Strategi Pemuliharaan Central Forest Spine


Projek Improving Connectivity: Central Forest Spine (IC-CFS), sebuah kerjasama antara Global Environment Facility (GEF), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Kerajaan Malaysia bagi pemuliharaan biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem dalam tiga landskap kritikal Central Forest Spine akan diselaraskan semula, mengikut strategi baharu dan perancangan terperinci bagi tahun 2022 dalam usaha pemuliharaan kawasan hutan di Semenanjung Malaysia secara berkekalan.

Dengan jangkauan keluasan melebihi 6.71 juta hektar di Semenanjung Malaysia, Central Forest Spine berfungsi sebagai tulang belakang rangkaian kawasan sensitif alam sekitar di Semenanjung Malaysia, yang terdiri daripada lapan kompleks hutan utama dan 40 koridor ekologi meliputi 8 buah negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Perak, Pahang dan Johor yang merupakan kawasan utama Projek IC-CFS.

Pada tahun 2021, projek IC-CFS tertumpu kepada usaha peningkatan penguatkuasaan di peringkat negeri dan persekutuan bagi mengurangkan pemburuan haram  dan pelbagai lagi jenayah hidupan liar dan perhutanan yang mengancam biodiversiti termasuk Harimau Malaya. Habitat hidupan liar dalam CFS juga dipertingkat, dengan pewartaan 23,734.63 hektar kawasan hutan kritikal sebagai Hutan Simpanan Kekal di tiga negeri terlibat. Bagi memastikan koridor ekologi yang menghubungkan landskap hutan yang terpisah diurus dengan baik bagi melindungi biodiversiti, Rancangan Pengurusan Koridor Ekologi CFS sedang dijalankan dengan salah satunya telah dibangunkan di koridor ekologi Hutan Simpan Panti- Hutan Simpan Ulu Sedili di Johor.

Dengan kesinambungan Projek IC-CFS, penambahan kawasan bagi tujuan pewartaan sedang dalam pembincangan. Pembangunan alat pemantauan biodiversiti serta penyediaan perkhidmatan ekosistem dan stok karbon akan digunakan di negeri-negeri yang terpilih berserta Pelan Pengurusan koridor ekologi di dua buah negeri lagi iaitu Perak dan Pahang. Sasaran utama bagi tahun 2022 ialah pembangunan Pelan Pembiayaan Mampan di negeri Pahang yang berharap dapat mengenal pasti sumber pendapatan baharu daripada perkhidmatan ekosistem hutan yang mampu meningkatkan pendapatan negeri di samping melindungi sumber hutan dan biodiversiti dengan lebih baik.

“Hutan boleh diurus secara berkekalan dan lestari bagi meningkatkan perlindungan  ekologinya dan biodiversiti sambil mengekalkan ekonomi dan sumber mata pencarian. Ini dapat dilihat melalui Projek IC-CFS dalam menurunkan jenayah hidupan liar dan perhutanan, perlindungan dan perluasan ekosistem hutan, program pemeliharaan dan pemulihan hutan, dan pembangunan pelan pembiayaan yang pragmatik bagi setiap negeri. Perancangan pengurusan ini memberi manfaat yang besar kepada habitat hutan serta menggalakkan penyerapan karbon, yang selaras dengan pendirian Malaysia semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 26), bagi menyokong pengurangan gas rumah hijau (GHG) menjelang tahun 2050,” kata Dato’ Hj. Zahari Ibrahim, Pengarah Projek Nasional projek IC-CFS.

