Anda dah berkahwin untuk berapa tahun, masih lagi menyewa rumah dan tiada harta dalam bentuk hartanah. Tiba-tiba anda dan pasangan nak merancang mempunyai anak dan semestinya mahu berikan keselesaan dan jaminan untuk bakal anak serta pasangan anda. Jadi untuk membantu anda dapatkan rumah pertama anda disini kami cadangkan Skim Rumah Pertamaku atau My First Home Scheme yang mana mempunyai insentif dari kerajaan dan dapat meringankan beban anda.
Rasa nak tahukan apa ke benda faedah Skim Rumah Pertamaku ini kan? Di sini kami kongsikan maklumat lebih lanjut untuk anda jika berminat untuk memohon.
Apa itu Skim Rumah Pertama Ku (SRP)?
Skim Rumah Pertamaku merupakan satu inisiatif pemilikan rumah yang pertama kali diumumkan dalam Belanjawan 2011 oleh Kerajaan Malaysia untuk meringankan beban pembeli yang kali pertama mahu membeli rumah yang mempunyai pendapatan kasar bulanan isi rumah tidak lebih dari RM5,000 bagi pemohon tunggal dan pendapatan kasar bulanan tidak lebih dari RM10,000 bagi pemohon bersama.
Skim ini membolehkan pembeli rumah pertama mendapatkan pembiayaan sehingga 110% daripada bank-bank yang terlibat bagi membolehkan mereka untuk memiliki rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan.
Ianya bermaksud pembeli akan dibantu untuk mendapatkan pinjaman/pembiayaan sebanyak 100% + 10% (GMRTA, fi guaman dan fi penilaian) untuk pembelian hartanah bernilai tidak lebih dari RM500,00 untuk pembeli kali pertama.
Skim ini adalah dibawah kelola Cagamas, melalui anak syarikatnya Cagamas SRP Berhad (CSRP) yang mana akan memberi jaminan kepada bank-bank yang berkenaan sehingga 20% pertama atas dasar ‘kerugian pertama’ untuk pembiayaan yang melebihi mula dari 90%.
Jadi untuk anda lebih mehami konsep Skim Rumah Pertamaku ini :
- Ia adalah satu skim perumahan yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia.
- Khas untuk pembeli rumah pertama yang :-
- Pendapatan kasar bulanan tidak lebih dari RM5,000 bagi pemohon tunggal
- Pendapatan kasar bulanan tidak lebih dari RM10,000 bagi pemohon bersama.
- Pembiayaan sehingga 110% daripada bank-bank yang terlibat tanpa perlu wang pendahuluan
- Pembelian hartanah yang tidak lebih dari RM500,000.
- Cagamas SRP Berhad (CSRP) menjamin kepada bank-bank yang berkenaan sehingga 20%
Kriteria dan syarat kelayakan Skim Rumah Pertamaku
Antara kriteria dan syarat-syarat yang boleh melayakkan anda mendapat Skim Rumah Pertamaku ini antaranya ialah :-
- Warganegara Malaysia
- Pembeli rumah pertama
- Pekerja bergaji atau individu yang bekerja sendiri
- Pemohon individu atau bersama
- Harta tanah kediaman dan dihuni pemilik
- Nilai harta tanah sehingga RM500,000
- Pendapatan kasar isi rumah sehingga RM5,000 untuk pemohon tunggal/RM10,000 untuk pemohon bersama
- Pembiayaan sehingga 110% *
- Tiada rekod pembiayaan yang terjejas dalam tempoh 12 bulan lepas
Untuk pengetahuan anda kriteria untuk mendapatkan pembiayaan 100% sehingga 110% hanya untuk pemohon yang mempunyai pendapatan isi rumah tidak lebih dari RM5,000 dan membeli harta tanah tidak lebih dari RM300,000.
Langkah-langkah untuk memohon
- Pilih dan kenal pasti rumah idaman anda
- Dapatkan dokumen yang berkaitan seperti draf perjanjian jual beli, resit bayaran, tempahan atau lain-lain.
- Semak kelayakan untuk memohon Skim Rumah Pertamaku.
