Tempat Honeymoon di Malaysia


Malaysia ada banyak tempat honeymoon yang best-best. Tak perlu ke luar negara pun.

Izinkan kami kongsi tempat honeymoon di Malaysia yang romantis dan tenang. Tentu sekali tempat yang menarik, bagus, best dan murah (mengikut bajet anda).

Tak perlu ke luar negara untuk honeymoon

Persiapan untuk menjadi raja sehari bukanlah sehari dua sahaja. Malah, waktu yang diambil berbulan-bulan walaupun hari persandingan hanyalah beberapa jam sahaja.Setelah penat membuat persiapan serta melangsungkan hari perkahwinan, pasti pasangan pengantin baru tak sabar-sabar nak pergi honeymoon seperti yang dirancang.

Pastikan ia menjadi percutian terindah untuk kenangan bersama. Berbulan madu tak semestinya ke luar negara atau pun resort termahal yang di luar kemampuan kita.

Di Malaysia pun ada banyak tempat percutian untuk berbulan madu yang boleh kita kunjungi bersama yang tercinta. Izinkan kami berkongsi tentang tempat honeymoon di Malaysia yang bakal menjadi moment terindah dalam kehidupan anda.

Apa kita kita survey tempat-tempat menarik untuk berbulan madu di Malaysia?

Tempat honeymoon di Malaysia

Cipta memori terindah honeymoon anda di  tempat-tempat romantis untuk berbulan madu di Malaysia. Kami telah sediakan beberapa destinasi menarik untuk anda dan pasangan anda meluangkan masa-masa kualiti bersama dan mengeratkan lagi hubungan anda dan pasangan.

Honeymoon di Pulau Rawa ibarat bercuti di Maldives

Terletak 16 km dari Mersing, masih ramai yang tidak tahu kewujudan Pulau Rawa ini.

Percaya atau tidak, di pulau ini hanya ada 2 resort sahaja? Percayalah! Itu cukup membuktikan betapa aman damainya suasana di pulau ini.

Kehadiran pengunjung yang tidak ramai, resort 5 bintang yang selesa serta tidak dinafikan keindahan laut jernih ibarat kristal hijau terhampar pastinya cukup membuat hati tidak sabar untuk ke sana.

Makanan di resort sudah cukup sedap untuk anda buat pilihan. Lagipun, penduduk di Pulau Rawa ini memang tak ramai pun, maka kedai makan memang tiada. Tetapi rata-rata mereka yang pergi ke sana puas hati dengan makanan yang disediakan oleh pihak resort.

Banyak tempat menarik yang masih tidak tercemar oleh tangan manusia ada di sini. Banyaklah port hendak bergambar untuk disimpan jadi kenangan.

Kalau privasi dan kagum dengan keindahan pulau-pulau, Pulau Rawa pastinya tak akan mengecewakan detik manis honeymoon anda bersama si dia yang tercinta.

Tempat menarik untuk honeymoon ialah Pulau Mabul, Sabah

Pulau Mabul sangat terkenal di kalangan penyelam-penyelam profesional. Bukanlah bermakna hanya penyelam berlesen sahaja yang akan berpuas hati berada di sini.

Buat si merpati dua sejoli, Pulau Mabul menjanjikan satu pengalaman indah yang pasti tidak akan anda lupakan.

Pulaunya yang kecil mungkin akan membuat anda tak berat hati (atau kaki) untuk meluangkan masa berjalan mengelilinginya bersama pasangan tercinta. Pasir pantainya yang halus putih air lautnya yang jernih sehingga jelas kelihatan hidupan yang ada di dalamnya serta angin yang sentiasa menyapa lembut tentu membuatkan anda terus jatuh cinta berkali-kali di sini.

Di sebalik kemewahan yang tergambar di Pulau Mabul, ada perkampungan rumah air milik kaum Melayu Bajau yang pasti membuatkan anda tersentuh melihat kehidupan sederhana namun cukup membahagiakan mereka.

Hidupkan babak Crazy Rich Asian di The Blue Mansion, Pulau Pinang

Pulau Pinang adalah salah tempat honeymoon di Malaysia yang boleh anda luangkan bersama pasangan tercinta. Pelbagai aktiviti berdua boleh anda susun untuk kenangan bersama.

Jika mahukan kedamaian laut biru, singgah bermalam di Batu Feringgi. Kemudian, bolehlah ke bandar Georgetown yang terkenal dengan banyak mural-mural dinding menarik untuk anda bergambar dengan pelbagai gaya dan cara.

