5 Laluan Penjelajahan Terindah di Türkiye: Pemandangan Hutan, Lautan, dan Bandar Purba yang Luar Biasa


Türkiye sememangnya dapat menawarkan pengalaman yang terhebat. Dikelilingi oleh Laut Mediterranean, Aegea, dan juga Laut Hitam, pelbagai keindahan dunia menampilkan diri dengan pemandangan vista menarik, landskap yang indah, tinggalan bersejarah, makanan tempatan, dan juga suasana tenang yang menjanjikan anda perjalanan anda lebih menggembirakan.

Sama ada anda pilih untuk menjelajah di dalam kereta atau karavan, atau bersama dengan rakan atau keluarga, lima laluan pelancongan terhebat ini pasti akan membuat penjelajahan anda pada musim panas ini lebih menyeronokkan.

Çanakkale -> Ayvalık

Laluan Çanakkale-Ayvalık menyediakan pemandangan panoramik Utara Lautan Aegean, dan menawarkan pengalaman unik yang mengetengahkan warisan budaya, alam semula jadi yang menakjubkan, dan kawasan pantai yang bersih. Landskap indah yang biru dan hijau, bandar purba yang menghiasi kawasan luar bandar, dan produk tempatan yang segar merupakan antara sebab kawasan ini menjadi kegemaran pengembara yang menaiki basikal, motosikal, kereta atau karavan.

Çanakkale, titik permulaan laluan ini, merupakan kawasan bersejarah yang menarik, terutamanya jika anda sampai ke bandar dengan melintasi Semenanjung Gallipoli yang diliputi kawasan hutan purba. Di persisiran bandar purba Troy terletaknya Muzium Troy, pemenang “Anugerah Penghargaan Khas Muzium Tahunan Eropah 2020” dan “Anugerah Khas Akademi Muzium Eropah 2020/2021”.

Bandar purba Troy juga merupakan perhentian pertama di Laluan Aeneas,  satu-satunya laluan budaya pertama yang didaftarkan oleh Majlis Eropah yang bermula dari Türkiye. Aeneas merupakan seorang legenda – daripada keturunannya lahirnya Remus dan Romulus, pengasas Rom. Aeneas dikatakan telah melarikan diri dari kota Troy yang terbakar bersama bapa dan anaknya, menyeberangi Greece, Albania, dan Tunisia, dan akhirnya tiba di Itali dengan kapal yang dibina menggunakan kayu pohon dari Gunung Ida, yang terletak di kawasan bandar purba Antandros di Edremit. Oleh itu Antandros, kawasan Laluan Aeneas yang terletak di Turki, amat mempesonakan. Kawasan ini menyatukan tapak semula jadi dan arkeologi serta landskap luar bandar, dan beberapa daripadanya dimasukkan dalam senarai Warisan Dunia UNESCO.

 

Ayvalık -> Çeşme Route

Selepas Ayvalık, anda boleh mengikuti kaki bukit Pergunungan Madra dan laluan Bergama untuk menemui bandar purba Pergamon. Di İzmir yang terletak di pertengahan kawasan Aegean, laluan anda mungkin akan membawa anda ke bandar pelayaran bersejarah Foça. Di sini terletaknya kawasan bersejarah yang dipanggil Eski Foça, yang mempunyai jalan berliku yang indah dan menawarkan pemandangan yang menakjubkan.

Antara perhentian menarik lain di laluan ini ialah Urla yang telah lama terkenal dengan sayur articok tempatan, dan baru-baru ini terkenal dengan restoran-restoran gourmet; “bandar perlahan” Seferihisar; Kuşadası, pusat pelancongan dengan lautan, pasir dan sinar matahari; serta Şirince, sebuah bandar yang menawan dengan wain tempatan yang luar biasa. Kawasan geografi yang mengagumkan ini menawarkan pelbagai keindahan, dan kaya dengan masakan dan warisan bersejarah.

 

Kalkan -> Antalya

Alami perjalanan menarik di bawah sinar mentari Mediterranean, di mana setiap selekoh di jalan raya akan menyajikan pemandangan air lautan yang jernih, teluk yang terbiar dan pergunungan yang indah. Laluan landskap unik dan tinggalan tamadun purba yang tidak dapat dilupakan ini bagaikan satu mimpi Mediterranean luar biasa yang ditemui di jalan raya… Perjalanan anda tidak akan lengkap tanpa mengalami keindahan Patara, Kalkan dan Kaş, Olympos, Çıralı dan Antalya yang menakjubkan!

