Tempat Menarik di Cherating


Cherating, Pahang merupakan antara destinasi popular bagi pengunjung yang gemarkan pantai dan laut sebagai destinasi percutian mereka. Terletak kira-kira 50km dari Kuantan, Cherating menjanjikan pengalaman yang indah bagi mereka yang berkunjung. Terdapat banyak tempat menarik di Cherating yang anda boleh kunjungi selain aktiviti mandi pantai.

Waktu terbaik untuk berkunjung ke sini adalah dari Mac hingga Oktober, namun jika anda merupakan surfer pastikan anda datang pada musim tengkujuh iaitu dari November sehingga Februari. Di sini kami kongsikan beberapa tempat menarik di Cherating untuk anda lawati sekiranya anda bercuti di sana.

1. Pantai Cherating

Jika anda ke Cherating, semestinya destinasi utama ialah Pantai Cherating. Pantai Cherating merangkumi jarak pantai yang panjang sekitar 7-8 kilometer. Pasir putih dan halus, air yang biru pasti membuatkan diri anda berasa seperti di luar negara. Pantai Cherating merupakan tempat terletaknya hotel dan chalet yang menarik seperti Royale Chulan Cherating, Club Med dan Legend Cherating Beach Resort. Terdapat juga resort dan chalet yang lain bergantung kepada bajet anda.

Di pantai ini iterdapat banyak aktiviti air yang anda boleh lakukan. Antaranya surfing, berkayak, banana boat, luncur angin dan lain-lain. Jika anda sekadar mahu berjalan-jalan dan mandi pantai juga tiada masalah.

2. Kam’s Surf Shack

Antara aktiviti popular yang dilakukan di sini ialah surfing. Kam’s Surf Shack menawarkan aktiviti ini dan anda boleh menyewa papan luncur di sini. Cherating memang menjadi destinasi kunjungan untuk bercuti terutama bagi peminat surfing. Selain surfing, luncur angin juga menjadi pilihan.

Kam’s Surf Shack menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan jika anda menginap di Cherating. Kite surfing, wind surfing, X-sailing dan surfing merupakan antara yang mereka sediakan. Jika anda masih baru dan ingin belajar, mereka akan membantu anda dan memberi tunjuk ajar supaya aktiviti anda lebih selamat dan seronok. Terdapat beberapa pakej termasuk kelas pembelajaran dan anda boleh pilih mengikut kesesuaian.

3. Santuari Penyu Cherating

Aktiviti melepaskan anak penyu pasti akan menjadi pengalaman yang menarik untuk anda, bukan kata untuk kanak-kanak, kita yang dewasa ini juga pasti teruja dengan aktiviti ini. Santuari yang terletak di Pantai Chendor ini merupakan pusat pemuliharaan dan membantu memanjangkan jangka hayat hidup penyu yang bertelur dan menetas di sini.

Selain itu, pusat ini juga membantu menyampaikan maklumat dan dapat mendidik masyarakat tentang hidupan marin yang hampir pupus ini. Selain dapat membuat aktiviti yang menarik, anda juga akan dapat menimba ilmu jika datang ke sini, bagus juga kan. Santuari ini beroperasi pada hari Selasa – Ahad. Masuk juga adalah percuma.

Digalakkan untuk anda telefon dahulu santuari ini untuk aktiviti yang disediakan.

Nombor telefon: 09-5819087

4. Kelip-kelip Sungai Cherating

Di Malaysia, tidak banyak tempat yang menyediakan servis melihat kelip-kelip. Jadi, jika anda berkunjung ke Cherating, pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk melihat kelip-kelip di Sungai Cherating! Pengalaman selama 1 jam ini pasti akan memberi anda kenangan indah semasa percutian anda di Cherating. Dingin angin sejuk sambil ditemani cahaya kelip-kelip semestinya akan memberi suasana yang romantis untuk anda.

Anda akan dibawa oleh pemandu bot dan guide yang berpengalaman. Mereka akan menerangkan sedikit sebanyak tentang fakta kelip-kelip dan memastikan anda selamat sepanjang aktiviti.

Harga untuk melihat kelip-kelip ini hanyalah RM35 untuk dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak.