Makanan-makanan di Pulau Pinang juga memang tidak boleh dinafikan keenakannya. Sebut sahaja apa yang terlintas di fikiran, nasi kandar, cendol, asam laksa dan banyak lagi semuanya mudah didapati dan sedap-sedap belaka.

Untuk anda yang mempunyai sedikit simpanan lebihan, mungkin anda ingin bermalam di The Blue Mansion, hotel butik yang dijadikan salah satu tempat setting lakonan filem Hollywood ‘Crazy Rich Asian’. Setting hotel yang cantik ini pastinya membuatkan bulan madu anda sesuatu yang akan buat anda tak berhenti bercerita mengenainya. Kalau tak berkesempatan untuk bermalam pun, anda masih boleh datang untuk melawat sambil bergambar dengan membeli tiket lawatan yang boleh didapati di hotel.

Sekiranya anda ingin mencari tempat makan dan tempat menarik yang lain di Penang, boleh baca tempat best di Penang.

Pulau Langkawi, salah satu tempat honeymoon di Kedah, Malaysia yang indah

Berada di kepulauan Andaman, dikelilingi dengan pantai putih dan kejernihan biru hijau air laut, tidak syak lagi Pulau Langkawi menjadi salah satu tempat yang terbaik untuk berbulan madu.

Kalau mahukan kelainan selain daripada bergambar di pantai yang indah, anda juga tidak patut ketinggalan untuk merakamkan kenangan bulan madu di kehijauan sawah padi yang luas terbentang di Pulau Langkawi.

Pilihan hotel dan resort yang ada pun banyak dan mudah untuk anda buat pilihan mengikut bajet anda sendiri, samada mahu duduk di hotel mewah atau cukup sekadar hotel selesa tetapi murah.

Jangan lupa, bila di Langkawi, pergilah juga ke tempat-tempat bersejerah seperti ke Makam Mahsuri. Rasai kesejukan air terjun Telaga Tujuh. Luangkan masa dengan makan malam di atas dek Stardust BBQ Sunset Dinner Cruise, kalau anda bertuah, mungkin anda dapat menyaksikan kelibat ikan lumba-lumba.

Manjakan si dia di Avani Sepang Goldcoast Resort

Buat anda yang berada di bandaraya Kuala Lumpur dan mempunyai kekangan masa, bukan alasan untuk tidak berbulan madu.

Lari dari kesibukan kota dan check-in ke Avani Sepang Goldcoast Resort ini. Luangkan masa berdua di tempat yang penuh romantis ini.

Resort atas air ini menjanjikan keseimbangan buat mereka yang datang untuk berbulan madu. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan seperti menjelajahi tapak pokok paya bakau, beriadah dengan sukan air yang ada, menikmati makan malam yang romantik berlatarbelakangkan lautan luas ciptaan Tuhan serta mengagumi persembahan tarian api. Untuk lebih asyik lagi, cubalah urutan tradisi Melayu yang ada di spa resort ini.

Ianya hanya terletak kurang 90 minit dari bandar Kuala Lumpur. Cuti bulan madu anda pasti tidak mengecewakan.

Bersyukur dengan nikmat mata apabila di Cameron Highland, tempat honeymoon #1 di Malaysia

Cameron Highland pasti menjadi salah-satu destinasi untuk berbulan madu sebagai pilihan pengantin baru, mahu pun pengantin lama.

Ia menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk anda berdua. Anda boleh menikmati teh segar di ladang teh yang ada, pelbagai jenis coklat di Avant Chocolate dan tentunya mencuba pelbagai jenis produk berasaskan strawberi. Anda juga boleh melawat Time Tunnel Museum, 3D Wall Art Studio serta Taman Agroteknologi Mardi. Akhir sekali, jangan lupa singgah ke Taman Lavender dan bersyukur dengan apa yang anda saksikan.

Di Cameron Highland, ada banyak hotel, resort dan homestay yang boleh anda pilih untuk penginapan di sana. Memandangkan anda sedang berbulan madu, mungkin anda boleh mencuba bilik yang  selesa dengan setting romantis seperti di Cameron Highlands Resort, The Lakehouse, The Smokehouse atau pun Planters Country Hotel. Layanan lima bintang serta kemudahan yang sangat tip-top, pasti meninggalkan memori anda semasa honeymoon.