Mengakui keperluan untuk menghubungkan semula landskap hutan melalui strategi yang mampan, lebih banyak perancangan yang bersepadu akan dilaksanakan bersama agensi utama seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Pahang, dan Johor. Berikutan kejayaan Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan PERHILITAN dalam melaksanakan penggunaan Sistem Rondaan Spatial Monitoring and Reporting Tool (SMART) pada tahun 2021, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Johor akan melengkapkan latihan dan kerja lapangan tahun ini sebelum menggunakan alatan SMART sepenuhnya dalam aktiviti pemantauan hutan. Kesinambungan usaha pemantauan hidupan liar bagi mempertingkat perlindungan hidupan liar dan habitatnya, akan diperkukuhkan lagi melalui usaha pemerkasaan pegawai Perhutanan dan Taman Negeri terpilih di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Ini akan mempertingkatkan kapasiti pegawai penguatkuasa untuk bertindak luar dari bidang kuasa semasa mereka yang melibatkan jenayah hidupan liar.

Menurut Dr. Samsudin Musa, Pengurus Projek IC-CFS, dalam usaha mencegah pemburuan haram yang menimbulkan ancaman serius kepada pemuliharaan hidupan liar, usaha penguatkuasaan berasaskan komuniti telah dibangunkan melalui Renjer Komuniti Tempatan (LCR) yang diupah dan dilatih bagi menjalankan pemantauan hidupan liar. Bagi memastikan kesinambungan program ini, LCR akan menjadi sebahagian daripada program Veteran Angkatan Tentera dan Orang Asli (VetOA) di bawah seliaan PERHILITAN.

Melalui komitmen jangka panjang oleh GEF dan sokongan daripada UNDP dengan nilai sehingga RM 8 Juta bagi Projek IC-CFS tahun ini, ia membolehkan projek ini  mengembangkan lagi usaha pemuliharaan dan pemeliharaan landskap CFS seperti yang disasarkan melalui teras kedua Rancangan Fizikal Negara Ke-3 yang memfokuskan kepada aspek alam sekitar, guna tanah dan infrastruktur.

Mengenai Improving Connectivity: Central Forest Spine (IC-CFS)

Improving Connectivity: Central Forest Spine (IC-CFS) ialah sebuah projek dengan tujuan pemuliharaan biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem di landskap hutan berkepentingan di dalam kawasan CFS.

Mula diperkenalkan pada tahun 2014, projek ini diterajui oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan usaha sama dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) serta Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan pendanaan dari Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNDP) serta Global Environment Facility (GEF).

Objektif utama IC-CFS adalah bagi memperkukuh kapasiti kerajaan persekutuan dan negeri dalam melaksanakan Pelan Induk CFS dalam penambahbaikan rangkaian hutan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah melibatkan hidupan liar dan kawasan hutan. Projek ini merangkumi tiga komponen iaitu perancangan, pengawasan pematuhan dan kerangka kerja penguatkuasaan bagi pengurusan landskap hutan yang bersepadu; pengurusan landskap lestari di tiga landskap hutan utama CFS; dan kepelbagaian sumber pendanaan bagi tujuan pemuliharaan.

Mengenai Central Forest Spine

Diperkenalkan dibawah Rancangan Fizikal Negara (RFN) 2005, Central Forest Spine (CFS) berperanan sebagai tulang belakang bagi jaringan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSA) di semenanjung Malaysia. Ia terdiri daripada lapan kompleks utama; Kompleks Hutan Kedah Singgora, Kompleks Hutan Bintang Hijau, Kompleks Hutan Banjaran Utama, Kompleks Hutan Greater Taman Negara, Kompleks Hutan Benom, Kompleks Hutan Chini-Bera, Kompleks Hutan Pahang Tenggara dan Kompleks Hutan Endau Rompin-Sedili

Dengan keluasan 6.71 juta hektar kaki persegi, CFS melindungi kawasan perairan gunung dan kawasan tadahan hujan yang membekalkan air kepada 90% populasi. Sebagai habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna termasuk subspesies Harimau Malaya yang terancam dan Gajah Asia, ia turut menyumbang kepada aturan iklim, perlindungan tanah dan penyimpanan karbon.

Maklumat lanjut di https://www.ic-centralforestspine.com.my

Leave a Comment