Punca Sembelit (Dan Cara Hilangkan Sembelit, Petua Orang Tua)


Apabila perut buat hal, pasti akan rasa tak selesa bila sudah duduk lama dalam tandas, tapi masih lagi tak keluar-keluar. Hanya yang pernah rasa, boleh faham situasi begini. Masalahnya, apa punca sembelit dan apakah cara dan petua hilangkan sembelit ini?

Langkau artikel ini jika anda mahukan maklumat tentang punca cirit birit.

Apa itu sembelit?

Sebelum itu, mohon izin kami kongsikan sedikit tentang sembelit. Dalam Bahasa Inggeris, ia dipanggil constipation.

Sembelit adalah mengalami kesukaran untuk membuang air besar dan tekstur najis yang keras. Jika najis berada dalam saluran kolon (usus besar), ia akan membuatkan ia menjadi keras dan semakin sukar untuk disingkirkan.

Sistem pencernaan

Sistem pencernaan adalah satu fungsi badan yang sangat berkesan. Dalam tempoh beberapa jam, sistem pencernaan akan menyerap nutrisi daripada makanan dan minuman yang anda ambil, memprosesnya ke dalam aliran darah, dan menyediakan sisa buangan untuk disingkirkan.

Sisa buangan yang akan disingkirkan akan melalui usus sebelum disimpan sementara dalam usus besar, sebelum dikeluarkan dari tubuh, dalam masa 1 atau 2 hari. Najis yang normal adalah tidak memiliki tekstur yang keras atau terlalu cair, dan tidak menyakitkan anda untuk menyingkirkannya dari tubuh.

 

Punca sembelit

Tugas utama kolon adalah untuk menyerap air dari sisa makanan yang melalui sistem pencernaan dan menghasilkan najis (sisa buangan). Otot-otot kolon akan mengeluarkan sisa melalui rektum untuk disingkirkan. Dan najis yang berada untuk tempoh yang lama di dalam kolon, akan menyebabkan ia menjadi keras dan sukar untuk melalui rektum.

Jika keadaan ini berterusan, masalah sembelit yang kronik juga boleh menjadi simptom kepada masalah kesihatan yang lebih serius, termasuk sindrom usus besar, kanser kolorektal, kencing manis, penyakit Parkinson, kemurungan, atau kelenjar tiroid menjadi kurang aktif.

Kecenderungan usus untuk menjalankan fungsinya adalah bergantung kepada usia, diet pemakanan, dan aktiviti harian anda. dan keadaan persekitaran. Sebagai contoh; bayi yang diberi susu formula lebih berpotensi mempunyai najis yang keras dan berdepan masalah sembelit berbanding bayi yang hanya minum susu ibu.

Gaya hidup yang sibuk; tidak makan serat atau minum air secukupnya, tekanan, kurang bersenam, perubahan rutin harian, tidak menghiraukan keinginan atau rasa untuk ke bilik air adalah penyebab timbulnya masalah sembelit ini.

Tahan berak

Adakala sewaktu ada mood untuk membuat tugasan kerja di pejabat atau sedang khusyuk melakukan sesuatu, sering kali akan menyebabkan anda menahan diri daripada membuang air. Keadaan ini sudah tentu boleh menjurus kepada wujudnya masalah sembelit.

Antara faktor lain yang menyebabkan sembelit:

  • Diet rendah serat (diet tinggi daging, susu atau keju)
  • Dehidrasi
  • Melancong atau berjalan jauh
  • Pengambilan ubatan tertentu
  • Punca sembeli yang lain ialah sebab kehamilan
  • Masalah kesihatan

 

Kanak kanak sembelit

Umumnya, masalah ini lebih kerap dialami kepada kanak-kanak. Situasi ini mungkin berlaku kepada anak-anak yang baru belajar ke tandas. Mereka mungkin berasa malas untuk menunggu najis untuk keluar sehingga habis ketika membuang air besar.

 

Sembelit ketika hamil dan selepas bersalin

Bagi sesetengah wanita yang bersalin normal, adakalanya perlu berdepan dengan situasi perlu berdepan dengan prosedur episiotomi.

