Cara Menaikkan Berat Badan (Khas Untuk Yang Kurang Berat Badan)


Media massa sering memfokuskan isu berat badan berlebihan atau obesiti dalam kalangan masyarakat. Namun, masalah berat badan kurang juga tidak boleh dipandang enteng. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia, masalah ini boleh berlaku apabila Indeks Jisim Tubuh (BMI) lebih rendah dari 18.5. Maksudnya, berat badan individu tersebut ialah 15% hingga 20% lebih rendah berbanding purata berat dengan umur dan jantina individu lain. Jadi pada hari ini kami akan berkongsikan bersama anda teknik dan cara menaikkan berat badan anda.

Mungkin anda akan berasa lebih mudah untuk menambahkan berat badan berbanding mengurangkannya. Betul ke pandangan seperti itu? Sebenarnya, isu ini tidak semudah yang dibayangkan. Ini kerana bukan semua individu mempunyai tahap metabolisme, emosi, ilmu pemakanan dan kesedaran yang sama. Justeru, artikel ini akan cuba untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini. Jika anda ingin maklumat mengenai metabolisme badan manusia anda boleh rujuk di Wikipedia.

Perbincangan ini akan menyentuh tiga golongan utama yang terdedah kepada masalah kurang berat badan iaitu golongan bayi dan kanak-kanak, ibu hamil dan orang dewasa.

Cara menaikkan berat badan

Golongan bayi dan kanak-kanak

  1. Cara menaikkan berat badan pertama yang perlu diambil ialah merujuk pakar perubatan untuk memastikan anak-anak kita tiada masalah kesihatan. Antara masalah yang menyekat selera makan mereka ialah alahan, kecacingan, jangkitan virus dan sebagainya. Jika keputusan menunjukkan mereka sihat, anda boleh memulakan langkah seterusnya.
  2. Ibu bapa perlu menyediakan jadual makan yang konsisten. Walau sesibuk manapun kita, pastikan keperluan pemakanan anak-anak terjaga. Kita perlu membiasakan anak-anak makan mengikut waktu yang betul iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.
  3. Kita boleh memberikan anak-anak makanan tinggi kalori seperti kekacang, yogurt, keju, susu penuh krim dan sebagainya. Elakkan menyediakan makanan segera dan diproses seperti pizza, kentang goreng, nuget, mi segera dan sebagainya. Walaupun makanan-makanan ini tinggi kalori dan mampu membantu menaikkan berat badan, perlu diingat bahawa kesemua makanan ini tidak berkhasiat.
  4. Kanak-kanak cenderung untuk menyukai makanan dan minuman yang manis dan berwarna-warni. Itulah sebabnya mereka suka makanan ringan yang tiada sebarang nutrien di dalamnya. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu bijak mengawal psikologi mereka. Janganlah memaksa mereka makan sesuatu yang tidak disukai. Sebaliknya, ajaklah mereka menyediakan makanan bersama-sama seperti membuat sandwic, bubur nasi dan sebagainya.
  5. Selain itu, pelbagaikan cara penyediaan makanan yang kaya dengan karbohidrat, protein dan vitamin. Jika anak-anak tidak suka makan sayur, cubalah cara yang paling kreatif untuk menarik minat mereka. Misalnya membuat roti, lempeng dan bubur yang mengandungi lobak, kentang, brokoli, bayam dan sebagainya.
  6. Tahukah anda susu ibu tersenarai antara sepuluh makanan terbaik di dunia? Golongan ibu digalakkan untuk menyusu bayi mereka. Ini sebab susu ibu kaya dengan mineral dan vitamin untuk tumbesaran bayi dan melindungi mereka daripada jangkitan penyakit.

 

