champa. Pembinaan rumah ini menggunakan kayu-kayu yang berkualiti tinggi seperti Merbau, Cengal dan kayu jati. Oleh sebab itu, walaupun usia rumah ini sudah lama, iainya masih mampu untuk berdiri dengan kukuh.

Pasti ada yang tertanya-tanya siapakah Demang Abdul Ghani ini? Demang Abdul Ghani sebenarnya merupakan seorang ahli perniagaan yang juga penghulu yang berketurunan Palembang, Sumatera. Sebagai penghulu, rumah ini pada zaman dahulu pernah digunakan sebagai tempat perjumpaan penduduk kampung dan sebagai pusat pentadbiran.

Pernah dibaik pulih pada tahun 2008, rumah ini telah dibuka pada orang ramai pada tahun 2011.

13. Melaka Wonderland Theme Park

Melaka Wonderland Theme Park & Resort adalah antara taman tema air yang baru dibuka di negara kita dan boleh ditemui di Ayer Keroh Melaka. Satu fakta menarik tentang tarikan ini, mengikt rekod, jumlah air didalam semua kolam renang yang terdapat di taman tema air ini ia melebihi 200 juta liter.

Tempat ini memang sesuai untuk seisi keluarga kerana terdapat sebanyak 12 tarikan yang unik dan berbeza seperti Tornado chaser, Kamikaze Race, 1 Big Wave Pool dan Adventure Island.

14. Rumah Terbalik Melaka

Ada yang bercuti untuk melihat pemandangan yang cantik ada pula yang suka bergambar di tempat menarik jika anda jatuh dalam kategori kedua pastikan anda singgah sebentar di Rumah Terbalik Melaka atau juga dikenali sebagai Upside Down House.

Setiap bahagian didalam rumah ini dihias seperti rumah biasa bezanya apa yang biasanya dilantai ada di bumbung.

15. Air Terjun Asahan

Setelah puas berjalan ke sana-sini, sudah tiba masanya untuk menyegarkan badan dengan air sungai yang mengalir jernih, salah satu lokasinya adalah di Air Terjun Asahan yang terletak di Pekan Asahan, Melaka.

Lebih menarik tentang air terjun ini adalah kerana persekitarannya yang cukup bersih. Kalau datang sini nanti, pastikan anda juga memelihara kebersihannya ya.

Selain bermandi-manda, banyak lagi aktiviti menarik lain yang boleh anda rancang untuk dilakukan seperti merentas hutan, mendaki sehingga ke puncak Gunung Ledang atau berkhemah untuk menikmati keindahan flora dan fauna dengan sepuas hati.

16. Taman Rama–Rama Melaka

Anda boleh menjumpai ledih daripada 20 spesis rama-rama di Taman rama-rama Melaka. Taman ini dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu, rama-rama, taman reptilia, taman ikan koi dan lokasi khas untuk bergambar dengan haiwan reptilia iaitu si ular sawa. Kalau anda tak takut dengan ular la.

17. Straits Chinese Jewellery Museum

Straits Jewellery Museum ini terletak di dalam sebuah bangunan peninggalan lama Baba Nyonya. Sebaik melangkah masuk ke dalam bangunan muzium ini anda akan disajikan dengan rekaan dalaman unik yang mempamerkan budaya Baba Nyonya. Bukan setakat barangan perabot antik yang ada di muzium ini, tetapi juga barangan kemas yang indah dengan rekaan Peranakannya.

Di samping itu, peralatan antik yang digunakan untuk menghasilkan barangan kemas juga dapat dipamerkan dengan lebih dekat di muzium ini.

Jangka masa yang diambil untuk melihat secara penuh kesemua yang ditawarkan di dalam Straits Jewellery Museum adalah dalam sekitar 45 minit dan mungkin juga sampai 1 jam kalau anda nak tahu lebih banyak perkara dengan terperinci.

18. Masjid Negeri Melaka (Masjid Al-Azim)

Sebelum wujudnya Masjid Al Azim, Masjid Tengkera adalah Masjid Negeri Melaka yang asal. Masjid yang agak baru ini telah siap dibina pada tahun 1990.

Terletak dalam sekitar 3 km dari bandar Melaka, masjid yang dibina dengan pengaruh senibina Jawa dan Cina serta disulami dengan keindahan seni ukir Islam ini dapat menampung sehingga 10,400 jemaah pada satu-satu masa.

