Punca Sakit Pinggang Sebelah Kiri & Kanan (Dan Cara Mengatasinya)


Jika anda duduk terlalu lama, ia boleh menyebabkan munculnya rasa sakit pinggang. Keadaan ini pastinya mendatangkan ketidakselesaan kepada individu yang mengalami masalah ini. Jadi apakah punca sakit pinggang dan bagaimana untuk mengatasi sakit pinggang yang kadang-kadang menyusahkan kita untuk bergerak ke sana sini?

Apa itu sakit pinggang?

Sakit pinggang adalah satu masalah biasa yang sering dihadapi oleh kebanyakan individu. Dalam Bahasa Inggeris, ia dipanggil hip pain. Jarang orang panggil hip ache. Ada yang rasa sakit bahagian sebelah kiri, dan ada juga yang rasa sakit sebelah kanan. Tidak kurang juga, ada yang sakit pinggang di bahagian belakang dan di bahagian tengah.

Secara umumnya, terdapat serangkaian otot dan ligamen pada belakang badan anda yang memegang tulang-tulang belakang supaya ia berada dalam keadaan betul. Anda boleh mencederakan otot-otot ini apabila meregangkannya secara berlebihan. Keadaan ini boleh menyebabkan koyakan pada tisu otot.

Akibat kecederaan tersebut, otot kemudiannya menjadi lemah, oleh itu, ia mungkin tidak dapat memegang tulang-tulang belakang anda di tempat dengan betul. Tulang belakang menjadi kurang stabil dan akan mengakibatkan sakit pinggang.

Untuk maklumat lebih lanjut, boleh baca di WebMD.

Punca sakit pinggang

Sebelum itu, ingin kami nyatakan di sini, apa yang kami kongsikan di sini ialah punca sakit pinggang dan bukan punca sakit buah pinggang. Ia adalah dua perkara yang berlainan.

Terdapat beberapa punca dan penyebab yang menyebabkan wujudnya masalah sakit pinggang. Ia mungkin disebabkan oleh masalah pada bahagian tulang, otot, organ-organ pada bahagian tersebut, kecederaan ataupun masalah berkaitan saraf.

Punca sakit pinggang #1: Masalah tulang

Sakit pinggang yang berlaku disebabkan oleh masalah tulang selalunya terjadi pada tengah-tengah bahagian belakang. Antara punca masalah sakit pinggang ini adalah patah tulang belakang (Spondilolisis), patah tulang rusuk, kebengkokkan tulang belakang sebelah tepi (Scoliosis), kebengkokkan tulang belakang ke bawah (Kyphosis), degenerasi cakera intervertebral (Spondilosis), kemampatan cakera intervertebral dan kegelongsoran tulang belakang (Spondilolithesis)

Punca sakit pinggang #2: Masalah otot

Sakit pinggang yang disebabkan oleh masalah otot dipanggil ‘Lumbago’. Antara penyebabnya adalah oleh otot belakang yang terseliuh dan ketegangan otot belakang.

Punca sakit pinggang #3: Masalah organ

Rasa sakit pinggang yang disebabkan oleh masalah organ di bahagian tersebut dibezakan mengikut lokasi sakit pinggang tersebut, sama ada di bahagian sebelah kanan atau di bahagian sebelah kiri.

  • Sakit pinggang belakang sebelah kanan boleh terjadi disebabkan masalah hempedu seperti infeksi, ataupun obstruksi ke asid hempedu. Ia juga boleh berlaku disebabkan masalah buah pinggang seperti jangkitan, batu karang, autoimun, barah buah pinggang dan sebagainya.
  • Sakit pinggang belakang sebelah kiri boleh dialami jika mengalami masalah buah pinggang seperti infeksi, batu karang, autoimun, barah buah pinggang dan sebagainya.

Bagi individu wanita yang mengalami rasa sakit pinggang, ia boleh disebabkan oleh masalah berkaitan rahim dan juga ovari. Masalah seperti fibroid juga boleh menyebabkan sakit pinggang.

Punca sakit pinggang #4: Trauma

Sakit pinggang juga boleh berlaku disebabkan oleh trauma ke bahagian belakang yang boleh mencederakan mana-mana organ, tulang ataupun otot. Trauma dalam kes ini adalah disebabkan dimaksudkan oleh kejadian seperti kemalangan atau terjatuh.

Rasa sakit pinggang juga boleh berlaku disebabkan oleh masalah saraf seperti ‘sciatica’ .

 

Tanda sakit pinggang

Punca sakit pinggang sudah tahu. Sekarang apakah antara tanda sakit pinggang pula?

