Rancangan Murobbi Tonjol Persepakatan Agamawan Sebagai Kunci Kekuatan Ummah


Tali persaudaraan sesama muslim adalah parameter utama yang menjadi kayu pengukur awal kepada keimanan dan kesepakatan umat Islam.

Namun begitu, kebelakangan ini perbezaan pendapat yang membawa kepada perpecahan telah menjadi duri dalam daging yang mencalar keindahan agama yang dibawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW ini.

Memburukkan keadaan, seakan sudah menjadi trend apabila segelintir golongan ilmuan dan agamawan turut terjebak bertelagah menegakkan pendapat masing-masing di pelbagai platform media sosial.

Rentetan daripada permasalahan ini, TV AlHijrah tampil menerbitkan sebuah rancangan bertajuk Murobbi.

Murobbi adalah sebuah program berbentuk tazkirah jiwa yang disampaikan oleh para mualim kepada sekumpulan penonton dikalangan agamawan. Rancangan ini disiarkan selama 8 episod pada setiap Selasa, jam 9 malam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris program Murobbi adalah teguran lembut buat segelintir para ilmuan dan agamawan yang kadangkala tergelincir lalu bertelagah menegakkan pendirian dan fahaman masing-masing terhadap isu-isu agama.

“Kami mahu tonjolkan bahawa setiap permasalahan agama haruslah dibincangkan secara perdebatan ilmiah dan bukanlah secara perbalahan terutamanya di platform media sosial. Ini adalah cara terbaik untuk meraikan kepelbagaian ilmu dan pendapat.

Murobbi yang dihoskan oleh Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari dan Ustaz Azhar Ghazali menampilkan barisan Mualim yang dihormati seperti Ustaz Muhadir Joll, Habib Najmuddin Othman Al- Khered, Syeikh Nazrul Abdul Nasir, Dr Muhammad Yusri Mazlan dan ramai lagi dalam membincangkan tajuk-tajuk seperti Pembimbing Hati, Ilmu dan Akhlak, Taksub vs Hormat, Ilmu dan Ulama, Masyhur di Dunia, Hina di Akhirat dan banyak lagi topik bermanfaat yang lain.

“Paling istimewa, rancangan ini mencipta kelainan apabila kita tampilkan barisan ilmuan dan agamawan sebagai penonton rancangan di Masjid Sri Sendayan yang menjadi lokasi set penggambaran.

“Saya berkeyakinan, Murobbi adalah misi serampang dua mata. Pertamanya, rancangan ini mendidik agamawan secara langsung tentang kaedah menjadi murobbi produktif serta menjadi ikon buat para mutarabbi.

“Kedua, secara tidak langsung ia turut mendedahkan penonton di rumah untuk mempelajari penyatuan jiwa ukhwah Islamiah serta mengelakkan perpecahan ketaksuban terhadap agamawan yang mereka lebih cenderung.

“Di akhir setiap episod rancangan, kita mahu penonton tidak menjauhi agama Islam serta yakin kepada kredibiliti serta ketinggian ilmu para agamawan negara. Pada masa yang sama, para asatizah pula akan sama-sama menyebarkan kebaikan buat manusia dan menjauhkan kemudaratan baik dalam urusan agama mahupun keduniaan, jelas Namanzee.

Jangan lupa juga untuk menyaksikan program-program lain yang sedang ditayangkan di stesen ini. Antara yang menarik adalah drama bersiri Mariam di Slot Qalbu yang disiarkan pada setiap hari Isnin dan Selasa jam 6 petang. Mariam mengisahkan kehidupan seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu yang hidup menumpang kasih sayang keluarga angkat dari sebuah keluarga ke keluarga yang lain. Mariam terpaksa mengharungi onak duri kehidupan penuh ranjau akibat kemiskinan.

Untuk mendapatkan maklumat terkini serta menikmati rancangan dan perkembangan semasa dunia dan tanah air, jangan lupa untuk “Like” dan “Follow” laman sosial Facebook TV AlHijrah dan Instagram TV AlHijrah.

Leave a Comment