Temui rahsia alam di Pulau Redang yang indah

Terserlah kehalusan pasir putih pantainya dan dihiasi dengan rimbunan pokok hijau yang segar membesar, Pulau Redang harus menjadi salah satu destinasi pilihan untuk berbulan madu. Keadaan persekitaran yang mendamaikan, ia pastinya membuat anda dan pasangan anda terpukau dengannya.

Banyak resort di Pulau Redang ini yang menjadikannya salah satu tempat honeymoon di Malaysia.  Banyak pakej penginapan romantis untuk berbulan madu disediakan untuk anda dan pasangan. Anda dan si dia boleh membeli pakej snorkeling, mana tahu untung nasib boleh berjumpa dengan ikan nemo. Anda juga boleh menyewa motosikal dan mengelilingi pulau berdua-duaan.

Jangan lupa, bila dah penat beriadah, luangkan masa di tepi pantai, menyaksikan terbenamnya matahari serta merakamkan kenangan indah itu bersama.

Memandangkan Pulau Redang ini terletak di perairan Laut China Selatan, pulau ini tidak boleh dikunjungi antara bulan November hingga Februari sebab musim monsun.

Dapatkan layanan istimewa di Pulau Pangkor

Berbeza dengan Pulau Redang, anda boleh merancang untuk berbulan madu di Pulau Pangkor ini bila-bila masa sahaja kerana ianya tiada musim monsun dan menjadikan salah satu tempat honeymoon di Malaysia yang menarik.

Selain dari aktiviti air seperti pulau-pulau lain, ada banyak lagi aktiviti lain yang boleh anda lakukan di Pulau Pangkor. Anda boleh mendapat pengalaman baru menarik pukat, pergi ke tempat pembuatan ikan masin serta melihat cara-cara pembinaan bot.

Tinggalan sejarah di Pulau Pangkor ini juga mengagumkan. Kota Belanda dan Batu Bersurat membuatkan anda berasa bangga dengan apa yang Malaysia kecapi hingga kini.

Pastinya anda ingin berdua-duaan di Coral Beach sambil menikmati angin Selat Melaka yang menenangkan. Kemudian, aturkanlah makan malam romantis untuk si dia. Ada banyak restoran yang mempunyai makanan yang sedap-sedap serta kawasan sekitaran yang romantis.

Sebenarnya ada banyaklah destinasi-destinasi menarik yang boleh anda kunjungi untuk berbulan madu. Bak kata pepatah English ‘It’s not the place, it’s the company’. Jika teman yang pergi bercuti bersama itu memang yang menggembirakan dan menenangkan hati, pastinya di mana pun pilihan destinasi akan meninggalkan kenangan manis yang berpanjangan.

Tips untuk honeymoon yang romantis

Di sini kami kongsikan sedikit tips yang langkha-langkah yang boleh anda ambil supaya perjalanan dan masa yang anda luangkan untuk berbulan madu tambah lebih romantis.

Rancang honeymoon lebih awal

Jadikan hari ketibaan anda sesuatu yang tidak akan lupakan. Rancanglah sebaik-baiknya. Mungkin anda boleh meminta pihak hotel untuk menyediakan bilik penuh dengan taburan kelopak mawar untuk menyambut ketibaan anda.

Buat surprise

Bawa sesuatu yang tidak di dalam rancangan. Surprisekan pasangan anda dengan lilin harum dan speaker bluetooth yang dilengkapi dengan lagu-lagu romantis semasa bercinta.

Jangan lupa pakai baju seksi

Berdandan untuk makan malam romantis. Ambil masa untuk bersolek dan berdandan untuk si dia.

Berpakaian dengan selesa

Bawa pakaian yang selesa dan cantik, untuk pasangan anda.

Semoga percutian bulan madu anda menjadi satu kenangan terindah buat anda berdua.

Akhir kata

Diharapkan agar perkongsian tentang tempat honeymoon di Malaysia ini dapat memudahkan urusan anda dan pasangan untuk merancang tentang destinasi yang terbaik untuk anda meluangkan masa bersama.

Ingatlah cara pasangan anda melayan anda bergantung kepada cara anda melayan pasangan anda. Sekiranya anda melayan dengan baik dan lemah lembut maka pasangan anda akan melakukan yang sama kepada anda.

Kalau dah ada anak selepas honeymoon, baru boleh bawa ke tempat menarik untuk kanak-kanak pula satu hari nanti.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment