Punca Kencing Tak Lawas (Dan Cara Mengatasi Untuk Lelaki)


Anda terasa ingin membuang air kecil walaupun baru beberapa minit melakukannya? Atau anda sering berulang-alik ke tandas, gara-gara sentiasa berasa ingin kencing? Adakah ini satu penyakit? Atau mungkinkah ini adalah salah satu punca kencing tak lawas yang membahayakan?

Langkau artikel ini untuk baca tentang punca kencing kotor.

Apa itu kencing tak lawas?

Untuk yang tidak tahu, dalam terma perubatan (medical term) dan dalam Bahasa Inggeris, kencing tak lawas dipanggil Urinary Symptom. Juga dipanggil Urinary Tract Infection (UTI), seperti dalam MedicalNewsToday; dan Bladder Infection, seperti yang digunakan oleh MayoClinic.

Sememangnya, jika anda memang jenis yang selalu berulang-alik ke tandas, anda sebenarnya sedang mengalami masalah kencing tak lawas di mana seseorang itu merasakan air kencingnya masih ada walaupun baru seketika membuang air kecil. 

Malah ada kalanya terdapat air kencing yang meleleh keluar meskipun pesakit tidak berada di dalam tandas kerana mereka tidak mampu mengawal pengeluarannya.
Mengapa?

Punca kencing tak lawas

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan berlakunya masalah kencing tak lawas dalam kalangan masyarakat kita.

Yang paling selalu mengalami masalah ini ialah lelaki. Biasanya, ia akan berlanjutan sehingga boleh kena sakit gout. Namun, ibu hamil juga mungkin mengalami kencing tak lawas.

Antara tanda dan penyebab kencing tak lawas (kecuali ibu hamil) ialah:

 

Punca kencing tak lawas #1: Ada sakit batu karang

Batu karang yang berlaku di pundi kencing akan menyebabkan pesakit mengalami kesakitan ketika buang air kencing selain air kencing berdarah.

Malah pesakit juga akan mengalami kencing tak lawas kerana kewujudan batu tersebut akan merangsang reseptor di dalam pundi kencing dan membuatkan mereka sering berasa seolah-olah masih terdapat air kencing dalam pundi kencing sedangkan yang ada hanyalah batu sahaja.

Ramai orang tak tahu yang dia sebenarnya menghidapi penyakit batu karang, yang memerlukan pembedahan. Cepat-cepat jumpa doktor untuk mengesahkan perkara ini.

 

Punca kencing tak lawas #2: Menghidapi kanser prostat (kanser pundi kencing)

Saiz prostat akan membesar dan menghimpit saluran air kencing akibat kanser prostat. Keadaan tersebut bukan sahaja akan menyebabkan pesakit sukar untuk membuang air kencing tetapi turut menyebabkan rasa tidak puas walaupun telah membuang air kencing.

Manakala penghidap kanser pada pundi kencing pula akan mengalami pendarahan dalam pundi kencing.

Darah yang terlalu banyak akan membeku di dalam pundi kencing dan mengakibatkan penyumbatan pada saluran air kencing.

 

Punca kencing tak lawas #3: Menghidapi Benign Prostatic Hyperplasia

Benign Prostatic Hyperplasia berlaku apabila struktur prostat di bahagian saluran air kencing membesar dan menghimpit saluran air kencing.

Prostat yang berfungsi untuk merembeskan semen ke dalam air mani boleh membengkak apabila umur seseorang lelaki kian meningkat.

Pembengkakan yang terlalu besar akan menghimpit saluran air kencing sehingga menyebabkan air kencing sukar untuk dibuang. Kondisi tersebut memaksa pesakit untuk meneran bagi mengeluarkan air kencing.

 

Punca kencing tak lawas #4: Ada penyakit kencing manis

Penghasilan air kencing semakin meningkat dalam kalangan pesakit kencing manis yang memiliki gula tidak terkawal.

Gula yang berlebihan akan masuk ke dalam air kencing dan menyebabkan ia pekat.

Kepekatan air kencing akan menarik air dalam tubuh untuk masuk ke dalam air kencing sehingga membuatkan pesakit kencing lebih kerap kerana isipadu air kencing yang dihasilkan adalah lebih banyak dan menyebabkan perasan kencing tidak lawas oleh pesakit.
 

Punca kencing tak lawas #5: Ada masalah saraf

Masalah saraf seperti slipped disc, multiple sclerosis, sindrom cauda equine dan kecederaan pada tulang belakang boleh mengganggu fungsi kawalan air kencing.

 

Punca kencing tak lawas #6: Masalah kencing kotor

Manakala kencing kotor yang berpunca daripada jangkitan kuman pada tempat buang air kencing pula akan menyebabkan rangsangan pada pundi kencing dan saluran air kencing.

Situasi itu akan menyebabkan pesakit rasa seolah-olah masih terdapat air kencing lagi di dalam pundi kencing.

Hakikatnya apa yang dirasai oleh pesakit hanyalah rangsangan akibat jangkitan kuman.
 

Cara mengatasi kencing tak lawas

Kaedah paling berkesan untuk mengatasi masalah kencing tak lawas adalah dengan mengenalpasti punca sebenar berlakunya penyakit tersebut.

Proses penyembuhan akan berlangsung dengan lebih lancar jika rawatan yang diambil bertepatan dengan punca yang mengakibatkannya. 

Ada juga yang menggunakan supplement seperti Shaklee dan lain-lain. Namun, kami tidak akan komen tentang keberkesanannya kerana kami tidak pernah mencuba.

Berikut ialah antara cara mengatasi kencing tak lawas.
 

Rawatan batu karang

Batu karang bersaiz kecil boleh dipecahkan dengan menggunakan potassium citrate.

Ubat tersebut berupaya untuk mengalkalikan air kencing dan menjadikan struktur batu karang lebih rapuh dan mudah pecah.

Usah gusar, jika batu karang tidak boleh dirawat menggunakan potassium citrate. Anda boleh menghancurkannya menerusi laser khas. Bagi batu karang bersaiz besar pula pembedahan akan dilakukan bagi mengeluarkannya.
 

Merawat prostat

Masalah bengkak kelenjar prostat atau Benign Prostatic Hyperplasia boleh diatasi menerusi penggunaan beberapa jenis ubat.

Ubat-ubatan ini terbukti dapat mengecilkan atau mengecutkan saiz prostat. Ia boleh diperolehi daripada bahagian pembedahan (surgical department) di hospital dan pengambilannya perlu dipantau oleh doktor memandangkan ia mungkin mendatangkan kesan sampingan ke atas pesakit.

Namun, jika saiz prostat terlalu besar, biopsi akan dilakukan kerana dikhuatiri mengalami kanser. Pembedahan membuang prostat perlu dilakukan jika terbukti ia dijangkiti kanser bagimengelakkannya merebak ke bahagian tubuh yang lain.
 

Antibiotik

Pengambilan antibiotik diperlukan bagi mengatasi masalah jangkitan kuman pada saluran kencing.

Doktor akan memberikan ubat bagi mengalkalikan air kencing untuk menghalang pembiakan bakteria memandangkan kebanyakan bakteria tidak dapat membiak dalam kawasan yang beralkali.
 

Petua tradisional

Selain rawatan perubatan, kencing tak lawas juga boleh diatasi menerusi kaedah dan petua tradisional yang diakui berkesan sejak turun temurun.

Antaranya, dengan menggunakan daun sirih. Pesakit perlu merebus beberapa helai daun sirih sehingga mendidih dan meminumnya sebanyak dua kali sekali.

Pesakit juga boleh meminum air rebusan barli bagi melegakan kesakitan yang dialami akibat kencing tidak lawas.

 Akhir kata

Jika terdapat tanda-tanda awal yang kencing anda tak lawas, cepat-cepatlah berjumpa doktor. Jangan selalu sangat menahan kencing kerana ia tidak baik untuk kesihatan. Bimbang akan jadi penyakit yang lain  pula.

Kami doakan anda yang sedang membaca artikel ini, sihat walafiat sentiasa. Sekiranya sudah bebas dari sakit kencing tak lawas, mudah-mudahan mudah untuk menunaikan solat dan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Semoga bermanfaat.

3 thoughts on “Punca Kencing Tak Lawas (Dan Cara Mengatasi Untuk Lelaki)”

  1. Alhamdulillah dapat info yg berguna, terima kasih banyak2 doctor kerana membantu memberikan info yang berguna. Semoga Allah memberi ganjaran pahala keypads doctor.

    Reply

Leave a Comment