Golongan ibu hamil

  1. Para ibu perlu mengamalkan diet yang sihat dan berkhasiat. Amalkan pemakanan sunnah seperti buah delima, kismis, susu kambing, madu, kekacang, habbatus sauda dan madu. Makanan-makanan ini terbukti sangat berkhasiat, lebih-lebih lagi untuk ibu mengandung. Jangan lupa minta suami belikan ya!
  2. Golongan ini juga perlu konsisten dalam pemakanan harian. Mereka perlu makan sebanyak lima hingga enam kali sehari dengan pengambilan saiz hidangan yang kecil. Elakkan makanan yang tinggi garam dan terlalu manis. Apabila makan dengan kerap dengan saiz hidangan yang kecil, tiada masalah berat badan kurang.
  3. Ibu-ibu yang hamil akan sentiasa berasa lapar atas faktor hormon, emosi dan sebagainya. Oleh itu, pastikan sentiasan membawa snek berkhasiat di mana-mana. Antaranya ialah yogurt, oats, kekacang dan sebagainya. Elakkan mengunyah makanan yang tinggi kalori, namun tiada sebarang faedah untuk diri sendiri dan anak yang dikandung.
  4. Buang jauh-jauh amalan turun-temurun ‘makan untuk dua orang.’ Malahan, tabiat ini memang akan menaikkan berat badan dengan mudah tetapi dengan cara yang salah! Kadar kalori yang perlu diambil oleh ibu hamil ialah tambahan sebanyak 300 kcal (kalori) berbanding dalam keadaan biasa.
  5. Fokus pada kesihatan diri sendiri dan bayi yang dikandung. Jangan mengamalkan sebarang jamu atau makanan kesihatan untuk menambahkan selera makan. Pengambilan makanan mengikut piramid makanan sudah mencukupi untuk tubuh badan. Jika masih gagal mendapat berat badan yang ideal, tambahkan snek sihat dalam pengambilan makanan harian.

 

Untuk golongan dewasa

Ini ialah tips menarik untuk anda semua!

  1. Jangan makan nasi berulamkan air. Malah, sebelum makan, elakkan minum air secara berlebihan. Ini akan membuat perut kita menjadi kenyang dan seterusnya saiz hidangan juga menjadi lebih sedikit.
  2. Baru sahaja makan dua suap, sudah tidak larat hendak makan lagi. Kami juga menyediakan artikel khas untuk orang dewasa tentang bagaimana cara tambah berat badan untuk golongan dewasa dengan senang dan mudah.
  3. Kadang-kadang kita perlu bermain dengan psikologi sendiri. Untuk mengambil makanan yang lebih banyak, gunakan pinggan yang lebih besar. Kita cenderung untuk memenuhkan pinggan tersebut dengan makanan. Namun, pastikan makanan itu berkhasiat dan yang lebih penting jangan pula membazir. Ambil mengikut kemampuan diri sahaja.
  4. Jangan lupa untuk mendapatkan tidur yang mencukupi selama lapan jam setiap hari. Kualiti tidur yang buruk akan mengganggu kesihatan mental dan emosi. Tubuh menjadi lesu, badan tidak bertenaga dan seterusnya mengganggu selera makan. Oleh itu, macam mana sibuk pun kehidupan harian, jangan lupa tidur dengan nyenyak!
  5. Jangan cenderung untuk menjaga badan secara keterlaluan hingga mengakibatkan penyakit bulimia dan anoreksia nervosa. Jangan jadikan model-model barat sebagai idola untuk meniru bentuk badan mereka. Yang paling penting ialah memiliki tubuh badan yang sihat bukannya cantik tetapi berpenyakit.
  6. Jangan meninggalkan waktu makan yang utama seperti sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Sentiasa pastikan kita makan mengikut waktu untuk mengelakkan perut kosong. Tabiat melangkau waktu makan akan mengakibatkan masalah lain seperti gastrik dan sebagainya.
  7. Tetapkan target untuk mendapatkan berat badan ideal secara beransur dan sihat. Jangan sesekali mencuba ubat-ubatan tanpa nasihat doktor. Jangan berhenti mencuba sehingga berjaya mendapat berat badan yang diingini.
  8. Pupuklah tabiat membaca tentang ilmu pemakanan dan diet melalui buku, majalah dan Internet. Kini, semuanya di hujung jari sahaja.

 

Akhir kata

Diharapkan penulisan ini dapat memberi idea untuk sesiapa sahaja yang mengalami masalah kekurangan berat badan. Mungkin pada awalnya sukar untuk mengubah tabiat harian, namun tiada yang mustahil. Tubuh badan merupakan amanah tuhan yang diberikan kepada kita. Justeru, kita bertanggungjawab menjaga kesihatan tubuh badan dengan sebaik-baiknya.

Semoga bermanfaat.

1 thought on “Cara Menaikkan Berat Badan (Khas Untuk Yang Kurang Berat Badan)”

  1. Saya pun stress dengan berat badan saya , sebelum ni waktu sekolah umur 17 (2019) berat badan 58kg , selepas itu , makin lama masuk tahun 2022 berat saya timbang dekat klinik 42kg ,, and last timbang masa puasa haritu 39kg sahaja . 😭😭 Sangat² stress ..

    Reply

Leave a Comment