Antara simptom yang mungkin akan anda lalui apabila anda mengalami sakit pinggang adalah seperti berikut:

  • Mengalamai masalah tidur
  • Rasa sakit pinggang mungkin akan menjalar ke bahagian kaki, paha, punggung dan juga ke perut
  • Anda mungkin tidak dapat membengkokkan badan dan tidak dapat meregangkan badan.
  • Selain itu, anda juga cenderung untuk berasa sakit apabila berdiri dengan tegak
  • Tanda kemerahan kulit di bahagian belakang, bengkak di bahagian belakang
  • Mengalami masalah kelengkungan tulang belakang.

Rasa sakit yang anda alami ini mungkin akan berterusan selama 10 hingga 14 hari.

Tetapi terdapat kemungkinan wujud gejala atau simptom yang mungkin mewujudkan kebimbangan kepada anda, anda di nasihatkan untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan nasihat.

 

Cara mengatasi sakit pinggang

Punca sakit pinggang sudah tahu. Tanda-tanda anda mengalami sakit pinggang juga sudah ada. Kini, kami kongsikan rawatan untuk mengatasi masalah sakit pinggang pula.

Rehat secukupnya

Umumnya, rawatan yang disyorkan untuk masalah sakit pinggang adalah untuk berehat secukupnya. Ini kerana badan anda memerlukan masa untuk merawat dirinya sendiri. Dengan mendapatkan tidur dan rehat yang secukupnya, masalah kesakitan pada bahagian pinggang anda boleh dikurangkan dengan drastik.

Ubat tahan sakit

Seandainya masalah sakit pinggang anda menjadi semakin serius dan kronik, anda amatlah disarankan untuk mendapatkan rawatan doktor untuk diberikan ubat tahan sakit yang bersesuaian dengan keadaan anda. Terdapat beberapa pilihan ubat seperti Ibuprofen, Naproxen, dan asid Mephenamic. Malah Paracetamol juga berkesan untuk merawat sakit pinggang.

Guna ais

Pemampat atau tekanan ais dan panas boleh digunakan untuk mengurangkan rasa sakit pinggang. Pemampat ais akan mengurangkan penghantaran impuls sakit dan mampatan panas boleh mengurangkan rasa sengal pada otot-otot pada belakang badan. Tekanan panas atau ais ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya selama 20 minit.

Tukar tilam

Jika anda mengalami rasa sakit yang disebabkan oleh masalah otot, anda mungkin boleh mengurangkan rasa sakit tersebut dengan menukar tilam anda. Gunakan tilam yang tebal dan rata. Ia dipercayai boleh mengurangkan rasa sakit pinggang dan juga sakit punggung. Malah terdapat juga tilam yang direka khusus untuk mengurangkan rasa sakit belakang.

Tukar kasut

Pemilihan kasut juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan rasa sakit belakang. Sebaiknya pakailah kasut yang mempunyai lapisan yang tebal pada tumit untuk mengurangkan tekanan pada tulang belakang dan mengurangkan kesakitan.

Tukar gaya hidup

Antara penyebab utama yang menjadi penyebab sakit pinggang ialah gaya hidup. Jadi, perubahan gaya hidup dengan melakukan aktiviti fizikal dan bersenam secara tetap juga dapat menguatkan otot-otot belakang dan dalam masa yang sama dipercayai dapat membantu memperbaiki posisi otot belakang. Selain itu, senaman juga dapat menguatkan tulang punggung anda.

Urut badan (atau chiropractor)

Urutan tradisional ataupun kiropraktor boleh membantu meluruskan dan memulihkan sebarang bahagian yang terseliuh. Dikatakan akupuntur juga dapat menolong untuk merawat masalah sakit pinggang dan sakit punggung.

Terdapat masalah sakit pinggang mungkin berpunca daripada masalah tulang seperti tulang patah mungkin memerlukan pembedahan dan perlu memakai acuan plaster.

 

Akhir kata

Untuk makluman, semua cadangan rawatan adalah berdasarkan penyebab sakit pinggang tersebut. Untuk mendapatkan rawatan yang lebih tepat, sebaiknya anda perlu mendapatkan perbincangan dan rawatan daripada doktor bagi kepastian rawatan yang sesuai dengan anda.

Sakit pinggang adalah satu masalah normal yang mungkin dihadapi oleh setiap individu tanpa mengira usia. Orang tua, lelaki dan wanita adalah golongan yang selalu mengalami masalah ini. Namun, tak semestinya yang muda juga tidak kena. Satu lagi kes ialah, orang hamil atau mengandung juga mengalami masalah sakit pinggang ini.

Yang penting, jangan memandang remeh kesakitan yang dihadapi, kerana ia mungkin akan menyebabkan masalah yang lebih serius.

Jangan lupa lazimi doa selepas solat dan minta Allah sentiasa berikan kita kesihatan agar selalu dapat beribadah kepada-Nya.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment