14 Tempat Menarik di Kuala Kubu Bharu (Yang Seronok Dikunjungi)


Jika anda ingin bercuti di Selangor tetapi tak tahu di mana, Kuala Kubu Bharu lah tempat yang mesti anda kunjungi! Ada banyak tempat menarik di Kuala Kubu Bharu, dengan perjalanan tidak sampai 2 jam dari Kuala Lumpur, sangat berbaloi untuk anda ke Hulu Selangor ini. 

Mempunyai beberapa pilihan sungai dan alam semulajadi yang dikelilingi hutan hijau, Kuala Kubu Bharu menawarkan aktiviti yang menarik sama ada untuk penggemar aktiviti lasak atau sekadar ingin berehat melepaskan tekanan.

Jom kita tengok tempat menarik di Kuala Kubu Bharu. Selepas ini, anda boleh rancang percutian anda. 

Tempat menarik di Kuala Kubu Bharu 

1. Empangan Kuala Kubu Bharu

Jika anda menuju ke Kuala Kubu Bharu dari Kuala Lumpur, anda akan berjumpa dengan Empangan Sungai Selangor atau lebih dikenali sebagai Empangan Kuala Kubu. Empangan ini menjadi tempat persinggahan untuk mereka yang gemarkan pemandangan semulajadi. 

Walaupun empangan ini merupakan empangan buatan, persekitarannya dikelilingi dengan bukit-bukau dan flora yang sangat cantik. Para penggemar alam pasti akan singgah ke tempat ini dan mengambil gambar sambil menikmati hembusan angin segar.

Empangan ini juga merupakan lubuk bagi pemancing tegar kerana jenis ikannya yang banyak.

 

2. Air Terjun Semangkuk

Jika anda menuju ke Bukit Fraser dan ingin berhenti rehat, anda boleh singgah dan menyegarkan badan di Air Terjun Semangkuk. 

Walaupun air terjun ini tidak seluas air terjun lain, ia mempunyai tarikan sendiri yang menjadi pilihan bagi mereka yang sukakan ketenangan.

Di sini terdapat dua kawasan mandi yang sesuai untuk orang dewasa dan kanak-kanak. Kemudahan asas turut disediakan untuk kemudahan pengunjung. Jadi, anda boleh singgah di sini sebelum meneruskan perjalanan ke Bukit Fraser!

 

3. Air Terjun Chilling

Destinasi ini memang antara destinasi popular dalam kalangan belia di Selangor. Air Terjun Chilling juga turut dikenali sebagai Santuari Ikan Sungai Chilling. Ini adalah kerana kawasan ini merupakan tempat perlindungan kepada spesis ikan kelah dan tengas yang semakin berkurangan.

Anda tidak dibenarkan untuk menangkap ikan di sini. Namun, anda boleh memberi ikan makan. Ini adalah kerana ikan di sini di bawah perlindungan Jabatan Perikanan Negeri Selangor. 

Di sini juga anda boleh menaiki jambatan gantung sebelum sampai ke lokasi mandi. Air terjun ini juga mempunyai tiga tingkat, tetapi anda tidak dibenarkan naik ke tingkat atas kerana pernah terjadi kemalangan disebabkan arus deras dan laluan yang licin dan curam. 

 

4. Sungai Inki Kalumpang

Jika anda ingin mencari penginapan di tepi sungai, anda boleh berkunjung ke Sungai Inki Kalumpang. Beberapa chalet dan resort telah dibina di sini dan dengan harga yang berpatutan, anda sudah boleh bercuti di sini.

Jika anda ingin pergi hanya untuk mandi juga, tempat ini menyediakan beberapa kemudahan asas seperti tandas, dan surau. 

Arus di sini agak deras dan berbatu, anda perlu berhati-hati terutamanya jika anda membawa anak-anak kecil.

 

5. Sungai Bernam Teratak River

Di sini juga merupakan salah satu destinasi pilihan jika anda inginkan penginapan di tepi sungai dan dikelilingi hutan hijau. Sungai Bernam Teratak River atau lebih dikenali sebagai Teratak Riverview Resort menyediakan pelbagai kemudahan seperti tapak perkhemahan, asrama, dan chalet.

Kemudahan lain seperti tandas, dewan, dan surau juga turut disediakan. Anda juga boleh membuat program perkhemahan atau team-building di sini.

Bagi penggemar aktiviti lasak, Teratak Riverview Resort turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti motor ATV, flying-fox, dan aktiviti memanah. Anda juga boleh menikmati pemandangan sungai dari jambatan gantung yang disediakan.

 

6. Lata Makau Kuala Kubu Bharu

Bagi anda yang sukakan cabaran, anda boleh menguji stamina anda di sini. Untuk ke Lata Makau, anda perlu mendaki selama lebih kurang 2-3 jam untuk sampai dan akan melalui dua jambatan gantung. Dah penat mendaki, anda boleh berkhemah di sini. 

Lata ini agak bersih dan rapi kerana tidak ramai yang datang ke sini. Jadi anda boleh menikmati tempat ini tanpa risaukan kebisingan seperti air terjun lain. 

Lata Makau terletak di Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu yang merupakan perkampungan orang asli moden.

 

7. Kolam Air Panas Hulu Tamu

Salah satu tempat menarik di Kuala Kubu Bharu, ialah Kolam Air Panas Hulu Tamu. Jika anda kurang gemar dengan kesejukan air sungai, anda boleh segarkan diri di sini.

Sambil menyegarkan badan, anda juga boleh menikmati pemandangan yang memukau di sini. 