No telefon: 017 9789256 / 017 940 6898

5. Rumah Jambi

Untungnya jika anda bercuti ke Cherating ini, seolah-olah anda bercuti ke dua negeri sekaligus! Ini disebabkan lokasinya yang berada di sempadan Terengganu dan Pahang. Jika anda bercuti di Cherating, anda boleh berjalan-jalan di Kemaman, Terengganu atau Kuantan, Pahang.

Sekiranya anda berada di Cherating dan tak tahu mahu kemana, anda boleh berkunjung ke Rumah Jambi yang terletak di Kemaman. Tarikan Rumah Jambi ini ialah dari segi reka bentuknya yang unik. Tambahan lagi, rumah yang berusia 90 tahun ini pastinya akan menjanjikan sesuatu untuk anda yang berkunjung.

Mempunyai bentuk yang unik seperti bentuk limau bungkus untuk bumbung dan bertanduk kerbau inilah yang menarik pengunjung untuk datang ke sini. Rumah Jambi ini menerapkan unsur tradisi binaan Jambi, Sumatera dan merupakan salah satu tinggalan sejarah yang sangat berharga untuk daerah ini. Pastikan anda berkunjung ke Rumah Jambi jika anda bercuti di Cherating.

6. Ombok Cherating Surf Cafe

Antara tempat makan menarik di Cherating ialah Ombok Cherating Surf Cafe. Cafe ini ialah antara cafe popular di dalam kalangan surfers yang ingin berehat dan relax selepas aktiviti surfing. Suasana yang santai dan layanan mesra di sini pasti akan membuatkan anda ingin datang ke sini lagi.

Walaupun cafe ini nampak seperti biasa dari jauh, namun hiasan dalamannya yang beach vibe memang akan menenangkan anda dan boleh feeling seperti di overseas. Uniknya cafe ini, mereka menyediakan makanan sarapan atau breakfast sepanjang hari. Jika anda datang selepas tengah hari, anda masih boleh memesan sarapan juga.

Antara menu yang menjadi pilihan di sini ialah English breakfast, coffee dan mango cheesecake. Pastikan anda cuba menu ini, kalau tak menyesal!

Cafe ini dibuka pada 10 pagi hingga 5 petang dan tutup pada hari Isnin dan Selasa.

7. Cafe Marion

Seterusnya, tempat menarik di Cherating yang wajib anda kunjungi ialah Marion Cafe. Cafe yang viral ini menawarkan pelbagai hidangan pastri dan pencuci mulut yang dibuat daripada warga Perancis sendiri iaitu Marion.

Antara hidangan popularnya ialah Chocolate Caramel Tart, Strawberry Tart dan Classic Cheesecake. Selain pastri, minuman di sini juga tak kurang enaknya seperti kopi dan air coklat. Diingatkan supaya anda datang ke sini lebih awal kerana tempat ini sangat sesak terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.

Cafe ini dibuka pada 1 petang hingga 7 petang dan tutup pada hari Selasa dan Rabu.

8. Royale Chulan Cherating

Jika anda mencari resort yang selesa di Cherating, Royale Chulan Cherating menawarkan tempat tidur dan lebih lagi untuk anda. Tidak kiralah anda berkunjung secara berkumpulan, untuk honeymoon, bersama keluarga atau seorang sekalipun, Royale Chulan merupakan resort yang sangat sesuai untuk anda.

Resort mewah ini menawarkan 6 pilihan penginapan untuk anda iaitu Beach Chalets, Bedroom Villa with private pool, premier suites dan sebagainya. Anda boleh pilih mengikut citarasa dan bajet anda. Antara tarikan utama di sini ialah infinity pool yang menghadap Laut China Selatan yang sangat cantik dan anda pasti akan berasa tenang dan damai dan sangat cantik for the gram.

Jika anda sudah puas bermandi-manda di pantai dan ingin melakukan aktiviti yang menyeronokkan, resort ini juga menyediakan aktiviti menarik untuk anda seperti ATV ride, yachting, snorkeling, kayaking dan sebagainya. Takda lah anda pun bosan jika tiada aktiviti.

9. Rimbun Dahan Turtle Hatchery

Selain Santuari Penyu Cherating, anda juga boleh melakukan aktiviti melepaskan anak penyu di Rimbun Dahan Turtle Hatchery. Terletak di Pantai Chendor, pusat ini disokong oleh The Kasturi Resort Cherating. Di sini anda boleh membantu pusat ini dengan menyertai aktiviti melepaskan anak penyu.

