16 Tempat Menarik Di Kluang (Makan dan Jalan-jalan)


Anda ingin bercuti ke Kluang dan mencari tempat menarik di Kluang? Jika ya, teruskan membaca di sini kerana kami ada kongsikan senarainya untuk anda.

Sebelum itu, kami kongsikan sedikit info mengenai Kluang. Kluang merupakan sebuah bandar di Johor yang terletak kira-kira 105km dari Johor Bahru. Tahukah anda, Bandar Kluang ini mendapat nama daripada perkataan Melayu iaitu ‘keluang’, iaitu sejenis kelawar besar atau dikenali sebagai kelawar buah. Haiwan ini terdapat di Kluang dalam bilangan yang banyak pada berpuluh tahun yang lalu, tetapi sudah hampir tiada lagi dek kerana aktiviti pemburuan dan pemusnahan habitat semulajadinya.

Jadi, anda sudah tahu sebanyak sedikit tentang Kluang, jadi jom tengok tempat menarik di Kluang yang boleh anda kunjungi sekiranya anda bercuti di Kluang.

Tempat menarik di Kluang

1. Hutan Lipur Gunung Belumut

Bagi anda yang gemarkan alam semulajadi, jom berkunjung ke Gunung Belumut ini. Hutan lipur ini terletak 32km dari Bandar Kluang melalui Jalanraya Kluang-Mersing. Bagi pendaki, anda perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak atau berjalan kaki melalui denai.

Bukan pendaki? Jangan risau. Di kaki gunung ini terdapat air terjun yang sejuk dan nyaman yang memang menjadi tarikan pengunjung. Air terjun di sini mempunyai air yang jernih dan cantik, jadi dah alang-alang anda di Kluang, rugilah kalau tak datang ke sini.

Nama gunung ini diberikan sempena dengan keadaan batu-batu di gunung ini yang licin dan berlumut, jadi anda dinasihatkan untuk berhati-hati ya terutama berdekatan dengan air terjun.

 

2. UK Farm Agro Resort

Seterusnya, tempat menarik di Kluang ialah UK Farm Agro Resort. Terletak lebih kurang 15km dari Pekan Ayer Hitam, ladang yang bertaraf antarabangsa ini seharusnya menjadi tempat yang wajib anda lawati jika anda ke Kluang, Johor. UK Farm ini terdiri daripada beberapa gabungan ladang-ladang di bawah pemantauan Kementerian Pertanian Malaysia. Ladang yang berkeluasan 100 ekar ini mempunyai kambing dan bebiri sebanyak 4000 ekor. Wah banyak betul!

Di sini terdapat beberapa tarikan yang pasti membuatkan anda seronok sepanjang berada di sini. Untuk peminat haiwan domestik, terdapat beberapa tempat yang anda boleh berinteraksi dengan haiwan. Antaranya ialah Feedstock Processing Centre, Baby Goat Milk Feeding, Duck Pond, Chicken Farm, Ostrich, Deer & Rabbit Park. Di sini juga terdapat hydroponic farm dan ladang buah markisa.

Selain dari ladang ternakan dan tumbuhan, anda juga akan dapat merasai suasana kampung orang asli di Jakun Village. Di sini anda akan dapat menyaksikan tarian tradisional mereka dan aktiviti mereka seperti menyumpit. Jika anda terasa penat, kunjungi Tropical Arcade yang akan menawarkan beberapa variasi minuman seperti air kelapa, air durian belanda dan air markisar.

 

3. Kluang Rail Coffee

Jika anda ke Kluang, wajib singgah di Kluang Rail Coffee. Restoran yang terletak di daerah Kluang ini memang popular dengan kopi dan roti bakar. Menariknya restoran ini, ia bermula sebagai sebuah kantin untuk tentera British 78 tahun yang lalu, kemudian semakin terkenal dan sekarang mempunyai 4 cawangan iaitu di Jalan Stesen, Jalan Duku, Taman Tasik dan Bandar Seri Impian.

