7 Tempat Menarik di Terengganu (Yang Berbaloi Untuk Dikunjungi)


Percutian ke tempat menarik di Terengganu selalunya melibatkan alam semulajadi; baik di kepantaian yang mempunyai lautan biru dan angin sepoi-sepoi bahasa serta pasir halus yang sejuk tatkala dipijak ataupun dikelilingi pokok-pokok yang menghijau dengan deruan air terjun yang menyegarkan sambil-sambil berendam di dalam air sungai yang sejuk.

Tempat menarik di Terengganu

Dahulunya hanya sebuah perkampungan nelayan, kini Terengganu telah banyak berkembang menjadi destinasi pelancongan terpilih oleh rakyat tempatan mahupun pelancong-pelancong luar.

Dan ini adalah senarai tempat-tempat menarik di negeri Darul Iman yang hendak kami kongsikan bersama anda semua!

1. Bukit Singa

Kami pasti anda semua pernah dengar tentang Pulau Kapas, kan? Tetapi tahukah anda bahawa di Pulau Kapas ini, terdapat satu lokasi untuk para penggemar pendakian yang dikenali sebagai Bukit Singa; sebuah “permata tersembunyi” pulau terkenal ini.

Bukit Singa ini dinamakan bersempena bentuk batunya yang kelihatan seakan-akan kepala singa, tetapi para pendaki jarang sekali mendaki bukit ini malah mereka memilih untuk mendaki bukit berhadapan Bukit Singa untuk mendapat pemandangan yang lebih jelas tentang bentuk batu-batu bukit tersebut.

Sekiranya anda hendak mendaki bukit-bukit ini, bersedialah dengan pakaian dan kasut yang sesuai. Pasti anda akan menghargai keindahan alam ini setelah melihat kebiruan laut dan langit yang seolah-oleh boleh dicapai apabila berada di puncak bukit tersebut!

 

2. Blue Lagoon

Ha, kami ada lagi permata tersembunyi untuk anda! Destinasi pelancongan ini juga terletak di Pulau Kapas dan berada di bawah Bukit Singa. Lokasi ini memang tidak diketahui ramai, jadi anda bernasib baik kerana dapat mengetahuinya dari sini dahulu 😉

Bersesuaian dengan namanya, Blue Lagoon ini menawarkan pemandangan air yang membiru seakan-akan berada di dalam buku cerita fairytale kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, Blue Lagoon ini hanya dapat dilihat ketika lautan Pulau Kapas sedang mengalami air pasang. Oleh itu, ianya sangat diwajarkan untuk anda melawat Blue Lagoon ini bersama pemandu pelancong yang dipercayai supaya anda dapat menikmati kecantikan air biru Blue Lagoon dalam keadaan selamat.

 

3. Air Terjun Buweh

Berlokasi di Kenyir dan terletak kurang dari 10 kilometer dari Pengkalan Gawi, terdapat sebuah lokasi air terjun. Air Terjun Buweh ini sebenarnya sangat dekat dengan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, iaitu Tasik Kenyir.

Jika anda hendak datang ke sini, anda boleh membawa motor atau kereta walaupun ruangnya agak kecil dan sempit. Oleh sebab itu, Air Terjun Buweh ini tidaklah sesuai untuk bermandi-mandi bagi dewasa. Sebaliknya bagi kanak-kanak, terdapat dua buah kolam kecil yang tidak terlalu dalam untuk mereka berendam.

Walaupun begitu, anda masih boleh beriadah seperti berkelah dan membuat BBQ bersama rakan-rakan atau ahli keluarga anda ketika berada di Air Terjun Buweh ini sambil merakam gambar-gambar dan video bagi tujuan mengekalkan memori ketika berada di air terjun ini.

 

4. Tasik Puteri

Kali ini kami kongsikan destinasi pelancongan yang agak tersorok hinggakan kebanyakan orang tempatan Terengganu pun tidak tahu akan tempat ini! Sebelum itu, anda perlu tahu bahawa air terjun Tasik Puteri ini juga diwujudkan oleh manusia dan keindahannya pasti akan membuatkan pencinta alam lebih jatuh cinta.

Untuk pergi ke Tasik Puteri ini, anda perlu berjalan sedikit sehinggalah anda mendengar deruan air terjun tersebut. Setelah dijumpai, nikmatilah pemandangan air yang biru sebirunya ditemani warna-warna hijau dedaunan yang mengelilingi tasik tersebut lantas menyejukkan ruang tasik ini bagi sesiapa sahaja pengunjungnya.

