Agrobank Lancar Video Aidilfitri ‘PESAN ATUK’


Kemeriahan Aidilfitri semakin dirasai dan bagi menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini, Agrobank telah melancarkan video Aidilfitri berjudul ‘Pesan Atuk’ yang boleh ditonton menerusi media sosial rasmi Agrobank iaitu di YouTube – Agrobank TV, Facebook – Agrobank dan Instagram – @agrobankmy bermula pada 23 April 2022.

Berkisahkan tentang seorang cucu yang mengimbau memori zaman kanak-kanaknya bersama Atuknya yang bekerja sebagai seorang petani dan pengusaha sawah padi, video Aidilfitri ini masih mengekalkan konsep kasih sayang kekeluargaan namun sangat padat dengan mesej kelestarian jaminan bekalan makanan negara di mana pentingnya untuk generasi muda meneruskan legasi sektor pertanian dan agro makanan.

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata “Pastinya Aidilfitri pada tahun ini sangat meriah tambahan pula sudah dua tahun kita tidak dapat pulang ke kampung halaman, untuk beraya bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai. Namun, dalam keterujaan kita untuk menyambut Aidilfitiri, kami di Agrobank berasa terpanggil untuk menyuntik pesanan penuh makna ini akan kepentingan kelestarian sektor pertanian negara serta menghargai usaha para petani, penternak dan nelayan (agropreneur) di Malaysia dalam memastikan kita mempunyai makanan untuk dinikmati bersama keluarga tercinta setiap hari khususnya menjelang Aidilfitri ini.”

“Kadangkala, kita terlupa bahawa, para agropreneur ini merupakan wira yang tidak didendang, yang bekerja tanpa mengenal erti lelah agar tahap sara diri (SSL) negara yang lebih baik dapat dipertingkatkan demi untuk memastikan jaminan bekalan makanan negara kekal mencukupi untuk dinikmati bersama.”

“Justeru, mengambil inspirasi konsep ini, kami berharap video Aidilfitri yang dikaryakan khas buat usahawan tani sektor pertanian dan agro makanan negara ini dapat dijadikan simbolik tanda penghargaan kami di Agrobank dan seluruh warga masyarakat untuk menghargai usaha dan kecekalan mereka dalam meningkatkan kemampanan sektor pertanian dan agro makanan negara,” katanya.

Tambah beliau lagi, “Kami di Agrobank juga berharap, menerusi kisah ini, lebih ramai generasi muda tampil menceburi sektor pertanian dan agro makanan negara dengan mengetengahkan inovasi terkini serta menyuntik elemen teknologi dalam perniagaan berasaskan pertanian agar usaha untuk berbudi kepada tanah serta produktiviti hasil pertanian dapat terus dipertingkatkan.”

Mengenai Agrobank
 
Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro.  Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.

Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian.  Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian.  Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna.

Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dilaksanakan menerusi 206 rangkaiannya sehingga tahun 2021 yang merangkumi 139 cawangan, 32 kiosk, 19 pusat perdagangan dan 16 rangkaian perbankan.

Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.

Leave a Comment