Sebahagian daripada kompleks masjid ini iaitu minaretnya yang berketinggian 188 kaki telah dibina dengan gaya bentuk pentagon atau segi lima yang melambangkan 5 rukun Islam.

19. Pantai Tanjung Bidara

Sudah puas makan angin di sekitar bandar, nak sejukkan pandangan mata dan mengambil udara segar, anda boleh menuju ke Pantai Tanjung Bidara.

Bermacam aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini dan ini termasuklah bermandi-manda dan berfotografi. Anda sekeluarga dapat bermandi-manda dengan selamat kerana terdapat Menara Kawalan Pantai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang sentiasa mengawal keselamatan kawasan pantai.

Untuk aktiviti fotografi pula, sangat bagus untuk bergambar kat sini sebab kawasan sekitarnya dihiasi dengan lanskap perkampungan nelayan.

Mengenai kemudahan yang tersedia di sini pula, terdapat kedai-kedai makan, tandas awam, bilik mandi, taman permainan kanak-kanak dan tempat untuk meletak kereta.

20. Muzium Adat Istiadat

Apabila mendengar nama Muzium Adat Istiadat, pasti anda dapat membayangkan struktur muzium ini kan? Terletak di dalam rumah dengan senibina tradisional Melayu, muzium ini adalah lokasi di mana anda sekeluarga dapat memahami dengan lebih terperinci budaya dan gaya hidup nenek moyang kita pada zaman dahulu kala.

Antara yang dipamerkan di sini adalah barangan antik untuk perhiasan diri, porselin, pelamin untuk perkahwinan, peralatan yang digunakan dalam adat istiadat, gambar tokoh-tokoh daerah, senjata purba dan bermacam lagi.

21. Laman Tiga Budaya Taman Tema Air

Asahan Water Theme Park juga turut dikenali sebagai Laman Tiga Budaya Taman Tema Air ini merupakan sebuah tarikan yang sangat menyeronokkan untuk dilawati bersama keluarga tercinta. Di sinilah anda dapat bermain air dengan sepuas hati sambil menikmati pemandangan yang mempesonakan Gunung Ledang.

Antara kemudahan yang disediakan adalah pangkin, tandas, bilik persalinan dan juga khemah.

22. Menara Taming Sari

Menara Taming Sari ini merupakan Gyro tower pertama di Malaysia dan dibuka secara rasmi pada tahun 2008. Dengan ketinggian 110 meter, strurtur yang berpusing ini dapat memuatkan seramai 80 pengunjung dan memberi pengunjung pandangan panoramik 360 darjah Bandar Melaka.

Seperti mana yang anda sudah boleh jangka, menara ini di namakan sempena meraikan keris Hang Tuah yang masih belum dijumpai lagi hingga ke zaman ini. Kalau dilihat dengan teliti, bentuk menara ini menyerupai bentuk keris.

23. Muzium Kapal Selam

Capai cita-cita anda untuk menjadi anak kapal selam di Muzium Kapal Selam Melaka. Kapal selam yang boleh dilihat di muzium ini bergelar FS Quessant Agosta 70 dan merupakan sebuah kapal selam milik tentera Perancis.

Ia dihadiahkan kepada Kementerian Pertahanan yang kemudiannya diserahkan kepada kerajaan negeri Melaka untuk dipamerkan ke orang awam. Dengan bayaran yang kecil anda dapat masuk dan melihat sendiri bagaimana rupa bahagian dalam sebuah kapal selam.

24. Masjid Kampung Kling

Masjid Kampung Kling ini di bina pada tahun 1748 dan ia terletak di Jalan Harmoni. Sekali pandang jelas kelihatan pengaruh senibina jawa dan oriental di setiap penjuru. Kubah masjid selalunya bulat tetapi di masjid ini kubah nya seperti bangunan pagoda.

Hiasan dalam masjid pun boleh dikatakan lain daripada yang selalu kita jumpa di masjid lain di Negara kita. Pada tahun 1999 masjid ini dibaik pulih oleh kerajaan dan diishtiharkan sebagai monument sejarah.

25. The Orang Utan House

The Orang Utan House yang dibuka pada tahun 1992 adalah sebuah studio peribadi pelukis tempatan bernama Charles Cham.