Anda boleh juga memilih untuk bermalam di sini, tetapi anda perlulah membawa alatan berkelah sendiri seperti khemah dan sebagainya. Tidurlah dengan ditemani bunyi alam dan bangun pagi juga dengan bunyian alam. Seronoknya!

 

5. Bukit Bubus

Kami tahu bahawa ada sesetengah pembaca kami yang gemarkan aktiviti-aktiviti lasak, kan? Jangan risau! Kami pasti akan berkongsikan beberapa lokasi yang menawarkan aktiviti lasak bagi anda.

Salah satu destinasi pelancongan di Terengganu yang menawarkan aktiviti lasak ialah di Bukit Bubus! Sebagai pencinta aktiviti lasak, pasti anda pernah mendengar tentang sukan esktrem paragliding atau luncur udara, kan? Anda boleh sertai sukan ekstrem ini di Bukit Bubus.

Aktiviti ini terletak di Kampung Raja, Besut. Sekiranya anda bukanlah penggemar sukan ekstrem terlampau tetapi masih inginkan adrenalin ketika melawat tempat-tempat tinggi, anda boleh menyertai aktiviti buaian di bukit ini. Buaian tersebut akan membuatkan anda seperti sedang terjun dari tebing bukit yang tinggi, tetapi jangan risau kerana pihak aktiviti tersebut akan memastikan keselamatan yang optimum pada para pengunjung mereka.

 

6. Tasik Pepsi Blue

Sekali lagi kami kongsikan lokasi pelancongan di Terengganu yang tidak diketahui ramai. Tetapi, kali ini, destinasi pelancongan ini terletak di Kemaman dan ia juga mempunyai air yang biru dan pemandangan alam semulajadi yang menjadi halwa mata.

Walaupun airnya yang biru seperti memanggil-manggil anda untuk berendam di dalamnya, ada sebab mengapa kebanyakan orang tempatan memilih untuk menyorok tempat ini dari para pengunjung. Ini kerana lokasi Tasik Pepsi Blue ini pernah menjadi sebuah lombong emas, jadi airnya mungkin berbahaya dari segi kimia. Tambahan pula, cerun-cerun bukit curam di sekitar Tasik Pepsi Blue ini setinggi 50 meter. Jadi, ia terlalu berbahaya untuk sesiapa mandi dan memancing di sini.

Tetapi, ia bukan menjadi halangan untuk anda melawat tempat ini untuk mengambil gambar-gambar pemandangan yang cantik untuk disimpan sebagai kenangan. Walaupun anda perlu berjalan sedikit dan akan berpeluh dalam perjalanan untuk ke tasik ini, kami syorkan bahawa keputusan akhirnya sangat memuaskan!

 

7. Pasar Payang

Akhir sekali, kami kongsikan suatu lokasi yang perlu anda pergi sekiranya anda melawat negeri Darul Iman ini. Walaupun destinasi kali ini diketahui ramai dan bukanlah dikelilingi alam semulajadi, tetapi memang sudah menjadi kebiasaan untuk para pelancong ke Terengganu melawat tempat ini.

Pasar Payang Terengganu ini mempunyai barangan yang bervariasi; dari makanan-makanan seperti keropok lekor yang memang terkenal di Terengganu, hinggalah barangan tradisional seperti kain batik, tikar anyam dan lain-lain yang boleh anda belikan untuk dijadikan buah tangan kepada rakan-rakan atau ahli keluarga yang tidak menyertai perjalanan anda. Pasti mereka akan menghargainya!

 

Akhir kata

Akhir kata dari kami, kami berharap bahawa artikel kami tentang tempat menarik di Terengganu ini sedikit sebanyak memberi anda pandangan tentang destinasi pelancongan yang perlu anda lawat seterusnya sebaik sahaja sekatan pelancongan ini berakhir. Pada waktu ini, wajarlah untuk kita kekal mematuhi SOP dan menjaga kesihatan diri supaya dapat melancong dengan lebih cepat lagi!

Jika sudah sampai ke Terengganu, singgah-singgahlah negeri Pantai Timur yang lain iaitu Kelantan dan Pahang.

3 thoughts on “7 Tempat Menarik di Terengganu (Yang Berbaloi Untuk Dikunjungi)”

Leave a Comment