3 Resepi Ayam Masak Merah (Simple & Sedap, Macam Kenduri)

Antara makanan kegemaran rakyat Malaysia ialah ayam masak merah. Di sini kami kongsikan beberapa resepi ayam masak merah, anda boleh cuba yang mana satu mengikut citarasa dan kesesuaian anda.

Selain rasa yang boleh dikatakan lebih kurang seperti yang kita makan di kenduri kahwin, resepi ayam masak merah ini juga sesuai digandingkan dengan nasi tomato. Sesuai juga untuk hidangan Hari Raya.

Sangat simple, mudah dan sedap.

1. Resepi Ayam Masak Merah

Resepi ayam masak merah sedap

Bahan-bahan ayam masak merah

  • 1 ekor ayam
  • 3 biji bawang besar
  • 4-5 ulas bawang putih*
  • 1 1/2 inci halia*
  • 3-4 senduk cili kisar
  • 5 sudu besar sos cili
  • 2 biji tomato
  • 2 batang serai (diketuk)
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 biji bunga lawang
  • 5 buah pelaga
  • Garam dan gula secukupnya

 

Cara buat ayam masak merah

  1. Potong kecil dan basuh bersih ayam. Gaulkan ayam dengan garam dan kunyit, goreng separuh masak.
  2. Kisar bahan bertanda *.
  3. Panaskan minyak, tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sampai naik bau. Masukkan serai dan tumis lagi.
  4. Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga garing. Masukkan cili kisar dan masak sehingga garing.
  5. Masukkan sos cili dan tomato. Biar seketika dan kacau sekali sekala.
  6. Perasakan dengan garam dan masukkan ayam tadi. Gaul sehingga masak.

Sumber: Salimah Olie dari Masak Apa Hari Ni

 

2. Resepi Ayam Masak Merah Mudah

Cara buat ayam masak merah

Bahan-bahan ayam masak merah

  • 1 ekor ayam
  • 1 genggam cili kering*
  • 2 biji buah tomato*
  • 1 biji lobak merah*
  • 3 biji bawang besar*
  • 5-6 biji bawang putih*
  • Halia*
  • 1/2 sudu kecil jintan manis*
  • Secubit jintan putih*
  • 4 sekawan
  • 1 batang serai (dititik)
  • Sehelai daun pandan (disimpul/potong)
  • 4-5 sudu sos cili
  • 1 biji bawang besar (dimayang)

Cara buat ayam masak merah

  1. Gaul ayam dengan kunyit dan garam. Goreng sekejap bagi kering air sahaja.
  2. Kisar bahan bertanda *.
  3. Panaskan minyak goreng ayam tadi, tumis 4 sekawan, serai dan daun pandan.
  4. Apabila sudah wangi, masukkan bahan kisar tadi, masak sehingga bahan sebati.
  5. Masukkan ayam dan sos cili. Kacau dan masak sehingga pecah minyak.
  6. Perasakan dengan garam dan gula.
  7. Masukkan bawang besar dan tunggu sehingga masak.
  8. Taburkan daun sup untuk hiasan.

Tips:

  1. Cili kering harus direbus dan dibasuh bersih untuk dapatkan warna menarik.
  2. Jintan manis harus lebih dari jintan putih.

Sumber: Ruslan N Melor dari Masak Apa Hari Ni

 

3. Resepi Ayam Masak Merah Dengan Susu Cair

Resepi ayam masak merah nasi tomato

Bahan-bahan ayam masak merah

  • 1 ekor ayam
  • 3 biji bawang besar*
  • 4 ulas bawang putih*
  • 1 ruas lengkuas*
  • 1 ruas halia*
  • 2 batang serai*
  • 4 sekawan
  • 1 senduk cili kisar
  • 1/2 tin puri tomato
  • 1 batang lobak merak (kisar halus bersama air)
  • 2 sdm sos tomato
  • 1 sdm sos cili
  • 4 sdm gula perang
  • 1 sdt garam
  • 1/2 sdt cukup rasa
  • 1/2 tin susu cair
  • Minyak untuk menumis
  • Daun pandan
  • 2 biji bawang besar (potong bulat)
  • Daun bawang jika suka

 

Cara membuat ayam masak merah

  1. Bersihkan ayam, gaul dengan garam dan kunyit. Goreng tak perlu garing, angkat dan ketepikan.
  2. Kisar halus bahan bertanda *.
  3. Panaskan minyak, tumis bahan kisar, 4 sekawan dan daun pandan sehingga naik bau.
  4. Masukkan cili kisar, puri tomato, sos tomato dan sos cili. Masak sehingga pecah minyak.
  5. Masukkan lobak merah yang sudah dikisar dan juga ayam. Tambahkan air jika kering.
  6. Reneh sebentar dan masukkan susu cair serta bahan lain. Masak sehingga pecah minyak.
  7. Akhir sekali, masukkan bawang yang sudah dipotong bulat dan daun bawang. Boleh tutup api.

Sumber: Zadariah Zakaria dari Masak Apa Hari Ni

Akhir kata

Resepi ayam masak merah ini sangat enak jika digandingkan bersama nasi tomato. Anda juga boleh klik sini untuk resepi nasi ayam yang enak.

Kalau tiba-tiba rasa teringin masakan Siam, boleh cuba resepi paprik ayam pula.


Lagi Resepi Simple, Mudah, Ringkas dan Sedap ↓

Leave a Comment