Rancangan Terbaik Sempena Program Haji 1443H di TV AlHijrah


Menggalas tanggungjawab besar sebagai stesen televisyen yang mempromosikan gaya hidup Islam, TV AlHijrah sentiasa meletakkan kepentingan dakwah Islamiah sebagai roh dan orientasi penyiarannya. Ini termasuk meletakkan komitmen untuk menjadi stesen televisyen utama negara yang meraikan hari kebesaran Islam menurut sunnah Baginda Rasulullah S.A.W.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata, TV AlHijrah masih mengekalkan tradisi sebagai sebuah stesen televisyen utama di Malaysia yang meraikan hari kebesaran Islam dengan penuh barakah.

“TV AlHijrah memilih untuk meraikan Zulhijah secara umumnya dan Aidiladha secara spesifiknya dengan melancarkan kempen Program Haji 1443H bermula 20 Jun 2022 hingga 13 Julai 2022.

“Pada tahun ini, tema Baitullah Bertemu Kembali diangkat menjadi latar, tema dan panduan kepada kandungan yang ditayangkan di stesen ini sepanjang kempen haji 1443H berlangsung.

“Tema ini turut jelas menyatakan objektif penyiaran kami sepanjang Zulhijah ini iaitu menjadi stesen pemangkin inspirasi yang mendorong keinginan penonton semua untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah apabila berkemampuan,” katanya.

Namanzee yang ditemui sewaktu Majlis Sidang Media Pelancaran Kempen Haji 1443H berkata, cabaran saban tahun dalam mencorak arah serta hala tuju program-program yang terbaik dan menarik untuk disajikan buat penonton tidak pernah mematahkan semangat stesen TV AlHijrah untuk terus berbakti kepada penonton.

“Jumlah tontonan TV AlHijrah pada kempen haji 1442H yang lalu iaitu pada tahun 2021 adalah sebanyak 3.3 juta tontonan. Jumlah ini amat memberangsangkan bagi stesen berkonsepkan Islam seperti kami.

“Jumlah tontonan ini juga telah menjadi pemangkin semangat serta suntikan motivasi untuk kami menghidangkan lebih banyak program menarik dan berkualiti pada tahun ini yang merangkumi program-program keagamaan, bual bicara, dokumentari, program masakan, rancangan khas seperti kapsul serta lintas langsung dari Mekah Al Mukarramah,” kongsinya lagi.

TV AlHijrah membariskan 9 program menarik dan terbaharu yang disediakan khas buat santapan rohani penonton disamping program-program sedia ada.

Saksikan bual bicara Live “Labbaikallah” yang telah memasuki tahun kesepuluh siaran yang bakal dikemudi oleh Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah dan Ustaz Azhar Ghazali. “Sembang Haji” yang membincangkan isu-isu haji dan menjawab persoalan serta tanda tanya dalam kalangan masyarakat, “Tangisan Di Baitullah” yang memaparkan seleksi kisah penghijrahan mereka yang rindu untuk meratap dan bermuhasabah diri di Baitullah untuk dijadikan pedoman penonton.

Paling istimewa, TV AlHijrah bakal menyiarkan “Munajat Arafah” yang akan bersiaran secara langsung selama 17 jam bermula seawal 5 pagi hingga 10 malam bersempena hari Arafah.

Turut disiarkan adalah rancangan “Perisitiwa Arafah” yang memberikan gambaran kepada penonton kehidupan di Padang Mahsyar serta ibrah daripadanya. Program-program menarik lain yang turut disusun khas adalah seperti “Musafir Agung”, “Seikhlas Hati”, program masakan “Camca”, “Riwayat Akhir Zaman” dan “Interaktif Haji”.

Penonton juga boleh mendapatkan perkembangan terkini pergerakan jemaah haji Malaysia di tanah suci Mekah menerusi laporan harian eksklusif oleh dua petugas TV AlHijrah di sana. Laporan ini dimuatkan di dalam “Berita AlHijrah” setiap hari dan juga portal berita Alhijrahnews.com hingga selesai kemuncak musim haji.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan telefilem khas Aidiladha berjudul “Campervan Haji Meon”.  Bakal disiarkan pada Ahad, 10 Julai 2022, jam 10 malam, telefilem lakonan Jalil Hamid, Fauziah Nawi dan Yamani Abdillah ini berkisar sekitar kisah hidup Pak Meon yang akan menunaikan haji buat kali kedua. Sebelum berangkat ke Tanah Suci, Pak Meon berhasrat untuk berjumpa semua anggota kugirannya sewaktu dia muda dahulu untuk

memohon kemaafan atas kesalahan pada masa lalu. Pelbagai kejadian tidak dijangka berlaku sepanjang perjalanan Pak Meon mencari ke semua sahabat-sahabatnya.