Beliau telah berjaya mempamerkan karya lukisanya di pentas antarabangsa di Negara seperti, Portugal, Switzerland, Singapore, Australia dan Hong Kong. Lukisan Orang Utan yang terpapar besar ditepi bangunan ini seolah-olah mengajak anda masuk untuk melihat karya hasil tuannya.

26. Mini Malaysia & Asean Cultural Park

Mini Malaysia & Asean Cultural Park merupakan sebuah taman budaya yang menjadi tapak untuk pameran pelbagaian reka bentuk rumah tradisional daripada 13 buah negeri di Malaysia seperti rumah kayu Perlis, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan banyak lagi.

Seperti namanya, kawasan ini bukan sahaja dikhaskan untuk rumah kampung Malaysia, tapi juga dari rantau Asia lain seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan banyak lagi.

Yang menariknya, di dalam rumah ‘perkampungan’ Mini Malaysia ini juga anda sekeluarga dapat mencuba pelbagai aktiviti kebudayaan seperti permainan tradisional, rawatan spa tradisional, menyewa pakaian tradisional, memasak, mencanting batik dan banyak lagi!

Selain itu, terdapat tarikan lain yang di sini seperti kolam renang percuma, permainan carousel, roller coaster dan macam-macam lagi!

Suatu masa dahulu, ketika era 90-am, Mini Malaysia & Asean Cultural Park adalah salah satu tempat menarik wajib singgah di Melaka untuk semua bas rombongan.

Kini, sudah kurang serinya. Tidak macam dulu-dulu.

27. Melaka Tropical Fruit Farm

Terletak di Sungai Udang di atas tanah yang berkeluasan 65 ekar, Melaka Tropical Fruit Farm merupakan sebuah kawasan ladang yang wajib anda lawati bersama keluarga untuk peluang melakukan pelbagai aktiviti menarik yang dapat menjadikan percutian anda di Melaka lebih bermakna.

Antara aktiviti yang ditawarkan di sini merupakan memancing, lawatan ke zoo mini, berkayak, melihat pelbagai tumbuhan unik, melawat kawasan kebun buah-buahan dan banyak lagi. Sekiranya sehari masih tak cukup, anda boleh juga bermalam di chalet yang disediakan.

28. Nyonya Memoirs

Nyonya Memoirs dapat membawa anda sekeluarga kembali pada tahun 1920-an melalui pelbagai pameran interaktif serta set dalam saiz yang realistik.

Bukan sekadar untuk dilihat, anda juga boleh mencuba pakaian tradisional baba nyonya dan bergambar dengan menggunakan set-set yang disediakan sebagai latar belakang foto. Cukup menarik untuk anda yang ingin mendalami bagaimana rasanya kehidupan di dalam dunia klasik.

29. Muzium Sastera

Anda seorang pencinta sastera? Jangan lupa untuk menjejakkan kaki ke dalam Muzium Sastera yang terletak di Jalan Kota ni. Tujuan muzium ini dibina merupakan untuk memelihara semua karya agung hasil penulisan orang Melayu agar tidak lupus dimamah masa.

Muzium yang dirasmikan pada tahun 1984 ini turut mengumpulkan pelbagai koleksi naskhah manuskrip yang original hasil tulisan tangan dari seluruh dunia.

Bukan sahaja menyimpan karya-karya seperti cerita rakyat, dan sastera Melayu Moden yang lain, muzium ini turut memberikan ruang istimewa kepada penulisan tradisional lain seperti nazam, puisi, pantun, gurindam dan lain-lain.

Untuk pengetahuan anda, muzium ini terbahagi kepada 3 bahagian iaitu ruang sejarah perkembangan semasa, bahagian yang menerangkan bagaimana Melaka memainkan peranan dalam perkembangan sejarah, dan juga sebuah galeri yang dikhaskan untuk sasterawan negara, A. Samad Said.

30. Muzium Kastam Melaka

Sememangnya Melaka ini cukup kaya dengan pelbagai jenis muzium, maklumlah, bandaraya bersejarahkan? Ini adalah satu lagi muzium yang luar biasa menarik di Melaka!

Muzium Kastam Melaka merupakan muzium di mana anda dapat mempelajari sejarah kastam, operasi-operasi mereka yang berjaya dan banyak lagi! Tapi yang menjadi daya penarik sebenar muzium ini adalah pameran pelbagai barangan hasil rampasan pihak kastam. Kalau dah dirampas, mesti ada sebabnya kan?