Ia adalah satu keadaan di mana vagina perlu dipotong untuk membuka ruang semasa bersalin. Walaupun ia mungkin tidak bersangkut paut dengan membuang air besar, tetapi rasa trauma itu membuatkan ibu selepas bersalin trauma untuk membuang air besar kerana takut untuk meneran.

 

Tanda tanda sembelit

Walaupun kekerapan membuang air besar adalah berbeza bagi setiap individu, namun itu tidak bermakna anda tidak berisiko untuk mengalami sembelit. Anda mungkin sembelit jika mengalami simptom berikut:

  • Kurang 3 kali seminggu membuang air besar
  • Najis keras
  • Kesakitan semasa membuang air besar
  • Tetap merasa kenyang walaupun selepas membuang air besar
  • Mengalami masalah rektum tersumbat

 

Siapa yang boleh mengalami sembelit?

Pengambilan diet yang tidak seimbang, kurang bersenam adalah faktor utama sembelit. Anda mungkin berdepan risiko yang lebih tinggi jika anda:

Warga emas

  • Berusia 65 tahun dan ke atas. Individu dewasa lebih berusia cenderung untuk kurang aktif secara fizikal, mempunyai masalah kesihatan dan kurang mengamalkan diet pemakanan yang sihat.
  • Tidak banyak bergerak. Individu yang dalam keadaan perubatan tertentu, mengalami kecederaan saraf tunjang.

Wanita dan kanak-kanak

  • Wanita dan kanak-kanak. Individu wanita lebih kerap berdepan masalah sembelit berbanding lelaki, dan kanak-kanak lebih banyak berdepan isu ini berbanding individu dewasa.
  • Cara hilangkan sembelit untuk kanak-kanak, lebih sukar kerana mereka tidak faham apa-apa

Ibu hamil

  • Hamil. Perubahan hormon dan tekanan pada usus dari bayi yang meningkat setiap hari boleh mengakibatkan sembelit.

 

Cara hilangkan sembelit

Ubah diet pemakanan dan tingkatkan aktiviti fizikal adalah cara paling mudah dan berkesan untuk merawat sembelit.

Mengikut Dr Zubaidi di Harian Metro, anda cuba boleh mencuba petua seperti di bawah. Kami juga ada tambah cara mengatasi yang lain.

 

Minum air kosong

Punca sembelit ialah apabila seseorang itu kurang minum air masak.

Jadi, anda perlu banyakkan minum air kosong, sekurang-kurangnya tiga liter sehari.

Perbanyakan minum air kosong, untuk menghidratkan badan

Cara paling mudah adalah dengan memerhati isyarat tubuh dan minum apabila mula terasa dahaga. Perhatikan juga sekiranya air kencing mula berwarna kuning pekat, banyakkan minum air kosong.

Antara lain, cuba menambah probiotik dalam diet anda, seperti yang terdapat dalam yogurt

 

Makan banyak serat

Makan lebih banyak serat termasuk bijirin, roti gandum penuh, nasi dan sekurang-kurangnya lima hidangan buah dan sayuran sehari.

Tambahkan makanan serat dalam diet anda, seperti buahan dan sayuran, bijirin dan kekacang

Kurangkan makanan serat rendah seperti daging, susu, keju dan makanan diproses.

Ambil tambahan supplement serat jika perlu.

 

Selalu bersenam

Lakukan senaman secara kerap. Di samping mengurangkan tekanan, bersenam juga mampu meningkatkan kadar metabolisme dan apabila metabolisme meningkat, proses untuk membuang air besar juga semakin pantas.

Bersenam, berjalan, berenang atau pun berbasikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari, 5 kali seminggu.

 

Berak cangkung, bukan duduk

Cara hilangkan sembelit ini jarang dilakukan oleh orang zaman sekarang. Tambahan lagi, tidak semua rumah ada tandas cangkus, terutama di bandar-bandar.

Buang air besar dengan mencangkung kerana ia mudah membantu mengeluarkan najis dari dubur berbanding cara duduk. Berbaring dan kaki dinaikkan ke atas juga merangsang otot untuk membantu mengelakkan sembelit.