Kemudahan di sini juga menjamin keselesaan untuk anda. Pondok konkrit dan gazebo,serta kemudahan chalet turut disediakan bagi and yang ingin menetap di sini.

 

8. Kolam Air Panas Kerling

Selain Kolam Air Panas Hulu Tamu, anda juga boleh berkunjung ke Kolam Air Panas Kerling. Kolam air panas ini merupakan salah satu tempat menarik di Kuala Kubu Bharu yang sudah lama terkenal dalam kalangan penduduk di Selangor.

Kemudahan lengkap dan tempat letak kereta yang luas memberikan keselesaan dan menjadikannya tarikan pelancong untuk bersantai bersama keluarga.

Di sini juga terdapat kolam yang cetek untuk kanak-kanak turut menikmati bersama keindahan alam.

 

9. Bukit Kutu

Untuk para pendaki atau hiker, Bukit Kutu merupakan destinasi tegar untuk mereka yang sukakan cabaran. Dengan ketinggian 1053m dari paras laut, ketinggian dan kesusahan bukit ini dikatakan sama taraf dengan pendakian gunung! 

Yang menariknya di Bukit Kutu ini, terdapat beberapa kesan peninggalan daripada sebuah banglo lama, antaranya bekas cerobong asap dan 2 buah perigi lama. Jangan lupa untuk mengambil gambar jika anda datang ke sini. Pasti menarik!

Para pendaki diingatkan untuk berlatih dan meningkatkan stamina terlebih dahulu sebelum mendaki Bukit Kutu ini kerana pendakian ini agak susah dan agak sukar untuk pendaki baru menghabiskan pendakian ini.

 

10. The Stick Kuala Kubu Bharu

Jika anda tidak sukakan camping, anda boleh glamping! The Stick merupakan tempat penginapan yang selesa untuk anda yang sukakan alam semulajadi.

Resort ini menawarkan beberapa jenis bilik, bergantung kepada citarasa dan bajet anda. Anda boleh menikmati pemandangan Sungai Meranti dari bilik anda dan resort ini turut menyediakan pakej makanan yang sangat berselera untuk dinikmati.

Di sini, anda boleh membuat aktiviti tubing, di mana anda akan menyelusuri sungai di atas pelampung tayar yanh besar, namun aktiviti ini bergantung kepada keadaan sungai. Dapatkan khidmat nasihat dari pihak resort terlebih dahulu.

 

11. Galeri Sejarah Kuala Kubu Bharu

Seterusnya, tempat menarik di Kuala Kubu Bharu, ialah Galeri Sejarah Kuala Kubu Bharu. Tempat ini sangat sesuai untuk pencinta sejarah. 

Kuala Kubu Bharu merupakan tempat yang penuh dengan sejarah. Antaranya sejarah empangan pecah sehingga banjir, dan perang saudara. Pelbagai info dan maklumat anda boleh dapatkan di sini, dan pastinya ia akan menjadi pengalaman yang menggamit memori untuk anda.

 

12. Taman Tasik Millenium

Taman tasik ini merupakan salah satu tempat rekreasi popular di Kuala Kubu Bharu. Lebih istimewa lagi, di sini juga terdapat aktiviti paragliding untuk mereka yang sukakan kelainan. Keindahan pemandangan yang berbukit-bukau turut menjadi tarikan pengunjung di sini.

Taman permainan yang menarik turut menjadi tumpuan kanak-kanak yang datang. Anda boleh datang je sini untuk berjogging atau sekadar ingin mengambil angin.

Kemudahan awam turut disediakan bagi memastikan keselesaan dan menggalakkan pengunjung datang ke sini.

 

13. Bandar Kubu Bharu

Apa yang specialnya Bandar Kuala Kubu Bharu ini? Semestinya kerana reka bentuk dan seni bina bangunan di bandar ini. Bandar ini masih mengekalkan bangunan-bangunan lama yang memberikan nilai estetik kepada pengunjung dan penduduk di sini.

Pokok-pokok yang sentiasa menghiasi bandar ini turut menjadikan bandar ini sangat cantik dan redup. Anda boleh bersiar-siar di bandar ini sambil mengambil gambar dan juga makan-makan.

Selain itu, anda juga boleh berjalan-jalan di Dataran Kuala Kubu Bharu. Udara yang nyaman dan segar pasti akan membuatkan anda berasa damai apabila berada di sini. Anda juga boleh menikmati makanan yang dijual di gerai-gerai berhampiran.

 

14. Butik Schanteq

Anda mesti tertanya-tanya kenapa harus pergi ke sini? Butik Schanteq ini sebenarnya ialah kedai makan yang menawarkan beberapa menu yang wajib anda cuba jika ke Kuala Kubu Bharu.

Antara menu popular kedai ini ialah nasi lemak pandan, bakso, dan char kuey teow. Dah penat berjalan sekitar bandar, anda boleh menuju ke kedai makan ini untuk penuhkan perut anda.

Terletak berhampiran Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Bharu, tidaklah susah untuk anda mencari kedai makan ini. Dahulu, pemilik kedai ini (Kak Scha) membuka butik, namun tidak memberangsangkan. Jadi, beliau membuka kedai makan dan perniagaannya mula berkembang. Terhasillah nama kedai makan ini.

 

Akhir kata

Kuala Kubu Bharu menawarkan banyak tempat menarik untuk anda. Bandar ini boleh menjadi salah satu destinasi percutian anda dan tidak akan mengecewakan!

Selepas bercuti di Kuala Kubu Bharu, anda juga boleh melawat tempat menarik di Kuala Lumpur!

Leave a Comment