Hanyalah sebuah muzium satu tingkat, namun pamerannya tetap padat dengan pelbagai benda menarik untuk dilihat.

Muzium ini secara amnya terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu galeri sejarah, galeri peralatan kastam yang pernah digunakan suatu ketika dahulu, galeri senjata yang dirampas, rampasan kulit binatang, patung, dadah dan banyak lagi yang rugi kalau tak dilihat!

Secara spesifiknya, di galeri peralatan kastam, anda dapat melihat banyak barangan-barangan antik daripada era lampau sekitar 50 ke 70-an seperti mesin taip, kompas, teropong, basikal klasik dan banyak lagi.

Untuk barangan rampasan pula adalah seperti keris yang bercetakkan ayat al-quran, pistol yang berukir, arca penyu yang sebenar, kenderaan berkuasa tinggi dan bermacam-macam lagi! Senang cerita, banyak benda unik yang tak terfikir dek akal ada di sini!

Lokasinya adalah bersebelahan dengan Jeti Melaka River Cruise dan juga Muzium Samudera.

31. Kompleks Falak Al-Khawarizmi

Kompleks Falak Al-Khawarizmi merupakan sebuah kompleks ilmu falak dan astronomi di bawah senggaraan Kerajaan Negeri Melaka yang berlokasi di Tanjung Bidara.  Kompleks ini menempatkan Planetarium, Balai Cerap serta pusat latihan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti bilik penginapan, auditorium, bilik kuliah dan makmal komputer.

Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan untuk para pelawat yang ingin mendalami dunia astronomi, seperti tayangan dokumentari sains dalam bentuk planetarium serta 3D, cerapan langit malam, cerapan hilal, dan lawatan ke pelbagai zon pameran berbeza.

Zon pameran yang terdapat di Kompleks Falak Al-Khawarizmi terbahagi kepada zon sistem suria, zon tamadun Islam, zon penerokaan angkasa lepas dan zon langit malam. Anda sekeluarga juga boleh mencuba permainan interaktif yang disediakan. Sebelum pulang, jangan lupa untuk singgah ke kiosk falak terlebih dahulu.

32. Taman Buaya

Taman Buaya ini sudah lama menjadi sasaran pelancong ke Melaka dan dibuka kepada orang ramai semenjak tahun 1987. Kawasan kurungan buaya ini di reka untuk menyerupai habitat semulajadi haiwan ini.

Antara spesis buaya yang boleh ditemui di sini antaranya Buaya America, Buaya Marsh Mugger India, Buaya Cayman dan lain-lain lagi. Anda juga dapat berhibur dengan tarikan bonus di sini seperti rumah mamalia dan rumah reptilia.

33. Melaka Thousand Tales of Adventures – The Adventures of Sinbad

Dengan hanya memandu selama 10 minit dari A’ Famosa dan Christchurch Melaka terletaknya tarikan wajib singgah di negeri ini iaitu Melaka Thousand Tales Of Adventures – The Adventures Of Sinbad untuk pengalaman yang tak mungkin dapat dilihat di tempat lain.

Di sini anda sekeluarga perlu melalui pelbagai cabaran untuk menyelamatkan diri daripada penjahat yang digelar Shaman menerusi teknologi interaktif 7D sepanjang pelayaran di “Seven Seas.”

34. Taman Botanikal Melaka

Tidak jauh dari Skytrek Melaka adalah sebuah tarikan yang tak patut anda lepaskan peluang untuk singgah, lokasinya terletak di Taman Botanikal Melaka. Taman botani yang pada asalnya merupakan Hutan Rekreasi Ayer Keroh ini memiliki keluasan sehingga 92.5 hektar, padat dengan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama keluarga.

Suka berjogging? Ini adalah antara port berjogging yang paling best pernah anda temui, suasananya sungguh mendamaikan jiwa, dengan pokok-pokok yang mekar di sepanjang perjalanan, udara di sekitar taman ini juga cukup menyegarkan. Nak makan angin di sekitar taman botani dengan cara yang lebih santai? Sewa sahaja buggy elektrik yang disediakan.

Sebenarnya, taman ini bukanlah sekadar taman dengan pokok-pokok dan bunga-bungaan yang berwarna-warni, ada banyak lagi tarikan lain seperti Kampung Buku, Muzium Hutan, Taman Dinasour yang menempatkan 15 replika dinasour dan juga jambatan gantung.

Selain melawat tarikan-tarikan yang ada, anda juga boleh merancang untuk melakukan banyak lagi aktiviti lain seperti berkayak, berkelah, berkhemah atau merentas hutan. Untuk aktiviti berkhemah atau merentas hutan anda perlu mendapatkan lebih maklumat daripada pihak Jabatan Perhutanan Melaka terlebih dahulu.

35. Makam Hang Jebat

Bukan sahaja terkenal dengan Laksamana Hang Tuah, saudaranya Hang Jebat juga cukup mahsyur di negeri Melaka. Berdasarkan kisah yang disampaikan, Hang Jebat telah mati dibunuh oleh Hang Tuah sendiri dalam satu pertarungan yang berlangsung selama 3 hari 3 malam.

Hang Jebat telah ditusuk oleh keris Taming Sari milik Hang Tuah yang akhirnya membawa kepada kematiannya. Hang Jebat kemudiannya dikebumikan di bandar lama Melaka berdekatan dengan Jonker Street.

36. Casa Del Rio

Ingin menikmati percutian yang tidak dapat dilupakan? Cuba anda menginap di Casa Del Rio. Terletak di tepi Sungai Melaka, pemandangan yang disajikan daripada hotel ini cukup memukau, tanpa keluar dari pintu hotel anda masih dapat menikmati kepuasan bercuti di Melaka.

Sambil berehat-rehat di dalam bilik anda boleh menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan seperti televisyen dengan pelbagai dan mendengar lagu menggunakan “iPod docking station”.

Dah puas menikmati waktu rehat di dalam bilik, untuk mengaktifkan badan, anda boleh berendam di dalam kolam renang infiniti yang disediakan sambil melihat pemandangan ataupun mengeluarkan peluh di pusat kecergasan yang lengkap dengan pelbagai peralatan senaman. Bagi anda yang ingin melakukan aktiviti yang lebih santai atau merelakskan badan yang telah kepenatan, pusat spa turut disediakan.

Lokasinya, hanyalah 1 minit berjalan kaki untuk ke Jonker Street dan 6 minit pemanduan untuk ke Istana Melaka.

37. Muzium Samudera

Muzium Samudera atau Maritime Museum, berjaya menarik sebanyak 20,000 orang sebulan. Di sini ini anda berpeluang untuk melihat bagai mana kekuatan tentera maritime memainkan peranan penting dalam menuntukan pihak yang berkuasa pada zaman tersebut.

Tarikan utama di sini merupaka replica kapal Flor de la Mar (Flower of the Sea) yang mengikut sejarah telah karam di perairan Sumatra. Agak teruja melihat bahtera dengan ketinggian 34 meter tinggi ini. Agaknya harta karun tu masih ada lagi tak dibawah dilaut sumatera?

38. Muzium Sejarah dan Etnografi

Muzium Sejarah dan Etnografi merupakan sebuah tarikan yang terletak di dalam bangunan kolonial Stadthuys. Seperti namanya, Muzium Sejarah dan Etnografi, muzium ini dibahagikan kepada 2 tingkat di mana di tingkat pertama memfokuskan kepada sejarah negeri Melaka dari awal kewujudannya pada tahun 1400 hinggalah tahun 1957 ketika mana Malaysia mencapai kemerdekaan.

Manakala, seksyen etnografi pula memberi info kepada para pelawat tentang kepelbagaian budaya dan tradisi komuniti-komuniti yang terdapat di bandaraya bersejarah ini termasuklah orang Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Portugis dan masyarakat Chitty.

Antara koleksi pameran yang dapat anda lihat disini adalah barangan yang digunakan dalam sesebuah majlis perkahwinan dahulu kala, peralatan muzik klasik, koleksi barangan porselin purba, senjata, matawang dan banyak lagi!

39. AK Extreme Motorsport Station

Nak buat aktiviti lasak tapi tak nak berpeluh-peluh di bawah panahan matahari? Anda sekeluarga boleh terjah AK Extreme Motorsport Station. Di sinilah anda boleh berlumba sepuas hati dengan menaiki pelbagai jenis go-kart yang disediakan, daripada yang tidak bermotor hinggalah kepada yang berkuasa tinggi seperti Superkarts.

