8 Tempat Menarik di Sarawak (Yang Wajib Dikunjungi)


Percaya atau tidak, masih ramai yang merasakan bahawa Bumi Kenyalang ini ialah negeri yang tidak kenalkan kemajuan. Masih ramai lagi yang bergurau secara membuta tuli dan tidak sensitif bahawa rakyat Sarawak menggunakan buaya-buaya sebagai suatu kaedah transportasi. Jadi, izinkan kami berkongsi tempat menarik di Sarawak.

Tetapi, di dalam artikel ini kami akan menukarkan pemikiran sesetengah pihak yang merasakan Sarawak bukanlah negeri yang membosankan dan tidak maju.

Malah, kami akan berkongsikan beberapa tempat menarik yang boleh anda kunjungi jika anda merancang hendak melancong ke Sarawak.

Tempat menarik di Sarawak

Dalam artikel ini, kami bukan sahaja akan berkongsi tentang tempat-tempat yang dikelilingi alam semulajadi tetapi kami juga akan berkongsi tempat-tempat makan yang mempunyai variasi makanan lazat tetapi tidak mempunyai terlalu ramai pengunjung demi keselesaan para pembaca kami.

 

1. Bengoh Dam

Ketika berada di Bengoh Dam, anda boleh menyinggah di empat air terjun berlainan iaitu Curtain, Koring, Pe’an serta Susung di mana mereka mempunyai pemandangan yang asli seakan-akan seperti dalam penetepan filem Hollywood “Jurassic World”, menurut seorang wanita tempatan Sarawak, Aizaharwani MJ.

Untuk ke air-air terjun ini, ia memerlukan waktu sekurang-kurangnya 4 jam untuk mendaki. Sekiranya anda mendaki lebih tinggi lagi, anda boleh tiba ke Kampung Sting yang kemudian menawarkan pemandangan 180° Bengoh Dam dan juga Bengoh Range.

Walaupun anda mungkin akan kepenatan kerana pendakian yang tinggi, sudah tidak syak lagi bahawa pendakian tersebut akan membawa hasil yang memuaskan apabila anda dapat menikmati pemandangan alam semulajadi yang masih asli dan tidak dicemari pengunjung yang terlalu ramai.

 

2. Kolam air panas Kampung Panchor

Antara tempat menarik yang lain di Sarawak ialah Kampung Panchor.

Terletak kira-kira 40 kilometer jauhnya dari bandar Kuching dan di dalam bahagian pedalaman, terdapat sebuah destinasi pelancongan yang jarang dikunjung oleh para pengunjung, baik tempatan atau dari luar negeri. Inilah kolam air panas Kampung Panchor atau Kampung Panchor Hot Springs.

Walaupun tidak mudah untuk tiba ke lokasi ini, tetapi anda masih boleh mengunjunginya melalui Jalan Kuching-Serian. Harga kemasukan ke kolam air panas ini juga tidak mahal langsung! Ianya berharga lebih kurang RM3 bagi dewasa dan kanak-kanak berusia 12 tahun*.

*Harga kemasukan mungkin telah berubah sejak dari waktu penulisan.

Kolam air panas ini diuruskan oleh komuniti tempatan Kampung Panchor sendiri dan mereka mempercayai bahawa air kolam ini mempunyai kandungan mineral yang dikatakan dapat menyembuh berbagai-bagai penyakit seperti penyakit kulit, darah tinggi serta kencing manis. Kesahihannya? Siapa yang tahu!

 

3. Meneroka Gua Clearwater (Air Jernih)

Bagi para pembaca kami yang berjiwa lebih kental dan hendak meneroka tempat-tempat yang lebih mencabar, mari kami ceritakan kepada anda tentang Gua Clearwater, iaitu gua terpanjang di Asia sepanjang 107 kilometer dengan sungai bawah tanah (bersama air yang sudah tentunya jernih!)

Terdapat dua cara anda boleh tiba ke gua ini. Bagi mereka yang lebih mencabar keupayaan fizikal diri sendiri, mereka boleh memilih untuk melalui trek tanah selama satu jam setengah. Sekiranya anda lebih berminat untuk berada di atas air, terdapat juga pilihan untuk anda menaiki sebuah bot panjang melalui Sungai Melinau.

Kami sarankan anda untuk meneroka gua dan perjalanan ke gua ini bersama-sama dengan pemandu pelancong yang berpengalaman demi mengekalkan keselamatan diri anda sebaik mungkin ketika dalam pengembaraan.

 

4. Meronda di Pasar Malam Siniawan

Gemarkan pilihan makanan yang bervariasi sambil menikmati suasana asli sesebuah negeri dan budaya? Berkunjunglah ke Pasar Malam Siniawan yang berlokasi di daerah Bau, yang terletak 20 kilometer dari Kuching.