Kopitiam ini juga masih mengekalkan rasa dan aroma yang autentik pada kopi mereka. Jika anda sukakan suasana yang antik, anda boleh ke Kluang Rail Coffee yang terletak di Stesen KTM. Boleh hirup kopi sambil feeling-feeling seperti zaman dahulu. Wah! Bukan itu sahaja, jika anda tidak berminat dengan kopi dan roti bakar, mereka turut menawarkan menu lain seperti mi kari, mihun goreng dan nasi lemak. Ada lagi pelbagai menu yang menarik.

Selain itu, jika anda sukakan kopinya dan ingin membawa pulang kopi tersebut, mereka juga ada menjual serbuk kopi untuk anda.

 

4. Laman Kreatif Kluang

Terletak di lorong belakang di kawasan bandar Kluang berhampiran Taman Merdeka, laman kreatif ini lebih kurang seperti Street Art di Shah Alam dan juga Pulau Pinang. Laman kreatif ini dibina untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai salah satu tumpuan pelancong. Di sini anda boleh melihat beberapa seni lukisan 2D dan 3D yang dihasilkan oleh pelukis tempatan. Boleh juga mengambil gambar kenangan di sini jika anda berkunjung ke Kluang.

Jika anda dahaga dan ingin berehat, boleh juga berehat di gerai-gerai yang terdapat di lorong ini.

 

5. Galeri Terompah Mastor

Seterusnya, antara tempat menarik di Kluang ialah Galeri Terompah Mastor. Galeri ini memang sangat sesuai bagi peminat seni kraf tempatan. Terompah merupakan alas kaki seperti selipar tetapi diperbuat daripada kayu dan mempunyai tali kulit sebagai penguat dan tempat untuk memegang jari kaki. Zaman sekarang agak susah untuk melihat terompah, jadi anda wajib berkunjung ke galeri terompah ini untuk melihat dan menghargai seni kraf ini.

Galeri Terompah Mastor mempamerkan pelbagai warna dan bentuk terompah. Lebih dari seribu terompah dibuat setiap bulan di sini untuk memenuhi order pelanggan dari dalam dan luar negara. Selain terompah, galeri ini juga turut menghasilkan produk lain berbentuk cenderahati dan kraftangan seperti lastik, replika dan cenderahari daripada upih pinang.

Jangan lupa singgah ke Galeri Terompah Mastor jika anda berkunjung ke Kluang.

 

6. Zenxin Organic Park

Ladang organik terbuka pertama di Malaysia menjadikan Zenxin Organic Park antara tempat menarik di Kluang. Di sini anda dapat merasai sendiri pengalaman menanam bunga dan sayuran secara organik. Anda akan dibawa meneroka ladang ini di mana anda akan dapat melihat cara menuai dengan 4 prisnsip penuaian organik.

Di sini terdapat beberapa pakej dan aktiviti yang disediakan bergantung kepada minat anda. Antaranya ialah Harvest Walk, Organic Kitchen, Insect Hotel, Herb Growing dan Organic Farm Walk. Selain itu, pakej untuk berkhemah juga ada ditawarkan jika anda berminat untuk berkhemah di sini.

Taman ladang ini terletak diBatu 9, Jalan Batu Pahat. Kunjungilah ke ladang ini untuk menikmati tuaian segar dan anda juga boleh memetik sendiri buah dan sayuran.

 

7. Restoran Bariani Desa

Jika anda berkunjung ke Kluang, anda wajib singgah ke Restoran Bariani Desa untuk menikmati nasi brianinya yang memang terkenal dengan nasi yang lembut serta kuah yang pekat yang sangat sedap. Antara menu yang sering menjadi pilihan ialah ayam dan kambingnya yang memang terbaik.

Selain keenakan nasinya, saiz hidangan di restoran ini juga cukup besar. Keenakan hidangan di sini memang tak dapat dinafikan kerana pengunjung juga sanggup beratur panjang walaupun cuaca panas. Jadi, anda jangan lepaskan peluang merasai keenakan nasi beriani di sini!

Restoran yang terletak di Taman Desa ini dibuka setiap hari kecuali Sabtu bermula jam 11 pagi hingga 4 petang.

 

8. La Dairy Goat Farm

Kandang kambing ini sangat menitikberatkan kebersihan dan kesihatan yang menjadikan susu segarnya sangat berkhasiat untuk anda. Kunjungilah ke ladang ini jika anda ingin merasa kesegaran susu kambing yang dijual di sini. Susu di sini memang terjamin kesegaran dan kebersihannya.

Selain itu, anda juga boleh melawat haiwan comel seperti rusa, kambing, kuda dan kura-kura. Terdapat juga beberapa ikan yang agak eksotik seperti arapaima dan arowana. Bukan selalu boleh tengok ikan-ikan ini kan. Jadi jangan lepaskan peluang untuk ke La Dairy Goat Farm ini.

 

9. Hairee Food Industry

Bagi penggemar kerepek dan biskut, anda harus singgah ke Hairee Food Industry. Terletak tidak jauh dari Galeri Terompah Mastor, premis ini menawarkan pelbagai jenis kudapan seperti kerepek ubi masin/pedas dan kerepek pisang masin/manis. Maruku, kerepek keladi, tempe, opak-opak dan bermacam lagi jenis yang anda harus lihat sendiri. Terdapat juga pelbagai perisa kerepek yang sukar didapati seperti perisa jagung, kari dan cheese.

Selain itu, terdapat juga pelbagai jenis kuih raya yang dijual seperti almond london, kuih bangkit, semperit, batang buruk dan macam-macam lagi. Siapa yang teringin kuih raya . Memang seronok kalau dapat shopping di sini. Boleh dibeli untuk rakan sekerja atau keluarga.

Premis ini terletak di Benut dan anda boleh menghubungi mereka di 012-751 9271.

 

10. Kluang Container Hotel

Hotel yang terletak hanya 2 kilometer dari bandar Kluang ini sangat unik kerana hotelnya berkonsepkan kontena. Selain reka bentuknya yang unik, hotel ini turut menyediakan kolam renang berserta gelongsor air. Pasti seronok jika anda menginap di sini, boleh bermandi-manda bersama keluarga, kolam renangnya juga sangat cantik dan turut mempunyai air mengalir seakan air terjun.

Selain itu, anda juga boleh membuat majlis perkahwinan di sini. Hotel ini mempunyai laman yang luas dan perkahwinan bertemakan ‘outdoor’ sangat cantik jika dibuat di sini.

Anda boleh membuat tempahan atau melihat lebih lanjut mengenai Kluang Container Hotel sekiranya anda sedang membuat perancangan untuk bercuti di Kluang.

 

11. Taman Tasik MPK Kluang

Sekiranya anda sudah berada di Kluang dan mencari tempat untuk bersenam tetapi tidak tahu ingin ke mana, anda boleh berkunjung ke Taman Tasik MPK Kluang. Taman tasik ini sangat sesuai untuk beriadah tak kira golongan umur. Kanak-kanak boleh bermain di taman permainan yang disediakan dan boleh juga berjogging di sini. Fasiliti di sini juga lengkap dan anda tidak perlu risau kerana kemudahannya lengkap dan selesa.

Di situ juga terdapat sebuah menara jam sekiranya anda ingin mengambil gambar kenangan. Pada waktu malam juga meriah di sini dengan kehadiran gerai-gerai pelbagai untuk anda bersuka ria.

 

12. Nasi Gulai Kawah & Asam Pedas Hj Ishak

Kalau Melaka terkenal dengan asam pedasnya, Johor pun apa kurangnya. Asam pedas Johor juga sering menjadi buruan kaki makan jika bercuti di negeri ini. Kalau anda ke Kluang, antara tempat makan best yang mesti anda pergi ialah Restoran Nasi Gulai Kawah & Asam Pedas Hj Ishak. Asam pedas di restoran ini dikatakan destinasi wajib semasa makan tengah hari. Selain pilihannya yang agak banyak, saiz hidangan juga memang puas hati.

Selain asam pedas yang memang padu, restoran ini juga turut menawarkan beberapa pilihan hidangan gulai kawah yang memang sedap dan terkenal dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong. Ramai pengunjung yang memang mengakui gulai kawah di sini di antara yang paling sedap mereka pernah rasa. Jadi rugilah kalau anda datang ke Kluang tapi tidak merasa hidangan di restoran ini.

