Astro dan Discovery Terbitkan ‘Star Vs Food Malaysia’, Rancangan Realiti Masakan Terbaru


Astro dan Discovery Networks mempersembahkan rancangan realiti masakan baharu, Star Vs Food Malaysia, menampilkan barisan selebriti hebat Malaysia, digandingkan bersama cef-cef terkenal. Tayangan perdana Star Vs Food Malaysia bermula 16 April 2022 di PRIMEtime (Saluran 704). Rancangan realiti masakan tempatan ini adalah berdasarkan format asal Discovery, ‘Star Vs Food’, yang menyaksikan kejayaan musim pertama di India.

Sharmin Parameswaran, Naib Presiden, Perniagaan Antarabangsa, Astro, berkata, “Kami teruja meneruskan penerbitan bersama dengan Discovery dalam mempersembahkan tayangan perdana Star Vs Food Malaysia. Sebagai penerusan pelaburan kami untuk mengembangkan senarai format kandungan tempatan yang relevan untuk penonton-penonton, kami juga berbesar hati untuk bekerjasama dengan lebih ramai bakat tempatan dan pasukan produksi tempatan termasuk Creative Stew, untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai destinasi hiburan tempatan yang terkemuka. Menerusi penerbitan bersama dengan Discovery sebelum ini, untuk rancangan berkebun tempatan, Green Crashers dan siri ulasan makanan tempatan, BEST.EVER., keduanya mendapat sambutan yang baik dan jumlah tontonan yang menggalakkan. Kami berharap pelanggan juga akan menikmati bakat, jenaka dan kerja berpasukan antara cef dan selebriti dalam Star Vs Food Malaysia.”

Vikram Channa, Naib Presiden, Ketua Kandungan dan Produk, Asia Tenggara, Discovery, berkata: “Discovery sangat teruja untuk melanjutkan kerjasamanya bersama Astro dengan pengumuman tiga siri baharu yang memperjuangkan penceritaan, kreativiti dan bakat tempatan. Format asal Discovery ini mencerminkan reputasi terkenal kami untuk hiburan berkualiti, serta komitmen kami untuk membawa lebih banyak kandungan tempatan yang relevan kepada khalayak ramai.”

Siri 10 episod ini mempersembahkan konsep rancangan masakan yang unik di mana para selebriti meneroka dan mempelajari resipi daripada cef serta penyediaan makanan dengan cara yang mudah dan menarik. Star Vs Food Malaysia menampilkan selebriti tempatan popular berganding bersama cef selebriti terkenal: Alif Satar dan Datuk Aznil Haji Nawawi; Bront Palarae dan Dato’ Cef Ismail; Sherry Alhadad dan Cef Adu Amran; Alicia Amin dan Cef Florence Tan; Che Puan Juliana Evans dan Cef Najib Hamid; Hisyam Hamid dan Dato’ Cef Fazley Yaakob; Datin Lisa Surihani dan Cef Melba Nunis; Daiyan Trisha dan Cef Fadzly Che Omar; Thanuja Ananthan dan Cef Yogi; serta Joanne Kam dan Cef Nazri Jameson.

Star Vs Food Malaysia melihat keriuhan yang berlaku di dapur, ketika selebriti bertungkus-lumus menyediakan masakan yang lazat dan cuba mengasah bakat mereka. Bercakap mengenai persembahan itu, Bront Palarae dalam satu kenyataan berkata, “Pengalaman memasak Tempoyak dan Gulai Daun Pucuk Paku sememangnya tiada tandingan kerana saya  menyediakan dengan tangan sendiri, tidak seperti menikmati hidangan tersebut di restoran. Saya gementar tetapi Cef Ismail mendorong saya dan membantu keyakinan saya berkembang. Seperti yang boleh dilihat pada video promosi, anda dapat melihat saya bersungguh-sungguh mengupas sabut kelapa secara manual bagi mendapatkan kelapa parut untuk hidangan dan pengalaman itu tidak ternilai.”

Tayangan perdana episod-episod Star Vs Food Malaysia pada setiap Sabtu dan Ahad, jam 12 tengah hari di PRIMEtime (Saluran 704) dan boleh distrim di Astro GO dan On Demand.

Untuk maklumat lanjut, layari content.astro.com.my

Leave a Comment