- Sediakan dokumen sokongan seperti slip gaji, penyata KWSP, penyata gaji dan lain-lain.
- Hantarkan permohonan pembiayaan di bank-bank yang berkenaan.
Senarai bank yang memberi pembiayaan/pinjaman
Apabila anda ingin menghantar permohonan Skim Rumah Pertamaku ini ia mestilah dihantar kepada bank-bank yang telah berdaftar dengan skim ini. Sehingga kini melalui portal rasmi Skim Rumah Pertamaku terdapat hampir 24 bank yang disenaraikan untuk permohonan pembiayaan atau pinjaman skim ini. Antara bank-bank yang bekerjasama dengan Skim Rumah Pertamaku ini adalah :-
- Affin Bank
- Affin Islamic
- Alliance Bank
- Alliance Islamic Bank
- AmBank
- Ambank Islamic
- Bank Islam
- Bank Muamalat
- CIMB Bank
- CIMB Islamic
- HongLeong Bank
- Hong Leong Islamic Bank
- Maybank
- Maybank Islamic
- MBSB Bank
- OCBC Bank
- OCBC Al Amin
- Public Bank
- Public Islamic Bank
- RHB Bank
- Standard Chartered
- Standard Chartered Saddiq
- UOB Bank
- Bank of China
Jika ada sebarang persoalan dan pertanyaan terma dan syarat apa yang bank-bank yang telah disenaraikan ini ada boleh hubungi nombor telefon mereka di sini.
Kalau saya bekerja kerajaan manakala pasangan bekerja swasta jadi pemohon bersama boleh mohon?
Ya anda boleh menjadi pemohon bersama dibawah skim ini. Permohonan anda akan diterima jika mengikut kriteria dan syarat yang telah ditetapkan.
Adakah saya yang bekerja kontrak dengan kerajaan layak untuk memohon Skim Rumah Pertamaku?
Ya, anda layak untuk memohon. Dengan syarat yang jika anda tidak layak untuk pembiayaan perumahan kakitangan daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan lulus syarat dan piawaian kredit dari pihak bank.
Jika gaji bulanan dalamย rm2,000 dan bekerja sendiri boleh mohon ?
Anda boleh memohon Skim Rumah Pertamaku ini jika anda bekerja sendiri dan mempunyai gaji di dalam rm 2,000.
Skim ini terbuka untuk yang bekerja kerajaan, swasta mahupun bekerja sendiri.
Boleh tak saya menjadi pemohon Skim Rumah Pertamaku bersama dengan rakan?
Tak boleh dan tidak boleh. Ini kerana syarat yang boleh memohon hanyalah :-
- Pemohon tunggal (seorang)
- Pemohon bersama yang akan duduk dirumah yang sama iaitu
- Pasangan suami isteri
- Ibu atau bapa
- Adik beradik
Rakan baikย anda tidak dikira sebagai pemohon bersama ini kerana tidak mengikuti kriteria dan syarat yang telah ditetap.
Kalau saya dah ada rumah yang diwarisi boleh mohon Skim Rumah Pertamaku?
Tidak boleh memohon. Ini kerana inisiatif Skim Rumah Pertamaku ini adalah untuk mengalakkan rakyat Malaysia mampu memiliki rumah pertama mereka sebagai harta milik mereka.
Sesiapa yang ingin memohon mungkin akan diminta untuk menandatangani borang yang mengisytiharkan mereka tidak memiliki atau mewarisi sebarang rumah ketika ingin membuat permohonan.
Siakap gelama senohong ikan duri,
Kalau suka berbohong lama-lama suka mencuri!
Skim ini terbuka untuk perumahan yang sudah siap atau masih fasa pembinaan?
Ya. Skim ini terbuka untuk rumah yang sudah siap atau masih lagi dalam fasa pembinaan. Ia akan mendapat jaminan apabila pembayaran pembiaayan skim ini telah diterima.
Boleh ke saya mohon Skim Rumah Pertamaku ini untuk pembiayaan semula rumah yang saya sudah miliki?
Tidak boleh memohon. Ini sebab Skim ini hanya untuk pembiayaan kali pertama untuk pembelian rumah pertama. Bahasa mudah, skim ini untuk pembeli rumah pertama yang tiada harta hartanah rumah sebelum ini.