Kepada anda yang ingin merasai sendiri keenakan gulai kawah dan asam pedas di sini, jangan lupa datang awal bagi mengelakkan kehabisan lauk. Nanti dah datang jauh-jauh, tidak dapat merasa kan dah rugi.

Restoran ini terletak di Blok L, Perumahan Flat Haji Manan, 86000 Kluang, Johor.

 

13. Taman Rekreasi Gunung Lambak

Bagi pendaki tegar, Gunung Lambak pasti menjadi pilihan anda jika anda ingin mengunjungi Kluang dan mendaki secara santai. Dengan ketinggian lebih kurang 500m, gunung ini sangat sesuai jika anda ingin mendaki tanpa perlu terlalu bersusah payah. Sambil berjalan-jalan dan bercuti di Kluang, boleh juga berpeluh kan. Anda juga tidak memerlukan permit untuk mendaki.

Jika anda bukan pendaki, jangan risau. Anda juga boleh camping dan bbq di kaki gunung. Seronok juga bercuti di alam semulajadi. Selain itu, Taman Rekreasi Gunung Lambak ada mini waterpark yang sesuai sekiranya anda berkunjung bersama kanak-kanak. Mesti mereka seronok bermandi-manda.

 

14. Char Kuey Teow Ketam, Kluang

Biasa kita dengar char kuey teow hanya mempunyai kerang dan udang, kalau special pula hanya ditambah telur mata. Tetapi di sini anda pasti teruja kerana bukan hanya udang dan kerang sahaja, restoran ini turut menyediakan ketam di dalam hidangan mereka. Wah rare juga ya nak jumpa char kuey teow ketam dekat tempat lain!

Restoran ini bukan sahaja menghidangkan makanan yang sedap, kawasan mereka juga terbuka dan selesa, sesuai jika anda datang dalam bilangan yang ramai. Restoran ini dibuka setiap hari bermula pukul 5 petang hingga 1 pagi.

 

15. Restoran Lagenda Ujang

Seterusnya, tempat menarik di Kluang yang anda harus kunjungi ialah Restoran Lagenda Ujang. Menariknya restoran ini, hanya di sini sahaja yang menunya merupakan nasi ujang. Nasi ujang ini merupakan hidangan istimewa yang berasal dari Kluang. Jadi, kalau anda nak tahu bagaimana rasanya, anda mesti singgah ke sini.

Terdapat beberapa pilihan nasi ujang yang dihidangkan di sini. Antaranya ialah Nasi Ujang Ayam, Nasi Ujang Daging, Nasi Ujang Udang dan Nasi Ujang Puyuh. Sekiranya anda berkunjung ke Kluang, jangan lupa singgah makan di sini.

Restoran ini dibuka pada setiap hari dan bertempat di Pusat Perniagaan Komersil Haji Manan, Jalan Omar, 86000 Kluang, Johor.

 

16. Lontong Goreng Meletup

Johor memang terkenal dengan lontong goreng. Jadi, jika anda berkunjung ke Kluang, anda wajib singgah di Lontong Goreng Meletup untuk merasai sendiri keenakan dan keunikan lontong goreng ini. Rasanya yang sedap dan cukup rasa pasti akan membuatkan anda puas hati dengan hidangan ini.

Selain Lontong Goreng Kerang, Lontong Goreng Telur Mata juga sering menjadi pilihan pengunjung di sini. Restoran ini terletak di depan Restoran One Two Tree dan berhampiran dengan Johor Maternity. Restoran ini dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 6.30 pagi hingga 1 tengah hari. Jadi anda boleh bersarapan di sini sebelum memulakan percutian anda di Kluang.

 

Akhir kata

Sekarang anda sudah tahu tempat menarik di Kluang yang mesti anda pergi, jadi jangan lupa terus rancang percutian anda sebaiknya. Jika anda ingin meneruskan percutian anda ke bahagian utara Johor iaitu Muar, jangan lupa baca tempat menarik di Muar yang kami kongsikan ini.

Selain itu, jika ke arah selatan Johor, ada juga tempat menarik di Desaru untuk anda.

Selamat bercuti!

Leave a Comment