Di sini anda akan dapat melihat sendiri bagaimana proses pengeraman telur dilakukan dan jika anda bertuah anda akan dapat merasai dan melihat sendiri bagaimana anak penyu berjalan merentasi pantai menuju ke laut. Pengalaman ini sangat menarik kerana bukan selalu kita dapat melihat dan memegang sendiri anak penyu.

Pusat ini diusahakan secara persendirian oleh Allayarham Pak Su sebagai usaha beliau untuk pemuliharaan penyu yang semakin pupus. Kini, pusat tersebut telah diambil alih oleh anak-anak beliau. Dinasihatkan agar anda menempah dahulu di 017-223 3359 untuk mengelakkan kesulitan.

10. Limbong Art

Jika ke pantai timur, tak sah jika anda tidak membeli batik. Antara tempat menarik di Cherating yang anda boleh kunjungi ialah Limbong Art. Berkonsepkan Tie Dye, kedai ini menjual pakaian seperti t-shirt dan topi serta tekstil yang sangat unik dan sangat cantik untuk dibeli sebagai cenderamata untuk diri sendiri atau orang lain.

Uniknya kedai ini, hasil batik mereka tidak sama dengan kedai lain kerana corak yang mereka hasilkan lebih moden dan trendy. Mereka juga sudah menembusi pasaran luar negara, jadi anda boleh tahu memang rugi jika anda tidak singgah ke sini!

11. Pulau Ular

Jika anda mencari tempat snorkeling di Cherating, di sinilah tempatnya. Pulau Ular ini terletak tidak jauh dari tanah besar dan selalu menjadi tumpuan pelancong tak kira luar ataupun tempatan. Pulau kecil ini mempunyai hidupan marin dan terumbu karang yang menarik dan sangat sesuai untuk ativiti snorkeling. Tak perlu lah jauh-jauh ke pulau besar lagi untuk snorkeling kerana di sini pun dah cukup cantik tempatnya.

Selain snorkeling, pulau ini juga menjadi tumpuan untuk kaki pancing dan ada juga yang datang ke sini untuk berkhemah. Pulau Ular ini tidak mempunyai apa-apa fasiliti dan anda harus mengambil inisiatif untuk membawa sendiri makanan atau kemudahan lain. Anda boleh bertanyakan pihak hotel yang berdekatan untuk ke pulau ini.

12. Restoran Masakan Ibu

Tempat makan di Cherating untuk lunch yang menarik dan berpatutan semestinya di sini. Pemiliknya yang berasal dari Kelantan menyediakan masakan pantai timur yang sedap dan rugi jika tak singgah. Harganya sangat berpatutan dan lauknya memang menyelerakan seperti gulai kawah, ayam panggang dan ayam percik. Di sini juga sering menjadi tempat penyinggahan bas ekspress untuk berhenti rehat dan makan.

Lokasinya juga lebih dekat dengan Pantai Cherating dan anda tak perlu susah-susah untuk travel lebih jauh untuk makan tengah hari yang sedap dan berbaloi.

13. Don’t Tell Mama Beach Cafe

Cafe yang menghadap pantai ini wajib dikunjungi jika anda ke Cherating. Dengan lokasinya yang menghadap pantai bersama menu yang menarik dan sedap, rugi jika anda tidak singgah ke sini. Walaupun hiasan dalaman cafe ini ringkas dan simple, tidak menghalang cafe ini dari menjadi tarikan pengunjung kerana menu yang ditawarkan memang menarik seperti takoyaki nutella, prawn platter dan wagyu burger. Menikmati makanan yang sedap sambil ditemani bayu laut, memang mengasyikkan!

Menu yang ditawarkan di sini sangat luas, anda boleh pilih dari masakan tempatan atau western. Kadang-kadang jika kita datang beramai-ramai pasti ada yang memilih untuk makan lain dari yang lain, jadi anda boleh ke sini untuk menjamu selera.

Cafe ini dibuka dari pukul 12 tengah hari sehingga 10 malam dan tutup pada hari Selasa.