Rancangan-rancangan menarik Kempen Haji 1443H di TV AlHijrah turut boleh dinikmati menerusi aplikasi telefon bimbit stesen ini yang dikenali sebagai AlHijrah Plus. Lebih 5000 program ilmu pendidikan serta hiburan berlandaskan Islam dapat ditonton bila-bila masa dan di mana sahaja.

Di akhir ucapan, Namanzee menyeru masyarakat Malaysia untuk sama-sama menyebarluas serta mempromosikan program-program haji di TV AlHijrah serta menontonnya.

 

Berikut adalah senarai rancangan istimewa sepanjang Kempen Haji.

Sembang Haji (4 episod)

Setiap Sabtu  |  18 Jun 2022  |  7:30 malam

Program bual bicara yang membincangkan isu-isu haji dan menjawab persoalan serta tanda tanya dalam kalangan masyarakat bersama panel-panel jemputan.

Interaktif Haji (9 episod) 

Isnin sehingga Ahad  |  20 Jun 2022  |  9:00 malam

Bersama Ustaz Fazrul dan Ustaz Dato’ Zawawi mengupas Surah AlHajj bagi mendalami ibadah haji daripada pelbagai perspektif dalam Interaktif Haji.

Tangisan Di Baitullah

Selasa & Rabu  |  21 Jun 2022  |  8:30 malam

Sebuah rancangan temu bual yang memaparkan kisah yang menjadi titik penghijrahan individu yang rindu untuk meratap dan bermuhasabah diri di Baitullah untuk dijadikan iktibar kepada penonton.

Camca Aidiladha

Sabtu & Ahad  |  5:30 petang

Meriahkan Aidiladha bersama Cef Nabil dan penduduk kampung untuk menyediakan hidangan istimewa bersempena Hari Raya Aidiladha yang penuh nostalgia.

Labbaikallah 2022 

Isnin sehingga Ahad  |  29 Jun 2022  |  9:00 malam

Bersama-sama Ustaz Azhar Ghazali dan Profesor Madya Dato’ Dr. Farid Ravi, dalam Labbaikallah 2022 secara langsung bagi mengubat kerinduan kepada Baitullah.

Seikhlas Hati  

Setiap Jumaat  |  8 Jun 2022  |  5:00 petang

Selepas kejayaan program Seikhlas Hati pada Ramadan yang lalu, sekali lagi bersempena Hari Raya Qurban, TV AlHijrah dengan kerjasama Yayasan Ikhlas bakal berada di Bangladesh dengan membawakan kisah pengorbanan dan suasana masyarakat di sana ketika sambutan Aidiladha.

Perisitiwa Arafah 

Isnin  |  11 Julai 2022  |  10:00 malam

Selami penghayatan dan ilmu tentang Hari Arafah yang menggambarkan kehidupan di Padang Mahsyar kelak. Ketahui sejarah di sebalik hari istimewa ini dan ibrah yang boleh diambil daripadanya.

Munajat Arafah (Live 17 jam)

Sabtu  |  9 Julai 2022  |  Bermula 5:00 pagi

Siaran langsung selama 17 jam bersempena salah satu hari mustajab doa, iaitu Hari Arafah yang penuh dengan pengisian menarik bermula dari jam 5:00 pagi sehingga jam 10:00 malam.

Penukaran Kain Kiswah

Sabtu |  9 Julai 2022  |  5:00 pagi

Ikuti siaran langsung dari Masjidil Haram memaparkan proses penukaran kain Kiswah Kaabah bersempena ibadah haji.

Assalamualaikum Khas

Sabtu |  9 Julai 2022  |  7:00 pagi

Rancangan bual bicara pagi yang membawakan kisah-kisah menarik dan topik berkaitan Hari Arafah dan Ibadah Haji untuk penonton setia TV AlHijrah.

Musafir Agung 

Sabtu |  9 Julai 2022  |  10:30 malam

Sebuah dokumentari memaparkan kisah perjalanan haji petugas TV AlHijrah daripada awal penubuhan sehingga kini. Semuanya dihimpunkan dalam Musafir Agung.

 

Leave a Comment