Cara Hilangkan Pening Kepala Berpusing


Apakah punca pening kepala yang berpanjangan, sehingga rasa mahu muntah dan rasa pusing?

Izinkan sekali untuk kami berkongsi, bagaimana cara hilangkan sakit kepala yang berkesan. Sama-sama kita kupas.

Sedikit mengenai sebab pening kepala

Pening kepala bukanlah satu perkara asing di kalangan kita.

Separuh daripada orang dewasa menghidap pening kepala setiap tahun. Mungkin kerana sudah menjadi kebiasaan, pening kepala sering dianggap remeh dan tidak serius baik bagi mereka yang menghadapinya mahupun orang sekeliling.

Ramai yang terlepas pandang perihal pening kepala atau hanya berlepas tangan hinggakan penyakit ini sering tidak mendapat diagnosis yang tepat dan benar.

Segala faktor dan sebab kenapa pening kepala perlu diambil kira.

Apakah itu pening kepala

Menurut definisi World Health Organisation (WHO), pening kepala berlaku kerana gangguan yang dialami oleh sistem saraf manusia hingga menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan baik. Dalam Bahasa Inggeris, pening kepala dipanggil headache. Boleh rujuk laman web WebMD untuk maklumat lanjut.

Pesakit yang diserang pening kepala akan berasa sakit di antara dahi hingga tengkuk. Ia boleh berlaku pada setiap peringkat usia, jantina ataupun segala jenis pekerjaan yang dilakukan.

Mungkin kerana pening kepala akan hilang dengan sendirinya tanpa dirawat, ia seringkali disalahtafsirkan sebagai penyakit yang tidak berbahaya. Malahan, ada yang mengambil inisiatif merawat diri sendiri hingga boleh menyebabkan pengambilan ubat yang tidak sepatutnya atau berlebihan.

Namun demikian, pening kepala mampu mengganggu rutin harian seseorang sehingga tidak boleh melakukan aktiviti-aktiviti tertentu.

Pening kepala yang berulang dan berlaku dalam jangka masa yang panjang adalah sesuatu yang perlu dipantau dengan segera. Anda seharusnya mendapatkan rawatan daripada pakar jika pening kepala yang melanda melebih 5 hari.

Bagi mendapatkan rawatan, pakar perubatan hanya boleh merawat dengan mengenalpasti jenis dan punca pening kepala itu.

Jenis pening kepala

Ada macam-macam jenis kepala. Ada orang yang pening kepala berpusing, ada yang pening sampai muntah. Tidak kurang juga ada yang pening kepala waktu pagi sahaja. Yang sakit di bahagian tertentu pun ada juga: iaitu sebelah kiri, kanan dan belakang.

Ada pula yang mengikut musim, hanya pening kepala selepas makan during.

Apa pun, secara amnya, pening kepala dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori primer dan sekunder.

Kategori primer

Kategori primer adalah pening kepala yang menyerang dan mengganggu jadual harian seseorang serta menghalang daripada melaksanakan tugas-tugas tertentu. Tetapi ia tidak membawa kepada kemerosotan kesihatan pada jangka masa yang lama.

Antara contoh pening kepala primer ialah migrain, pening disebabkan tekanan atau ‘tension’ dan pening kepala ‘cluster’.

1 daripada 4 orang wanita didiagnosis mengidap migrain berbanding hanya 1 daripada 12 orang lelaki. Antara simptom-simptom migrain termasuklah:

  • sakit yang sebelah bahagian kepala sahaja
  • denyutan yang kuat dan menyakitkan dirasai
  • kepala akan berasa tambah sakit jika melakukan aktiviti-aktiviti fizikal
  • sakit akan berlanjutan 2 hingga 3 jam dan berlaku dengan kerap dalam seminggu

Berbeza dengan migrain yang sakitnya hanya tertumpu di sebelah bahagian kepala sahaja, pesakit yang didiagnosis dengan pening kepala disebabkan tension akan sering mengadu rasa sakit di sekeliling kepala dan di belakang leher.

Bagi mereka yang diserang pening kepala ‘cluster’, kesakitan akan dirasai di sekitar kawasan mata dan boleh menyebabkan mata merah serta berair. Hidung juga akan tersumbat disebabkan pening kepala jenis ini. Kebanyakan pesakit yang mengadu pening kepala ‘cluster’ ini adalah terdiri daripada kaum lelaki.

Kategori sekunder

Berbeza dengan kategori primer, pening kepala yang dikategorikan sebagai jenis sekunder menyebabkan kemerosotan kesihatan secara keseluruhannya dan bahaya untuk jangka masa panjang.

Kebiasaannya, pening kepala adalah antara simptom yang dikaitkan dengan penyakit-penyakit lain. Pening kepala sebegini adalah jenis pening kepala sekunder.

Rasa pening kepala di sekitar dahi, mata dan pipi selalu disebabkan sinus. Kadang-kadang, orang yang mengalami sakit perut juga akan mengalami rasa pening kepala. Selain daripada itu, salah satu simptom penyakit vertigo atau ketidakseimbangan badan juga akan menyebabkan pening kepala.

Pening kepala yang tergolong dalam kategori ini selalunya hanya akan lega apabila sakit yang menjadi punca pening kepala itu dirawati.

Punca pening kepala

Secara amnya, pening kepala yang disebabkan migrain, tekanan atau ‘cluster’ berkait rapat dengan cara dan gaya hidup seseorang.

Antara punca terjadinya pening kepala primer ini adalah:

Pemakanan

Pemakanan yang banyak mengandungi kafein, buah-buahan sitrus, keju, yogurt dan sebagainya. Alkohol juga antara faktor diserang pening kepala.

Persekitaran

Persekitaran yang dicemari dengan asap rokok, cahaya yang terlalu terang dan terdedah dengan bau yang kuat seperti asap kereta dan sebagainya juga boleh menyebabkan pening kepala.

Hormon

Perubahan hormon atau pengambilan ubat-ubat yang mengandungi hormon-hormon tertentu juga menjadi faktor kepada pening kepala kategori primer ini.

Psikologi

Keadaan psikologi yang tidak stabil desebabkan trauma pada sesuatu insiden, ataupun perubahan fizikal seperti jadual tidur yang tidak mengikut rutin yang sepatutnya juga boleh menyumbang kepada punca pening kepala.

Cara hilangkan pening kepala

Selain daripada mendapatkan ubat dan nasihat daripada doktor, pesakit yang mengalami pening kepala boleh melakukan perkara berikut untuk mengatasi dan merawatinya:

Hilangkan pening kepala dengan mencari ketenangan

Mencari ketenangan dengan mengelakkan diri daripada berada di tempat yang bising adalah cara jangka pendek yang boleh diambil jika anda diserang pening kepala.

Bagi pesakit yang mengidap migrain mengasingkan diri di dalam bilik yang tidak terlalu terang dan berehat dengan secukupnya akan membantu mengurangkan simptom penyakit itu.

Hilangkan pening kepala dengan ubah jadual tidur

Jadual tidur yang betul membantu mengurangkan pening kepala. Tidur dapat merehatkan minda dan badan daripada bekerja keras. Pastikan jadual tidur anda tidak terganggu dan mengikut rutin yang sepatutnya.

Makan makanan sihat

Mengamalkan pemakanan sihat dan berjadual juga membantu mengatasi masalah pening kepala. Elakkan makan makanan yang boleh menyebabkan pening kepala seperti kopi, coklat, keju mahupun alkohol.

Hilangkan pening kepala dengan amalkan gaya hidup sihat

Amalkan cara hidup yang sihat. Bersenam dan beriadah adalah antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengatasi sakit migrain. Badan kita akan mengeluarkan sejenis bahan kimia ketika beriadah yang boleh menghalang diri sakit kepala.

Jangan tertekan

Mengawal minda dan perasaan juga penting bagi mengelakkan diri daripada pening kepala. Dekatkanlah diri dengan aktiviti-aktiviti kerohanian seperti berdoa, bersolat, mengaji dan sebagainya. Uruskan masa dengan supaya tenang dan tidak berasa tertekan dalam segala urusan.

Cara merawat pening disebabkan tekakan

  1. Letak pek ais di kepala selama 5 hingga 10 minit
  2. Mandi dengan air panas untuk melegakan otot-otot tegang
  3. Perbaiki postur anda
  4. Kurangkan diri dari terlalu lama bekerja di hadapan komputer atau telefon pintar

Cara merawat pening disebabkan ‘cluster’

Tidak seperti migrain atau pening disebabkan tekanan, mereka yang menghidapi sakit ini perlu mendapatkan rawatan dari doktor untuk merawat sakit ini.

Ubat yang doktor berikan bukanlah menghalang rasa sakit, tetapi lebih cenderung untuk memberi kelegaan dengan menggunakan prinsip terapi oksigen.

Rawatan doktor lebih tertumpu kepada mengurangkan jangkamasa pening kepala serta kekerapan penyakit ini menyerang pesakit.

Akhir kata

Amalkanlah gaya hidup sihat. Jika bekerja, janganlah terlalu sangat rajin bekerja sehingga sanggup tidur lewat malam. Jemput baca cara hilangkan mengantuk jika rasa tidak kuat untuk meneruskan tugasan.

Pening kepala bukanlah sesuatu yang remeh. Ia menjadikan kebimbangan kerana ia berkait secara langsung dengan produktiviti dan status ekonomi sesebuah negara.

Kehilangan masa berharga yang berkualiti dan produktif serta kos rawatan yang boleh bertambah dalam suatu jangka masa panjang bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh sesiapa.

Kita haruslah rasa bertanggungjawab pada diri kita dalam menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam, makan makanan berkhasiat, perbanyakkan minum air serta tenangkan diri.

Merawat kerohanian diri adalah antara terapi yang terbaik yang boleh kita cuba hari ini selain berhenti merokok ataupun minum alkohol.

Semoga kita diberi kesihatan yang baik untuk kita memanfaatkan diri dengan kerja-kerja berfaedah.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment