Surat Perletakan Jawatan (Contoh Surat Letak Jawatan & Resign Kerja)


Sekiranya anda mahu berhenti kerja, pastikan anda berhenti dengan cara yang baik dan terhormat. Jangan sesekali berhenti secara mendadak, ikut suka mak bapak. Sediakan surat perletakan jawatan sebagai hitam-putih anda mahu resign daripada jawatan sekarang.

Izinkan kami berkongsi.

Kenapa perlu hantar surat perletakan jawatan?

Masuk cara baik, keluar mesti cara baik. Kita tak tahu apa akan jadi pada kita pada masa hadapan. Mungkin kita benci boss kita sekarang, tapi mungkin beberapa tahun akan datang, dia akan jadi boss kita di syarikat yang lain.

Masa itu, mana mahu letak muka?

Jadi, adalah dinasihatkan agar anda berhenti secara baik bagi memudahkan urusan anda pada masa hadapan.

“Pedulik apa aku!. Boss memang tak boleh pakai!”

Marah, marah juga. Hormat, tetap perlu hormat. Kalau kita nak orang hormat kita, kita mesti hormat orang lain. Biarlah boss kejam macam mana sekalipun, kita tebalkan muka sahaja dan ikut lunas undang-undang.

Mungkin satu hari nanti, kita yang akan jadi boss dia pula?

 

Surat letak jawatan ini, perlu email sahaja atau print?

Ini soalan yang biasa kita dengar dari pekerja-pekerja yang nak move-on dari kerja sekarang.

Pandangan peribadi kami, buat dua-dua sekali. Lebih afdal hantar surat perletakan jawatan dalam melalui email dan diikuti dengan perjumpaan secara bersemuka.

Mula-mula, email dahulu surat letak jawatan kepada boss anda. Tak perlu cc pada orang lain. Cukup sekadar boss itu seorang. Jangan nak panjang-panjangkan cerita.

Kalau boss anda jenis yang cepat reply, dia akan reply email itu.

Kalau boss anda pula jenis yang memang haram nak reply email, masa inilah anda perlu ketuk pintu bilik dia untuk berjumpa secara face-to-face.

Ketuk pintu dulu, mohon izin masuk, tarik kerusi dan letakkan surat atas meja. Pastikan surat itu ada envelope sekali. Biar nampak kemas dan teliti. Bukan main lipat sahaja. Nampak sangat tak pro.

Ingat, nak berhenti kerja pun ada seni. Bukan main tibai ikut suka hati.

 

Boleh ke hantar surat letak jawatan dengan notis 24 jam?

Jawapan ringkas, boleh. Jawapan panjang, ada di bawah.

Mungkin anda rasa dah tak ada harapan dan tahap menyampah pada boss anda sekarang ialah 100%. Anda pun sudah fikir masak-masak untuk berhenti kerja.

Silakan. Tak ada siapa yang akan halang anda untuk hantar surat perletakan jawatan.

Cuma sebelum hantar surat letak jawatan dengan notis 24 jam ini, sila check dulu offer letter yang anda sign dahulu. Tengok dulu berapa lama masa yang dipersetujui untuk resign. Selalunya, notis untuk berhenti kerja ialah 1 bulan. Ada syarikat yang menetapkan 3 bulan.

“Ahhhhh, aku tak peduli!. Apa nak jadi, jadilah. Aku nak berhenti jugak sekarang!”

Terpulanglah.

Nasihat kami, jangan terlalu ikut emosi.  Pastikan ada dalam klausa yang membenarkan anda berhenti serta merta.

Kenapa?

Takut-takut dalam klausa offer letter tersebut ada memperincikan tentang penalti. Kadang-kadang, penalti ini akan mengambil gaji anda sebulan, dua bulan, tiga bulan atau lebih.

Silap-silap, kena tambah duit semata-mata nak berhenti kerja.

 

Contoh surat perletakan jawatan notis sebulan

Kami harap, anda sudah tahu bahawa letak jawatan dengan notis 24 jam adalah berisiko. Kebiasaannya, memang akan ada penalti.

Jadi, kami akan kongsikan contoh surat letak jawatan notis sebulan untuk rujukan anda. Surat ini kami sengaja tulis agar ringkas dan padat. Tidak perlu panjang-panjang.

[su_panel]

Muhammad Ariff bin Zaki,
18, Jalan Cempaka 2/5,
Taman Cempaka Sari,
40000, Shah Alam,
Selangor

_________________________________________________________________________________________

1 Mac 2022

Nor Fazilah Abdul Halim,
Sangat Xpert Sdn Bhd
C-8-8, Menara Armada,
Jalan SS15/9,
47500, Subang Jaya,
Selangor

Tuan / Puan,

PERLETAKAN JAWATAN DI SANGAT XPERT SDN BHD

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

Saya Muhammad Ariff bin Zaki yang bertugas sebagai Junior Technician ingin memaklumkan kepada pihak Tuan / Puan berkenaan perletakan jawatan saya berkuatkuasa 1 April 2022.

2. Untuk makluman pihak Tuan / Puan, perletakan jawatan ini adalah kerana saya telah mendapat tawaran pekerjaan yang baru di tempat lain.

3. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak syarikat kerana telah banyak memberi tunjuk ajar dan kepercayaan kepada saya ketika melaksanakan tugas.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
……………………………………………
Muhammad Ariff bin Zaki
No Pekerja: 557089
No. Telefon: 012-3456789

[/su_panel]

 

Download surat perletakan jawatan secara percuma dalam format Word

Sekiranya anda ingin menjimatkan masa, boleh dapatkan contoh surat letak jawatan ini dalam format Microsoft Word.

Anda hanya perlu isi borang di bawah dan kami akan berikan link untuk anda download. Tak perlu nak pening kepala copy-paste lagi. Hanya ubah maklumat yang diperlukan sahaja.

 

Akhir kata

Diharapkan agar perkongsian kami berkenaan cara berhenti kerja secara terhormat ini akan memudahkan lagi urusan anda.

Contoh surat perletakan jawatan ini hanyalah sekadar contoh sahaja. Anda boleh tukar sebulan kepada 24 jam, 2 bulan, 3 bulan dan lain-lain lagi.

Ingat, rezeki itu milik Allah. Jangan berharap kepada manusia, tapi berharaplah pada Allah.

Pastikan berdisiplin dalam mengurus duit gaji dengan mengikuti cara simpan duit gaji.

Semoga dipermudahkan urusan anda dalam mencari rezeki yang halal.

Leave a Comment