 

Banyakkan makan makan herba

Mengambil makanan herba seperti halia dan kunyit yang bersifat mentona dan menguatkan fungsi hati, juga membantu mencegah sembelit.

 

Berhenti merokok

Jauhi rokok kerana perokok tegar dan mereka yang mengalami tekanan emosi berpanjangan juga mudah mengalami sembelit.

 

Jangan lambat-lambatkan berak

Jika merasa ingin membuang air, jangan berlengah. Ia boleh jadi punca sembelit jika selalu melengah-lengahkan urusan penting ini.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad lagi, sembelit yang kronik sememangnya menyakitkan dan boleh menyebabkan buasir.

Faktor pemakanan antara elemen yang memainkan peranan penting penyebab buasir.

“Banyakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan selain perlu pastikan minum air secukupnya supaya proses pembuangan air besar berjalan lancar.

“Namun, sekiranya penghidapnya tidak dapat menahan rasa kesakitan melampau, langkah terbaik segera bertemu doktor bagi mendapatkan ubat yang dapat membantu mengatasi sembelit,” katanya.

Tambah Dr Zubaidi, ubat melembutkan najis akan diberikan bergantung kepada keseriusan masalah yang dialami itu.

 

Fakta sembelit yang perlu anda ketahui

Sembelit adalah keadaan di mana pergerakan usus kurang berlaku daripada yang sepatutnya. Walaupun punca sembelit sudah tahu, izinkan kami kongsi beberapa fakta mengenai sembelit yang perlu diketahui.

 

Tidak meracuni badan

Ada individu yang mempercayai bahawa najis yang tertinggal lama di dalam badan akan menghasilkan toksin. Walau bagaimanapun, ia adalah mitos.

Tiada sebarang kajian yang menyokong kenyataan ini. Oleh itu, pembersihan kolon, julap, atau enema tidak akan melindungi anda daripada kanser dan penyakit lain.

 

Membuang air besar

Setiap individu adalah berbeza. Ada sesetengah individu, perlu menggunakan tandas sehingga 3 kali sehari, yang lain hanya mungkin 3 kali seminggu.

Kebiasaannya orang membuang air besar sehari sekali. Tetapi jika anda tidak mengalaminya, dan anda tidak berasa sebarang ketidakselesaan, ia adalah baik.

Kurang daripada 3 pergerakan usus seminggu adalah petunjuk sembelit.

 

Kemurungan

Mood yang anda alami mungkin mendatangkan kesan langsung ke atas pergerakan usus.

Jika anda sembelit dan berada di bawah banyak tekanan, anda boleh menyelesaikan masalah anda dengan melegakan tekanan anda melalui meditasi dan teknik menenangkan diri yang lain.

 

Pengambilan cecair

Banyakkan meminum air dan pengambilan serat tambahan untuk diet anda mungkin dapat meringankan sembelit anda.

Walau bagaimanapun, jika sembelit berterusan, anda perlu berjumpa dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan.

Jangan mengambil julap untuk merawatnya sendiri kerana sering menggunakan julap boleh membuat keadaan anda lebih teruk.

 

Ubatan tertentu

Pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti ubat tahan sakit, antikemurungan dan ubat yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi dikaitkan dengan sembelit kronik.

Jika anda mengalami sembelit semasa mengambil ubat-ubatan, anda perlu memberitahu doktor anda.

 

Akhir kata

Sembelit adalah satu keadaan yang boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia.

Kini, anda sudah tahu punca sembelit dan cara hilangkan sembelit yang selalu diamalkan orang tua dulu-dulu.

Jadi anda perlu memastikan pengambilan diet pemakanan anda mengandungi nutrisi dan sumber serat yang diperlukan untuk menghindari masalah sembelit.

Pastikan anda juga memperbanyakkan pengambilan air setiap hari.

Semoga bermanfaat.

1 thought on “Punca Sembelit (Dan Cara Hilangkan Sembelit, Petua Orang Tua)”

Leave a Comment