14. Club Med Cherating

Nama yang memang tidak asing lagi dengan Cherating ialah Club Med Cherating yang sudah bertapak lebih 40 tahun di Malaysia. Walaupun banyak hotel dan resort di Cherating, Club Med ini antara salah satu hotel yang menawarkan all-inclusive holiday yang membuatkan anda tidak perlu pening untuk fikir aktiviti dan makan apa sepanjang percutian anda. Apa yang paling menarik di sini ialah hotel ini turut menyediakan servis penjagaan kanak-kanak untuk ibu bapa yang ingin berehat dan bercuti.

Mempunyai lebih 300 bilik, anda boleh pilih mengikut citarasa dan pilihan anda. Club Med juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk anda jika anda ingin bercuti dengan lebih senang tanpa pening kepala.

15. Mangrove Tour

Selain melihat kelip-kelip pada waktu malam, anda juga boleh membuat mangrove tour atau meneroka paya bakau yang terdapat di Sungai Cherating. Perjalanan selama lebih sejam merentasi lebih kurang 7km sungai ini akan memberi anda lebih kedalaman mengenai betapa pentingnya paya bakau pada ekosistem kita. Selain itu, anda juga boleh melihat hidupan liar seperti monyet, biawak, ular dan ketam dengan lebih dekat.

Anda boleh bertanyakan hotel di tempat anda menginap untuk mendapatkan info lanjut mengenai aktiviti ini.

16. Warung Otak-otak Che Wan

Rugilah jika sudah ke Pantai Timur tetapi tidak merasa makanan asli mereka, kan? Antara menu wajib jika anda ke sini pastinya otak-otak dan satar. Dengan rasa asli ikan digaul dengan kelapa pasti akan membangkitkan selera dan memberi rasa ‘Pantai Timur’ pada anda.  Antara warung yang masih mengekalkan rasa otak-otak Pantai Timur yang asli ialah Warung Otak-Otak Che Wan. Di sini rasanya masih sama dan memang tidak rugi jika anda singgah ke sini.

Di samping otak-otak, mereka juga ada menjual satar. Anda boleh bungkus atau makan di sini sambil berehat di tepi pantai yang terletak berhampiran dengan warung ini. Warung ini dibuka pada pukul 11 pagi hingga 7 petang dan dibuka setiap hari.

17. Keropok Lekor Kamal (Pok Die)

Seterusnya, tempat menarik di Cherating yang anda harus lawati terutamanya bagi peminat keropok lekor, ialah Kedai Keropok Lekor Kamal (pok Die). Terletak di Kampung Baharu Cherating, menariknya di sini mereka hanya menggoreng keropok jika ada pesanan. Ini adalah untuk memastikan kesegaran keropok lekor tersebut. Dapat makan keropok lekor yang baru digoreng, fuh memang nikmat.

Rasa keropok lekor di sini juga agak berbeza dengan kedai lain kerana mereka hanya menggunakan ikan yang segar untuk membuat keropok.

18. Erya by Suria Cherating

Terletak berhampiran pantai, hotel dan resort ini menawarkan lebih 100 bilik yang mampu milik dan berbaloi untuk anda kunjungi sama ada berseorangan, dengan kenalan atau keluarga. Di sini juga terdapat kolam renang yang besar yang sesuai untuk dewasa atau kanak-kanak. Jika anda ingin mandi pantai anda boleh berjalan dari bilik anda kerana lokasinya memang dekat dengan hotel anda.

Hotel ini juga turut menyediakan khidmat jika anda ingin melakukan aktiviti sekitar Cherating. Anda boleh lihat di sini untuk tempahan.

19. Teluk Mak Nik

Pantai Teluk Mak Nik ini memang sangat popular di kalangan pelancong tempatan. Pasirnya yang putih dan airnya yang biru memang menambat hati pada sesiapa yang berkunjung. Pantai ini juga dikenali sebagai Monica Bay kerana pemandangannya yang indah membuatkan pengunjung seperti berada di overseas.

Pada waktu petang di sini terdapat banyak warung makanan yang menjual pelbagai jenis makanan, anda boleh menjamu mata dan perut dalam masa yang sama. Namun jangan buang sampah merata-rata, kekalkan kecantikan pantai ini.

Akhir kata

Sekian perkongsian tempat menarik di Cherating untuk anda. Sekarang bolehlah anda rancang percutian anda. Jika anda ingin meneruskan percutian anda lagi, kami kongsikan tempat menarik di Pahang lagi untuk anda.

Selamat bercuti!

Leave a Comment