Walaupun ia hanya sebuah pasar malam di dalam pekan yang kecil, anda masih boleh mendapati pelbagai makanan budaya Sarawak di sini dengan rasa yang paling asli. Destinasi pelancongan ini sangat sesuai bagi mereka yang melancong bersama rakan-rakan yang hendakkan sebuah suasana yang meriah!

Sepanjang perjalanan pasar malam tersebut, anda boleh melihat rumah-rumah kayu dengan rekabentuk klasik bersama tanglung-tanglung Cina digantung, membuatkan anda rasa seolah-olah berada di bandar China. Tetapi, bukan sahaja makanan Cina ditawarkan di sini, ada juga makanan Melayu dan Dayak untuk anda cuba. Sedapnya!

 

5. Taman Negara Santubong

Terokai budaya negeri Sarawak sedalam-dalamnya ketika berada di Taman Negara Santubong! Walaupun destinasi pelancongan ini bukanlah terlalu dirahsiakan daripada rakyat tempatan dan pengujung luar sama sekali, kami masih ingin merangkuminya di dalam artikel ini.

Santubong sangat dikenali dengan tempat-tempat peranginan di pantainya, termasuklah air terjun dan tidak dilupakan juga, Gunung Santubong. Jadi, lokasi ini tidak akan kering dengan tempat-tempat untuk dijelajah dan diteroka.

Oh ya, tahukah anda bahawa Santubong ini juga perumahan kepada hidupan laut ikan lumba-lumba Irrawaddy yang jarang dijumpai serta finless porpoise? Jika nasib anda baik ketika berkunjung ke Santubong ini, anda mungkin berpeluang melihat kedua-dua makhluk indah ini.

Selain itu, anda juga boleh mengikuti lawatan pencarian haiwan liar. Tetapi, ketahuilah bahawa penampakan haiwan liar tidaklah selalu dijamin. Walau bagaimanapun, anda masih berpeluang untuk melihat buaya atau kunang-kunang.

 

6. Ruang Peranginan Damai

Dikenali sebagai “Rahsia Terhebat Asia Tenggara”, ruang peranginan di Pantai Damai ini betul-betul berlokasi jauh dari pusat bandar bagi mereka yang sangat memerlukan ketenangan pada minda mereka.

Walaupun ia berlokasi agak jauh, tetapi ia hanya mengambil masa selama 40 ke 50 minit untuk tiba ke pusat peranginan ini dari bandar Kuching.

Yang paling seronok, Ruang Peranginan Damai ini juga ada menawarkan beberapa aktiviti kepada para pengunjung mereka seperti aktiviti menonton ikan lumba-lumba, melawat Taman Negara Bako, mengunjungi Pulau Satang serta melihat kunang-kunang pada waktu malam.

Terdapat juga beberapa kemudahan bersukan bagi mereka yang mempunyai jiwa yang lebih aktif seperti gelanggang skuasy, meja tenis, gimnasium serta pilihan untuk mengayuh basikal.

 

7. Taman Negara Talang Satang

Suka melihat haiwan-haiwan kecil seperti anak penyu yang comel? Maka, Taman Negara Talang Satang inilah lokasi percutian seterusnya untuk anda!

Di Taman Negara ini terdapat Pusat Pemuliharaan Penyu Talang Satang yang boleh memberikan para pengunjung peluang untuk mendapat pengalaman melihat anak-anak penyu yang baru menetas untuk berenang semula ke laut.

Pastikan anda melawat di antara bulan Mei hingga September (durasi masa yang lama juga tu!) kerana waktu itulah waktu puncak telur-telur penyu menetas. Tetapi, hubungilah pusat pemuliharaan tersebut sebelum anda melawatnya untuk memudahkan urusan kedua-dua belah pihak.

 

8. Kelabit Highlands

Bagi anda yang sukakan tempat sejuk, Sarawak juga ada lokasi yang sesuai untuk anda yang sukakan suasana dingin. Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk tempat sejuk di Malaysia.

 

Akhir kata

Akhir kata dari kami, tiada tempat yang lebih menyeronokkan untuk melancong selain dari negara sendiri kerana masih terlalu banyak tempat-tempat indah di dalam Malaysia yang masih perlu diterokai oleh kita sendiri.

Untuk lebih spesifik, ada beberapa lokasi lain yang boleh dikunjungi.

Diharapkan agar perkongsian tentang tempat menarik di Sarawak ini akan memudahkan lagi urusan percutian dan perjalanan anda.

Semoga anda mengambil cadangan kami ketika hendak melancong ke Bumi Kenyalang ini dan semoga berseronok!

1 thought on “8 Tempat Menarik di Sarawak (Yang Wajib Dikunjungi)”

Leave a Comment