Litarnya juga cukup panjang untuk kepuasan memecut yang sebenar. Bagi yang masih baru pertama kali mencuba go-kart, jangan risau, staff di sini akan membantu anda dengan hati yang terbuka dan wajah yang ceria. Silap-silap, hari-hari terasa nak datang ke sini.

Selain go-kart, di AK Extreme Motorsport Station juga anda boleh mencuba aktiviti lain yang ditawarkan mereka seperti ATV dan paintball. Sebagai info, permainan paintball dan go-kart hanyalah dibenarkan untuk yang berumur 12 tahun dan ke atas sahaja.

Mengenai tempat parking kereta, anda boleh parking di dalam bangunan yang sama pada aras yang sama dengan lokasi terletaknya AK Extreme Motorsport Station ni iaitu di tingkat 6.

49. Masjid Cina (Masjid Al Muttaqin)

Sekali pandang, memang tak terfikir bahawa bangunan ini sebenarnya sebuah masjid. Gaya binaannya tidak ubah seperti bangunan tradisional Cina, tak hairanlah kenapa masjid ini digelar Masjid Cina. Kalau anda nak tahu, nama lain masjid ini adalah Masjid Al Muttaqin.

Mesti ada yang tertanya-tanya kenapa masjid ini dibina dengan seni bina yang begitu unik sekali? Sebagai info, masjid ini telah ditubuhkan oleh Persatuan Cina Islam Melaka dengan inspirasi daripada seni bina beberapa buah masjid yang terdapat di Shanghai, Xi’an dan Beijing di China.

Masjid yang didirikan dengan kos mencecah RM7.5 juta ini lengkap dengan ruang solat yang mampu menampung sehingga 2,000 orang jemaah, perpustakaan, tandas, dewan serbaguna, bilik mesyuarat dan pejabat pentadbiran.

Perkara yang lebih unik dan menariknya tentang masjid ini selain reka bentuknya adalah kerana terdapat ruang yang khas di mana diletakkan pelbagai kelengkapan dapur untuk disedekahkan kepada orang yang kurang berkemampuan.

50. Muzium Al-Quran Melaka

Terletak hanyalah bersebelahan dengan Masjid Al Azim, masjid negeri Melaka, Muzium Al-Quran Melaka merupakan sebuah muzium yang penting untuk dilawati untuk menambahkan lagi pemahaman tentang kitab suci agama Islam. Siapa yang tak teruja dengan kitab yang diturunkan beribu tahun yang lalu?

Terletak di dalam bangunan 2 tingkat, tingkat pertama padat dengan pelbagai koleksi al-quran yang indah dipandang mata dan juga unik. Seni kaligrafi juga turut dipamerkan di sekitar muzium ini.

Anda juga boleh membaca pelbagai informasi berkaitan dengan penurunan ayat Al-Quran, sejarah perkembangan Al-Quran, info majlis-majlis bacaan Al-Quran dan banyak lagi. Banyak sekali perkara yang dapat anda sekeluarga pelajari di sini.

51. Dataran 1 Malaysia Klebang

Dulu dataran pantai Klebang merupakan sebuah tempat yang sunyi sepi dan gagal menarik orang ramai. Tetapi setelah inisiatif kerajaan untuk membaik puluh kawasan tersebut dan diubahsuai ia dibuka semula dengan nama Dataran 1 Malaysia Klebang dan berjaya menarik orang ramai kembali untuk meluangkan masa diasana.

Bagi yang minat maritim, ada Muzium Kapal Selam atau Submarine Museum berhampiran dengan tempat ini.

Untuk aktiviti pula terdapat banyak aktiviti menarik seperti bermain ATV dan menunggang kereta kuda. Muzium Kapal Selam juga terletak berhampiran dengan kawasan ini.

Sebuah pantai yang direka menyerupai bentuk sebuah lagoon sedang dibina di kawasan ini dengan harapan Dataran 1 Malaysia ini menjadi destinasi pelancongan utama di negeri Melaka.

Akhir kata

Diharapkan agar perkongsian berkenaan tempat menarik di Melaka ini akan memberikan anda sedikit idea untuk merancang perjalanan.

Semoga bermanfaat.

2 thoughts on “Tempat Menarik di Melaka”

Leave a Comment