Jenis rumah apa yang sesuai untuk memohon skim ini?
Pelbagai jenis rumah sesuai untuk permohonan Skim Rumah Pertamaku ini dengan syarat ia mestilah harta kediaman untuk diduduki diri sendiri walaupun masih lagi dalam pembinaan ataupun sudah pun siap yang datangnya dari pasaran yang utama atau sekunder.
Jika beli hartanah rumah untuk tujuan pelaburan dan mohon skim ini boleh?
Tidak boleh. Hartanah rumah tersebut mestilah dibeli untuk didiami diri sendiri mahupun bersama pemohon bersama.
Adakah geran pembiayaan hartanah rumah itu akan boleh disekat?
Ya geran hartanah itu boleh disekat jika hak milik tanah itu milik kepada:-
- Tanah Kawasan Asli
- Tanah Adat Orang Asli
- Tanah Kawasan Pendalaman Sarawak.
Berapa tempoh pembiayaan maksimum Skim Rumah Pertamaku?
Paling maksimum akan dibiayai adalah selama 35 tahun yang mana tertakluk kepada umur pemohon tidak melebihi 70 tahun pada akhir tempoh pembiayaan dan polisi penjajaminan bank-bank yang terlibat.
Adakah tempoh pembiayaan termasuk tempoh pembinaan?
Jika hartanah rumah masih dalam pembinaan, pembiayaan akan bermula apabila Skim Rumah Pertamaku sudah mula dikreditkan atau diterima oleh pembeli.
Bolehkah guaman hartanah dibiayai melalui Skim Rumah Pertamaku ini?
Boleh menjadi sebahagian dari pembiayaan skim ini dan ianya bergantung dengan budi bicara dengan bank yang dimohon pembeli.
Perlukah saya membeli Insurans Gadai Janji Berkurangan (MRTA) / Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTT)
Ia mengikut dan bergantung terhadap bank yang bekerjasama dengan Skim Rumah Pertamaku ini.
Perlukah saya membeli Insuran/takaful kebakaran?
Ya. Anda diwajibkan dan perlu membeliย insurans/takaful kebakaran untuk pembiayaan rumah pertama anda.
Jika ada masalah dalam permohonan apa yang saya bagaimana?
Sebarang masalah ataupun soalan yang dihadapi oleh anda boleh menghubungi saluran-saluran rasmi Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas iaitu:-
- Nombor telefon rasmi : +03 – 22621800
- E-mel rasmi : [email protected]
- Alamat rasmi :ย Level 32, The Gardens North Tower, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, 59200 Kuala Lumpur
Kalau nak tahu lebih lanjut apa yang boleh dan tak boleh masa anda nak lakukan permohonan ini boleh pergi ke https://www.srp.com.my/bm/faq.
Akhir Kata
Rumah hartanah adalah salah satu harta yang penting untuk masa depan kita dan anak cucu kita nanti. Apabila anda sudah menyediakan tempat berteduh untuk anak cucu anak, di masa tua nanti tak perlu risau akan nasib mereka.
Demikianlah perkongsian tentang maklumat dan info lanjut Skim Rumah Pertamaku ini. Jika anda rasa syarat-syarat yang ditulis itu kena dengan anda, apa lagi mohon cepat! Nanti dah terlepas anda yang berhuhuhu. Bak kata pepatah:
sudahย terhantuk baru nak terngadah.
Diucapkan selamat berjaya untuk permohonan anda dan kepada keluarga anda!
Salam..sy mau bertanya,saya ada buat pinjaman rumah di ambank,dan pinjaman rumah sy tu lulus dalam 270k,sekarang tgh tggu untuk sigh LO dan urusan peguam Hartana,tapi sy dah minta berapa yg patut sy bayar peguam..dia sy kena sedia bayar S&P dlm 3k lbh dan loan documentation pun dlm 3k lbh total semua dkt 7k lbh..tp tak mampu untuk bayar,dan perlu masa untuk cari wang sebayang itu..adakah saya layak untuk memohon skim rumahpertamaku,dan berapa peratus dapat kena bantu?