Dengan bandar purba dan pantai sepanjang 12 kilometer, Patara merupakan salah satu kawasan yang paling menakjubkan di rantau ini. Dianggap sebagai antara bandar terpenting kerajaan Lycia purba, Patara mengekalkan kemegahan antiknya dengan struktur seperti teater, bangunan parlimen, rumah api, gerbang bandar, jalan yang dihiasi tiang, kuil dan gereja.

Makam Saint Nicholas terletak di Demre, yang juga merupakan lokasi gereja bersejarah Saint Nicholas. Ia merupakan tapak ziarah yang terkenal terutamanya semasa Zaman Pertengahan. Jika anda melancong di Antalya yang dikenali sebagai Mutiara Mediterranean, lebih banyak pemandangan yang luar biasa menanti anda di pekan santai Mediterranean Kaş; pantai Kaputaş di mulut ngarai kecil di jalan Kaş-Kalkan, perkampungan pantai Bohemia Olympos dan Çıralı, dan pelbagai lokasi hebat lain sepanjang laluan ini.

Anda boleh terokai lautan biru di Kaş, salah satu pusat pelancongan menyelam Türkiye yang terkemuka di seluruh dunia, atau anda boleh menjejak tamadun Mediterranean purba di bawah perairan dengan lawatan bot di Kekova. Anda disyorkan untuk meluangkan beberapa hari di Antalya, perhentian terakhir di laluan itu. Bandar berpantai ini mempamerkan keharmonian alam semula jadi dan warisan sejarah yang sempurna dan harus dilawati – walaupun hanya untuk Muzium Arkeologi Antalya, di mana karya-karya menakjubkan dari tamadun Mediterranean yang berbeza dipamerkan dengan indah.

 

Eskişehir -> Isparta

Laluan ini terbentang luas dari Eskişehir, bandar menarik yang semakin terkenal dengan kehidupan bandarnya yang meriah, ke Isparta, bandar bunga mawar yang sediakan keindahan Anatolia moden atau semula jadi di bawah tapak kaki anda. Di Eskişehir, titik permulaan laluan ini, anda boleh lawati Pusat Bandar Bersejarah Odunpazarı, yang termasuk dalam Senarai Tentatif Tapak Warisan Dunia UNESCO, dan Bazar Kraftangan Atlıhan, di mana anda boleh melihat contoh kraf tangan tradisional rantau ini. Selain itu, Muzium Sepiolite (Meerschaum) merupakan antara muzium paling unik di dunia.

Apabila anda meninggalkan Eskişehir dan menghala ke Isparta, anda akan menyaksikan persekitaran alam semula jadi yang unik. Antara keindahan semula jadi ini ialah Yalvaç dan Eğirdir, bandar Cittaslow yang tenang di Isparta; Taman Negara Tasik Kovada, habitat untuk ratusan spesies burung; Taman Semula Jadi Gölcük, yang menempatkan salah satu tasik kawah di Türkiye; Tasik Eğirdir, keajaiban semula jadi dengan pemandangan matahari terbenam yang memukau; dan Kampung Kuyucak yang mempunyai taman bunga Lavender yang mempesonakan.

 

Bolu -> Çamlıhemşin

Laluan yang penuh dengan kehijauan ini bermula di Bolu yang terkenal dengan tasiknya yang cantik, dan berakhir di Çamlıhemşin, tanah tinggi Rize yang indah. Pinggir pantai Laut Hitam yang menarik terdiri daripada landskap yang megah – hutan hijau yang indah dan lautan yang biru. Kastamonu dan bandar pelabuhan bersejarah Sinop dan Samsun, yang turut mengagumkan dengan keindahan semula jadinya, adalah antara perhentian lain di laluan yang indah ini. Jika anda mempunyai masa, anda boleh memanjat cerun curam bandar-bandar ini untuk memerhati landskap luar biasa yang menjadi pusat kehidupan di sekelilingnya.

Perhentian seterusnya di laluan terkenal ini ialah Ordu, dengan kawasan perairan Laut Hitam yang bergelora dan sejuk, serta hutan yang subur. Dataran tinggi Perşembe dan Çambaşı, air terjun Çiseli dan Uzundere, dan Geçilmez Ngarai merupakan antara lokasi menarik di Ordu, begitu juga dengan Kampung Yeşilce, di mana kehidupan moden digabungkan dengan hidup bersederhana. Selepas anda menikmati keindahan dunia yang tersedia ini , Biara Sümela di Trabzon pula menanti anda. Jika perjalanan anda berakhir di Çamlıhemşin, anda dapat melihat kawasan iras bak dunia fantasi di dataran tinggi Ayder, Pokut, Gito dan Sal. Selain itu, masakan dari Laut Hitam yang digabungkan dengan pelbagai herba tempatan dan serantau serta produk organik, pasti akan mengasyikkan perjalanan anda dengan cita rasanya yang luar biasa.

Leave a Comment