Rakan Penghantar foodpanda Terus Dapat Manfaat PERKESO


Penyedia perkhidmatan penghantaran dalam talian terkemuka, foodpanda Malaysia, hari ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menyedia dan memperluaskan liputan perlindungan sosial kepada lebih 60,000 rakan penghantarnya di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.

MoU yang telah ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO dan Sayantan Das, Pengarah Urusan, foodpanda Malaysia dengan disaksikan oleh Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia, turut menyaksikan rakan penghantar penyedia platform tersebut menerima bantuan subsidi caruman tambahan oleh foodpanda Malaysia, di samping bantuan subsidi sedia ada bagi caruman SKSPS daripada Kerajaan menerusi inisiatif SPS Padanan Caruman di bawah Bajet 2022,

Datuk Seri M. Saravanan berkata, SPS Padanan Caruman merupakan satu insentif yang ditawarkan kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS), termasuk pekerja-pekerja gig, bagi memastikan mereka dilindungi sekiranya berlaku sebarang kemalangan semasa menjalankan tugas. Ini seiring dengan nilai-nilai Keluarga Malaysia yang digagaskan Kerajaan untuk menerapkan sifat kasih sayang dalam kalangan masyarakat di negara ini.

SKSPS merupakan satu skim yang memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti bekerja. Antara faedah yang ditawarkan seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara dan Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Pendidikan dan Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional.

“Inisiatif SPS Padanan Caruman yang dilaksanakan PERKESO akan menawarkan perlindungan bersubsidi kepada OBS melalui SKSPS PERKESO untuk tempoh setahun, di mana Kerajaan akan membiayai 80% daripada Pelan 2 caruman SKSPS (RM186.20), manakala OBS hanya perlu membayar baki 20 peratus (RM46.60) sahaja,” kata YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed.

Mengulas mengenai inisiatif ini, Sayantan Das berkata, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan dan PERKESO kerana telah menerajui inisiatif murni seperti ini bagi manfaat rakan penghantar kami. Sebagai disruptor dalam ruangan q-commerce, misi kami adalah untuk menambah baik kualiti kehidupan komuniti B40 dengan menambah  pendapatan melalui platform kami. Ia juga sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menerusi galakan digital dan teknologi, serta menjadi peneraju dalam ekonomi digital.”

Menerusi kolaborasi strategik ini juga, foodpanda Malaysia akan menawarkan bantuan subsidi tambahan sebanyak 50% daripada baki (atau 10% daripada jumlah keseluruhan) keseluruhan caruman yang perlu dibayar oleh rakan penghantarnya yang berjumlah RM23.30 bagi setiap individu, untuk tempoh perlindungan selama setahun.

foodpanda sebagai sebuah platform penghantaran terkemuka di Asia Pasifik dengan lebih 12.5 juta pelanggan dan 60,000 rakan restoran, turut menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menyertai ekonomi gig. Sejak 2020, foodpanda telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu komuniti B40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk mengeluarkan atau memberi subsidi kos ‘onboarding’, perbelanjaan pemasaran, kos pemasangan POS dan sesi latihan. foodpanda sudah pun membantu PKS atau PMKS dalam usaha mereka untuk lebih berjaya, dan juga telah membantu lebih daripada 20,000 usahawan, termasuk tukang masak rumah, usahawan wanita, dan perniagaan B40.

“foodpanda Malaysia berazam untuk melindungi rakan penghantar kami dan ini sentiasa menjadi keutamaan memandangkan mereka terdedah kepada persekitaran kerja yang agak berbahaya setiap hari. Kami berharap inisiatif yang diperkenalkan ini akan membantu mengurangkan bebanan mereka untuk membayar caruman bagi skim perlindungan PERKESO dan kami juga menggalakkan lebih ramai rakan penghantar kami untuk mendaftar. Kami berharap untuk meneruskan lagi kerjasama seperti ini bersama pihak Kerajaan dan PERKESO bagi memperkenal lebih banyak faedah pada masa hadapan,” tambah Das lagi.

Pemeteraian MoU bersama foodpanda Malaysia merupakan yang pertama bagi PERKESO bagi kerjasama pelaksanaan inisiatif ini. Pendaftaran bagi inisiatif ini kini telah tersedia menerusi portal Rider Shop buat rakan penghantar foodpanda yang berminat untuk mendaftar dan memanfaatkan insentif ini.

 

Mengenai PERKESO

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah ditubuhkan sebagai sebuah jabatan Kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan pekerja di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800). Konsep Perlindungan Keselamatan Sosial PERKESO adalah berteraskan konsep tanggungjawab bersama menerusi sumber terkumpul, perkongsian risiko dan penggantian pendapatan.

Sejak pandemik melanda negara pada tahun 2020, PERKESO telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif kerajaan di bawah beberapa Pakej Rangsangan Kerajaan seperti PRIHATIN, PENJANA, KITA PRIHATIN, BELANJAWAN 2021 PERMAI, PEMERKASA dan PEMERKASA+. PERKESO kini sedang melaksanakan bantuan Kerajaan yang telah ditambah baik di bawah peruntukan Bajet 2022 menerusi program seperti SIP Subsidi Upah Bersasar, SIP EMP+, SPS Padanan Caruman, SPS Khidmat, JaminKerja – Insentif Penggajian dan SIP Gig.

 

Mengenai foodpanda

foodpanda adalah peneraju platform makanan atas talian di Asia yang berazam untuk membawa pelbagai jenis makanan, barangan keperluan dan banyak lagi kepada para pengguna dengan pantas dan mudah. Dengan kecanggihan teknologi dan operasi yang cemerlang, foodpanda telah menerajui perkembangan quick-commerce (q-commerce) di seluruh rantau ini dengan kerjasama rakan niaga, termasuk pandamart – perkhidmatan pembelian barangan runcit di atas talian yang memberikan lebih banyak pilihan di sebalik jutaan pilihan penghantaran makanan yang lain. foodpanda beroperasi di lebih daripada 300 bandar dalam 11 pasaran di Asia Pasifik – Singapura, Hong Kong, Thailand, Malaysia, Pakistan, Taiwan, Filipina, Bangladesh, Laos, Kemboja, dan Myanmar. foodpanda dimiliki oleh Delivery Hero, peneraju industri penghantaran makanan seluruh dunia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.foodpanda.com.

 

MENGENAI DELIVERY HERO

Delivery Hero berada di 39 negara daripada 45 negara di mana ia beroperasi di Eropah, Amerika Latin, Asia, Timur Tengah dan Afrika Utara. Delivery Hero juga mengendalikan perkhidmatan penghantarannya sendiri terutamanya di lebih 600 bandar diserata dunia. Syarikat ini beribu pejabat di Berlin, Jerman dan mempunyai lebih daripada 27,000 kakitangan. Delivery Hero disenaraikan di dalam Bursa Saham Frankfurt dan menjadi sebahagian daripada indeks DAX (Deutscher Aktienindex) terkemuka pada tahun 2020. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.deliveryhero.com

 

Leave a Comment